Ahad, 1 April 2012

ISU EKONOMI : Masalah aliran keluar pekerja mahir diatasi menjelang 2020


TASEK GELUGOR: Kerajaan yakin masalah pengaliran pekerja mahir ke luar negara mampu diatasi apabila Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata kerajaan tidak menafikan ketika ini sebahagian pekerja mahir meninggalkan negara untuk menikmati gaji lebih lumayan di luar negara.

Katanya, kerajaan kini berusaha membangun dan mengekalkan pekerja mahir berkenaan di dalam negara dengan menyediakan persekitaran kerja serta pendapatan lebih baik.

Malaysia berhasrat menjadi negara maju yang antara syaratnya ialah rakyatnya memperoleh pendapatan tinggi. Bagaimanapun, kenaikan pendapatan ini perlu seiring peningkatan inovasi dan pengeluaran kerana tanpanya, ia akan menjadikan negara ini sebagai negara berkos tinggi.

“Kerajaan yakin dengan usaha yang dilakukan ketika ini mampu menggalakkan pekerja mahir terus kekal dan menetap di negara ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Karnival Kemahiran Malaysia 2012 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JKP) Kementerian Sumber dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Dewan Besar Sungai Dua, di sini, semalam.

Nor Mohamed berkata, kerajaan juga berusaha meningkatkan jumlah pekerja mahir di negara ini yang ketika ini sebanyak 28 peratus kepada 40 peratus menjelang 2020.
Katanya, ia akan dicapai dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai potensi serta peluang kerjaya melalui pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT), penempatan latihan dan pekerjaan serta meningkatkan daya saing dan kebolehkerjaan melalui latihan semula dan peningkatan daya saing.

Selain itu, beliau berkata, melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) kerajaan juga memutuskan untuk mengarusperdanakan latihan kemahiran bagi menyokong usaha mentransformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan