Khamis, 14 Mac 2013

ISU KESIHATAN : Lebih 30% Rakyat Malaysia Hidap Darah Tinggi


KUALA LUMPUR : Kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit darah tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata ini dikesan melalui kajian rintis mengenai pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan kaedah analisis air kencing selama 24 jam pada tahun lepas.

"Kandungan purata pengambilan garam oleh rakyat Malaysia ialah 8.7 gram sehari, iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram sehari.

"Dalam kajian yang sama, didapati sos kicap soya merupakan makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam yang tinggi dan kaum lelaki merupakan golongan yang mengambil lebih banyak garam berbanding wanita," katanya dalam perutusan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2013.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang.

"Selain itu, hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada satu paras sudu teh sehari semasa penyediaan makanan, memasak dan di meja makan.

"Gunakan perisa asli seperti  rempah ratus, daun sup atau limau untuk menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa yang lain," katanya.

Liow juga menyeru orang ramai supaya mengambil dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari, amalkan aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan dan pupuk minda sihat melalui penanganan stres, tidak merokok dan sihat tanpa alkohol.

Katanya pengambilan garam secara berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan berkait rapat dengan kejadian penyakit darah tinggi.

"Pengurangan pengambilan garam boleh mengurangkan tekanan darah dan kejadian strok serta penyakit jantung," katanya. Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia ke-6 yang akan berlangsung pada 11 hingga 17 Mac, ditujukan khusus kepada industri makanan, katering, pengusaha atau pengendali makanan (chef) dan tukang masak di restoran dengan tema " Less Salt Please" (Kurangkan Garam).

Kata Liow, pihak kementerian sedang berusaha merangka strategi pengurangan garam untuk Malaysia.

"Antaranya sebanyak 16 item makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi iaitu daripada kategori biskut, kicap, mi segera, makanan ringan dan daging beku telah diturunkan kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40 peratus daripada tahap asal sejak tahun 2011 hingga 2012," katanya. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dasar Mengehadkan Jumlah Mata Pelajaran SPM Diperjelas


KUALA LUMPUR : Kementerian Pelajaran menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan sejak 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.

"Dua mata pelajaran tambahan itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan dalam peperiksaan SPM, selain mata pelajaran teras," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Calon hendaklah mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Menurut kenyataan itu, calon boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.

"Dan kelonggaran diberi kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual," kata Abdul Ghafar.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan bertajuk 'SPM 10-Subject Limit Stays' yang disiarkan 10 Mac lalu.-BERNAMA

ISU KESIHATAN : Padah makanan laut



Oleh : Fatin Hafizah Mohd Shahar

Penggemar makanan laut, lazimnya sanggup berbelanja lebih dan mencarinya di serata tempat untuk menikmati kelazatan hidangan laut disukai. Bagi mereka, kesegaran setiap gigitannya memberikan keenakan tersendiri dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Makanan laut yang digemari ramai selain ikan, udang, kupang dan kerang memang sedap untuk dijadikan pelbagai menu. Malah, permintaan tinggi makanan laut bukan sahaja dalam kalangan pengusaha restoran di perairan pantai tetapi turut menjadi tumpuan kepada pengusaha di kota.

Bukan semua orang sewenang-wenangnya menikmati makanan laut, ada yang alergi dan tidak kurang kena berpantang mengambilnya khususnya  penghidap penyakit tertentu seperti gout dan darah tinggi.

Namun, semua orang juga perlu berhati-hati kerana makanan laut ada kalanya mudah tercemar dengan mikro organisma, bahan kimia atau kandungan logam berat sehingga boleh membawa maut.

Contohnya, tiga maut selepas makan kerang dan lokan yang dibeli di Pasar Malam Inanam, Sabah, pada bulan lalu. Kes itu disebabkan fenomena laut merah yang melanda negeri itu yang menjadi punca pencemaran kepada hidupan laut itu.

Pada 1 Januari lalu pula, enam individu mengalami simptom keracunan seperti kebas di leher, muntah, pening dan sesak nafas selepas memakan kerang yang dikutip di perairan Sepanggar, Sabah.

Punca keracunan

Mengulas berkaitan hal itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Saliza Mohd Elias, berkata keracunan makanan laut boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertama, ejen jangkitan termasuk virus, bakteria dan parasit.

Punca kedua berlaku kerana ejen toksin (racun) yang  terhasil secara semula jadi dalam makanan laut seperti ciguatera dan scombroid atau berlaku akibat pencemar kimia daripada bahan buangan industri seperti logam berat, dioksin dan pestisid.

Antara punca keracunan makanan ialah bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin dan bahan kimia atau akibat proses penyediaan makanan kotor, makanan tidak dimasak dengan sempurna atau terdedah kepada persekitaran.

Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam selepas makan makanan tercemar. Kesan bahaya akibat keracunan makanan boleh membawa maut. Selain ada juga membabitkan keracunan sistem saraf, jelasnya.

Gejala keracunan

Dr Saliza berkata, kanak-kanak, warga tua dan individu berdaya tahan diri rendah berisiko tinggi mengalami keracunan makanan dan tandanya bergantung kepada jenis dan kuantiti racun diambil.

Katanya, antara gejala keracunan sering berlaku adalah gastroenteritis iaitu seperti loya, mual, muntah, cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, keadaan pengeluaran najis luar biasa, cair dan kerap turut menyebabkan tubuh kehilangan cecair dan elektrolit.

Masalah keradangan sistem gastro-usus yang selalu dikaitkan dengan darah dan nanah pada najis atau secara saintifiknya disebut dysentery juga berkemungkinan berlaku pada individu mengalami keracunan.

Jangkitan sistem gastro-usus boleh menghasilkan kesan yang pelbagai bermula cirit-birit tidak berbahaya dan pulih dengan sendirinya atau kepada masalah berlarutan dan parah hingga menyebabkan kematian.

Secara am, gejala keracunan makanan ini termasuklah perut memulas atau berpeluh tanpa sebab, demam, rasa sejuk walaupun cuaca panas dan sakit kepala, katanya.

Kaedah rawatan

Mengenai rawatan keracunan, Dr Saliza menjelaskan pesakit mengalami keracunan makanan boleh menjalani beberapa kaedah rawatan bergantung kepada kategori penyakit dihadapi mereka.

Antara ubatan diedarkan adalah ubat menghentikan muntah atau rawatan IV untuk menggantikan bendalir dalam badan yang banyak dikeluarkan sepanjang proses keracunan.

Bagi mengurangkan tanda keracunan ciguatera pula mannitol atau gula formula kimia bertindak sebagai ejen diuretik osmosis untuk membantu menguatkan kandungan minyak dalam buah pinggang.

Pesakit perlu menjalani rawatan sehingga tanda keracunan makanan laut menunjukkan berkurang dan peningkatan pada tahap kesihatan, katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya melihat secara terperinci makanan laut dibeli di pasar untuk mengelak sebarang keracunan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Di laut mudah berlaku pencemaran disebabkan tumpahan minyak dan fenomena laut merah seperti yang berlaku di Sabah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/