Rabu, 10 Julai 2013

ISU EKONOMI : Elak ekosistem kewangan negara jadi rapuh, tidak mapan


Oleh : ROHAMI SHAFIE

MUNGKINKAH krisis kewangan boleh berlaku di Malaysia? Sebelum-sebelum ini krisis kewangan melanda Malaysia disebabkan oleh faktor-faktor luaran. Sebagai contoh, krisis hutang Eropah dan krisis subprima Amerika Syarikat (AS) serta krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98.

Namun, apa yang dirisaukan kini adalah krisis kewangan yang tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia disebabkan oleh faktor dalaman kewangan negara. Faktor utamanya tidak lain tidak bukan iaitu hutang isi rumah yang semakin meningkat pada tahap yang boleh dikatakan semakin menggerunkan dan berbahaya.

Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia bahawa tempoh pinjaman maksimum bagi perumahan adalah selama 35 tahun manakala untuk pinjaman peribadi tempohnya dikurangkan kepada 10 tahun sahaja berbanding 25 tahun sebelum ini.

Peratusan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 83 peratus. Kadar ini merupakan yang tertinggi dalam kalangan negara Asia yang pesat membangun menuju ke arah negara maju.

Dalam kita asyik mengejar negara maju seawal 2018, kita tidak boleh sesekali leka mengenai fakta hutang isi rumah negara. Apalah gunanya negara kita bergelar negara maju tetapi rakyatnya pula berhutang keliling pinggang.

Banyak faktor yang menyebabkan hutang isi rumah terlalu tinggi pada masa kini. Antaranya adalah betapa senangnya mendapatkan pembiayaan atau pinjaman peribadi. Malahan, ada institusi kewangan bukan perbankan yang sanggup menawarkan pinjaman peribadi melebihi RM200,000.

Nampaknya, disebabkan penawaran melalui pemasaran yang cukup hebat, rakyat Malaysia akhirnya terpikat untuk mendapatkan pinjaman peribadi. Lebih-lebih lagi budaya hidup yang bertunjangkan biar papa asal bergaya semakin menekan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan dengan bergantung pada hutang-piutang.

Berhutang sudah menjadi rutin dalam hidup, maka tidak salah bagi mereka berhutang kerana itu sudah menjadi amalan harian.

Namun, bukan hanya disebabkan gaya hidup rakyat Malaysia sahaja yang menjadi faktor mereka berhutang. Faktor-faktor lain terutamanya tidak mahir mengurus kewangan peribadi menjadi teras mereka sambil lewa dalam mengurus hutang.

Mereka beranggapan mampu untuk membayar balik hutang. Maklumlah jika rakan dan sanak saudara mereka pun mampu berhutang, maka mereka juga mampu berhutang dan membayar balik hutang tersebut walhal hakikatnya ia bakal menjerumus mereka ke lembah kemuflisan.

Faktor kos sara hidup yang semakin menekan juga tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Perlu diingat majoriti rakyat Malaysia bukanlah kaya raya. Yang kaya raya adalah golongan ahli perniagaan atau aristokrat yang berjaya.

Tidak terkecuali yang kaya raya ini kebanyakannya adalah pemilik-pemilik bank dan institusi kewangan. Mereka ini termasuk dalam golongan orang terkaya di Malaysia. Lihatlah juga betapa banyaknya jumlah bayaran elaun dan gaji kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank-bank di Malaysia.

Gaji mereka dibayar tinggi disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan oleh bank-bank tersebut yang saban tahun semakin tinggi sedangkan gaji majoriti rakyat Malaysia tidaklah meningkat dengan begitu ketara berbanding sepuluh tahun lalu.

Penulis amat bimbang keuntungan yang dicatatkan tidak begitu mapan. Sektor perbankan dan institusi kewangan boleh terjejas dengan mudahnya jika gelembung hutang isi rumah semakin membesar dan membarah, manakala keuntungan yang dicatatkan oleh sektor kewangan bukanlah disebabkan oleh asas kekuatan dan kekukuhan kewangan peminjam tetapi disebabkan oleh penawaran hutang yang berleluasa dan keperluan berhutang. Jadi, ekosistem kewangan negara dikhuatiri rapuh dan tidak mapan.

Mahu salahkan peminjam semata-mata pun tidak boleh. Ini kerana ekosistem kewangan negara perlu berlegar pada kitaran kewangan yang sihat. Umpamanya, dalam isu pinjaman perumahan. Harga rumah yang semakin tinggi menyebabkan pembeli rumah terpaksa berhutang dengan jumlah yang banyak. Adakah ini salah rakyat semata-mata kerana berhutang untuk memiliki keperluan asas iaitu rumah?

Apa yang ingin penulis bangkitkan adalah sistem ekonomi dan kewangan negara tidak boleh terlalu berasaskan pasaran bebas yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban kewangan. Sekali lagi sebagai contoh, isu harga rumah, adakah harga rumah itu betul-betul berasaskan prinsip penawaran dan permintaan atau berasaskan spekulasi yang menjerat pembeli?

Kita boleh lihat golongan pemodal atau kapitalis sering kali mengaut keuntungan melampau melalui pasaran bebas, tetapi sejauh manakah kita mengambil iktibar ini agar ekosistem kewangan negara adalah benar-benar mapan?

Bagi golongan yang makan gaji seperti penjawat awam dan yang bekerja di sektor swasta, mereka terpaksa berharapkan pemodal atau kapitalis ini. Baik daripada kalangan pemodal di institusi kewangan, perbankan dan institusi kewangan bukan perbankan serta pemodal atau kapitalis yang berlegar dalam industri hartanah, sistem pasaran bebas jika tidak diurus dengan baik akan menyebabkan rakyat sengsara dan negara ke arah kemuflisan.

Mari kita lihat ke hadapan natijah sistem pasaran bebas yang berteraskan ketamakan dan haloba serta rakus menjerat kewangan rakyat. Justeru, dalam menyelesaikan isu ini, hanya prinsip berasaskan kebertanggungjawaban dalam berniaga bukan sahaja dalam menawarkan kualiti perkhidmatan dan produk tetapi juga melaksanakan prinsip amanah dalam menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat.

Ambillah iktibar krisis hutang Eropah dan krisis subprima AS. Barulah kita boleh memastikan kemapanan ekosistem kewangan negara.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan