PEKERJA asing yang memasuki Malaysia tanpa mengikut saluran sah, mengundang banyak masalah kepada negara, khususnya dalam soal keselamatan. Walaupun negara memerlukan ramai tenaga pekerja asing dalam pelbagai sektor terutama pembinaan, perniagaan dan pembantu rumah, kemasukan mereka harus mengikut prosedur. Kehadiran mereka secara haram dalam jumlah yang besar jika tidak dikawal, bukan saja boleh menjejaskan sumber rezeki rakyat tempatan, malah keselamatan negara juga boleh tergugat. Mereka juga membawa pelbagai masalah sosial, termasuk jenayah dan penyakit. Perangkaan terbaru menunjukkan, ada 1.9 juta pekerja asing yang sah dan lebih sejuta bekerja secara haram. Apa yang menjadi persoalan, bagaimana mereka boleh memasuki dan bekerja di negara ini dengan mudah tanpa dokumen sah. Kita bimbang kemasukan mereka didalangi pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan. Kelmarin, Ketua Eksekutif Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Mohamed Sha’ani Abdullah, mendedahkan lebih 50 agensi pekerja asing di negara ini dikenal pasti beroperasi secara haram. Ia berdasarkan aduan diterima tahun lalu. Berdasarkan aduan itu, NCCC mendapati modus operandi agensi terbabit ialah membekalkan pekerja asing yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Apabila mereka bekerja di negara ini dengan hanya memiliki pas lawatan sosial, pastinya akan timbul pelbagai masalah. Jabatan Imigresen turut mendedahkan ada usaha membawa masuk sejumlah 55,000 pekerja asing dari Bangladesh ke negara ini, walaupun kerajaan sudah membatalkan permohonan visa pekerja asing dari negara itu sejak 2008. Semua visa termasuk yang belum memasuki Malaysia dibatalkan serta-merta pada Mac 2009, selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menerima sebarang permohonan baru melainkan dalam sektor kritikal.
Kemasukan pekerja asing secara haram juga boleh menyekat rezeki rakyat tempatan, terutama dalam sektor perniagaan. Perangkaan Kementerian Sumber Manusia merekodkan lebih 400,000 rakyat kita masih menganggur, sedangkan hampir dua juta pekerja asing dapat mencari nafkah di negara ini. Negara ketika ini memiliki kira-kira 6.6 juta sumber tenaga tempatan yang boleh dieksploitasi, sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Namun, peluang mereka terjejas akibat perbuatan tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing yang beroperasi secara haram. Semuanya berlaku disebabkan ada permintaan tinggi dan penawaran berlebihan. Ada majikan sanggup mengambil pekerja asing melalui sumber tidak sah bagi menjimatkan kos, manakala pekerja asing pula sanggup memasuki negara ini secara haram kerana memerlukan pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan berbanding di negara asal. Atas desakan hidup, pekerja asing sanggup mengetepikan pelbagai risiko, termasuk penganiayaan kerana agensi terbabit sanggup melakukan apa saja bagi mengaut keuntungan. Mereka juga berdepan dengan janji kosong pihak agensi sehingga ada sesetengahnya tidak menerima gaji, malah didera majikan tidak bertanggungjawab. Yang pasti, pekerja asing tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya, jika timbul masalah kerana mereka tidak memiliki dokumen sah. Pihak berkuasa, terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus memantau secara berterusan dan jika ada bukti, agensi yang beroperasi secara haram wajar dikenakan tindakan tegas.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/