Selasa, 27 Mei 2014

ISU KENEGARAAN : Jangan jadi generasi kerengga


Oleh : Syed Mazlan Syed Mat Dom

PENERAPAN nilai-nilai murni kepada generasi muda perlu digerakkan sepanjang masa. Kegagalan kita untuk menerapkan nilai murni ini menyebabkan segala perkara yang tidak disangka sama sekali boleh sahaja akan terjadi.

Bak pesanan orang dulu-dulu, ilmu agama penuhkan di dada, kemudian pergilah kamu berhijrah atau merantau berkelana ke mana jua. Nescaya diri akan selamat dan berupaya menepis segala godaan yang datang. Hidup tidak akan susah, niat tidak akan berubah malah segala kerja dapat dipermudah.

Antara nilai-nilai murni yang patut ada dalam kalangan generasi muda adalah sikap usul periksa, bukan senang percaya membabi buta. Nilai kedua yang perlu dipunya, adalah sikap menghormati pada yang tua yang lebih berpengalaman dan banyak membuat jasa. Nilai murni yang ketiga, adalah perasaan tahu untuk berterima kasih kepada bantuan, pertolongan mahu pun pemberian orang kepada kita.

Inilah tiga nilai murni utama yang penulis rasakan sudah semakin pupus dalam kalangan sebahagian generasi muda kita hari ini.

Generasi muda tidak harus melatah dan terpengaruh dengan ayat-ayat klise kebebasan hak manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan memilih dalam apa jua perkara. Perkataan-perkataan seperti rasuah, kroni, tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran atau sebagainya hanyalah momokan mencari sokongan oleh pihak yang memberi alternatif .

Malangnya, ciri-ciri yang diberikan ini hanya diguna pakai dalam menilai pemerintah sahaja. Kenapa ciri-ciri penilaian ini tidak turut dipakai sama apabila menilai golongan alternatif lain? Di sini pun sudah ada double standard. Ayat dan perkataan ini hanya sah laku untuk menilai kerajaan. Tidak pula diguna pakai untuk menilai pihak lain.

Sejak dari zaman kanak-kanak lagi generasi ini diajar dan diprogramkan ke dalam minda mereka supaya berfikiran sedemikian. Bahkan, ayat-ayat klise itu tadi menjadi buah mulut dan ikut-ikutan tanpa pengertian yang mendalam terhadap bagaimana untuk mempraktikkan dan di kala mana ia perlu dipraktikkan.

Kebebasan bersuara, hak asasi manusia, kami pembayar cukai adalah antara ayat-ayat yang menjadi pujaan semasa. Seolah-olah ia fahaman baharu yang merentasi agama dan budaya serta norma-norma kehidupan seharian di pelosok nusantara. Habislah melatah semua anak muda. Hasilnya, maka terkinja-kinjalah mereka di sekitar pasar raya, bandar raya dan jalan raya.

Janganlah jadi seperti kerengga, sekali tersauk bagai dirasuk. Menyerang musuh tanpa mengkaji, usul periksa dan tanpa perbandingan segala. Generasi kerengga ini juga begitu taksub akan ketuanya. Apa yang tidak kena kepada orang lain semuanya betul belaka. Tak perlu untuk disemak buat kali kedua. Tetapi apabila terconteng ke batang hidung sendiri, ia perlu segera dinafikan. Ini pihak ketiga empunya kerja. Pengikutnya memang tak mahu hendak percaya. Malah sudah diajar supaya jangan percaya kepada apa juga khabar berita yang tidak elok mengenai kumpulannya.

Generasi kerengga juga terlalu sukar untuk menghormati pandangan dan pendapat mereka yang lebih tua. Ini adalah kerana kepada mereka siapa dahulu yang memakai lampin bayi pakai buang adalah lebih relevan pada ketika ini daripada siapa dahulu yang memakan asam dan garam. Kiasan lama itu bagi generasi kerengga sudah lama lapuk di telan zaman.

Generasi kerengga juga amat sukar untuk merasa berterima kasih kepada orang lain hatta berterima kasih kepada negara sekalipun. Cuba anda lihat kerengga. Dalam keluarga semut dialah yang paling cantik. Dengan warna kekuningan merah-kemerahan, dialah semut yang paling comel. Ditambah pula dengan pinggangnya yang ramping, dialah yang paling anggun dalam kalangan semut-semut yang ada. Tetapi perilakunya, jauh sekali dari menjadi cerminan dirinya yang anggun itu.

Perhatikanlah, apabila dia membuat sarang di sebatang pohon mangga di depan rumah kita. Dia akan menjadi raja dan bermaharajalela di sana. Apabila cuba didekati, atau cuba kita ceroboh kawasan mahu pun sarangnya usahkan binatang lain, tuan pokok dan tuan tanah yang ditumpanginya itu pun akan digigitnya. Begitu sekali tidak tahu berterima kasihnya, kalau mahu dianalogikan akan generasi kerengga ini.

Kiasan yang boleh dibuat di sini adalah seperti anak yang diberikan peluang menimba pelajaran, diberikan kasih sayang, kemudahan bergerak, kemudahan perhubungan, kemudahan kewangan, kehidupan selesa, malah dibantu untuk mendapatkan pekerjaan oleh ibu bapanya. Apabila sudah dewasa dan menjadi orang berada, dia sanggup akan berkata, ibu ayah tidak jujur, ibu ayah tidak telus dan tidak cekap dalam pentadbiran keluarga. Ada kroni dalam keluarga ini. Lalu dia membawa diri keluar dari rumah dan mencari keluarga angkat lain yang dirasakannya lebih jujur dan lebih baik dalam segala aspek.

Inikah generasi baharu yang kita mahu? Inikah pemuda-pemudi pelapis bangsa, pelapis negara yang kita ingin didik dan lahirkan? Inikah jenis anak muda yang kita mahu laburkan wang ringgit kita untuk membesarkannya?

Inilah doktrin baharu yang sedang diserapkan oleh pendokong alternatif. Dengan mempersoalkan sejarah tanah air, menjadikan undang-undang sebagai bahan permainan dan momokan adalah dengan tujuan mendidik generasi muda supaya bersifat seperti kerengga. Supaya generasi ini menjadi generasi “sorry, no thank you for you". Tidak perlu disanjung usaha pemerintah yang ada. Tidak perlu dikenang segala jasa datuk nenek moyang mereka. Kerana anda adalah anda. Generasi kerengga ini jika berterimakasih pun setakat hanya manis di mulut sahaja.

Melihat pula di laman siber, bekas pemimpin negara malah pemimpin semasa turut diselar malahan dipersenda. Yang memberi komentar rata-ratanya generasi muda. Jika sekali sekala kita terfikir kita bahawa kita ini seorang yang tidak pandai berbudi bahasa, janganlah kecewa, sebab di alam siber sana berpuluh ribu lagi yang lebih biadab daripada kita. Inilah generasi kerengga, hasilan dari didikan alternatif semasa. Generasi I follow, gangster, generasi pemaki hamun, generasi mencarut, dan generasi yang suka membangsatkan orang lain terutamanya di laman siber sudah pun kita lahirkan di bumi Malaysia yang tercinta. Generasi kerengga juga adalah generasi buta sejarah. Tidak minat untuk mendalaminya kerana dipesongkan pemikiran bahawa kononnya sejarah negara sudah lama di manipulasi oleh pihak pemerintah negeri.

Persoalannya, kenapa orang muda yang berpotensi besar menjadi generasi kerengga? Mudah sekali jawapannya. Fokus utama pihak berkenaan adalah untuk menyasarkan generasi muda belia yang mudah dibentuk corak pemikiran mindanya. Begitulah juga yang dibuat oleh komunis pada waktu dahulu. Anak muda, anak sekolah dan kanak-kanak menjadi sasaran utama mereka.

Sebagai kesimpulannya, pihak berwajib harus sentiasa peka dan perlu membanteras segera segala usaha yang digerakkan oleh kumpulan tertentu ke arah pembentukan generasi kerengga ini. Sesungguhnya, keperluan untuk generasi muda di luar sana untuk menidakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada statistik terkini keahlian generasi kerengga amatlah dihargai. Adalah lebih baik mencegah daripada berpeluh sakan menanggung musibah.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/