Jumaat, 5 Mac 2010
Pidato Piala PM Usaha Untuk Ketengahkan Bahasa Melayu
PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan menganjurkan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri ialah bagi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai unsur kebudayaan dan tamadun kepada masyarakat dunia.
Perdana Menteri berkata usaha itu merupakan satu bentuk globalisasi budaya dan tamadun yang murni jika Malaysia mahu memastikan fenomena globalisasi tidak semestinya bersifat sehala, yakni dari barat ke timur sahaja namun boleh juga sebaliknya.
"Daya usaha dan kejayaan menganjurkan kegiatan (pidato) sedemikian ini amat besar maknanya dalam upaya kerajaan untuk ikut serta dalam arus globalisasi semasa yang sedang direntasi.
"Penyertaan kita dalam arus globalisasi yang saya maksudkan itu bukan bererti kita harus tenggelam dalam segala bentuk pengaruh asing, baik dalam pemikiran, ideologi, budaya mahu pun teknologi.
"Tetapi soalnya adalah bagaimana kita dapat menjadi pelaku aktif dan positif kepada sebahagian proses globalisasi," katanya ketika merasmikan pertandingan akhir pidato itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Jumaat malam.
Seramai 56 peserta dari 51 negara menyertai pertandingan pidato edisi keempat itu, tahun ini. Bermula dengan Piala Timbalan Perdana Menteri, selepas tiga tahun, kini diangkat menjadi Piala Perdana Menteri.
Najib berkata beliau melihat pertandingan pidato itu begitu bitara atau unik bukan kerana ia merupakan satu-satunya pertandingan peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu tetapi kelebihan yang dapat ditonjolkan ialah melalui aspek praktikal penggunaan bahasa itu sendiri.
"Saya difahamkan semua urusan berkaitan penganjuran pertandingan ini dilakukan dalam bahasa Melayu. Khabarnya lagi, segala urusan surat-menyurat dan komunikasinya juga dilaksanakan dalam bahasa Melayu," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana selepas memasuki edisi keempat tahun ini, penyertaannya meningkat dua kali ganda kepada lebih 50 buah negara dari enam benua, berbanding pada edisi pertama pada 2007 iaitu sebanyak 23 buah negara.
Justeru, beliau berharap agar usaha menganjurkan pidato itu tidak terhenti setakat ini sahaja tetapi haruslah menjadi kerja berterusan supaya suatu hari nanti dapat menarik penyertaan lebih ramai peserta dari segenap pelosok dunia.
"Misalnya, jika selama ini, Malaysia menjadi pelopor Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan sentiasa menerima penyertaan menggalakkan hingga berupaya mengangkat nama Malaysia harum ke pentas dunia.
"Begitulah, saya yakin dan percaya bahawa apa telah kita mulakan dengan pertandingan pidato dalam bahasa Melayu ini juga satu kala kelak akan berkembang dan berjaya seperti mana Musabaqah al-Quran tersebut," katanya.
Sementara itu, peserta Malaysia, Mohd Syazwan Shuhaimi dinobatkan juara bagi kategori Nusantara manakala peserta dari China, Zhang Song bagi kategori antarabangsa.
Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah US$5,000, piala pusingan serta piala iringan.
Naib johan kategori nusantara pula milik peserta Kemboja, Chai Lany Sles manakala tempat ketiga dimenangi oleh Leonora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia.
Naib johan kategori antarabangsa pula dimenangi oleh Natalya Budanova dari Russia manakala tempat ketiga, Josee Hunnekes dari Jerman.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai US$3,000 dan US$2,000 dengan piala iringan. Sebanyak lapan peserta layak ke peringkat akhir.
Sumber : http://www.bernama.com/
Pidato Antarabangsa : Lapan Peserta Ke Akhir
Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
LAPAN peserta mara ke pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM 2010), di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini, membabitkan tiga peserta kategori nusantara dan lima peserta kategori antarabangsa.
Kategori nusantara diwakili oleh Syazwan Shuhaimi dari Malaysia, Chai Lani Sles dari Kemboja dan Leo Nora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia. Bagi kategori antarabangsa pula masing-masing ialah Ponomar Karina dari Armenia, Zhang Song (China), Natalia Budanova (Rusia), Zara Maxwell Smith (Australia) dan Josee Hunnekes dari Jerman.
Peserta akhir, Ponomar Karina, 21, berkata pertandingan yang dianjurkan cukup menguji kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan berkesan.
Beliau yang akan membawa tajuk `Dinamika Budaya - Malaysia Destinasi Dunia, berkata, dia terpaksa berhadapan dengan peserta lain yang lebih fasih berbahasa Melayu, namun saya layak untuk ke peringkat akhir.
“Untuk pertandingan ini, saya membuat pelbagai rujukan termasuk mengenai konsep 1Malaysia. Saya dapati konsep itu bukan saja sesuai di Malaysia tetapi juga di negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum,” katanya yang belajar di Kyib International University, di Ukraine. tahun.
Sementara itu peserta yang terkandas ke pertandingan akhir, Luca Guadagnuold, 23, dari Universita Degli, Itali berkata, pertandingan ini dapat mengumpulkan generasi muda yang fasih berbahasa Melayu dari seluruh dunia.
“Usaha murni Malaysia ini, dapat menyatupadukan masyarakat sejagat menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan utama.
“Saya belajar sejarah Nusantara dan berminat untuk belajar bahasa Melayu, dengan menyertai pertandingan ini pengetahuan saya mengenai alam Melayu lebih baik,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.
PABM 2010 ialah program keempat yang sebelum ini dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri yang dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini.
Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pelajaran; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu disertai 56 peserta mewakili 51 negara.
Johan pertandingan akan menerima wang tunai USD5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan, naib johan USD3000 (RM10,500) serta hadiah iringan, manakala tempat ketiga akan membawa pulang USD2,000 (RM7,000) dan sijil penyertaan.
Sebagai menghargai sumbangan peserta, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.
PABM 2010 bertujuan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa selain memupuk cintakan bahasa kebangsaan di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dan pelajar antarabangsa yang mengikuti program berkenaan di universiti masing-masing.
Setakat ini terdapat 130 IPT di 45 negara seluruh dunia menawarkan program pengajian bahasa Melayu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/