Sabtu, 10 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Dasar pertukaran guru akan disemak, pastikan lebih jelas


SUNGAI PETANI - Dasar pertukaran guru akan disemak semula bagi memastikan prosedurnya dapat difahami dengan lebih jelas oleh pihak berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sesetengah guru tidak memahami prosedur yang telah ditetapkan, sebelum membuat permohonan pertukaran tempat mengajar.

"Mengenai masalah pertukaran ini, kita faham isu ini dan amat bersimpati sebab ketika mula bertugas, tiada masalah tapi ia timbul selepas guru berkahwin dan mempunyai anak.

"Masalah ini lebih kepada soal opsyen, contohnya kalau guru Bahasa Melayu keluar dan tiada ganti, akan timbul masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata semakan yang menyeluruh akan dilakukan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian termasuk mengambil kira polisi sedia ada dan melakukan kemas kini data guru-guru.

Mohd Puad berkata permohonan untuk pertukaran tempat mengajar dibuka dua kali setahun iaitu pada Jun serta Disember dan kelulusan diberi berdasarkan beberapa faktor kritikal antaranya ancaman keselamatan atau guru terbabit menghidap sesuatu penyakit.

"Pertukaran dibenarkan pada bulan Jun kerana pada waktu itu belum ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (atau peperiksaan besar yang lain)," katanya.

Beliau berkata bagi Disember tahun ini, pihaknya menerima 12,884 permohonan pertukaran membabitkan guru sekolah rendah dan 9,788 bagi sekolah menengah, namun hanya 1,922 (sekolah rendah) dan 1,319 (sekolah menengah) diluluskan.

Katanya antara subjek yang sukar mendapat pengganti jika seseorang guru bertukar ialah Pengajian Islam, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Kemahiran Hidup.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum...saya punya cerita sendiri mengenai isu pertukaran guru..saya sendiri memohon untuk bertukar dari pedalaman ke bandar.tahun ke 3 baru saya memohon itu pun atas alasan kesihatan diri yg memerlukan saya untuk berulang ke kuala lumpur,saya bertugas di kuala terengganu,tetapi yg nak saya tekan di sini ialah rakan-rakan yg telah berkhidmat lebih dari 3 tahun masih tidak dapat bertukar,tetapi ade pula yg tidak sampai setahun pun masuk ke skolah kami dapat bertukar..apakah alasanya.kenapa yg baru masuk dapat keluar terlebih dahulu,apa lebih nya mereka ini dari kami...

    BalasPadam