Sabtu, 7 Julai 2012

ISU AGAMA : Pergerakan mengundur Marikh tiada kaitan tanda kiamat



Oleh : Mona Ahmad

Penyebaran maklumat tanpa kajian, fakta kukuh cetus salah faham umat

Salah faham mengenai sains menyebabkan ramai yang berpendapat bahawa sains dan agama tidak boleh dicampurkan, sedangkan jika pengkajian sains berlandaskan fakta kukuh, tentunya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bagaimanapun, ada maklumat sains yang tidak berdasarkan kepada fakta kukuh disebarkan dalam media serta internet yang ditokok tambah dengan pandangan dari sudut agama menjadi bahan ejekan oleh masyarakat bukan Islam yang mendakwa agama tidak boleh dicampurkan dengan sains.

Pensyarah Pusat Pengajian Fizik Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Madya Dr Abdul Halim Abdul Aziz, berkata keadaan ini timbul apabila masyarakat hanya menyebarkan maklumat tanpa usul periksa dan melakukan kajian kukuh.

Salah faham mengenai sains termasuk dalam isu pergerakan mengundur (retrograde motion) planet Marikh yang disebarkan dalam internet dan beberapa media baru-baru ini yang menyatakan ia ada kaitan dengan tanda kiamat hampir tiba apabila mereka mendakwa putaran Marikh berubah dan begitu juga planet lain.

“Isu pergerakan mengundur Marikh sudah lama diketahui sejak zaman Yunani lagi. Ia bukan bermakna putaran planet Marikh berubah arah.

“Jika seseorang melihat planet Marikh setiap malam, mereka akan nampak planet itu berganjak ke depan dan pada satu tarikh ia berundur dan berhenti. Kemudian ia bergerak ke depan kembali. Ia bukan berundur pada satu garisan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, tidak timbul isu pergerakan mengundur Marikh itu boleh dikaitkan dengan hampirnya kedatangan kiamat kerana ia bukannya perkara baru yang terjadi tetapi sudah dikesan berlaku sejak beribu-ribu tahun lamanya.

Kaji sebelum sebar maklumat

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menilai dan mengkaji dulu maklumat yang disebarkan menerusi internet sebelum menyebarkan kepada rakan atau pihak lain.

“Kita perlu berguru dan berilmu sebelum mengambil bulat-bulat apa yang disiarkan dalam internet dan terus menyebarkan pada orang lain pula. Apabila kita menyebarkan fakta yang salah, umat Islam akan dipersalahkan kerana mudah sangat percaya tanpa mengkaji terlebih dulu,” katanya.

Katanya, sebenarnya, jika sains mengkaji fenomena alam secara jujur, memang tiada percanggahan dengan apa yang diajar dalam Islam.

“Secara umum apa yang diajar Islam dan diwahyukan dalam al-Quran tidak bercanggah dengan sains. Banyak contoh yang sudah sekian lama dikemukakan dalam al-Quran, baru kini saintis berjaya menemuinya,” katanya.

Ini termasuk bagaimana al-Quran menerangkan pusingan air yang mana air mengalir dari gunung adalah air tawar dalam surah al Mursalaat ayat 27 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan padanya gunung yang tinggi dan Kami beri minum kamu dengan air yang tawar.”

Bukti dari al-Quran

Katanya, jika Allah tidak menjadikan cahaya matahari untuk menyejat air laut yang masin menjadi awan menurunkan hujan sudah tentu tiada air tawar.

Malah, katanya, kejadian gunung sebagai pasak bumi baru saja dikesan ahli geologi, sedangkan al- Quran sudah menyebutnya sekian lama.

Bukti keagungan Allah yang dikemukakan dalam al-Quran yang baru dikesan manusia termasuk pertemuan dua laut yang masin dan tawar yang hanya ditemui di zaman moden ini oleh penjelajah dan saintis Perancis Jacques Custeau.

Surah al Furqan ayat 53 yang bermaksud: “Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalang.”

Abdul Halim berkata secara logik, mustahil Nabi Muhammad SAW tahu mengenai kewujudan dua laut itu kerana Baginda bukan orang laut.

“Ini jelas menunjukkan yang al-Quran itu bukan ciptaan Nabi Muhammad SAW tetapi wahyu daripada Allah,” katanya.

Surah al Rahman ayat 19 dan 20 yang bermaksud: “Dia membiarkan dua lautan mengalir yang kedua-duanya kemudian bertemu, antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.”

Ada ahli tafsir yang berpendapat maksud ayat berkenaan bahawa ada dua laut yang kedua-duanya terpisah kerana dibatasi tanah genting, tetapi apabila tanah genting itu tidak diperlukan, maka akhirnya, ia dibuang atau digali untuk keperluan lalu lintas seperti Terusan Suez dan Panama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan