Jumaat, 5 Mac 2010

Pidato Piala PM Usaha Untuk Ketengahkan Bahasa Melayu

Johan Kategori Nusantara, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri, Syazwan Shuhaimi dari Malaysia (dua dari kiri), tersenyum riang selepas menerima hadiah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kategori Antarabangsa dimenangi Zhang Song (dua dari kanan) dari China.

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan menganjurkan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri ialah bagi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai unsur kebudayaan dan tamadun kepada masyarakat dunia.

Perdana Menteri berkata usaha itu merupakan satu bentuk globalisasi budaya dan tamadun yang murni jika Malaysia mahu memastikan fenomena globalisasi tidak semestinya bersifat sehala, yakni dari barat ke timur sahaja namun boleh juga sebaliknya.


"Daya usaha dan kejayaan menganjurkan kegiatan (pidato) sedemikian ini amat besar maknanya dalam upaya kerajaan untuk ikut serta dalam arus globalisasi semasa yang sedang direntasi.

"Penyertaan kita dalam arus globalisasi yang saya maksudkan itu bukan bererti kita harus tenggelam dalam segala bentuk pengaruh asing, baik dalam pemikiran, ideologi, budaya mahu pun teknologi.

"Tetapi soalnya adalah bagaimana kita dapat menjadi pelaku aktif dan positif kepada sebahagian proses globalisasi," katanya ketika merasmikan pertandingan akhir pidato itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Jumaat malam.

Seramai 56 peserta dari 51 negara menyertai pertandingan pidato edisi keempat itu, tahun ini. Bermula dengan Piala Timbalan Perdana Menteri, selepas tiga tahun, kini diangkat menjadi Piala Perdana Menteri.

Najib berkata beliau melihat pertandingan pidato itu begitu bitara atau unik bukan kerana ia merupakan satu-satunya pertandingan peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu tetapi kelebihan yang dapat ditonjolkan ialah melalui aspek praktikal penggunaan bahasa itu sendiri.

"Saya difahamkan semua urusan berkaitan penganjuran pertandingan ini dilakukan dalam bahasa Melayu. Khabarnya lagi, segala urusan surat-menyurat dan komunikasinya juga dilaksanakan dalam bahasa Melayu," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana selepas memasuki edisi keempat tahun ini, penyertaannya meningkat dua kali ganda kepada lebih 50 buah negara dari enam benua, berbanding pada edisi pertama pada 2007 iaitu sebanyak 23 buah negara.

Justeru, beliau berharap agar usaha menganjurkan pidato itu tidak terhenti setakat ini sahaja tetapi haruslah menjadi kerja berterusan supaya suatu hari nanti dapat menarik penyertaan lebih ramai peserta dari segenap pelosok dunia.

"Misalnya, jika selama ini, Malaysia menjadi pelopor Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan sentiasa menerima penyertaan menggalakkan hingga berupaya mengangkat nama Malaysia harum ke pentas dunia.

"Begitulah, saya yakin dan percaya bahawa apa telah kita mulakan dengan pertandingan pidato dalam bahasa Melayu ini juga satu kala kelak akan berkembang dan berjaya seperti mana Musabaqah al-Quran tersebut," katanya.

Sementara itu, peserta Malaysia, Mohd Syazwan Shuhaimi dinobatkan juara bagi kategori Nusantara manakala peserta dari China, Zhang Song bagi kategori antarabangsa.

Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah US$5,000, piala pusingan serta piala iringan.

Naib johan kategori nusantara pula milik peserta Kemboja, Chai Lany Sles manakala tempat ketiga dimenangi oleh Leonora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia.

Naib johan kategori antarabangsa pula dimenangi oleh Natalya Budanova dari Russia manakala tempat ketiga, Josee Hunnekes dari Jerman.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai US$3,000 dan US$2,000 dengan piala iringan. Sebanyak lapan peserta layak ke peringkat akhir.

Sumber : http://www.bernama.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan