Ahad, 1 April 2012

ISU EKONOMI : Menghadapi kenaikan harga minyak dunia


NAZZARY ROSLI

SEKALI lagi harga minyak di pasaran dunia telah naik di sekitar paras AS$100 setong. Dunia sebelum ini pernah melalui situasi dimana harga minyak mentah telah mencecah sehingga hampir AS$150 setong pada tahun 2008 yang lalu. Persoalannya sekarang adakah harga minyak mentah dunia akan terus naik dan kembali ke paras tertinggi sebelum ini?

Apa yang berlaku sebelum ini kenaikan harga minyak dunia adalah disebabkan terdapatnya unsur-unsur spekulasi yang berlebihan di pasaran hadapan minyak mentah pada ketika itu sehingga menyebabkan harga terus melambung ke paras yang sangat tinggi sehinggalah kemudiannya harga minyak terus menjunam semula keparas sekitar AS$40 setong.

Dapatlah kita rumuskan di sini betapa aktiviti spekulasi boleh mengakibatkan kesan yang buruk kepada pasaran, seperti apa yang berlaku pada krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998 di mana aktiviti spekulasi mata wang telah menjejaskan kedudukan ekonomi negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan termasuk Malaysia.

Tetapi apa yang berlaku pada kali ini dilihat lebih berpunca daripada kesan penawaran dan permintaan dunia ke atas minyak itu sendiri. Konflik yang berlaku ke atas negara Iran sebagai pengeluar kedua terbesar minyak mentah dunia telah memberi kesan negatif kepada penawaran minyak mentah dunia.

Tekanan dunia barat kepada Iran berpunca daripada krisis pembinaan loji nuklear negara tersebut telah memberi tekanan secara langsung terhadap penawaran minyak mentah sedunia hingga menyebabkan harga minyak mula naik.

Apabila harga minyak dunia terus naik sudah tentu ini akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara keseluruhannya kerana pergantungan setiap sektor kegiatan ekonomi kepada penggunaan minyak sama ada secara terus atau sebaliknya.

Pertumbuhan ekonomi dunia boleh terjejas jika harga minyak terus melambung di pasaran dunia. Tekanan inflasi juga akan dirasai oleh kebanyakan negara terutama yang negara-negara perindustrian.

Walau bagaimanapun bagi negara seperti Malaysia yang menjadi pengeksport minyak ini boleh memberi kesan yang positif kerana negara akan mendapat pendapatan yang lebih baik apabila harga minyak terus naik.

Beberapa negara besar dunia yang menyimpan stok minyak mentah seperti Amerika, Britain dan Perancis telah pun mula mengeluarkan stok simpanan mereka untuk mengimbangi penawaran minyak dunia dan ini telah menyebabkan harga minyak mentah dunia berada di paras yang agak stabil semula ketika ini.

Diharap juga kegiatan spekulasi yang berlaku di pasaran hadapan minyak mentah dunia tidak keterlaluan dan perlu dikawal oleh badan selia kewangan dunia agar ia tidak menjejaskan kestabilan harga sehingga ia mencapai kepada harga yang lebih berunsurkan spekulasi dan bukan harga sebenar pasaran seperti apa yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu.

Subsidi

Bagi rakyat Malaysia kita berasa lega apabila kerajaan telah berjanji tidak akan menaikkan harga minyak buat masa ini walaupun ini bermakna kerajaan akan terpaksa berbelanja lebih dalam bentuk subsidi.

Kita perlu benar-benar rasa bersyukur akan situasi ini berbanding beberapa negara lain yang telah berura-ura akan menaikkan harga minyak mereka sehingga mendatangkan kegelisahan kepada rakyat negara tersebut.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak seperti Malaysia kerajaan dilihat boleh mengimbangi pendapatan negara kerana Malaysia akan mendapat pendapatan yang lebih apabila harga minyak dunia naik.

Kecekapan kerajaan mengurus kewangan negara dan pengurusan profesional oleh syarikat gergasi Petronas sudah tentu dapat membantu rakyat agar tidak dibebankan dengan kenaikan harga minyak.

Untuk menjalankan perbagai aktiviti ekonomi yang lain demi pembangunan negara kerajaan dilihat akan terus memantau situasi semasa harga pasaran minyak dimana kajian "kos dan kebajikan rakyat" perlu diimbangi sebaik mungkin.

Kerajaan dilihat perlu bertegas dalam sistem pemberian subsidi minyak agar tidak terdapat ketirisan dan penipuan kerana ini akan mendatangkan kerugian kepada negara dan menjejaskan niat murni kerajaan untuk membantu rakyat.

Jika situasi sebegini dapat ditangani sebaik mungkin kerajaan dilihat boleh meneruskan pemberian subsidi minyak demi kesejahteraan rakyat secara amnya.

Kerajaan sudah pasti akan mencuba sedaya mungkin untuk tidak menaikkan harga minyak agar rakyat boleh terus menikmati keselesaan hidup.

Walaubagaimana pun, jika harga minyak dipasaran terus naik ke tahap yang jauh lebih tinggi, mungkin kerajaan akan terpaksa juga menaikkan harga minyak dimasa hadapan.

Cuma kita berharap kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak secara mendadak kerana ini pasti akan membebankan rakyat.

Kenaikan harga minyak sudah pasti akan membantutkan perkembangan ekonomi dunia secara keseluruhannya.

Sektor-sektor seperti sektor pengangkutan, industri dan lain-lain sektor yang banyak bergantung kepada penggunaan minyak sudah tentu akan terjejas teruk kerana ini akan melibatkan kos yang bertambah.

Subsidi yang diberikan kepada rakyat dilihat sebagai usaha kerajaan untuk cuba meringankan bebanan rakyat secara keseluruhannya kerana kesan kepada kenaikan harga minyak boleh menjejaskan kehidupan harian rakyat terutama kesan inflasi yang pasti akan berlaku sekiranya harga minyak terus naik.

Dalam keadaan ekonomi yang terus berkembang pesat sebarang kenaikan kepada harga minyak akan meningkatkan harga barangan keperluan lain dan ini sudah tentu akan membebani rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Kenaikan harga barang sudah pasti akan berlaku jika harga minyak naik. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana penggerak utama setiap sektor utama ekonomi memerlukan penggunaan minyak.

Walau bagaimana pun kerajaan dilihat telah pun mengambil beberapa langkah proaktif dengan menyediakan prasarana asas seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), Klinik 1Malaysia , pengangkutan awam yang baik dan efisyen serta kediaman mampu milik khas untuk golongan yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Semua langkah kerajaan ini adalah dilihat sebagai usaha murni untuk memastikan keperluan asas rakyat disediakan dengan sebaik mungkin.

Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini rakyat boleh membuat pilihan terbaik untuk berbelanja secara berhemah dan tidak begitu tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

Penulis ialah Perancang Kewangan Bertauliah dan Pengarah Jupiter Research Sdn. Bhd.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan