Rabu, 9 Disember 2009

JADILAH INSAN, GENERASI CELIK ISU ALAM SEKITAR

Oleh : Elviza Michele Kamal

Dunia ini pinjaman; sudahlah pinjaman, sementara pula sifatnya. Tiada yang kekal; tiada yang maksum. Apa yang pasti hanya satu, perubahan pasti berlaku. Walaupun sudah berdentam-dentum dihebohkan dalam media moden dan tradisional perihal iklim dunia yang dikatakan semakin panas, rata-rata kita masih menganggap bahawa itu bukan masalah interim kita. Peduli apa?

HARAPAN HIJAU MATI DENGAN SIKAP TAK ACUH MANUSIA

Hatta, segelintir kita masih menggunakan beg plastik dan kertas secara liberal, suka hati membuang sampah-sarap dari tingkap kereta, menebang pokok dan balak atas nama komersil atau mencemari sumber air semula jadi dengan aktiviti kemanusiaan.

Kus rasa semangat apabila membaca dan melihat imej Sungai Citarum di laman portal berita Indonesia, The Jakarta Post. Sungai tersebut, walaupun rupanya lebih mirip tempat pelupusan sampah, namun berjasa membekalkan sumber air kepada 80 peratus penduduk Jakarta.

Kos untuk membaik pulih? Kerajaan Indonesia telah meminjam 500 juta dolar daripada Asian Development Bank untuk membiayai kerja-kerja merawat air sungai itu. Mahalnya harga kejahilan manusia. Apa kurangnya sungai dan punca air di Lembah Klang? Walaupun tidak seburuk Sungai Citarum, tetap hambar kualiti dan berbau busuk apabila hujan.

Statistik sains alam sekitar melaporkan, suhu harian kita sekarang lebih panas berbanding dengan 12 tahun lalu; kemarau di benua Afrika semakin buruk dan panjang; paras air lautan dunia meningkat; bongkah-bongkah ais di kutub Antartik dan Artik cair dan menipis pada tahap yang membimbangkan. Semua ini berlaku kerana suhu dunia sekarang lebih panas.

Berpaksikan isu iklim semasa dunia, di ibu kota Denmark, Copenhagen, ketika ini sedang duduk semeja 15,000 delegasi dan 100 pemimpin dunia dari 192 negara peserta untuk menghadiri Persidangan Iklim (Climate Conference) anjuran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Seperti yang dilaporkan Associated Press, persidangan berlangsung dari 7 hingga 18 Disember tersebut, antara lainnya, akan cuba untuk mencapai kata sepakat dalam memantau pengeluaran gas karbon berlebihan, menjadi petualang utama terhadap kepanasan iklim global. Sistem pengangkutan sahaja telah menyumbang sebanyak 27 peratus pengeluaran gas karbon di seluruh dunia.

HARAPAN HIJAU HIDUP, CONTOHI INISIATIF LONDON DAN BRUSSEL

Lebih mengagumkan apabila di kota London, lebih kurang 50,000 orang berarak untuk mendesak Persidangan Iklim mengambil langkah tegas dengan menandatangani perjanjian rasmi untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon beracun. Berbaju biru dengan cat di muka, mereka berarak menuju ke pekarangan Houses of Parliament untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Gordon Brown, yang akan menghadiri persidangan tersebut.

Pada malam Sabtu lalu juga, sebuah keretapi yang dicat dengan jalur hijau berlepas merentasi Brussel ke Copenhagen. Gerabak hijau yang membawa 450 perwakilan PBB tersebut membawa mesej tersendiri kepada dunia: pilihlah pengangkutan awam untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon.

Tetapi malangnya di Malaysia, kita tidak mementingkan isu hijau. Fakta ini jelas terbukti apabila tinjauan yang dijalankan oleh HSBC Bank Malaysia Berhad – The HSBC Climate Confidence Monitor 2009, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih risau terhadap penyakit merebak seperti selesema babi, kestabilan ekonomi dunia, isu pengganas (terrorism) dan jenayah picisan harian.

Hakikatnya, kasih-sayang dan sikap prihatin terhadap alam sekitar adalah tanggungjawab sejagat setiap insan bertamadun. Pemuliharaan alam sekitar amat getir untuk menjamin kehidupan berkualiti anak cucu kita, juga untuk spesies orang utan di Sepilok, gajah di Chiang Mai, ikan salmon di Kamchatka, harimau bintang di Afrika dan beruang kutub di Artik. Paling utama, air yang kita minum dan udara disedut harus bebas daripada rencam ‘racun’ buatan manusia.

KITA HARUS BERUBAH DEMI HARAPAN HIJAU DI MALAYSIA

Walaupun persidangan di Copenhagen ini tidak layak menjana berita utama di muka hadapan akhbar-akhbar tempatan, kita harus sedar bahawa beban untuk mengekalkan kehijauan dunia tidak sepatutnya dipikul oleh negara-negara peserta United Nations Framework Convention on Climate Change dan Kyoto Protocol sahaja.

Biarpun pesanan ini berbentuk retorik dan klise, jangan sekali-kali kita lupa bahawa kita tidak pernah mewarisi alam ini daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Jadilah insan yang celik isu alam sekitar.

Semoga kita dapat membezakan yang mana hak, yang mana batil. Salam hijau.

Elviza juga seorang peguam.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/