Sabtu, 10 November 2012

ISU SOSIAL : Kos Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Dan Pembantu Rumah Meningkat Tekanan Kepada Ibu Bapa


Oleh : YVONNE LIM

PETALING JAYA: Berlaku satu tamparan hebat bagi pasangan bekerja dan mempunyai anak apabila mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pembantu rumah manakala pusat penjagaan harian pula telah meningkatkan yuran mereka sejajar kos operasi yang lebih tinggi.

Pemeriksaan  terhadap  beberapa pusat penjagaan harian di Lembah Klang menunjukkan bahawa mereka telah menaikkan yuran sehingga 10 peratus dalam tempoh dua tahun lalu.

Seorang kakitangan di sebuah pusat penjagaan  harian di Bukit Damansara, yang enggan namanya disiarkan berkata adalah satu keperluan menaikkan yuran sebanyak 10 peratus setiap dua hingga tiga tahun.

Pusat tersebut yang juga menawarkan pendidikan prasekolah termasuk jagaan harian untuk kanak-kanak berumur 3-6 tahun, kini mengenakan yuran kira-kira RM1,600 sebulan.

Sebuah lagi pusat di Taman Desa yang menawarkan jagaan harian hanya untuk kanak-kanak dua tahun dan ke atas tanpa prapersekolahan, mengenakan bayaran RM500 sebulan.

"Kami tetapkan bayaran sebanyak RM450 pada tahun lepas, tetapi terpaksa menaikkan yuran kerana harga makanan telah naik," kata pengetua yang hanya mahu dikenali sebagai Stacey.

Sebuah pusat di Puchong telah mengekalkan yuran sebanyak RM500 sebulan, tetapi menjangka ia akan dinaikkan tidak lama lagi.

Pusat ini menyediakan khidmat makan tengah hari dan makanan ringan, mandi pada waktu petang dan bantuan kerja sekolah untuk kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

"Kami akan cuba mengekalkan yuran selagi boleh, tetapi meramalkan ia perlu ditingkatkan tidak lama lagi kerana segalanya naik harga," kata pengendalinya.

Permintaan terhadap pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di Lembah Klang terutamanya semakin ketara kerana kebanyakan keluarga ialah pasangan suami isteri berkerja serta tinggal berjauhan dengan ibu bapa atau saudara-mara mereka.

Kekurangan pembantu rumah juga telah menyumbang kepada peningkatan permintaan.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa agensi telah meminta rakyat Malaysia membayar lebih untuk pembantu rumah dari Indonesia walaupun Filipina, secara berperingkat menghantar rakyatnya sebagai pekerja domestik.

PH.Wong dari Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia berkata pusat penjagaan telah terjejas akibat peningkatan dalam kos sara hidup memandangkan harga barangan telah meningkat berserta harapan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan.

"Ibu bapa yang mahukan perkhidmatan berkualiti mestilah bersedia membayar lebih. Pusat tidak mempunyai pilihan tetapi perlu menaikkan yuran mereka untuk terus kekal," katanya.

Beliau menggesa kerajaan memperkenalkan subsidi penjagaan kanak-kanak untuk ibu bapa semasa mereka berada di tempat kerja.

Kementerian Kesihatan telah mengumumkan kawalan ketat terhadap pusat jagaan harian, dengan pemeriksaan taska untuk memastikan mereka mampu untuk menjaga bayi ekoran beberapa kematian akibat tercekik susu dan insiden lain.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun ini menunjukkan bahawa 52 peratus daripada 3,238 taska di seluruh negara tidak berlesen.

Walau bagaimanapun, tidak ada rekod bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia semasa di bawah jagaan mereka.

Menurut laporan berita, sekurang-kurangnya 22 kanak-kanak di bawah umur empat tahun dipercayai telah meninggal dunia semasa dalam penjagaan nurseri antara tahun 2009 dan tahun ini.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

kelasku ada c.l.a.s.s



tegak pengetua dengan sekolahnya
tegak guru sebab muridnya
tegak murid kerana kelasnya
kelas ceria menarik hatinya

kelasku ada c.l.a.s.s
di luar jelas di dalamnya kemas
muridnya rajin bukan pemalas
kerja siap tak pernah culas
kerja dibuat terasnya ikhlas
siapa memandang berasa puas

siapa yang iri memandang sekilas
di dalam hati hendak membalas
bukan niat untuk mencantas
tetapi mahu dibuat penanda aras

kelasku ada c.l.a.s.s
digantung kata penuh berkias
berseri dinding dengan hias
bersama bahan elektif dan teras
penuh maklumat di dalam kelas

kelasku ada c.l.a.s.s
dipandang cantik rupa dan paras
semua disusun secara selaras
murid dan guru berhati waras
bermotivasi tinggi bergerak cergas.

Abd Bashid Harun

Sumber : http : //www.gurubashid.com.my/

ISU SEJARAH : Terokai sejarah manusia Purba di Lembah Lenggong



LEMBAH Lenggong, yang diraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO hari ini, masih menyimpan pelbagai rahsia sebagai penempatan terawal manusia zaman prasejarah di negara ini.

Kehadiran manusia di Lembah Lenggong yang dikatakan bermula hampir dua juta tahun yang lepas membuktikan lembah itu pernah menjadi antara peradaban tertua manusia di luar benua Afrika. Lembah Lenggong menjadi perhatian masyarakat arkeologi dunia sejak penemuan kerangka manusia yang dikenali sebagai Perak Man, bengkel pembuatan perkakas zaman batu (Paleolitik) serta pelbagai khazanah purba yang lain.

Pada 30 Jun lepas warisan arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia.

Penyenaraian itu menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di Malaysia selepas bandar raya bersejarah Melaka dan George Town di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah.

Lembah Lenggong yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh telah membuka pintu kepada orang ramai untuk melihat sendiri warisan pra-sejarah negara.

Pengarah Jabatan Warisan Negara bagi Zon Tengah, Mohd. Syahrin Abdullah berkata untuk melihat dari dekat orang ramai boleh datang melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang adalah galeri pameran pertama di Malaysia bagi barangan pra-sejarah.

Selain artifak yang dipamerkan di galeri ini, semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak dipamerkan di Taman Geologi yang terletak di laman galeri berkenaan.

"Sejak menerima pengiktirafan UNESCO itu, peningkatan kedatangan pengunjung sudah mula dirasai. Purata peningkatan kedatangan pelawat ke galeri adalah sekitar 150 peratus sejak mendapat pengiktirafan daripada UNESCO," katanya.

Menurut Mohd. Syahrin Jabatan Warisan Negara bertanggungjawab terhadap perlindungan dan pemuliharaan tapak berkenaan. Pembangunan dan promosi pelancongan kawasan ini perlu berdasarkan kepada garis panduan untuk memulihara pengiktirafan warisan dunia itu.


Mohd. Syahrin memberitahu Bernama eskavasi dan penyelidikan yang komprehensif di Lembah Lenggong dilakukan selama 20 tahun bermula 1987.

Banyak artifak telah ditemui termasuk berpuluh ribu perkakas batu, tembikar dan gangsa di beberapa tapak yang pernah didiami manusia bermula zaman batu. Antara penemuan penting adalah kerangka Perak Man, berusia lebih 10,000 tahun yang ditemui di tapak Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Kampung Gelok, di sini.

"Satu lagi tapak penting adalah Kota Tampan. Ia merupakan satu tapak pembuatan perkakas batu yang menunjukkan kemampuan membuat perkakas batu masyarakat yang hidup di zaman itu," katanya.

Mohd. Syahrin berkata, kerangka Perak Man yang ditemui semasa ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990 adalah satu daripada kerangka purba paling lengkap pernah ditemui.


"Perak Man adalah rangka seorang lelaki dengan ketinggian 154 cm. Ia ditemui ditanam dalam keadaan kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada dan bersamanya ditemui 2,878 siput sedut yang telah siap dipotong muncungnya dan sedia untuk dimakan.

"Turut ditemui bersama kerangka itu adalah cebisan tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah dibakar serta perkakas batu," katanya.

Kajian lanjut menunjukkan Perak Man mempunyai kecacatan genetik dan dipercayai meninggal dunia pada usia sekitar 40 hingga 45 tahun, satu usia jauh melebihi purata hayat manusia zaman itu. Cara pengkebumiannya yang penuh adat menunjukkan beliau mempunyai peranan penting dalam masyarakat purba itu.

Majlis meraikan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia akan diadakan di Dataran Lenggong pada hari ini.

Dianggarkan lebih 5,000 orang terutama daripada masyarakat setempat, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan sejarah dan warisan, serta pengusaha sektor pelancongan akan membanjiri Dataran Lenggong untuk bersama-sama meraikan pengiktirafan dunia itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir juga  dijangka hadir pada majlis itu. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dasar pertukaran guru akan disemak, pastikan lebih jelas


SUNGAI PETANI - Dasar pertukaran guru akan disemak semula bagi memastikan prosedurnya dapat difahami dengan lebih jelas oleh pihak berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sesetengah guru tidak memahami prosedur yang telah ditetapkan, sebelum membuat permohonan pertukaran tempat mengajar.

"Mengenai masalah pertukaran ini, kita faham isu ini dan amat bersimpati sebab ketika mula bertugas, tiada masalah tapi ia timbul selepas guru berkahwin dan mempunyai anak.

"Masalah ini lebih kepada soal opsyen, contohnya kalau guru Bahasa Melayu keluar dan tiada ganti, akan timbul masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata semakan yang menyeluruh akan dilakukan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian termasuk mengambil kira polisi sedia ada dan melakukan kemas kini data guru-guru.

Mohd Puad berkata permohonan untuk pertukaran tempat mengajar dibuka dua kali setahun iaitu pada Jun serta Disember dan kelulusan diberi berdasarkan beberapa faktor kritikal antaranya ancaman keselamatan atau guru terbabit menghidap sesuatu penyakit.

"Pertukaran dibenarkan pada bulan Jun kerana pada waktu itu belum ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (atau peperiksaan besar yang lain)," katanya.

Beliau berkata bagi Disember tahun ini, pihaknya menerima 12,884 permohonan pertukaran membabitkan guru sekolah rendah dan 9,788 bagi sekolah menengah, namun hanya 1,922 (sekolah rendah) dan 1,319 (sekolah menengah) diluluskan.

Katanya antara subjek yang sukar mendapat pengganti jika seseorang guru bertukar ialah Pengajian Islam, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Kemahiran Hidup.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Berkata Si Burung Tiung


Syahdan berkatalah si burung tiung:
Manusia itulah yang mengajarku berkata-kata
lamun tanpa makna yang nyata.
Dilatihnya aku bertubi-tubi.
Maka puaslah hatinya
menyaksikan aku menuturkan kata
meskipun aku tiada mengerti apa-apa.

Di sana sini
rupa-rupanya bukan aku sahaja
yang dilatih menuturkan kata
tanpa memahami makna
untuk memuaskan hati manusia
bahawa ia ada pengikut setia
yang tiada pernah mengubah kata
kendatipun zahirnya iya
lamun hakikatnya tiada.

Syahdan akhirnya berkatalah si burung tiung:
Tiadalah ertinya aku terus mengajuk kata-kata manusia
Meskipun disuguhi makanan di hadapan mata
Jauh lebih bahagia aku terbang bebas merata
berkicau sambil terbang dan hinggap menikmati alam buana
kerana itulah fitrahku kurniaan Yang Empunya.

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
kembarabahasa.blogspot.com

Bangkok, 10 November 2012