Ahad, 1 April 2012
ISU PENDIDIKAN : Kesusasteraan Nasional disyor jadi mata pelajaran wajib
MELAKA - Persidangan Hari Sastera Nasional ke-15 mengesyorkan bidang kesusasteraan nasional dijadikan mata pelajaran wajib untuk pelajar bermula pra sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Perkara itu merupakan antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 22 anggota gabungannya yang bersidang selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini di sini.
Ketua Satu Gapena Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata bidang kesusasteraan nasional penting dalam memantapkan jati diri rakyat dan mewujudkan peradaban bangsa Malaysia yang bersatu dan kukuh.
"Kalau kita tidak wajibkan kesusasteraan, kita bimbang generasi muda hari ini tidak tahu pantun, sajak dan budaya sebaliknya hanya mementingkan nilai materialistik," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Sastera Nasional ke-15 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira Othman Muhamad.
Beliau berkata pada masa ini, kesusasteraan hanya diajar di peringkat sekolah menengah namun ia tidak diwajibkan kepada semua pelajar.
Beliau berkata resolusi lain yang dicapai dalam persidangan itu termasuk peradaban Malaysia moden harus bertunjangkan pendidikan dan pembinaan bahasa serta kesusasteraan nasional mesti diajar dan dipelajari bersama oleh semua golongan warganegara Malaysia.
Selain itu, Abdul Latiff berkata persidangan itu juga membuat ketetapan bahawa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka serta kerajaan-kerajaan negeri perlu membantu menjaga kebajikan dan memberi bantuan kepada penulis, persatuan penulis dan budaya.
Resolusi itu akan diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan, katanya.- Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan