Ahad, 1 April 2012
ISU SOSIAL : Beban kebanjiran warga Afrika
Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
Agensi terbabit bidang pendidikan, pelancongan perlu bantu atasi masalah
TIDAK cukup dengan masalah pendatang dari Indonesia, Bangladesh dan China, kita kini dibebani dengan kebanjiran warga Afrika yang sejak akhir-akhir ini dilaporkan semakin berani melakukan jenayah.
Kejadian kira-kira 200 lelaki Afrika merusuh apabila seorang rakan mereka mati dibelasah kerana mencabul wanita tempatan di Hulu Langat kelmarin, mengesahkan kebimbangan umum bahawa kehadiran semakin ramai golongan itu, seperti juga pendatang dari negara lain, bukan saja boleh mengganggu kehidupan rakyat tempatan tetapi mengundang tindak balas mereka.
Semakin banyak kawasan perumahan terutama pangsapuri sederhana di kawasan yang dulunya tidak didiami warga asing, menjadi tempat tinggal mereka. Begitu juga dengan pusat hiburan dan pub tertentu yang bagaikan khusus untuk mereka pada malam hujung minggu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, karenah mereka apabila bilangan bertambah ramai di negara ini sekarang, tidak banyak berbeza dengan rakyat keturunan Afrika Amerika di New York, Detroit atau Washington DC, seperti dilihat dalam filem Hollywood.
Kita tidak pasti sama ada warga Afrika yang ditemui hampir di setiap ceruk di Lembah Klang sekarang masuk ke negara ini untuk belajar, melancong, bekerja atau melakukan jenayah seperti menipu dan mengedar dadah.
Walaupun tidak dinafikan sebahagian mereka memang menuntut di kolej dan universiti swasta, ramai juga yang dilaporkan hanya menjadikan kemasukan ke kolej sebagai alasan untuk tinggal di negara ini. Malah ada yang menjelaskan yuran pengajian untuk setahun tetapi tidak mengikuti pengajian, sebaliknya melakukan aktiviti lain berunsurkan jenayah.
Baru-baru ini Parlimen diberitahu, pelajar asing warga Afrika mencatatkan kes paling tinggi bagi kesalahan penyalahgunaan pas pelajar sejak 2009 hingga tahun lalu. Statistik Jabatan Imigresen menunjukkan 54 pemegang pas pelajar ditangkap dan daripada jumlah itu, 24 adalah warga Afrika. Itu yang dapat dikesan dan hanya membabitkan pemegang pas pelajar.
Laporan akhbar ini minggu lalu mengenai sindiket antarabangsa warga Afrika menjadikan wanita tempatan sebagai keldai internet untuk menipu, bukan sesuatu yang mengejutkan. Jika wanita boleh diumpan dengan kata-kata manis mereka untuk menjadi keldai dadah, tentulah lebih mudah menggunakan mereka untuk tujuan lain.
Kisah di YouTube mengenai seorang wanita Australia menjadi mangsa penipuan warga Afrika, sehingga polis negara itu datang ke sini untuk memerangkap suspek tidak lama dulu, sekali lagi meletakkan Malaysia di tempat yang salah di mata dunia.
Walaupun indeks jenayah negara ini dilaporkan semakin menurun dan Malaysia diuar-uarkan sebagai antara tempat paling selamat untuk dilawati, apa yang kita baca, dengar dan lihat setiap hari terutama membabitkan warga asing, cukup membimbangkan.
Hampir setiap hari kita mendengar kegiatan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan ini, daripada pergaduhan sehingga penyalahgunaan dadah.
Kalau dulu hanya pendatang dari Indonesia dan Bangladesh yang menghuni kawasan setinggan atau flat kos rendah di Subang Jaya, Damansara Utama atau Ampang, warga Afrika dilihat lebih mewah dengan menyewa pangsapuri atau rumah teres dua tingkat.
Jika pendatang Indonesia banyak menggunakan motosikal dan rakyat Bangladesh berbasikal, kebanyakan warga Afrika berkereta. Yang menimbulkan tanda tanya, di manakah mereka mendapat wang untuk gaya hidup yang agak mewah berbanding pendatang dari negara lain?
Memang dari satu sudut, negara yang menjadi tumpuan rakyat asing biasanya menawarkan kemakmuran, destinasi pelancongan atau pusat pendidikan seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia.
Dari sudut lain pula, kehadiran terlalu ramai warga asing tidak bermutu dan melakukan aktiviti negatif turut memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar imigresen atau penguatkuasaan membabitkan peraturan kemasukan rakyat asing.
Kita tidak tahu di mana silapnya Malaysia dalam hal ini. Bagaimanapun, anggapan banyak pihak termasuk agensi penguatkuasaan bahawa Pekeliling Imigresen 2006 yang tidak membenarkan pegawai imigresen di pintu masuk negara bertanyakan kepada pelancong asing berapakah jumlah wang mereka bawa, turut menyumbang kepada masalah ini, mungkin ada kebenarannya.
Pelawat ke kebanyakan negara maju bukan setakat ditanya berapa duit yang dibawa, diminta menunjukkan tiket balik dan memberikan alamat tempat tinggal di sana, malah diminta memberikan nama penaja atau kenalan.
Sekurang-kurangnya cara mereka menjawab soalan itu boleh memberi bayangan kepada pegawai terbabit sama ada berbohong atau sebaliknya, sekali gus memudahkan mereka membuat saringan.
Bagaimanapun, pekeliling itu mungkin faktor kecil tetapi banyak lagi faktor lain seperti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkala oleh pihak berkuasa ke atas warga asing terutama yang masuk menggunakan pas pelajar.
Berbanding rakyat Indonesia, Bangladesh, China, Vietnam dan Filipina yang mudah menyamar sebagai penduduk tempatan, warga Afrika senang dikenali, sekali gus memudahkan pihak berkuasa.
Lebih penting lagi, tanggungjawab mengawal kemasukan warga asing ini tidak harus diletakkan di bahu Jabatan Imigresen semata-mata. Agensi lain yang terbabit di bidang pendidikan tinggi, pelancongan dan pekerjaan perlu sama-sama menangani masalah ini.
Janganlah kerana keghairahan kita menjadikan negara pusat pendidikan tinggi; meningkatkan kedatangan pelancong atau mengisi kekosongan di sektor pekerjaan, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat tempatan menjadi taruhan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU EKONOMI : Masalah aliran keluar pekerja mahir diatasi menjelang 2020
TASEK GELUGOR: Kerajaan yakin masalah pengaliran pekerja mahir ke luar negara mampu diatasi apabila Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kerajaan tidak menafikan ketika ini sebahagian pekerja mahir meninggalkan negara untuk menikmati gaji lebih lumayan di luar negara.
Katanya, kerajaan kini berusaha membangun dan mengekalkan pekerja mahir berkenaan di dalam negara dengan menyediakan persekitaran kerja serta pendapatan lebih baik.
Malaysia berhasrat menjadi negara maju yang antara syaratnya ialah rakyatnya memperoleh pendapatan tinggi. Bagaimanapun, kenaikan pendapatan ini perlu seiring peningkatan inovasi dan pengeluaran kerana tanpanya, ia akan menjadikan negara ini sebagai negara berkos tinggi.
“Kerajaan yakin dengan usaha yang dilakukan ketika ini mampu menggalakkan pekerja mahir terus kekal dan menetap di negara ini,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Karnival Kemahiran Malaysia 2012 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JKP) Kementerian Sumber dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Dewan Besar Sungai Dua, di sini, semalam.
Nor Mohamed berkata, kerajaan juga berusaha meningkatkan jumlah pekerja mahir di negara ini yang ketika ini sebanyak 28 peratus kepada 40 peratus menjelang 2020.
Katanya, ia akan dicapai dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai potensi serta peluang kerjaya melalui pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT), penempatan latihan dan pekerjaan serta meningkatkan daya saing dan kebolehkerjaan melalui latihan semula dan peningkatan daya saing.
Selain itu, beliau berkata, melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) kerajaan juga memutuskan untuk mengarusperdanakan latihan kemahiran bagi menyokong usaha mentransformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU KESIHATAN : 35 Pengeluar Makanan, Minuman Diarah Kurangkan Kandungan Garam Dan Gula
Oleh SARBAN SINGH
SEREMBAN: Kementerian Kesihatan mengarahkan sebanyak 35 pengeluar utama makanan dan minuman supaya mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produk mereka.
Pengeluar, termasuk produk bayi, bijiran dan minuman berkarbonat, juga diberitahu untuk mengurangkan kandungan lemak dalam produk mereka berikutan semakin ramai rakyat Malaysia yang mengidap kencing manis, penyakit jantung, kanser dan darah tinggi.
"Kami mengadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil di Persekutuan Pengilang Malaysia dan sektor perniagaan kecil dan sederhana baru-baru ini.
"Kami meminta mereka untuk melakukannya secara sukarela tetapi kita juga telah memberikan mereka satu tarikh akhir untuk mematuhinya," Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa lama tempoh yang diberikan kepada para pengeluar untuk berbuat demikian.
Liow berkata, ia adalah mustahak sebagai kempen mendidik rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap kesihatan.
Beliau berkata, bilangan mereka yang menghidap penyakit diabetis pada masa ini adalah 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006.
Lazimnya, rakyat Malaysia yang mengalami kolestrol tinggi juga telah meningkat dari 20.7 peratus kepada 35.1 peratus pada masa ini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia dilihat semakin kurang prihatin terhadap penyakit-penyakit itu semata-mata ia bukan penyakit berjangkit.
“Sewaktu wabak H1N1 berlaku sebelum ini, orang ramai sangat berhati-hati terhadap kebersihan diri kerana ia merupakan satu penyakit berjangkit dan mudah untuk terkena penyakit itu.
"Tetapi atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya, mereka tidak bimbang tentang makanan yang kurang sihat hanya kerana mereka tidak jatuh sakit serta-merta,” katanya sambil menambah bahawa orang yang mengalami kencing manis, penyakit jantung yang berkaitan dan hipertensi juga memerlukan penjagaan perubatan.
Liow berkata, beliau juga akan melancarkan satu kempen bagi meminta pengeluar makanan dan minuman ‘memperbetulkan’ label kandungan bahan produk mereka supaya pengguna akan tahu apa yang mereka makan.
“Pengeluar makanan dan minuman juga akan berpeluang untuk mengaut keuntungan sekiranya mereka mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produk berkenaan kerana kami akan mengesahkannya sebagai makanan yang sihat.
“Dengan sokongan kami, pengeluar akan dapat meningkatkan hasil jualan dan memperoleh keuntungan lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa kementerian itu juga akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pengeluar yang mengikuti arahan tersebut.
Liow berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan sarapan “Sihat 1Malaysia” dan program kesedaran kesihatan di Taman Temiang Jaya dekat sini.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Kesusasteraan Nasional disyor jadi mata pelajaran wajib
MELAKA - Persidangan Hari Sastera Nasional ke-15 mengesyorkan bidang kesusasteraan nasional dijadikan mata pelajaran wajib untuk pelajar bermula pra sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Perkara itu merupakan antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 22 anggota gabungannya yang bersidang selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini di sini.
Ketua Satu Gapena Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata bidang kesusasteraan nasional penting dalam memantapkan jati diri rakyat dan mewujudkan peradaban bangsa Malaysia yang bersatu dan kukuh.
"Kalau kita tidak wajibkan kesusasteraan, kita bimbang generasi muda hari ini tidak tahu pantun, sajak dan budaya sebaliknya hanya mementingkan nilai materialistik," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Sastera Nasional ke-15 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira Othman Muhamad.
Beliau berkata pada masa ini, kesusasteraan hanya diajar di peringkat sekolah menengah namun ia tidak diwajibkan kepada semua pelajar.
Beliau berkata resolusi lain yang dicapai dalam persidangan itu termasuk peradaban Malaysia moden harus bertunjangkan pendidikan dan pembinaan bahasa serta kesusasteraan nasional mesti diajar dan dipelajari bersama oleh semua golongan warganegara Malaysia.
Selain itu, Abdul Latiff berkata persidangan itu juga membuat ketetapan bahawa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka serta kerajaan-kerajaan negeri perlu membantu menjaga kebajikan dan memberi bantuan kepada penulis, persatuan penulis dan budaya.
Resolusi itu akan diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan, katanya.- Bernama
ISU EKONOMI : Menghadapi kenaikan harga minyak dunia
NAZZARY ROSLI
SEKALI lagi harga minyak di pasaran dunia telah naik di sekitar paras AS$100 setong. Dunia sebelum ini pernah melalui situasi dimana harga minyak mentah telah mencecah sehingga hampir AS$150 setong pada tahun 2008 yang lalu. Persoalannya sekarang adakah harga minyak mentah dunia akan terus naik dan kembali ke paras tertinggi sebelum ini?
Apa yang berlaku sebelum ini kenaikan harga minyak dunia adalah disebabkan terdapatnya unsur-unsur spekulasi yang berlebihan di pasaran hadapan minyak mentah pada ketika itu sehingga menyebabkan harga terus melambung ke paras yang sangat tinggi sehinggalah kemudiannya harga minyak terus menjunam semula keparas sekitar AS$40 setong.
Dapatlah kita rumuskan di sini betapa aktiviti spekulasi boleh mengakibatkan kesan yang buruk kepada pasaran, seperti apa yang berlaku pada krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998 di mana aktiviti spekulasi mata wang telah menjejaskan kedudukan ekonomi negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan termasuk Malaysia.
Tetapi apa yang berlaku pada kali ini dilihat lebih berpunca daripada kesan penawaran dan permintaan dunia ke atas minyak itu sendiri. Konflik yang berlaku ke atas negara Iran sebagai pengeluar kedua terbesar minyak mentah dunia telah memberi kesan negatif kepada penawaran minyak mentah dunia.
Tekanan dunia barat kepada Iran berpunca daripada krisis pembinaan loji nuklear negara tersebut telah memberi tekanan secara langsung terhadap penawaran minyak mentah sedunia hingga menyebabkan harga minyak mula naik.
Apabila harga minyak dunia terus naik sudah tentu ini akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara keseluruhannya kerana pergantungan setiap sektor kegiatan ekonomi kepada penggunaan minyak sama ada secara terus atau sebaliknya.
Pertumbuhan ekonomi dunia boleh terjejas jika harga minyak terus melambung di pasaran dunia. Tekanan inflasi juga akan dirasai oleh kebanyakan negara terutama yang negara-negara perindustrian.
Walau bagaimanapun bagi negara seperti Malaysia yang menjadi pengeksport minyak ini boleh memberi kesan yang positif kerana negara akan mendapat pendapatan yang lebih baik apabila harga minyak terus naik.
Beberapa negara besar dunia yang menyimpan stok minyak mentah seperti Amerika, Britain dan Perancis telah pun mula mengeluarkan stok simpanan mereka untuk mengimbangi penawaran minyak dunia dan ini telah menyebabkan harga minyak mentah dunia berada di paras yang agak stabil semula ketika ini.
Diharap juga kegiatan spekulasi yang berlaku di pasaran hadapan minyak mentah dunia tidak keterlaluan dan perlu dikawal oleh badan selia kewangan dunia agar ia tidak menjejaskan kestabilan harga sehingga ia mencapai kepada harga yang lebih berunsurkan spekulasi dan bukan harga sebenar pasaran seperti apa yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu.
Subsidi
Bagi rakyat Malaysia kita berasa lega apabila kerajaan telah berjanji tidak akan menaikkan harga minyak buat masa ini walaupun ini bermakna kerajaan akan terpaksa berbelanja lebih dalam bentuk subsidi.
Kita perlu benar-benar rasa bersyukur akan situasi ini berbanding beberapa negara lain yang telah berura-ura akan menaikkan harga minyak mereka sehingga mendatangkan kegelisahan kepada rakyat negara tersebut.
Sebagai sebuah negara pengeluar minyak seperti Malaysia kerajaan dilihat boleh mengimbangi pendapatan negara kerana Malaysia akan mendapat pendapatan yang lebih apabila harga minyak dunia naik.
Kecekapan kerajaan mengurus kewangan negara dan pengurusan profesional oleh syarikat gergasi Petronas sudah tentu dapat membantu rakyat agar tidak dibebankan dengan kenaikan harga minyak.
Untuk menjalankan perbagai aktiviti ekonomi yang lain demi pembangunan negara kerajaan dilihat akan terus memantau situasi semasa harga pasaran minyak dimana kajian "kos dan kebajikan rakyat" perlu diimbangi sebaik mungkin.
Kerajaan dilihat perlu bertegas dalam sistem pemberian subsidi minyak agar tidak terdapat ketirisan dan penipuan kerana ini akan mendatangkan kerugian kepada negara dan menjejaskan niat murni kerajaan untuk membantu rakyat.
Jika situasi sebegini dapat ditangani sebaik mungkin kerajaan dilihat boleh meneruskan pemberian subsidi minyak demi kesejahteraan rakyat secara amnya.
Kerajaan sudah pasti akan mencuba sedaya mungkin untuk tidak menaikkan harga minyak agar rakyat boleh terus menikmati keselesaan hidup.
Walaubagaimana pun, jika harga minyak dipasaran terus naik ke tahap yang jauh lebih tinggi, mungkin kerajaan akan terpaksa juga menaikkan harga minyak dimasa hadapan.
Cuma kita berharap kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak secara mendadak kerana ini pasti akan membebankan rakyat.
Kenaikan harga minyak sudah pasti akan membantutkan perkembangan ekonomi dunia secara keseluruhannya.
Sektor-sektor seperti sektor pengangkutan, industri dan lain-lain sektor yang banyak bergantung kepada penggunaan minyak sudah tentu akan terjejas teruk kerana ini akan melibatkan kos yang bertambah.
Subsidi yang diberikan kepada rakyat dilihat sebagai usaha kerajaan untuk cuba meringankan bebanan rakyat secara keseluruhannya kerana kesan kepada kenaikan harga minyak boleh menjejaskan kehidupan harian rakyat terutama kesan inflasi yang pasti akan berlaku sekiranya harga minyak terus naik.
Dalam keadaan ekonomi yang terus berkembang pesat sebarang kenaikan kepada harga minyak akan meningkatkan harga barangan keperluan lain dan ini sudah tentu akan membebani rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan pertengahan.
Kenaikan harga barang sudah pasti akan berlaku jika harga minyak naik. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana penggerak utama setiap sektor utama ekonomi memerlukan penggunaan minyak.
Walau bagaimana pun kerajaan dilihat telah pun mengambil beberapa langkah proaktif dengan menyediakan prasarana asas seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), Klinik 1Malaysia , pengangkutan awam yang baik dan efisyen serta kediaman mampu milik khas untuk golongan yang berpendapatan rendah dan pertengahan.
Semua langkah kerajaan ini adalah dilihat sebagai usaha murni untuk memastikan keperluan asas rakyat disediakan dengan sebaik mungkin.
Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini rakyat boleh membuat pilihan terbaik untuk berbelanja secara berhemah dan tidak begitu tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat.
Penulis ialah Perancang Kewangan Bertauliah dan Pengarah Jupiter Research Sdn. Bhd.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)