Rabu, 10 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Wujudkan dasar 'mesra keluarga'


Isu pertukaran guru bukanlah isu kecil. Justeru diharapkan Kementerian Pendidikan mengambil berat isu ini dan berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan dasar mesra keluarga. Ini penting bagi menyelesaikan isu pertukaran guru, terutama guru perempuan yang telah berkeluarga dan terpisah daripada suami dan anak-anak.

Bagaimana perasaan kita jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri? Bayangkan perasaan dan kesusahan isteri yang berjauhan daripada suami dan terpisah daripada anak-anak.

Contohnya, jika guru itu mempunyai tiga anak yang masih kecil, seorang tinggal dengan suami, dua lagi yang kecil tinggal dengan isteri. Suami dan anak itu pula berulang alik setiap minggu dengan pengangkutan awam dan kenderaan sendiri. Bukankah ini terdedah kepada risiko kemalangan?

Bayangkan jika si isteri bertugas sebagai guru, bolehkah menumpukan sepenuhnya pada kerjaya mendidik anak-anak bangsa, sedangkan anak-anak sendiri menderita dan terabai?

Saya juga difahamkan ada langkah yang menambahkan keparahan dalam isu ini iaitu penempatan awal (first posting) guru ke negeri asal masing-masing dengan alasan tidak mahu menimbulkan masalah pertukaran pada masa akan datang. Maka ada yang bujang belum berkeluarga, berjaya ke negeri asal.

Bayangkan bagaimana guru-guru yang telah berkeluarga mahu mengikuti suami akan berjaya dalam permohonan pertukaran mereka jika tempatnya telah diambil oleh guru-guru baru ini? Bukankah langkah ini menambahkan penderitaan, bukannya menjadi ubat?

Sementara itu, ada guru yang mengalami masalah kesihatan seperti lelah juga tidak berjaya dalam permohonan mereka. Adakah kita mahu menunggu dia mempunyai masalah kesihatan kronik sahaja untuk dipertimbangkan permohonannya? Sedangkan untuk menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia bersama anak-anak ialah ketika sihat.

Saya menyeru Kementerian Pendidikan melakukan penambahbaikan dan transformasi dengan segera dalam isu ini. Begitu juga persatuan dan kelab guru hendaklah membela guru-guru dalam masalah ini.

Kementerian Pendidikan tidak boleh lagi terikat dengan prosedur dan cara lama, contohnya menetapkan berapa tahun berkhidmat baru boleh dipertimbangkan pertukaran. Ubah dengan dasar mesra keluarga.

Contohnya, walaupun guru yang berkhidmat 10 tahun mohon tukar, tetapi tinggal bersama suami isteri; atau guru yang berkhidmat lima tahun ke atas mohon tukar tetapi masih bujang atau tidak mempunyai anak, dibandingkan dengan guru yang baru  dua tahun berkhidmat tetapi terpisah dengan suami dan anak-anak. Mana yang mahu didahulukan mengikut perikemanusiaan? Lihatlah keperluan secara perikemanusiaan bukannya tahun perkhidmatan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga tidak boleh lagi terikat dengan opsyen kekosongan guru. Setiap guru dilatih untuk berkhidmat dengan semua opsyen jika diperlukan, kecuali opsyen yang kritikal seperti bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Jika kita lihat situasi sebenar, ada guru yang bukan mengajar opsyen yang sebenar tetapi mampu mengajar dengan baik dan tiada masalah. Sebabnya guru ini semasa belajar telah dilatih dengan ilmu keguruan secukupnya. Jadi apa yang paling penting dasar mesra keluarga ini perlu diterjemahkan, bukan dasar opsyen lagi.

Pihak kementerian juga perlu menghargai sokongan guru-guru yang sentiasa menyokong dan mempertahankan dasar kerajaan. Mereka ini perlu dihargai dan dibantu termasuk menolong dalam meluluskan permohonan pertukaran mereka.

Akhir sekali semoga isu pertukaran guru ini ditangani secara bijak dan betul. Semoga Kementerian Pendidikan iakan sentiasa ke hadapan.

ALNORULHADI AB. HAMID

Kota Bharu, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Masalah Pertukaran Guru Perlu Beri Keutamaan Kepada Guru Lama


KUALA LUMPUR : Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru diharap dapat memberi keutamaan kepada guru-guru yang lama berkhidmat selain memberi keadilan sama rata.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata permohonan pertukaran guru akan menjadi sukar sekiranya Kementerian Pendidikan mengisi penempatan bagi guru-guru yang baru sahaja menamatkan pengajian sebelum penempatan itu diisi oleh guru yang memohon pertukaran.

"Sekiranya kementerian mengisi dulu guru-guru yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti, ia akan jadi masalah kerana guru-guru yang hendak ditukarkan tidak dapat masuk.

"Jadi saya sarankan guru-guru baharu ini hendaklah ditempatkan selepas pertukaran dibuat kepada guru-guru yang sudah lama memohon," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik memandangkan permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongan hanya setakat 2,000 hinga 3,000 tempat.

Mohamed Sabri berkata jawatankuasa itu juga harus berfungsi dengan memberi keadilan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam agensi keselamatan seperti polis atau tentera tetapi juga dalam kalangan guru sesama guru yang turut sukar mendapatkan pertukaran.

"Ada guru yang ingin mengikut suami, tetapi mereka yang berkahwin dengan pegawai penting seperti polis dan tentera berpeluang untuk mengikut suami masing-masing kerana mereka perlu keluar dari kuaters, tetapi masalahnya di mana mereka akan ditempatkan," katanya.

Beliau juga menyarankan agar jawatankuasa itu turut dianggotai oleh persatuan dan kesatuan guru kerana mereka ini lebih memahami masalah yang dihadapi golongan guru.

Beliau berkata masalah pertukaran guru semakin kritikal dan dilihat sukar menemui jalan penyelesaian kerana kekosongan yang terhad di kebanyakan sekolah di negeri-negeri.

"Kami dapati banyak sekolah sudah penuh gurunya, kalau kita tinjau masalah di Semenanjung, permohonan pertukaran kritikal dan sukar diluluskan, tetapi di Sabah dan Sarawak mungkin ada ruang khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula yang mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu berkata diharapkan mekanisme yang akan digunakan oleh jawatankuasa itu dapat menarik nafas lega golongan guru yang sekian lama memohon untuk ditukarkan tetapi sehingga kini belum diluluskan.

"Kami mahu guru rasa selesa, gembira dalam kehidupan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, terpulang kepada jawatankuasa untuk tentukan mekanisme yang akan diguna pakai," katanya.


Alimuddin yang juga bekas ketua pengarah pelajaran berkata isu pertukaran merupakan suatu yang rumit kerana ia berdasarkan kepada dua keperluan iaitu keperluan sekolah untuk mendapatkan guru dan keperluan dari segi kekeluargaan. - BERNAMA

ISU EKONOMI : Elak ekosistem kewangan negara jadi rapuh, tidak mapan


Oleh : ROHAMI SHAFIE

MUNGKINKAH krisis kewangan boleh berlaku di Malaysia? Sebelum-sebelum ini krisis kewangan melanda Malaysia disebabkan oleh faktor-faktor luaran. Sebagai contoh, krisis hutang Eropah dan krisis subprima Amerika Syarikat (AS) serta krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98.

Namun, apa yang dirisaukan kini adalah krisis kewangan yang tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia disebabkan oleh faktor dalaman kewangan negara. Faktor utamanya tidak lain tidak bukan iaitu hutang isi rumah yang semakin meningkat pada tahap yang boleh dikatakan semakin menggerunkan dan berbahaya.

Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia bahawa tempoh pinjaman maksimum bagi perumahan adalah selama 35 tahun manakala untuk pinjaman peribadi tempohnya dikurangkan kepada 10 tahun sahaja berbanding 25 tahun sebelum ini.

Peratusan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 83 peratus. Kadar ini merupakan yang tertinggi dalam kalangan negara Asia yang pesat membangun menuju ke arah negara maju.

Dalam kita asyik mengejar negara maju seawal 2018, kita tidak boleh sesekali leka mengenai fakta hutang isi rumah negara. Apalah gunanya negara kita bergelar negara maju tetapi rakyatnya pula berhutang keliling pinggang.

Banyak faktor yang menyebabkan hutang isi rumah terlalu tinggi pada masa kini. Antaranya adalah betapa senangnya mendapatkan pembiayaan atau pinjaman peribadi. Malahan, ada institusi kewangan bukan perbankan yang sanggup menawarkan pinjaman peribadi melebihi RM200,000.

Nampaknya, disebabkan penawaran melalui pemasaran yang cukup hebat, rakyat Malaysia akhirnya terpikat untuk mendapatkan pinjaman peribadi. Lebih-lebih lagi budaya hidup yang bertunjangkan biar papa asal bergaya semakin menekan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan dengan bergantung pada hutang-piutang.

Berhutang sudah menjadi rutin dalam hidup, maka tidak salah bagi mereka berhutang kerana itu sudah menjadi amalan harian.

Namun, bukan hanya disebabkan gaya hidup rakyat Malaysia sahaja yang menjadi faktor mereka berhutang. Faktor-faktor lain terutamanya tidak mahir mengurus kewangan peribadi menjadi teras mereka sambil lewa dalam mengurus hutang.

Mereka beranggapan mampu untuk membayar balik hutang. Maklumlah jika rakan dan sanak saudara mereka pun mampu berhutang, maka mereka juga mampu berhutang dan membayar balik hutang tersebut walhal hakikatnya ia bakal menjerumus mereka ke lembah kemuflisan.

Faktor kos sara hidup yang semakin menekan juga tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Perlu diingat majoriti rakyat Malaysia bukanlah kaya raya. Yang kaya raya adalah golongan ahli perniagaan atau aristokrat yang berjaya.

Tidak terkecuali yang kaya raya ini kebanyakannya adalah pemilik-pemilik bank dan institusi kewangan. Mereka ini termasuk dalam golongan orang terkaya di Malaysia. Lihatlah juga betapa banyaknya jumlah bayaran elaun dan gaji kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank-bank di Malaysia.

Gaji mereka dibayar tinggi disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan oleh bank-bank tersebut yang saban tahun semakin tinggi sedangkan gaji majoriti rakyat Malaysia tidaklah meningkat dengan begitu ketara berbanding sepuluh tahun lalu.

Penulis amat bimbang keuntungan yang dicatatkan tidak begitu mapan. Sektor perbankan dan institusi kewangan boleh terjejas dengan mudahnya jika gelembung hutang isi rumah semakin membesar dan membarah, manakala keuntungan yang dicatatkan oleh sektor kewangan bukanlah disebabkan oleh asas kekuatan dan kekukuhan kewangan peminjam tetapi disebabkan oleh penawaran hutang yang berleluasa dan keperluan berhutang. Jadi, ekosistem kewangan negara dikhuatiri rapuh dan tidak mapan.

Mahu salahkan peminjam semata-mata pun tidak boleh. Ini kerana ekosistem kewangan negara perlu berlegar pada kitaran kewangan yang sihat. Umpamanya, dalam isu pinjaman perumahan. Harga rumah yang semakin tinggi menyebabkan pembeli rumah terpaksa berhutang dengan jumlah yang banyak. Adakah ini salah rakyat semata-mata kerana berhutang untuk memiliki keperluan asas iaitu rumah?

Apa yang ingin penulis bangkitkan adalah sistem ekonomi dan kewangan negara tidak boleh terlalu berasaskan pasaran bebas yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban kewangan. Sekali lagi sebagai contoh, isu harga rumah, adakah harga rumah itu betul-betul berasaskan prinsip penawaran dan permintaan atau berasaskan spekulasi yang menjerat pembeli?

Kita boleh lihat golongan pemodal atau kapitalis sering kali mengaut keuntungan melampau melalui pasaran bebas, tetapi sejauh manakah kita mengambil iktibar ini agar ekosistem kewangan negara adalah benar-benar mapan?

Bagi golongan yang makan gaji seperti penjawat awam dan yang bekerja di sektor swasta, mereka terpaksa berharapkan pemodal atau kapitalis ini. Baik daripada kalangan pemodal di institusi kewangan, perbankan dan institusi kewangan bukan perbankan serta pemodal atau kapitalis yang berlegar dalam industri hartanah, sistem pasaran bebas jika tidak diurus dengan baik akan menyebabkan rakyat sengsara dan negara ke arah kemuflisan.

Mari kita lihat ke hadapan natijah sistem pasaran bebas yang berteraskan ketamakan dan haloba serta rakus menjerat kewangan rakyat. Justeru, dalam menyelesaikan isu ini, hanya prinsip berasaskan kebertanggungjawaban dalam berniaga bukan sahaja dalam menawarkan kualiti perkhidmatan dan produk tetapi juga melaksanakan prinsip amanah dalam menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat.

Ambillah iktibar krisis hutang Eropah dan krisis subprima AS. Barulah kita boleh memastikan kemapanan ekosistem kewangan negara.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/