Ahad, 3 April 2011

ISU SOSIAL : Negara perlu Akta Vandalisme

Tindakan merosakkan harta awam sewenang-wenangnya ini adalah peringatan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih efektif bagi membendung masalah vandalisme ini.

PBT membelanjakan berjuta-juta ringgit setahun untuk membaiki kemudahan dan harta awam yang dirosakkan. Vandalisme tidak berlaku hanya di Kuala Lumpurs saja, namun di bandar lain seluruh negara.

Pelaku vandalisme membakar pondok telefon atau merosakkan pondok telefon awam hingga menyusahkan orang awam untuk menggunakannya ketika kecemasan.

Pelaku vandalisme turut merosakkan telefon awam, tong sampah, lif, meter tempat meletak kereta, perhentian bas, papan tanda awam dan tandas awam.

VANDALISME boleh menjadi ancaman utama terhadap struktur sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat. Hampir setiap minggu media melaporkan pelbagai kejadian vandalisme yang dilakukan bagi merosakkan pondok telefon awam, lampu jalan, papan tanda jalan, taman awam, lif rumah pangsa dan kemudahan awam lain.

Situasi ini berlaku di kebanyakan kawasan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penutup lubang di jalan raya dan papan tanda aluminium dirosakkan.

Walaupun vandalisme di Malaysia tidak separah di kebanyakan negara Barat, kadar kerosakannya mencerminkan masalah itu yang sudah sampai ke tahap serius dan perlu dibendung secara efektif.
Adalah dikenal pasti bahawa vandalisme perlu ditangani melalui pendidikan dan dengan cara memupuk nilai murni, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik.

Namun, pendidikan saja tidak memadai, ia perlu disokong oleh perundangan yang ketat dan penguatkuasaan kukuh. Undang-undang kecil yang kini dilaksanakan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan juga tidak memadai untuk menghapuskan masalah vandalisme.

Adalah perlu bagi kerajaan memperkenalkan perundangan persekutuan baru bagi mengatasi masalah ini dengan mengenakan hukuman khidmat masyarakat secara wajib. Sudah tiba masa satu Akta Vandalisme diperkenalkan untuk membenarkan hukuman lebih berat dan mewajibkan khidmat masyarakat.

Oleh kerana agak sukar bagi pihak berkuasa menangkap pesalah ketika vandalisme dilakukan, orang awam boleh membuat penangkapan sendiri dan menyerahkan pesalah kepada pihak berkuasa.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.

ISU PENDIDIKAN : 200,000 kekosongan di IPTA/IPTS

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

SERI KEMBANGAN: Sebanyak 200,000 tempat disediakan di institusi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan bagi pelajar mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah bagi sesi 2011/2012.

Selain itu, sejumlah 11,500 tempat turut disediakan bagi pelajar yang berminat mengikuti kursus bidang teknikal, latihan vokasional dan kemahiran di 27 politeknik dan 323 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILA) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata angka itu membuktikan pelajar kini memiliki lebih banyak pilihan mengikuti kursus yang diimpikan.

“Apa yang pelajar perlu ketahui adalah maklumat terperinci mengenai kursus yang ditawarkan, syarat kelayakan dan peluang kerjaya tersedia kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang ditawarkan,” katanya berucap menutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 – ‘Jom Masuk U’ ke-7 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini, semalam.

Karnival itu dijayakan 20 IPTA/IPTS terpilih, agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, yayasan negeri dan agensi pembiayaan pendidikan. Tahun ini, seramai 300,000 pengunjung dicatatkan di 10 lokasi karnival di seluruh negara berbanding 220,000 orang, tahun lalu.

Muhyiddin berkata, karnival ‘Jom Masuk U’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran adalah tempat yang sesuai untuk lepasan sekolah dan kolej untuk mendapatkan maklumat mengenai kemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Saya percaya karnival ini memberikan panduan berguna kepada pelajar memilih kursus ditawarkan di IPTA/IPTS. Buatlah keputusan yang tepat dan bijak supaya bidang pengajian yang dipilih sesuai dengan kelayakan serta cita-cita kerjaya yang ingin diceburi,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini lebih 580,000 orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

IPTA tempatan, juga, kata Muhyiddin, berjaya menarik minat tenaga akademik luar negara untuk berkhidmat di Malaysia dengan 7.5 peratus petugas akademik IPTA ketika ini adalah kalangan petugas akademik antarabangsa yang disifatkannya bukti pendidikan tinggi tempatan adalah bertaraf dunia.

Malah, ketika ini seramai 86,919 orang pelajar asing dari lebih 150 negara sedang mengikuti pengajian di IPT tempatan sehingga Disember 2010 yang disifatkannya pengukur kejayaan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 140,000 tempat disediakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya.

Bagi pengajian diploma di IPTA dan politeknik, jumlahnya ditambah kepada 74,000 tempat, iaitu diploma meningkat 5.44 peratus menjadi 22,927 tempat berbanding 21,744 tahun lalu manakala politeknik jumlah pengambilan meningkat kepada 51,000 tempat dengan peningkatan 23 peratus berbanding 41,382 tempat saja pada 2010.

Selain pertambahan pelajar, KPT juga memperkenalkan lebih banyak program dan kursus baru seperti seperti hortikultur, landskap, bioteknologi dan bidang bahan boleh diperbaharui.

Program dwi diploma juga diperkenalkan mulai tahun depan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa universiti lain, manakala sesetengah program diploma dipendekkan tempoh pengajian daripada tiga tahun kepada dua setengah tahun.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/