Sabtu, 9 Mac 2013

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Insiden mengaibkan!



Oleh : TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Peristiwa pencerobohan berdarah di Lahad Datu dan Semporna, suka duka, sudah dipolitikkan! Peristiwa itu akan menjadi  isu  sensitif dalam kempen PRU13. Selain daripada tuduh-menuduh, pengundi akan tertanya-tanya dan kita harus memahaminya: Pertama, kenapa kejadian ini berlaku? Apakah  punca kegagalan agensi perisik kita?

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mahu kerajaan membuat kajian terperinci tentang insiden yang memalukan atau lebih tepat, bagaimana boleh berlaku (termasuk kelemahan institusi dan agensi negara) sehingga berlaku insiden yang mengaibkan ini?

Kedua, kenapa keterlaluan panjang masa diambil untuk membuat keputusan menyerang apa yang sekarang disifatkan sebagai pengganas dari Sulu Filipina? Sebelum itu adakah mereka ‘askar’ pihak yang mendakwa dirinya 'Sultan Sulu' maka kita mesti berhemat sedikit dan berkompromi kehormatan nusa?

Ketiga, kenapa pengeboman hanya dilakukan setelah pengganas itu melarikan diri seperti kata Speaking. “after they have extended their safe area and dispersed themselves or slipped away?" Kegagalan mencapai matlamat pengeboman membawa impak, implikasi yang tidak diniatkan.

Keempat dan yang  lebih utama lagi adakah kita mempunyai cukup anggota tentera dan polis untuk menjaga keselamatan dan memelihara kedaulatan, kehormatan ibu pertiwi dan bangsa di Sabah? Apa pun syabas kepada Perdana Menteri Najib; Dr Mahathir Mohamad kerana menggesanya 'serang' dan membuat kenyataan 'serah diri tanpa syarat atau mati'.

Mengikut Wikipedia, Malaysia hanya ada 35 batalion infantri terdiri daripada 25 batalion Askar Melayu Diraja, 10 batalion Ranjers. Benarkah ini? Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Razak, telah merencanakan pembesaran dan pemodenan kedua-dua rejimen itu dan lain-lain bahagian Angkatan Tentera Malaysia berdasarkan pengalaman pahit semasa darurat 13 Mei itu.

Kalau ingatan saya tidak silap (dan saya rasa saya tidak alpa)  antara pembesaran itu adalah 27 – 30 batalion Askar Melayu Diraja dan Ranjers antara 10 – 15 batalion dari jumlah askar serta bilangan batalion yang agak kecil waktu itu. Besok Tun Razak andainya dia hidup akan menyambut seperti tradisi keluarga hari kelahirannya yang ke-91 tahun (11 Mac 1922 – 11 Mac 2013). Apa sudah jadi kepada pelan Tun Razak 37 tahun selepas pemergiannya secara mengejut?

Sedih dan memalukan kerajaan terpaksa tergesa-gesa menghantar segera 5 batalion tentera dan PDRM tambahan dari Kelantan – Pengkalan Chepa/Kok Lanas – selain bantuan tambahan anggota pasukan keselamatan dari Sarawak dan tempat lain.

Ini baru satu pencerobohan oleh ‘Rag Army’ atau ‘Dad’s Army’ di satu lokasi sahaja! Adakah kita mempunyai kemampuan andainya pencerobohan berlaku serentak di beberapa lokasi di seluruh negara?

Madah seorang bakal calon BN, seorang pemuda Umno: “Kita banyak stadium. Tak salah. Satu bumbungnya runtuh dua kali! Tetapi jumlah askar kita tidak banyak bertambah walaupun negara terus makmur. Saya dengar orang Melayu pun kurang minat lagi menjadi askar. Kenapa?. “Apa tidaknya, gaji dan elaun rendah, kemudahan tidak menarik! Ada yang duduk di kawasan setinggan pun”. Dia menambah madahnya tanpa dihasut pun.

Menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan negara, bangsa, agama dan bahasa asyik mencari peluang ‘photo opportunities’ memakai uniform! Saya tidak lagi geli hati melihat Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein dan Zahid Hamidi Menteri Pertahanan tanpa uniform di Lahad Datu. Itu satu kewajaran, satu tradisi civilian berkuasa di atas Angkatan Tentera maka pakaian preman sudahlah!

Ada politikus menuduh si Kitol di belakang insiden ini, satu andaian yang wajib disiasat dengan rapi. Tanpa si Kitol saya percaya Operasi Susulan Daulat lebih berjaya daripada 53 orang terbunuh setakat ini! Maknanya budak pun tahu kumpulan pengganas itu mendapat pertolongan dan perlindungan daripada si Kitol atau dalam loghat moden sympathisers di Sabah, terutamanya di Lahad Datu dan Semporna.

Sudah pun 79 orang ditahan. Majoriti rakyat Sabah keturunan Sulu dan Filipina, saya yakin, taat setia kepada negara angkat mereka tidak berbelah bagi. Sebagai ingatan masa depan janganlah terlalu murah, mudah sangat memberi pas kerja, pas duduk dan kerakyatan kepada sesiapa pun. Kekurangan dan kelemahan pertahanan dan agensi perisik kita jelas.

Dari segi itu bagus juga insiden ini berlaku dengan harapan mereka yang bertanggungjawab tentang keselamatan dan maruah negara akan lebih peka, insaf lagi prihatin kepada keperluan negara dan institusi Angkatan Bersenjata Malaysia. Masakan kita – tak usah malulah – tidak bolehkah belajar daripada Singapura, Israel hatta Korea Selatan atau Korea Utara pun?

PRU13 di Sabah tidak akan ditunda kerana peristiwa ini. Dalam keghairahan mahu memenangi hati dan minda pengundi bermacam cerita, ikrar sudah dan terus dibuat tidak kira sama ada bisa dilaksanakan atau tidak. Asal sahaja sedap didengar, menarik dan memikat cukuplah.

Pengundi terus dibom dengan janji dan pengakuan 24/7:  kepada pengundi Melayu/Islam ‘ketuanan Islam’, Cina ‘keadilan, ketelusan, hak asasi manusia dan Malaysian Malaysia’; India ‘lebih bantuan, lebih naungan’. Kepada peribumi bukan Islam ‘ketuanan peribumi dan kehidupan serta stail kontemporari’ di wilayah mereka majoriti, di pedalaman Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.

Lazimnya seorang pemimpin politik memulai pentadbirannya dengan jujur, amanah, telus dan adil. Selepas diempukkan kuasa, syair, pujian-pujian dan ‘selawat’ serta mantera dia menjadi ‘crafty’ tegas Speaking – iaitu licik, panjang akal dengan tipu muslihat kerana dia dapati tidak bisa terus ikhlas dan cekap saja!

Takut apabila dia keluar masa hujan, banjir dia berbuat demikian tiada payung; tanpa baju hujan, boots,  topi dan sweaters (baju panas!) Berkatalah pujangga bangsa: parti politik, pada akhirnya, mati kerana berbohong seperti seorang “telanjang” dan pemimpin yang crook dan hipokrit mati tanpa dikenang dan dikutuk oleh sejarah dan ada masanya dibenci semasa hidup lagi.

Walaupun demokrasi mempunyai banyak sempadan kononnya demokrasi adalah sistem kerajaan yang terbaik.  Betulkah? Kesimpulan saya kalau demokrasi dan pilihan raya begitu baik kenapa hanya dilaksanakan di peringkat negeri dan Parlimen sahaja dan tidak di peringkat perbandaran dan majlis daerah?

Umno/BN mesti cuba - apa harga pun - menebus kekalahannya di Kelantan (terlalu biasa kalah hilang bisa, perasaan malu pun kurang sedikit), di Selangor (amat aib kalah tetapi rakyat mengerti sebabnya), keguguran di Kedah seperti di Selangor amat bera; di Pulau Mutiara memutihkan mata, kecundang dan tumpas di Perak satu kejanggalan dan kesiluan.

Namun pada pendapat ramai, sebelum peristiwa Lahad Datu, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan akan terus kekal dalam tangan DAP, PKR dan Pas. Peristiwa berdarah di Lahad Datu menguntungkan kerajaan juga merugikannya – mempamerkan kelemahannya dan juga ketidak decisivenessnya yakni lambat sangat membuat keputusan dan kekurangan batalion infantri, dan tidak ada batalion yang mobile!

Tidak memanfaatkan Pakatan Rakyat kerana mereka dituduh ada kaitan dengan peristiwa ini. Benar atau palsu amat sukar membersihkan diri.  Putrajaya dan Kota Kinabalu wajib lebih berwaspada lagi. PRU13 akan tersenarai dalam sejarah sebagai pilihan raya terkompetitif, termahal, terbebas, tercanggih dan perang siber yang meluas.

Juga tertekan dan terbohong. Pokoknya berkempen tanpa sempadan. Semua halal asalkan cerita, maksud dapat disampaikan ke seluruh alam. Kebenaran, tipu belit, bohong dusta tidak diambil kira dalam mencari kemenangan.

Semua cara dan kelakuan diizinkan kerana tegas Speaking, “the stakes are high” – hidup matinya kerjaya politik Anwar Ibrahim, sama ada Najib Tun Razak Perdana Menteri Umno/BN terakhir atau terus bersemayam di Seri Perdana.

Kedua - dua protagonis "kabir" dengan aset peperangan. Orang lama dalam Umno tidak miskin dengan pengetahuan, strategi, stail, taktik kedua-dua protagonis yang bertungkus-lumus berebut "gua mas" di Putrajaya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GLOBAL : Cabaran jamin kestabilan geopolitik ASEAN


Oleh : Muhamad Razak Idris
 
Peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh sekumpulan warga Filipina mengundang banyak pengertian dan tafsiran. Satu daripadanya ialah betapa persoalan kestabilan geopolitik rantau ASEAN masih belum reda dan berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman. Pencerobohan itu adalah satu daripada beberapa bentuk ancaman baru yang muncul dalam konteks perkembangan rantau ini di era semasa.

Sebelum peristiwa pencerobohan itu berlaku, kepemimpinan ASEAN menangani beberapa isu keselamatan dan kestabilan rantau yang wujud sekian lama dan yang muncul pada masa kini. Konflik di Selatan Thailand dan Mindanao di Selatan Filipina serta isu etnik Rohingya di Myanmar adalah antara isu sejarah masa lalu yang berlarutan dan sedang ditangani.

Manakala, isu mutakhir pula berkaitan dengan perkembangan sosiopolitik dunia seperti kewujudan kumpulan ekstrem serta isu pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.

Semangat persaudaraan makin tipis

Menurut sumber berita, motif pencerobohan Lahad Datu dikatakan berhubung kait dengan cita-cita menuntut hak ke atas Sabah. Sekiranya andaian itu benar, ia bererti kepemimpinan ASEAN harus berdepan dengan satu lagi isu tuntutan sejarah lalu yang dilakukan menerusi keganasan. Dari perspektif rakyat Malaysia, perbuatan ganas itu adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Hubungan keturunan dan keagamaan antara keturunan Sulu dan Melayu di negara ini seharusnya menjadi satu sandaran kukuh yang boleh mengelakkan kedua-dua pihak terjebak dalam konflik berdarah. Namun, harapan sedemikian nampaknya sia-sia. Dorongan dan kepentingan tertentu di dunia ini tidak mampu mempertahankan ikatan persaudaraan agama dan bangsa yang terjalin sekian lama.

Dalam situasi sekarang, ruang dialog bagi mencari penyelesaian bersandarkan semangat persaudaraan menjadi tipis. Ia perlu ditangani kepemimpinan ASEAN berasaskan peraturan dan perundangan antarabangsa yang sudah disepakati sekian lama.

Kita mengalu-alukan kebijaksanaan yang ditunjukkan kepemimpinan Filipina dalam mendepani krisis itu. Ia menunjukkan kepemimpinan Filipina memahami realiti geopolitik semasa di rantau hari ini dan tidak terikut-ikut dengan fikiran pendek sekumpulan kecil warganya cuba mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

Keperluan menutup kelemahan

Realiti pergolakan baru ini memberi petunjuk bahawa isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN tidak boleh dipandang mudah. Banyak lagi isu berkaitan ini dijangka muncul pada masa depan yang memerlukan kebijaksanaan tinggi semua pihak. Untuk itu, prinsip dan semangat kerjasama ASEAN harus dipertegaskan semula dan dihayati oleh segenap komuniti.

Hal ini mustahak diberi perhatian kerana ketidakstabilan keselamatan menjadi hambatan besar kepada kesejahteraan hidup Komuniti ASEAN keseluruhannya. Ia boleh menggugat pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan di rantau ini serta menghalang proses kerjasama politik dan sosial yang lebih intim dan akrab pada masa depan.

Kepentingan menangani isu keselamatan dan kestabilan rantau ASEAN juga berkaitan dengan keperluan untuk kita menutup kelemahan yang boleh dijadikan peluang eksploitasi oleh pihak yang bercita-cita melihat rantau ini bergolak.

Bagi pihak ini, rantau ASEAN yang bergolak memberi peluang kepada mereka mengambil kesempatan terhadap sumber ekonominya. Dalam konteks sosioekonomi di sebelah utara Borneo ini, kekayaan sumber semula jadinya sentiasa menjadi tarikan dan perhatian pihak yang berkepentingan.

Dari segi percaturan politik dan ekonomi dunia pula, ketidakstabilan keselamatan ASEAN akan merencatkan agenda pembangunan rantau ini sebagai komuniti perdagangan baru yang menyerlah. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan memenuhi tujuan tersirat sesetengah pihak yang sentiasa cemburu dan iri hati terhadap perkembangan positif di rantau ini.

Ikatan serumpun Komuniti ASEAN

Kita menyeru masyarakat Muslim di Selatan Filipina supaya lebih bijaksana dan berhemah dalam mendepani apa juga isu berkaitan keselamatan rantau ASEAN. Ini penting supaya mereka tidak terjebak dalam percaturan pihak berkepentingan yang ingin melihat rantau ini bergolak. Sikap bijaksana dan berhemah akan mengelak mereka daripada diperalatkan pihak berkenaan.

Dalam era moden kini, persaudaraan agama dan ikatan serumpun Komuniti ASEAN adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan oleh semua pihak. Penyelesaian dalam apa juga isu dan persoalan masa lalu dan kini seharusnya diusahakan menerusi perundingan dan permuafakatan berasaskan prinsip perundangan yang sudah disepakati masyarakat antarabangsa.

Malaysia dalam konteks ini berhak mempertahan kedaulatannya. Justeru, kita menyeru demi memelihara kestabilan dan keselamatan rantau ASEAN yang kukuh pada masa depan, penceroboh di Lahad Datu perlu meletakkan senjata dan menyerah diri secara sukarela tanpa syarat kepada pihak berkuasa Malaysia.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sekolah aspirasi bangsa Malaysia patut diwujud


Oleh :  Dr Amir Hasan Dawi
 
Bangsa Malaysia ialah konsep yang menggambarkan perpaduan dalam negara kita yang mempunyai ciri  kepelbagaian  etnik. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik memerlukan unsur persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Pembentukan perpaduan adalah usaha berpanjangan sejak mencapai kemerdekaan. Pendidikan mempunyai peranan penting dalam usaha berkenaan.

Sekolah menjadi institusi asas pembinaan perpaduan dari peringkat awal. Di sekolah, kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dapat bertemu dan bergaul. Persoalan kini adalah sama ada sekolah telah benar-benar dapat menyediakan ruang dan persekitaran untuk berlakunya interaksi antara etnik.

Kepelbagaian aliran

Sistem persekolahan Malaysia berbeza dengan negara lain kerana kewujudan sekolah pelbagai aliran. Banyak pihak mengaitkan sekolah pelbagai aliran pada peringkat rendah sebagai punca berlarutannya masalah perpaduan. Kepelbagaian aliran sekolah dianggap menjadi penghalang berlakunya proses interaksi antara etnik.

Memang tidak dapat dinafikan polarisasi dari segi pemilihan sekolah oleh etnik berbeza begitu ketara. Ibu bapa semakin cenderung menghantar anak ke sekolah beraliran bahasa ibunda. Data Kementerian Pelajaran menunjukkan setiap tahun bilangan mereka yang memilih sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil semakin meningkat. Pelbagai sebab diutarakan mengenai pemilihan sekolah berkenaan. Namun kajian menunjukkan sebab utama adalah kepentingan budaya dan bahasa ibunda yang ingin dikekalkan.

Fenomena memilih sekolah mengikut etnik tidak boleh dihalang. Perlu diakui bahawa kewujudan SJK adalah sebahagian daripada keperluan etnik yang terbabit. Dari segi sejarah, sekolah aliran ibunda telahpun wujud sebelum merdeka. Kini Akta Pendidikan secara jelas menyatakan SJK tidak boleh ditutup kecuali kumpulan etnik berkenaan sendiri yang mahu berbuat demikian. Dalam senario semasa, agak mustahil menutup SJK memandangkan permintaan terhadapnya bukan semata-mata daripada komuniti Cina dan India, tetapi juga Melayu.

Kritikan terhadap kewujudan SJK hanya akan menimbulkan polemik berpanjangan. Etnik berkenaan tentu akan terus mempertahankannya. Namun kita juga harus menyedari kesan pengelompokan di sekolah apabila dalam jangka panjang ia boleh menjejaskan perpaduan. Sikap prejudis dan prasangka akan tertanam dalam diri sekiranya pelajar tidak berpeluang mengenali etnik lain secara lebih rapat.

Jalan penyelesaian perlu dicari untuk mengatasi fenomena pengelompokan. Memandangkan sekolah rendah tidak dapat menyediakan ruang interaksi antara etnik dengan memuaskan, sekolah menengah adalah alternatifnya. Majoriti murid masih melanjutkan persekolahan peringkat menengah di sekolah kebangsaan. Walaupun terdapat permintaan terhadap sekolah pelbagai aliran dan persendirian pada peringkat menengah, bilangannya masih terkawal.

Isunya kebelakangan ini terdapat desakan yang mahukan penambahan bilangan sekolah menengah pelbagai aliran dan persendirian. Maka dikhuatiri matlamat perpaduan bangsa Malaysia tidak tercapai sekiranya pemilihan sekolah mengikut aliran berleluasa hingga ke peringkat menengah.

Sehingga kini diperhatikan kebanyakan sekolah begitu menumpukan kecemerlangan akademik melebihi aspirasi pembentukan bangsa Malaysia. Misalnya Sekolah Bestari, Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Bitara dan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk kecemerlangan akademik. Belum ada sekolah yang benar-benar memberi fokus kepada interaksi etnik di samping kecemerlangan akademik.

Masukkan unsur etnisiti

Kajian menunjukkan terdapat ciri-ciri bersama sekolah menengah yang dikehendaki dalam memenuhi hasrat kumpulan etnik. Sekolah yang dikehendaki dalam konteks kepelbagaian adalah sekolah yang juga memasukkan unsur etnisiti ke dalam persekitarannya. Selain daripada kecemerlangan akademik, sekolah perlu mempunyai antaranya komposisi etnik berbeza, keterampilan bahasa ibunda, pengiktirafan budaya dan pentadbiran yang memahami. Oleh itu, perlu diwujudkan sekolah menengah sebagai model di mana ia mempunyai elemen kepelbagaian yang memberi ruang kepada kecemerlangan dan interaksi antara etnik.

Fokus sekolah menengah dimaksudkan adalah memupuk perpaduan yang dalam jangka panjang memberi kesan kepada pembentukan bangsa Malaysia. Sekolah Bangsa Malaysia memberi peluang kepada pelajar berinteraksi serta memahami etnik lain dan diberi ruang untuk meneruskan elemen budaya serta bahasa masing-masing. Sekolah menengah bercirikan bangsa Malaysia diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan semua etnik bersama-sama mempunyai semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia.

Penulis ialah Prof Madya Sosiologi dan Pendidikan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Sumber : http : //www.bharian.com.my/