Jumaat, 18 September 2009

Kesan Bahan Kimia Dalam Mercun

oleh Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim

Bahan letupan sering digunakan dalam peperangan. Seni pembuatan bahan letupan dan mercun yang dikenali sebagai piroteknik dipelopori oleh China semenjak abad ke-13.

Kemudiannnya, ia tersebar ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, Rusia dan Jepun. Permainan mercun menjadi tradisi bagi sesetengah negara. Amerika Syarikat, contohnya, meraikan Hari Kemerdekaan dengan permainan mercun secara besar-besaran. Jerman pula hanya membenarkan permainan mercun semasa sambutan tahun baru.

Budaya ini kemudian menular ke Malaysia terutama di kalangan masyarakat Melayu dan Cina yang dimainkan antaranya semasa Tahun Baru Cina, malam tujuh likur, Hari Raya dan acara perkahwinan.

Suka Membawa Duka

Perlu diingat, dalam bersuka ria, mercun juga sering membawa bencana akibat kecuaian. Kes-kes tersebut selalu terjadi kepada kanak-kanak serta remaja.

Kejadian paling buruk di negara ini ialah letupan di kilang mercun di Sungai Buloh, Selangor yang mengorbankan banyak nyawa.

Pengendalian bahan letupan mempunyai risiko yang tinggi. Ramai tidak memahami cara pembuatan mercun serta bahan-bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Membuat mercun sendiri pastinya lebih berbahaya. Percampuran bahan-bahan kimia dengan alat-alat yang direka sendiri (seperti batang paip) boleh mengakibatkan letupan.

Orang ramai, khasnya ibubapa harus prihatin dalam masalah ini kerana bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan mercun boleh mengakibatkan keracunan jika termakan atau terhidu.

Bahan Kimia

Kalium nitrat, strontium nitrat, kuprum oksida, karbon perklorat, barium klorat, potasium perklorat, sulfur, serbuk aluminium dan arsenik adalah antara bahan kimia dalam mercun yang boleh menjejaskan kesihatan.

Tujuan penggunaan pelbagai bahan ini adalah untuk memberi fungsi yang berlainan seperti membekalkan oksigen dan karbon, kesan bunyi dan warna. Tindakan kimia dalam mercun akan menghasilkan banyak asap hasil daripada bahan kimia beracun dan boleh membahayakan kesihatan.

Bahan campuran klorat dan perklorat berbahaya kerana mudah terbakar. Klorat adalah ejen pengoksidan yang kuat dan boleh menjadi toksik jika terhidu atau termakan. Pendedahan kepadanya boleh menyebabkan hemolisis iaitu pemusnahan sel darah merah dengan pembentukan metemoglobin. Ia juga membahayakan buah pinggang. Terdedah kepadanya boleh menyebabkan muntah dan kesakitan pada perut.

Sebatian barium menyebabkan keracunan dengan menunjukkan tanda-tanda seperti muntah, sakit pada bahagian perut, cirit-birit berdarah, kesesakan nafas, sawan, koma atau mati akibat kegagalan jantung atau pernafasan.

Jika tersedut, ia boleh menyebabkan penyakit paru-paru, lumpuh otot-otot, darah tinggi dan kekurangan zat kalium dalam tubuh.

Sebatian nitrat pula menyebabkan hakisan pada tisu-tisu kulit serta pelbagai penyakit-paru-paru. Bahan nitrat mudah memasuki tubuh melalui kulit terutamanya jika kulit mengalami kecederaan akibat terbakar.

Pendedahan kronik (lama) melebihi 5mg/kg/hari perlu dielakkan. Kajian menunjukkan mereka yang mengalami luka akibat kebakaran boleh menghadapi masalah gangguan darah yang teruk selepas terdedah kepada semburan kimia yang mengandungi nitrat.

Keracunan nitrat berkaitan dengan pengsan, pening, keletihan, sesak nafas, mual, muntah, tekanan darah rendah dan sakit kepala.

Sulfur boleh memasuki tubuh melalui pernafasan. Keracunan sulfur boleh menyebabkan rengsa kulit, mata, paru-paru dan saluran perut. Kesan-kesan lain ialah sesak nafas, batuk, rasa terbakar dan sakit dada.

Lain-lain Bahan Kimia Dalam Mercun

* Campuran karbon : hidu dan penyerapan melalui kulit - rengsa kulit, kerosakan hati dan buah pinggang, sistem jantung dan darah

* Kuprum oksida : hidu - rengsa saluran pernafasan, demam 'asap logam', selesema, rengsa kulit

* Asid pikrik : hidu dan penyerapan melalui kulit - gatal kulit, kerosakan hati dan buah pinggang

* Strontium : termakan - muntah, sakit perut, najis berdarah, gangguan darah

Kecederaan Teruk

Orang ramai harus sedar kos mengubati mereka yang cedera dan keracunan akibat mercun boleh menelan belanja hingga beribu ringgit.

Biasanya mangsa akan mengalami kecederaan yang teruk seperti buta, kehilangan jari, kebakaran pada tubuh dan mungkin mengalami gangguan jangka panjang akibat pendedahan kepada bahan kimia beracun tanpa disedari.

Bencana mercun tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, jauhilah mercun. Jangan membazir wang anda dengan membelinya.

Sumber : http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/

Perihal Ops Sikap, H1N1 dan balik kampung

Anwar Patho Rahman

Oleh sebab keprihatinan, kasih dan sayang akan rakyat yang menyambut Aidilfitri hujung minggu ini, kerajaan melancarkan dua kempen keselamatan sekali gus - Ops Sikap XX dan Kempen Berhari Raya Tanpa H1N1.

Pada zahirnya kedua-dua kempen ini seperti saling berlawanan malah seolah-olah tidak mempunyai kaitan. Namun natijahnya, kedua-dua kempen ini berkongsi matlamat sama - menyelamatkan nyawa. Ops Sikap bertujuan mengawal sikap pemandu supaya lebih berhemah, disiplin dan tertib ketika di jalan raya serta mengelak kehilangan nyawa yang ramai pada musim perayaan.

Kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 pula menuntut rakyat mengutamakan kebersihan dan keselamatan diri yang juga untuk menyelamatkan nyawa bukan setakat di atas jalan raya, malah ketika berada di mana-mana, sama ada ketika solat Aidilfitri, bersama keluarga dan menghadiri majlis rumah terbuka.

Soalnya, adakah rakyat yang juga pengguna jalan raya, pemandu kenderaan merangkap pengguna pengangkutan awam mengambil perhatian terhadap kedua-dua kempen ini. Yang manakah yang lebih ditakuti rakyat ketika ini - adakah kemalangan jalan raya atau H1N1. Apa yang pasti kedua-duanya boleh meragut nyawa jika tidak dikendalikan dengan sempurna.

Ops Sikap XX atau ke-20 yang dijalankan selama dua minggu bermula 13 September lalu manakala Kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 juga dilancarkan pada hari sama. Jika dilihat, kedua-dua kempen ini juga selari dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - membuktikan kerajaan amat mendahulukan rakyat.

Pencapaian yang dimaksudkan pula boleh dirumuskan sebagai kejayaan melahirkan pemandu berhemah, selamat tiba ke destinasi, berjaya mencapai objektif untuk bercuti pada hari raya iaitu berkumpul bersama keluarga tercinta.

Mungkin ramai yang tidak tahu 2,000 penguat kuasa termasuk polis, bomba dan ambulans bertugas dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut dalam Ops Sikap XX.

Keasyikan menyambut sesuatu perayaan lazimnya menenggelamkan tahap kesedaran rakyat terhadap perkara lain yang lebih penting seperti arahan mematuhi peraturan lalu lintas.

Dalam isu mematuhi peraturan lalu lintas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengungkapkan polis hanya sebagai pembimbing serta mendidik, yang perlu berubah ialah sikap pemandu itu sendiri.


Bagi soal pencegahan H1N1, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata, jika semua pihak dapat mengambil langkah pencegahan, wabak ini dapat dikawal.

Namun bagi yang beragama Islam dan meyakini prinsip Qada dan Qadar, mereka wajib berikhtiar memastikan perjalanan pergi dan balik beraya sama ada di kampung atau ke mana saja lancar serta selamat.

Antaranya dengan menghantar kenderaan untuk diservis, merancang perjalanan, mematuhi peraturan lalu lintas, disusuli dengan tawakal. Jelas sekali, pada Aidilfitri tahun ini, tanggungjawab mereka yang hendak pulang beraya sudah bertambah.

Selain perlu memikirkan apa yang hendak dimasak untuk menjamu selera dan menentukan fesyen serta warna baju raya, mereka kini perlu mengambil kira soal kesihatan diri sendiri dan keluarga bagi membendung penularan H1N1 yang boleh menjangkiti manusia tanpa mengira agama dianuti dan di mana saja.

Penularan wabak H1N1 yang setakat ini mengorbankan 76 nyawa sekali gus mendorong kerajaan menuntut rakyat tidak mengabaikan aspek kesihatan dan kebersihan pada musim perayaan kali ini. Untuk itu empat fasa digariskan Kementerian Kesihatan yang perlu diambil perhatian rakyat ketika menyambut mana-mana perayaan perlu diikuti bagi mengelak penularan H1N1.

Ia merangkumi langkah pencegahan yang perlu diambil dalam empat fasa iaitu sebelum balik kampung, ketika dalam perjalanan, ketika berada di kampung dan selepas kembali dari kampung.

Sekali lagi, persoalan yang akan timbul, adakah rakyat mampu mengikuti garis panduan yang dirumuskan kerajaan demi kebaikan mereka. Pelbagai peraturan, ingatan, nasihat dan teguran disampaikan kerajaan bagi memastikan diri mereka terselamat daripada bala dan bencana yang berpunca daripada tangan mereka sendiri.

Jika rakyat dapat mendisiplinkan diri, tidak mustahil Ops Sikap mencatatkan angka korban yang kecil dan bilangan kematian akibat H1N1 juga tidak berubah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my