Khamis, 16 Ogos 2012

ISU GLOBAL : OIC arah Syria henti pembunuhan awam


Zulkofli Jamaludin di Makkah
bhnews@bharian.com.my
    
MAKKAH : Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berakhir awal pagi 27 Ramadan, semalam, mengambil dua ketetapan tegas terhadap Syria.

Syria digantung daripada OIC berkuat kuasa semalam diarah menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang mengakibatkan kematian orang awam dan proses perundingan membabitkan semua kelompok diadakan melalui negara berjiran dengan Syria untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

Datuk Seri Najib Razak berkata, ketetapan itu dibuat selepas OIC mengambil kira keadaan yang membimbangkan di Syria khususnya kematian ribuan penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak.


Simbolik mesej jelas

Dalam ucapan pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong keputusan menggantung keanggotaan Syria sebagai simbolik untuk memberikan mesej jelas kepada Syria mengenai perlunya mengambil langkah untuk menghentikan pertumpahan darah dan menyelesaikan secara aman krisis itu demi rakyatnya.

Najib berkata, persidangan yang diadakan pada 26 dan 27 Ramadan, iaitu tarikh signifikan dalam Islam diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara dan umat Islam.

“Fadilat dan kelebihan malam 27 Ramadan sungguh besar. Ia menimbulkan keinsafan dan kesedaran bahawa kita membuat keputusan penting di Makkah Al Mukkaramah ini.

“Keputusan ini seharusnya menyedarkan kita betapa besarnya amanah yang dipikul untuk Islam dan kepentingan ummah,” katanya pada sidang media selepas persidangan itu di Istana As Safa di sini, berakhir pada jam 2 pagi waktu tempatan (7 pagi Malaysia).

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas pulang selepas mencium Hajarul Aswad, menunaikan solat sunat di Hijr Ismail dan menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram.

Tindakan Israel dikecam

Pada persidangan itu, OIC turut mengecam hebat tindakan Israel mengembangkan penempatan di Baitulmaqdis dan pencerobohan Masjid Al-Aqsa.

“OIC bersetuju untuk berusaha supaya Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), September depan, menerima Palestin sebagai anggota PBB,” katanya sambil menambah ramai pemimpin melahirkan kekecewaan kerana masalah Palestin masih belum dapat diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, persidangan juga menyokong cadangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud agar diwujudkan sebuah Pusat Dialog Islam bagi membincang isu berkaitan fahaman mazhab.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SUKAN : Legenda badminton negara meninggal dunia



KUALA LUMPUR - Dunia badminton negara dikejutkan dengan kematian Datuk Punch Gunalan yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya akibat penyakit barah hati semalam.

Legenda badminton Malaysia itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.20 pagi ketika usianya menjengah 68 tahun selepas terlantar sakit sejak dua minggu lepas.

Mendiang yang berasal dari Sepang, meninggalkan seorang balu, P. Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki, Roshan Gunalan, 36, seorang doktor ortopedik.

Jenazah mendiang dibawa ke kediamannya di No. 9, Jalan 12/14B, Petaling Jaya untuk penghormatan terakhir mulai pukul 1 tengah hari semalam sebelum disemadikan di Pusat Crematorium Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 4 petang hari ini.

Umum mengetahui bahawa bintang tangan kanan itu adalah pemain badminton paling berbakat dalam acara perseorangan dan beregu apabila mengharumkan nama negara dengan meraih beberapa kejayaan antarabangsa.

Sejak memulakan kariernya pada awal 1960-an dengan muncul juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan dalam acara perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran, Punch tidak lagi menoleh ke belakang.


Bersama pasangannya, Ng Boon Bee yang juga legenda badminton negara, mereka berjaya memenangi emas pertama Sukan Komanwel Edinburgh, Scotland pada 1970. Pada tahun yang sama juga pasangan ini meraih pingat emas Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam acara beregu.

Punch juga berjaya menambah koleksi emas dalam temasya tersebut selepas memenangi acara perseorangan. Gandingannya bersama Boon Bee terus digeruni dan mereka berjaya menjulang trofi berprestij, All England 1971.

Mendiang mengukuhkan reputasinya dalam acara perseorangan selepas mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki Sukan Komanwel di Christchurch, New Zealand begitu juga acara beregu lelaki bersama Boon Bee.

Selain digeruni di peringkat Komanwel dan Asia, Punch juga berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA apabila memenangi emas acara perseorangan dan beregu di temasya tersebut pada 1973 di Singapura.

Hasrat Punch untuk mencipta nama dan meraih kejayaan lebih besar iaitu dalam kejohanan badminton paling terulung, Piala Thomas tidak kesampaian ketika dia menyertai skuad negara pada 1970 dan 1973.

Bagaimanapun Olahragawan Negara 1969 dan 1974 itu berjaya merealisasikan hasratnya memenangi Piala Thomas, bukan sebagai pemain tetapi jurulatih dengan mencipta sejarah badminton negara meraih trofi kebanggaan itu pada 1992.

Sentuhan ajaib Punch ke atas beberapa pemain badminton negara ketika itu seperti Rashid Sidek, Razif Sidek dan Foo Kok Keong membolehkan Malaysia muncul juara menewaskan seteru, Indonesia di Stadium Negara.

Selain diingati sebagai pemain dan jurulatih hebat, Punch juga seorang disegani serta bercita-cita tinggi.

Ketika menjadi Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) beliau telah memperkenalkan beberapa pembaharuan besar, termasuk menukar nama badan itu daripada Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

Mendiang, yang memegang jawatan dalam BWF sejak 2004 hingga 2008, termasuk pernah bergelar setiausaha sentiasa menampilkan idea-idea berani yang tidak pernah di fikiran orang lain selama ini.

Punch adalah individu yang bertanggungjawab menukar sistem kiraan mata daripada 15 kepada 21 untuk menjadikan sukan tersebut lebih menarik.

Beliau juga bekerja keras mencari penajaan untuk memperkenalkan kejohanan Siri Super bagi menmbolehkan pemain badminton menikmati pendapatan serta kehidupan lebih baik.

Dengan harapan badminton akan menjadi sukan pilihan untuk dijadikan karier, Siri Super yang diperkenalkan menawarkan ganjaran besar buat setiap pemain profesional.

Kejohanan tersebut juga bukan semata-mata untuk pemain mengejar wang dan menjadi orang kaya tetapi dalam masa yang sama medan persediaan buat pemain mencari rentak sebelum ke kejohanan utama seperti Piala Thomas, Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Olimpik.

Karier 16 tahun tokoh sukan Malaysia itu bersama BWF bagaimanapun berakhir pada Mei, 2008 selepas beliau meletak jawatan rentetan daripada beberapa usul undi tidak percaya daripada majlis.

Jawatan lain yang pernah disandang mendiang ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 sehingga 1997. Jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia pula itu ialah sebagai Timbalan Presiden pada 2005.

Punch juga pernah diberi pengiktirafan mewakili Malaysia menerima baton Sukan Komanwel dari Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, London pada 1998.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Punch banyak menyumbang kepada negara bukan sahaja sebagai atlet tetapi juga dalam bidang kejurulatihan dan khidmat sebagai pegawai sukan tertinggi dalam badan sukan seperti BWF.

"Malaysia kehilangan bakat yang besar dengan kematian Punch itu kerana beliau telah banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Saya secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang banyak mengajar dan membantu dalam pembangunan arena badminton negara," katanya.

Menurut Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb), Muhammad Aiman Aminul Abdullah, yayasan berkenaan akan menyampaikan sumbangan RM11,000 kepada keluarga mendiang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Sikap tidak menghormati peraturan trafik


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

BERADA di jalan raya setiap hari membuatkan saya tertanya-tanya mengapa begitu ramai penunggang motosikal yang sanggup memperjudikan nyawa dan anggota badan serta pertaruh nyawa dengan kematian semata-mata tidak menghiraukan lampu isyarat ketika melintas di persimpangan jalan.

Ia bukan hanya penunggang motosikal individu malah melibatkan pasangan yang berumur dan kadang kala bersama anak-anak kecil yang terselit di tengah-tengah. Saya sering terfikir sama ada mereka ini menghargai nyawa mereka dan anak-anak.

Apa yang telah saya nyatakan adalah fakta yang berlaku pada setiap hari. Berdasarkan pemantauan saya, lebih daripada 50 peratus penunggang motosikal kita melanggar peraturan lampu isyarat ketika di persimpangan trafik. Mengapakah mereka bersikap acuh tidak acuh dan tidak hormat kepada undang-undang?

Saya masih ingat akan satu kes, seorang penunggang motosikal wanita menunggang tanpa memakai topi keledar. Sewaktu ditahan oleh seorang anggota polis, wanita tersebut memanggilnya bodoh.

Mereka menunjukkan sikap tidak peduli kepada undang-undang dan  juga mencerminkan sikap negatif dialam kalangan penunggang motosikal  terhadap keselamatan mereka sendiri.

Walaupun ada yang memakai topi keledar, tetapi jika dilihat dengan teliti mereka tidak memakainya dengan cara yang betul. Ia sama seperti tidak memakai topi keledar.

Mereka beranggapan bahawa peraturan trafik boleh dilanggar dan diabaikan kerana peluang untuk mereka ditangkap adalah tipis.

Bagi mereka tidak perlu untuk berhenti ketika lampu isyarat merah apabila ketiadaan trafik.

Atau adakah orang awam berasakan bahawa pihak berkuasa tidak memandang serius terhadap penguatkuasaan peraturan trafik.

Contohnya, mereka boleh melihat bahawa ada yang meletakkan kenderaan di kawasan larangan letak kereta tetapi tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah ini.

Jika terdapat pegawai penguatkuasa diletakkan di persimpangan trafik, sudah pasti ramai yang ditangkap. Tetapi ini bukanlah perkara yang hendak ditekankan.

Persoalannya, kenapa begitu ramai penunggang motosikal tidak menunjukkan sikap hormat terhadap undang-undang dan peraturan sehingga di tahap membahayakan nyawa sendiri dan orang yang tersayang.

Saya juga mendapati bahawa sudah muncul satu trend dalam kalangan anak-anak muda yang terlibat dalam jenayah dan gejala sosial.

Nilai-nilai murni sudah tiada untuk menentukan perlakuan mereka dan sikap hormat pada undang-undang serta arahan sudah tiada. Ada antaranya juga tidak menunjukkan sikap hormat kepada ibu bapa mereka sendiri.

Remaja yang berusia seawal 15 tahun melibatkan diri dalam lagak ngeri mat rempit seolah-olah untuk mengejek dan mencabar pihak polis di jalan raya. Kejadian mat rempit yang melarikan diri daripada sekatan jalan serta mencederakan anggota polis semakin meningkat.

Di sebalik isu tidak menghormati peraturan, ia juga menunjukkan kemerosotan nilai-nilai murni seperti ihsan, kesopanan, kesabaran, merendah diri dan toleransi seperti yang diperlihatkan bagaimana rakyat Malaysia membawa diri mereka di khalayak ramai.

Sindrom negatif seperti yang digambarkan dalam masalah aktiviti pembuli jalan, pembuli sekolah, menggunakan kekerasan, memaparkan kekasaran dan pembuangan sampah di tempat awam telah terbukti menunjukkan  bahawa kempen budi bahasa yang dilakukan masih belum mencukupi.

Isu berkaitan tidak menunjukkan sikap hormat pada undang-undang perlu diberi perhatian dan kita perlu mengenal pasti puncanya sebelum ia bertambah teruk.

Adakah usaha pihak sekolah dan ibu bapa sudah mencukupi bagi memupuk sikap menghormati undang-undang dalam kalangan generasi muda?

Adakah benar terdapat begitu banyak tekanan negatif dalam kalangan rakan sebaya yang telah membawa kepada keadaan yang tidak diingini seperti itu?

Persoalan-persoalan ini adalah relevan dan tidak boleh diabaikan oleh semua yang terlibat dalam pendidikan anak-anak  yang akan menjadi aset negara kita pada masa hadapan.

Penulis ialah aktivis sosial

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Amalan turun padang tingkat produktiviti


Oleh : Mohamad Abdullah
 
Datuk Seri Ali Hamsa ketika mengambil alih jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada penghujung Jun lalu, bertekad untuk turun padang bagi melihat sendiri proses penyampaian penjawat awam negara ini. Tekad ini tentunya dari niat murni untuk memastikan tugas diamanahkan kepada penjawat awam dilakukan dengan cekap dan berkesan.

Pada masa yang sama, penjawat awam sendiri haruslah sedar mengenai amanah dan tanggungjawab masing-masing. Sesekali ketua jabatan perlu turun melihat sendiri masalah dihadapi pegawai, mendengar rintihan orang ramai dan membantu mengatasinya.

Ada masalah berpunca daripada sikap dan amalan yang tertinggal jauh di belakang dan ada daripada masalah kecil dan remeh yang dibiarkan berpanjangan. Apabila sudah menjadi amalan sebati dengan seseorang, maka akan teruslah kekal sehingga benar-benar dilihat semula kesesuaiannya, diberikan teguran, bimbingan dan latihan, malah ada ketikanya tindakan tegas sebagai satu pengajaran.

Walau pun kelihatan remeh, namun dalam banyak keadaan turun padang akan menghasilkan banyak “penemuan” yang kadang-kadang boleh membuat kita termenung seketika mengenai perlakuan dalam organisasi”

Sikap peri kemanusiaan melampau juga memberi kesan besar kepada sesetengah mereka yang boleh dianggap dalam istilah pengurusan dan pemasaran sebagai “sabotaj perkhidmatan” yang meng-ganggu kelicinan kerja kerana belas kasihan dan peraturan yang menyukarkan sesuatu tindakan diambil terhadap mereka yang nyata melanggar disiplin, bersikap sambil lewa dan tidak amanah sehingga masalah itu berpanjangan.

Ia sukar untuk ditangani, malah melemahkan semangat mereka yang benar-benar bekerja keras melaksanakan amanah. Pilihan yang ada adalah jelas. Tindakan perlu diambil dan tidak menjadikannya sebagai faktor yang mengganggu sesuatu proses kerja sama ada dalam apa jua bidang tanggungjawab yang ada, walau pun pada masa sama sikap hati-hati penting agar tidak ada yang teraniaya.

Turun padang bermakna seseorang itu, pada mana-mana peringkat termasuk pengurusan tertinggi, mengadakan lawatan mengejut dan melihat sendiri apa yang terjadi.

Walau pun kelihatan remeh, namun dalam banyak keadaan turun padang akan menghasilkan banyak “penemuan” yang kadang-kadang boleh membuat kita termenung seketika mengenai perlakuan dalam organisasi. Ia boleh membuat kita melakukan muhasabah diri mengenai kepemimpinan seseorang pegawai, dan ketua jabatan, proses pelaksanaan kerja dan perancangan masa hadapannya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran, kekhilafan dalam pelaksanaan peraturan apatah lagi untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti.

Memanglah secara idealnya dikatakan setiap pekerja dalam organisasi dan institusi sewajibnya mempunyai integriti, etika dan hemah tinggi dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab yang ada. Idealnya juga, diharapkan sesuatu tempat kerja lebih anjal, bertolak ansur, menjaga kebajikan dan suatu tempat yang seronok dan membahagiakan kerana seseorang itu sering kalinya menghabiskan masa tidak kurang dari lapan jam, malah ada yang melebih 12 jam sehari.

Namun, kenyataannya ia tidak semudah itu, apatah lagi bagi organisasi yang besar. akan terdapat mereka yang secara sengaja, sedar ataupun tidak memaksudkannya sekali pun, mengambil tindakan sabotaj, tidak beramanah, tidak beretika dan melanggar segala peraturan yang ada. Sikap tamak, ambil mudah dan selesa dengan keadaan yang ada juga sebahagian dari penyakit yang perlu dibanteras.

Kawalan yang longgar dan sikap tidak amanah boleh berlaku yang mengakibatkan tercemarnya nama organisasi, institusi malah negara. Ia memberi kesan sangat besar kepada produktiviti. Yang paling sedih ialah, ia turut memberikan persepsi negatif kepada orang lain yang bekerja keras, penuh amanah dan tanggungjawab dengan memberi nama buruk kepada sesebuah institusi dan organisasi.

Oleh sebab itu, satu daripada penyelesaiannya seharusnya bertolak daripada kesungguhan untuk turun padang dalam kalangan ketua-ketua jabatan dan mereka yang diberikan amanah untuk menyelia dan membuat pemantauan tanpa perlu ‘pukulan kompang’ dan notis awal dengan susun atur yang penuh upacara yang hanya membuang masa. Ia adalah sebahagian daripada  proses kerja untuk melihat bagaimana seorang pembantu pejabat membancuh kopi, tukang sapu mencuci longkang sehinggalah kepada seorang pegawai yang berada dalam pejabatnya menyiapkan tugasan.

Lihat sendiri orang ramai beratur panjang dan sejauh mana benarnya “teknologi” yang dikatakan meningkatkan kecekapan. Lihat juga himpunan sampah di sekitar kawasan dan bangunan, sehinggalah pengoperasian sesuatu tempat, bangunan atau pun premis dan bagaimana proses kerja berjalan, di kaunter perkhidmatan, menjawab panggilan telefon, mengajar dalam bilik darjah dan kuliah, kedatangan ke tempat kerja dan pelbagai lagi secara terperinci.

Teknologi dan ilmu pengetahuan terkini semata-mata tidak akan memberi kesan dalam mengurus tadbir perkhidmatan awam, organisasi dan institusi. Jika manusia yang menggunakan teknologi dan sepatutnya mendapat faedah daripadanya tidak melaksanakan amanah, diawasi dan dipantau akan terdapat kecuaian, kegagalan berfungsi dan disalahgunakan, apatah lagi jika kita juga makin jauh dari Tuhan.

Kepercayaan dan keyakinan yang kuat kepada Tuhan sepatutnya menjadi sumber integriti yang paling berkesan kerana kita boleh lepas daripada pandangan sesama manusia tetapi tidak dapat lari pandangan-Nya Dialah sebenarnya menjadi seluruh pancaindera dan hati nurani kita yang mengawasi setiap tindakan yang dibuat.

Apabila ada dalam kalangan “mamanda” yang memberikan laporan “segalanya baik” eloklah ada sedikit perasaan curiga dan ingin melihat sendiri segala yang dilapor dan dikata. Barangkali ada dinding yang retak, atap yang berlubang atau rakyat jelata yang menangisi sawah yang tidak menjadi atau anak buah yang mati dalam “kepuk padi”.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor USM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/