Sabtu, 7 Julai 2012

ISU SOSIAL : Penderaan seksual kanak-kanak



Oleh : Hasniza Hussain

Murung, gelisah, takut, tertekan, menjauhkan diri. Pernahkah anda melihat kanak-kanak di sekeliling anda atau ahli keluarga yang masih kecil berperangai demikian? Jika ada, masih belum terlewat untuk anda mendekati dan menyelami isi hati mereka kerana terdapat kemungkinan besar, mereka adalah mangsa penderaan seksual oleh individu tidak bertanggungjawab.

Jangan sesekali memandang remeh perkara sebegini kerana secara tidak langsung kita menafikan hak kanak-kanak ini kerana tidak cuba membantu mereka. Lebih mengejutkan apabila kajian mendapati sebanyak 90 peratus kes dilaporkan, mangsa mengenali individu yang melakukan penderaan ke atas mereka.

Ikuti kupasan tajuk Modus Operandi kali ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut permasalahan dihadapi termasuk tip yang boleh diguna pakai.

Definisi: 

Penderaan seksual kanak-kanak merujuk kepada sebarang perlakuan individu yang memaksa, memperdaya atau mengugut kanak-kanak yang mendorong berlakunya hubungan seksual dengan mereka, semata-mata untuk memuaskan nafsu seksual.

Ia juga merujuk kepada penderaan seksual seorang kanak-kanak bawah umur oleh orang dewasa, atau seseorang yang jauh lebih tua atau dalam kedudukan berkuasa atau mengawal kanak-kanak, di mana kanak-kanak digunakan sebagai stimulasi seksual bagi orang tersebut atau orang lain.

Punca atau faktor:

- Kurang didikan agama
- Gagal kawal nafsu seks
- Sikap suka menganggap kanak-kanak sebagai rangsangan seksual
- Masalah penagihan dadah dan arak menjadikan seseorang individu itu bertindak di luar batasan - dendam terhadap perempuan
- Pengaruh kisah silam
- Pernah menjadi mangsa sehingga peristiwa itu mempengaruhi minda dan menjadikan kanak-kanak lain pula sebagai mangsa
- Tiada kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga tentang kepentingan pencegahan jenayah seksual
- Sikap ibu bapa dan penjaga yang sering mengelak daripada menerangkan mengenai jenayah seksual kepada kanak-kanak
- Kurangnya pengetahuan dalam kalangan kanak-kanak berhubung cara untuk melindungkan diri daripada menjadi mangsa

Penderaan  seksual kanak-kanak merangkumi :

- Memasukkan objek atau bahagian tubuh ke dalam faraj, mulut atau dubur
- Menyentuh bahagian sulit
- Menunjukkan bahan-bahan lucah kepada kanak-kanak
- Mengambil gambar kanak-kanak dalam aksi seksual
- Menggalakkan kanak-kanak menonton atau mendengar aksi seksual
- Membuat panggilan telefon lucah
- Merogol
- Melakukan seks oral
- Meliwat
- Melacurkan
- Mengintai
- Mencium, mengusap dan mempamerkan aksi lucah

Kesan kepada kanak-kanak :

Kecederaan fizikal, emosi dan jiwa bagi jangka masa tertentu:

- Masalah fizikal : kebimbangan boleh menyebabkan berat badan menurun, gemar memakai pakaian berlapis-lapis

- Masalah sosial : sering bercakap tentang teman baru yang lebih dewasa, suka berahsia, menghadapi masalah perhubungan , menagih dadah dan alkohol

- Masalah psikologi : takut pada orang, perubahan tingkah laku secara tiba-tiba, marah, menyisihkan diri, mengigau, sukar tidur, takut kepada gelap, kencing malam atau menghisap jari bagi kanak-kanak besar

- Mencederakan diri sendiri

- Gagal memberikan tumpuan

-Kecenderungan menjadi pemangsa apabila dewasa

Cara mencegah :

- Ibu bapa perlu memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi

- Memberi  pendidikan agama dan moral tentang kemudaratan perbuatan persetubuhan haram

- Menasihati anak agar tidak mudah menuruti pelawaan orang-orang yang tidak dikenali atau baru dikenali untuk makan, minum, bersiar-siar atau pergi ke bilik /rumah mereka

- Sentiasa berwaspada dengan makanan dan minuman yang diberikan oleh orang yang tidak dikenali atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu

- Jangan menyembunyikan masalah, terus maklum kepada ibu bapa

Penyelesaian:

Polis: Beri pendedahan khusus berhubung pencegahan jenayah seksual kanak-kanak kepada ibu bapa atau penjaga

- Mengadakan program atau bengkel yang boleh memberi kesedaran serta panduan kepada ibu bapa serta kanak-kanak yang menjadi mangsa, memberi pendekatan kepada penjaga untuk menyampaikan pendidikan seksualiti kepada kanak-kanak, meningkatkan pengetahuan penjaga tentang psikologi mangsa jenayah seksual kanak-kanak dan cara untuk mengendalikan emosi mangsa

Ibu bapa atau penjaga : Bersikap terbuka dengan kanak-kanak agar mereka dapat berkongsi masalah dan tidak takut untuk mendedahkan perbuatan atau penderaan seksual yang dilakukan pada mereka, beri sokongan apabila kanak-kanak mula memberitahu dan tunjukkan anda akan membantu dan bersama-sama melaluinya, tingkatkan pengetahuan tentang pencegahan jenayah seksual kanak-kanak, beri pendedahan dengan menerangkan mengenai jenayah seksual kepada kanak-kanak agar mereka tidak mudah menjadi mangsa.

Sumber: Wikipedia, www.rmp.gov.my, laman Facebook Polis KL, www.yahoo.com, www.google.com

ISU AGAMA : Pergerakan mengundur Marikh tiada kaitan tanda kiamat



Oleh : Mona Ahmad

Penyebaran maklumat tanpa kajian, fakta kukuh cetus salah faham umat

Salah faham mengenai sains menyebabkan ramai yang berpendapat bahawa sains dan agama tidak boleh dicampurkan, sedangkan jika pengkajian sains berlandaskan fakta kukuh, tentunya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bagaimanapun, ada maklumat sains yang tidak berdasarkan kepada fakta kukuh disebarkan dalam media serta internet yang ditokok tambah dengan pandangan dari sudut agama menjadi bahan ejekan oleh masyarakat bukan Islam yang mendakwa agama tidak boleh dicampurkan dengan sains.

Pensyarah Pusat Pengajian Fizik Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Madya Dr Abdul Halim Abdul Aziz, berkata keadaan ini timbul apabila masyarakat hanya menyebarkan maklumat tanpa usul periksa dan melakukan kajian kukuh.

Salah faham mengenai sains termasuk dalam isu pergerakan mengundur (retrograde motion) planet Marikh yang disebarkan dalam internet dan beberapa media baru-baru ini yang menyatakan ia ada kaitan dengan tanda kiamat hampir tiba apabila mereka mendakwa putaran Marikh berubah dan begitu juga planet lain.

“Isu pergerakan mengundur Marikh sudah lama diketahui sejak zaman Yunani lagi. Ia bukan bermakna putaran planet Marikh berubah arah.

“Jika seseorang melihat planet Marikh setiap malam, mereka akan nampak planet itu berganjak ke depan dan pada satu tarikh ia berundur dan berhenti. Kemudian ia bergerak ke depan kembali. Ia bukan berundur pada satu garisan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, tidak timbul isu pergerakan mengundur Marikh itu boleh dikaitkan dengan hampirnya kedatangan kiamat kerana ia bukannya perkara baru yang terjadi tetapi sudah dikesan berlaku sejak beribu-ribu tahun lamanya.

Kaji sebelum sebar maklumat

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menilai dan mengkaji dulu maklumat yang disebarkan menerusi internet sebelum menyebarkan kepada rakan atau pihak lain.

“Kita perlu berguru dan berilmu sebelum mengambil bulat-bulat apa yang disiarkan dalam internet dan terus menyebarkan pada orang lain pula. Apabila kita menyebarkan fakta yang salah, umat Islam akan dipersalahkan kerana mudah sangat percaya tanpa mengkaji terlebih dulu,” katanya.

Katanya, sebenarnya, jika sains mengkaji fenomena alam secara jujur, memang tiada percanggahan dengan apa yang diajar dalam Islam.

“Secara umum apa yang diajar Islam dan diwahyukan dalam al-Quran tidak bercanggah dengan sains. Banyak contoh yang sudah sekian lama dikemukakan dalam al-Quran, baru kini saintis berjaya menemuinya,” katanya.

Ini termasuk bagaimana al-Quran menerangkan pusingan air yang mana air mengalir dari gunung adalah air tawar dalam surah al Mursalaat ayat 27 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan padanya gunung yang tinggi dan Kami beri minum kamu dengan air yang tawar.”

Bukti dari al-Quran

Katanya, jika Allah tidak menjadikan cahaya matahari untuk menyejat air laut yang masin menjadi awan menurunkan hujan sudah tentu tiada air tawar.

Malah, katanya, kejadian gunung sebagai pasak bumi baru saja dikesan ahli geologi, sedangkan al- Quran sudah menyebutnya sekian lama.

Bukti keagungan Allah yang dikemukakan dalam al-Quran yang baru dikesan manusia termasuk pertemuan dua laut yang masin dan tawar yang hanya ditemui di zaman moden ini oleh penjelajah dan saintis Perancis Jacques Custeau.

Surah al Furqan ayat 53 yang bermaksud: “Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalang.”

Abdul Halim berkata secara logik, mustahil Nabi Muhammad SAW tahu mengenai kewujudan dua laut itu kerana Baginda bukan orang laut.

“Ini jelas menunjukkan yang al-Quran itu bukan ciptaan Nabi Muhammad SAW tetapi wahyu daripada Allah,” katanya.

Surah al Rahman ayat 19 dan 20 yang bermaksud: “Dia membiarkan dua lautan mengalir yang kedua-duanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.”

Ada ahli tafsir yang berpendapat maksud ayat berkenaan bahawa ada dua laut yang kedua-duanya terpisah kerana dibatasi tanah genting, tetapi apabila tanah genting itu tidak diperlukan, maka akhirnya, ia dibuang atau digali untuk keperluan lalu lintas seperti Terusan Suez dan Panama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Gapena protes Mandarin disama taraf dengan BM


GEORGE TOWN - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) tidak bersetuju dengan tuntutan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa  pengantar utama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di seluruh negara.

Ketua Satu Gapena, Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar berkata, tuntutan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini

"Bahasa lain tidak harus dijadikan modal untuk mencabar bahasa kebangsaan negara ini," katanya ketika berucap pada perjumpaan siri wacana Gapena di Dewan Sekolah Menengah (Perempuan) St. George hari ini.

Beliau berkata Gapena akan menghantar memorandum akhir Julai ini kepada kerajaan Persekutuan agar mengabaikan tuntutan jawatankuasa itu.

"Kami menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong kami dan menyertai kami dalam memperjuang kedudukan bahasa Malaysia," katanya.

Antara kandungan memorandum itu ialah menuntut agar diadakan semula silibus lisan bagi memastikan semua rakyat fasih bertutur bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka.

Abdul Latiff juga mengingatkan masyarakat agar menghormati bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan bukan menganggap ia sebagai bahasa yang menunjukkan perbezaan kaum. - Bernama


Nota Hujung :


Sebagai imbasan berikut disenaraikan tuntutan Dong Zong  terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia:

1. Memindah keluar semua guru yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Mandarin peringkat SPM dari sekolah rendah Cina

2. Menyediakan kursus khas untuk guru Bahasa Mandarin yang mengajar Bahasa Melayu (BM) atau Bahasa Inggeris (BI) sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun, bagi membolehkan mereka layak untuk mengajar ketiga-tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Mandarin, BM dan BI

3. Membuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan di sekolah-sekolah Cina

4. Mengkaji semula Akta Pendidikan bagi memastikan sekolah vernakular diberi status yang sama dan dijamin kedudukannya sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan.

ISU KESIHATAN : Isnin punca sijil cuti sakit?


SESEORANG yang mempunyai rutin kerja dari Isnin sehingga Jumaat pastinya pernah mengalami sindrom Monday blues.

Ia adalah perasaan murung dan gelisah yang timbul apabila seseorang memikirkan dia terpaksa masuk bekerja semula pada hari Isnin selepas cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Perasaan ini biasanya bermula pada Ahad petang dan berakhir pada Isnin, selepas waktu bekerja.

Ini kerana bagi kebanyakan pekerja, Isnin adalah hari yang paling sibuk dengan pelbagai "dateline" dan mesyuarat penting.

Mungkin juga kerana ada antara mereka sebenarnya masih berada di dalam mood cuti.

Berbeza dengan hari Jumaat apabila kebanyakan pekerja datang dengan penuh semangat memandangkan cuti hujung minggu mereka akan bermula selepas tamatnya waktu bekerja.

Kemurungan ini memusnahkan mood cuti hujung minggu. Cuti tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat. Malah ada yang begitu tertekan sehingga mengganggu keintiman suami isteri.

Monday blues ini juga adalah sebab mengapa ramai pekerja sengaja mengambil sijil cuti sakit pada hari Isnin.

Bagi yang datang bekerja, mereka lebih suka menyendiri dan menjadi tidak produktif. Suasana persekitaran juga menjadi hambar dan suram.

Bagi pekerja berpengalaman, mungkin cara paling baik untuk menghadapinya adalah melaluinya dengan sikap yang paling positif.

Anda pula mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi tidak salah untuk mencuba beberapa kaedah di bawah.

Tips mengelakkan Monday blues :

Persediaan boleh bermula pada hari Jumaat lagi dengan membuat nota ringkas berkenaan perkara-perkara yang perlu dilakukan pada Isnin. Ini akan mengelakkan suasana kelam kabut pada hari tersebut.

Kebanyakan orang mengadu susah melelapkan mata pada Ahad malam. Ini kerana mereka banyak berfikir tentang perkara yang remeh-temeh.

Cuba dapatkan rehat secukupnya. Anda boleh cuba teknik mandian segar menggunakan sabun aromaterapi atau minum teh herba panas tanpa kafein beberapa jam sebelum waktu tidur. 

Masuk tidur awal dan jangan menonton televisyen sehingga larut malam.

Pada keesokan harinya pula, mulakan dengan berjoging atau membuat senaman ringkas.

Setengah jam sudah mencukupi untuk merangsang tubuh badan merembes hormon gembira yang dipanggil endorphine.

Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira ke tempat kerja. Contohnya, anda mungkin boleh telefon kawan untuk bersarapan pagi di kopitiam berhampiran atau mendapatkan perkhidmatan teksi ke pejabat.

Nikmati perjalanan tersebut. Datang lebih awal supaya anda berkesempatan untuk menyemak jadual temujanji dan membuat persediaan secukupnya.

Semasa bekerja, berehatlah seketika apabila minda anda semakin kehilangan fokus. Anda boleh berjalan-jalan atau membuat regangan kecil untuk melegakan tekanan.

Otak memerlukan oksigen dan rangsangan untuk berfungsi, terutamanya jika anda bekerja di dalam bagunan yang tidak mempunyai rangsangan cahaya matahari.

Jika anda perlu menghadiri mesyuarat kakitangan, carilah cara untuk menceriakannya. Cubalah tersenyum walaupun anda sendiri tidak menggemarinya.

Rakan sekerja anda juga mungkin begitu. Anda boleh membelikan kuih muih atau coklat bar untuk dikongsi bersama. Manisan adakalanya baik untuk meredakan ketegangan.

Pada waktu rehat tengah hari, cuba penuhkan ruang tersebut dengan aktiviti yang menggembirakan.

Anda mungkin boleh keluar makan bersama kawan, berjalan di kompleks beli-belah atau bersantai di pejabat.

Rancang sesuatu yang istimewa untuk dilakukan pada malamnya. Anda boleh makan malam bersama keluarga, berkaraoke atau menonton wayang.

Anggaplah ia sebagai hadiah selepas anda mengharungi hari isnin yang sibuk dan huru-hara.

Bagi majikan dan ketua jabatan pula, rangsanglah persekitaran jabatan anda sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan memulakan sesi bekerja pada Isnin dengan bacaan doa.

Cuba untuk tidak membuat mesyuarat kakitangan atau morning prayer pada hari tersebut.

Sediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka menguruskan tekanan kerja dengan baik.

Hari Isnin tetap akan berlalu sama ada anda menghadapinya dengan baik atau tidak. Bagaimanapun, sekiranya perasaan murung tersebut berlarutan hingga ke hari-hari seterusnya, lakukanlah sesuatu.

Anda mungkin perlu menukar kerja atau mendapatkan rawatan doktor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PATI : 577,427 Pendatang Tanpa Izin Diputihkan Sehingga 30 Jun



KUALA LUMPUR : Seramai 577,427 pendatang tanpa izin telah diputihkan melalui Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P, yang tamat 30 Jun lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata mereka adalah pekerja yang berjaya diputihkan daripada 1,015,852 pendatang tanpa izin yang berdaftar untuk bekerja melibatkan 107,136 majikan dari pelbagai sektor seperti perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

"Namun masih terdapat kira-kira 43.2 peratus atau 438,425 pendatang tanpa izin yang belum diputihkan dan tindakan penguatkuasaan sedang giat dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata kementerian bersetuju untuk memutihkan 438,425 pendatang tanpa izin yang telah membuat temu janji melalui pihak majikan sebelum ini tetapi belum ditemu duga.

"Di atas rayuan pihak majikan, kementerian bersetuju supaya temu janji semula dibuat dengan majikan," katanya. Beliau berkata, temu duga diadakan di Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, KDN, Aras 4, Blok D9, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. - BERNAMA

ISU BAHASA : Bagai menggagau ikan dalam lumpur


Oleh : Noor Azam

Masalah bahasa masih membelenggu kita

Enam puluh tahun sudah berlalu – sejak saya jadi cikgu – pengajaran bahasa Inggeris masih menjadi isu. Dalam perhitungan masa pada zaman siber ini, 60 tahun cukup lama. Dalam jarak masa itu dunia sudah bergerak sangat jauh.

Russia dan China yang pernah dianggap mundur dan musuh dunia demokrasi, sudah jadi kuasa ekonomi dunia yang dihormati. Penulis baru pulang dari China dan Russia, mereka megah menggunakan bahasa sendiri. Bangsa mereka gagah kerana kesedaran politiknya yang tinggi digunakan untuk membina bangsa. Bukan mengungkit-ungkit isu remeh-temeh.

Dalam pertandingan tenis antarabangsa di gelanggang Roland Garos di Kota Paris, pengadilnya menggunakan bahasa Perancis! Penontonnya dalam televisyen dan internet dari seluruh dunia. Semua bangsa bermaruah megah akan bahasanya – tetapi kita – pemimpin korporat Melayu sendiri, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kita sanjung, pun tidak mahu atau tidak tahu menggunakan bahasa ibunda.

Kota di negara Arab-Islam sudah lebih hebat daripada kota di Eropah. Rakyatnya menjunjung tinggi bahasa Arab, walaupun sudah ramai lulusan universiti Amerika. Kita pun sudah cukup banyak mencapai perubahan dan kejayaan tetapi pengajaran bahasa Inggeris masih jadi isu berputar-putar. Kita seperti berjalan dalam gelap dan kehilangan arah.

Pada 1952, ketika jadi cikgu, di sekolah saya ada dua  orang guru mengajar bahasa Inggeris (TEVS). Waktu itu, di kebanyakan sekolah, kecuali yang jauh di pedalaman ada TEVS. Ertinya kesedaran pentingnya bahasa Inggeris dan pelbagai masalah berkaitan pengajarannya, sudah diketahui 60 tahun lalu, tetapi tindakan yang diambil tidak mencapai hasil diharapkan.

Sekarang kita terus heboh kerana pelajar lepasan IPTA dikatakan sukar mendapat pekerjaan. Menurut kajian pasaran kerja, sebabnya tidak mahir berbahasa Inggeris (the employability and market ability of our graduates are affected by their incompetence in English – NST 24 Jun).

Maka mulai September nanti, sistem baru mengajar dan belajar bahasa Inggeris akan dimulakan di IPTA. Tujuannya ‘untuk membantu mahasiswa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan menyediakan mereka untuk dunia pekerjaan.’ Ahli pendidikan kita lupa, ‘kemahiran’ bahasa asing tidak mungkin dicapai dalam masa tiga atau empat tahun belajar di universiti.

Sebelum ini, ketika kita asyik bercakap mengenai ‘modal insan’, sudah banyak kali diumumkan langkah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Tetapi semua tidak menjadi. Pegawai pelajaran, sekolah dan IPTA tidak bersungguh-sungguh. Pelajar dan ibu bapa Melayu pun tidak begitu peduli. Yang penting jubah aneka warna, diploma dan ijazah – bukan ilmu dan keterampilan.

Tahun lalu – entah idea dari mana – kita mengimport guru mengajar bahasa Inggeris di sekolah. Tahun 1960-an didatangkan beratus-ratus guru sukarelawan dari Amerika. Sekarang, kata Prof Dr Zaini Ujang, “universiti akan mengundang ahli akademik dari luar negeri untuk mengajar bahasa Inggeris di universiti” (NST 24 Jun). Saya bukan ahli pendidikan – dalam bahasa kampung – kita umpama menggagau ikan dalam lumpur.

Akhirnya siswazah Melayu bukan saja tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak juga dalam bahasa ibunda. Mereka tidak pandai membawa diri sebagai lulusan universiti.

Apakah sebenarnya matlamat utama pendidikan kita? Apakah yang menentukan kemampuan siswazah kita hanya bahasa Inggeris?

Kata Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary, Tan Sri Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak (juga bekas Naib Canselor USM dan baru dilantik mengetuai panel kajian semula sistem pendidikan): “Universiti kita diprogram macam kilang dan kesudahannya kita bercakap mengenai kemasukan pelajar ke pasaran kerja, mengenai pelajar yang menjadi ‘produk’, sama seperti pengeluaran sebuah kilang.” (UM 28 Mei).

Ramai orang berpendapat begini, tetapi apabila yang bercakap adalah tokoh pendidikan yang bertahun-tahun jadi profesor dan memimpin universiti, bukanlah lagi pendapat sembang pinggir jalan.

Satu keanehan sedang terjadi di negara kita sejak beberapa tahun lalu.

Keanehan ini adalah suatu kontradiksi atau bertentangan dengan hasrat Perlembagaan dan cita-cita pembentukan sebuah negara pelbagai kaum berteras bahasa kebangsaan. Keanehan itu ialah semakin berkembangnya penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang kehidupan, terutama yang ada kaitan dengan perdagangan dan pekerjaan bergaji lumayan.

Sebenarnya ini adalah masalah orang Melayu, yang berada dalam keadaan serba salah. Antara bahasa dan pekerjaan. Antara semangat, cita-cita dan realiti kehidupan yang diwujudkan oleh ketelanjuran kita sendiri. Kita tidak seharusnya terlalu taksub, bahawa untuk mendapat pekerjaan bergaji lumayan mestilah bergantung kepada bahasa Inggeris. Ada kemahiran, kecerdikan dan ciri peribadi lain diperlukan. Yang penting, pelaksanaan dasar penggunaan bahasa kebangsaan dalam dunia perdagangan, wajib jelas dan tegas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/