SESEORANG yang mempunyai rutin kerja dari Isnin sehingga
Jumaat pastinya pernah mengalami sindrom Monday blues.
Ia adalah perasaan murung dan gelisah yang timbul apabila
seseorang memikirkan dia terpaksa masuk bekerja semula pada hari Isnin selepas
cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad.
Perasaan ini biasanya bermula pada Ahad petang dan berakhir
pada Isnin, selepas waktu bekerja.
Ini kerana bagi kebanyakan pekerja, Isnin adalah hari yang
paling sibuk dengan pelbagai "dateline" dan mesyuarat penting.
Mungkin juga kerana ada antara mereka sebenarnya masih
berada di dalam mood cuti.
Berbeza dengan hari Jumaat apabila kebanyakan pekerja datang
dengan penuh semangat memandangkan cuti hujung minggu mereka akan bermula
selepas tamatnya waktu bekerja.
Kemurungan ini memusnahkan mood cuti hujung minggu. Cuti
tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat. Malah ada yang
begitu tertekan sehingga mengganggu keintiman suami isteri.
Monday blues ini juga adalah sebab mengapa ramai pekerja
sengaja mengambil sijil cuti sakit pada hari Isnin.
Bagi yang datang bekerja, mereka lebih suka menyendiri dan
menjadi tidak produktif. Suasana persekitaran juga menjadi hambar dan suram.
Bagi pekerja berpengalaman, mungkin cara paling baik untuk
menghadapinya adalah melaluinya dengan sikap yang paling positif.
Anda pula mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi tidak
salah untuk mencuba beberapa kaedah di bawah.
Tips mengelakkan Monday blues :
Persediaan boleh bermula pada hari Jumaat lagi dengan
membuat nota ringkas berkenaan perkara-perkara yang perlu dilakukan pada Isnin.
Ini akan mengelakkan suasana kelam kabut pada hari tersebut.
Kebanyakan orang mengadu susah melelapkan mata pada Ahad
malam. Ini kerana mereka banyak berfikir tentang perkara yang remeh-temeh.
Cuba dapatkan rehat secukupnya. Anda boleh cuba teknik
mandian segar menggunakan sabun aromaterapi atau minum teh herba panas tanpa
kafein beberapa jam sebelum waktu tidur.
Masuk tidur awal dan jangan menonton televisyen sehingga
larut malam.
Pada keesokan harinya pula, mulakan dengan berjoging atau
membuat senaman ringkas.
Setengah jam sudah mencukupi untuk merangsang tubuh badan
merembes hormon gembira yang dipanggil endorphine.
Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira ke
tempat kerja. Contohnya, anda mungkin boleh telefon kawan untuk bersarapan pagi
di kopitiam berhampiran atau mendapatkan perkhidmatan teksi ke pejabat.
Nikmati perjalanan tersebut. Datang lebih awal supaya anda
berkesempatan untuk menyemak jadual temujanji dan membuat persediaan
secukupnya.
Semasa bekerja, berehatlah seketika apabila minda anda
semakin kehilangan fokus. Anda boleh berjalan-jalan atau membuat regangan kecil
untuk melegakan tekanan.
Otak memerlukan oksigen dan rangsangan untuk berfungsi,
terutamanya jika anda bekerja di dalam bagunan yang tidak mempunyai rangsangan
cahaya matahari.
Jika anda perlu menghadiri mesyuarat kakitangan, carilah
cara untuk menceriakannya. Cubalah tersenyum walaupun anda sendiri tidak
menggemarinya.
Rakan sekerja anda juga mungkin begitu. Anda boleh
membelikan kuih muih atau coklat bar untuk dikongsi bersama. Manisan adakalanya
baik untuk meredakan ketegangan.
Pada waktu rehat tengah hari, cuba penuhkan ruang tersebut
dengan aktiviti yang menggembirakan.
Anda mungkin boleh keluar makan bersama kawan, berjalan di
kompleks beli-belah atau bersantai di pejabat.
Rancang sesuatu yang istimewa untuk dilakukan pada malamnya.
Anda boleh makan malam bersama keluarga, berkaraoke atau menonton wayang.
Anggaplah ia sebagai hadiah selepas anda mengharungi hari
isnin yang sibuk dan huru-hara.
Bagi majikan dan ketua jabatan pula, rangsanglah
persekitaran jabatan anda sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan memulakan
sesi bekerja pada Isnin dengan bacaan doa.
Cuba untuk tidak membuat mesyuarat kakitangan atau morning
prayer pada hari tersebut.
Sediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka menguruskan
tekanan kerja dengan baik.
Hari Isnin tetap akan berlalu sama ada anda menghadapinya
dengan baik atau tidak. Bagaimanapun, sekiranya perasaan murung tersebut
berlarutan hingga ke hari-hari seterusnya, lakukanlah sesuatu.
Anda mungkin perlu menukar kerja atau mendapatkan rawatan
doktor.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan