Ahad, 6 April 2014

ISU PENDIDIKAN : Projek perintis transformasi tingkatan 6 dilaksana


BUTTERWORTH - Projek perintis transformasi tingkatan enam iaitu penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam akan dilaksana dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan.

Katanya selain memperkasa tingkatan enam, transformasi itu juga bertujuan memberi pilihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan pengajian di sekolah sebelum ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kementerian telah mengenal pasti sekolah yang akan diperkenalkan dengan projek  perintis ini. Selain itu kita juga adakan pelbagai program bagi membantu pelajar membuat  pilihan tepat demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan  taklimat matrikulasi yang diadakan sempena program 'Jom Masuk U' di sini hari ini.

Projek perintis transformasi tingkatan enam itu diumum oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertengahan 2012.

Selain dipisahkan daripada sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza dan ini selaras dengan sistem  pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Kamalanathan berkata pada tahun ini sebanyak 28,000 tempat ditawarkan untuk program matrikulasi dan jumlah pemohon pula ialah 109,000  orang.

"Setiap tahun memang ada peningkatan, kita berharap bagi pelajar yang tidak berpeluang mengikuti pengajian matrikulasi boleh meneruskan pendidikan mereka di tingkatan enam. Ini juga satu pilihan yang baik sebelum melanjutkan pengajian ke IPT," katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 1,500 tempat ditawarkan kepada pelajar kaum India yang berminat untuk mengikuti pengajian peringkat matrikulasi, program yang dimulakan sejak 2012. - Bernama