LEMBAH Lenggong, yang diraikan
sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO hari ini, masih menyimpan pelbagai rahsia
sebagai penempatan terawal manusia zaman prasejarah di negara ini.
Kehadiran manusia di Lembah Lenggong
yang dikatakan bermula hampir dua juta tahun yang lepas membuktikan lembah itu
pernah menjadi antara peradaban tertua manusia di luar benua Afrika. Lembah
Lenggong menjadi perhatian masyarakat arkeologi dunia sejak penemuan kerangka
manusia yang dikenali sebagai Perak Man, bengkel pembuatan perkakas zaman batu
(Paleolitik) serta pelbagai khazanah purba yang lain.
Pada 30 Jun lepas warisan
arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),
satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan
pelancongan dunia.
Penyenaraian itu menjadikan
kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia
keempat di Malaysia selepas bandar raya bersejarah Melaka dan George Town di
perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu
di Sabah.
Lembah Lenggong yang terletak
kira-kira 80 kilometer dari Ipoh telah membuka pintu kepada orang ramai untuk
melihat sendiri warisan pra-sejarah negara.
Pengarah Jabatan Warisan Negara
bagi Zon Tengah, Mohd. Syahrin Abdullah berkata untuk melihat dari dekat orang
ramai boleh datang melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang adalah galeri
pameran pertama di Malaysia bagi barangan pra-sejarah.
Selain artifak yang dipamerkan di
galeri ini, semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak dipamerkan di Taman
Geologi yang terletak di laman galeri berkenaan.
"Sejak menerima
pengiktirafan UNESCO itu, peningkatan kedatangan pengunjung sudah mula dirasai.
Purata peningkatan kedatangan pelawat ke galeri adalah sekitar 150 peratus
sejak mendapat pengiktirafan daripada UNESCO," katanya.
Menurut Mohd. Syahrin Jabatan
Warisan Negara bertanggungjawab terhadap perlindungan dan pemuliharaan tapak
berkenaan. Pembangunan dan promosi pelancongan kawasan ini perlu berdasarkan
kepada garis panduan untuk memulihara pengiktirafan warisan dunia itu.
Mohd. Syahrin memberitahu Bernama
eskavasi dan penyelidikan yang komprehensif di Lembah Lenggong dilakukan selama
20 tahun bermula 1987.
Banyak artifak telah ditemui
termasuk berpuluh ribu perkakas batu, tembikar dan gangsa di beberapa tapak
yang pernah didiami manusia bermula zaman batu. Antara penemuan penting adalah
kerangka Perak Man, berusia lebih 10,000 tahun yang ditemui di tapak Gua Gunung
Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Kampung Gelok, di sini.
"Satu lagi tapak penting
adalah Kota Tampan. Ia merupakan satu tapak pembuatan perkakas batu yang
menunjukkan kemampuan membuat perkakas batu masyarakat yang hidup di zaman
itu," katanya.
Mohd. Syahrin berkata, kerangka
Perak Man yang ditemui semasa ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990
adalah satu daripada kerangka purba paling lengkap pernah ditemui.
"Perak Man adalah rangka
seorang lelaki dengan ketinggian 154 cm. Ia ditemui ditanam dalam keadaan
kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada dan bersamanya ditemui 2,878 siput sedut
yang telah siap dipotong muncungnya dan sedia untuk dimakan.
"Turut ditemui bersama
kerangka itu adalah cebisan tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah
dibakar serta perkakas batu," katanya.
Kajian lanjut menunjukkan Perak
Man mempunyai kecacatan genetik dan dipercayai meninggal dunia pada usia
sekitar 40 hingga 45 tahun, satu usia jauh melebihi purata hayat manusia zaman
itu. Cara pengkebumiannya yang penuh adat menunjukkan beliau mempunyai peranan
penting dalam masyarakat purba itu.
Majlis meraikan Lembah Lenggong
sebagai Tapak Warisan Dunia akan diadakan di Dataran Lenggong pada hari ini.
Dianggarkan lebih 5,000 orang
terutama daripada masyarakat setempat, pelajar sekolah dan institusi pengajian
tinggi, persatuan-persatuan sejarah dan warisan, serta pengusaha sektor
pelancongan akan membanjiri Dataran Lenggong untuk bersama-sama meraikan pengiktirafan
dunia itu.
Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry
Abdul Kadir juga dijangka hadir pada
majlis itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan