Ahad, 14 April 2013

ISU SUKAN : Malaysia Muncul Juara Kejohanan Badminton Piala Axiata

Pasukan badminton Malaysia bergambar bersama hadiah
 utama selepas dinobatkan sebagai juara Piala Axiata 2013 

KUALA LUMPUR : Pasukan Malaysia muncul sebagai juara Piala Axiata selepas menewaskan Thailand 3-1 pada aksi akhir di Stadium KLBA, Cheras, Ahad.

Skuad negara yang gagal mara ke final tahun lalu berjaya mengungguli kejohanan bernilai US$1 juta (RM3.03 juta) ini dengan menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membuat penampilan mengejut buat kali pertama.

Chong Wei yang baharu menyambut kelahiran anak lelaki dua hari lalu, mengakui aksinya ini adalah keputusan pada saat akhir.

"Saya tidak mahu bermain sebab baru menyambut kelahiran anak, Kingston tetapi saya mengambil keputusan untuk beraksi sebab mahu membantu negara mendapat tempat pertama.

"Jurulatih ada bertemu saya semalam (Sabtu) dan saya bersetuju. Kejohanan ini bagus kerana kita tidak pernah menang acara campuran selain Sukan Komanwel (Melbourne 2006 dan New Delhi 2010) dan ia manjadi faktor kenapa saya bersetuju.

"Saya gembira kerana berjaya menjalankan tugas saya dan berterima kasih kepada rakan sepasukan dan semua penyokong," jelasnya.

Satu lagi perlawanan melibatkan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menang bergaya ke atas Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam, 21-16, 21-15.

Manakala pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menang dengan mengetepikan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon, 21-10, 21-17.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah menyampaikan trofi serta replika cek bernilai $US400,000 kepada barisan skuad badminton tanah air.

KEPUTUSAN PENUH:

MALAYSIA 3 THAILAND 1

Sonia Cheah klh Ratchanok Inthanon 16-21, 17-21

Goh Liu Ying/Chan Peng Soon mn Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam 21-16, 21-15

Lee Chong Wei mn Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-18

Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mn Boonsak Ponsana/Songphon Anugritayawon 21-10, 21-17.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Jalan Menuju Bahasa


Berpuluh tahun menyusur jalan berlumpur
bakti ditabur dengan jerih yang luhur
antara air mata yang gugur dan gelisah bertabur
dipimpinnya tangan bangsa dengan jujur.

Di sepanjang jalan menuju bahasa
tidak mungkin dilupakan sebaris nama
meski ada yang menyusur jalan pulang
tanpa sempat jari memetik buah ranum
di pohon rimbun dan dahan rendang
segala yang manis dikecapi sekarang.

Meski sesekali curiga datang menggoda
dan wasangka mengepung minda
manisnya usah sesekali diluahkan
dan pahit ush dijilat kembali
di bibir bangsa tetap mengenang
nama yang pernah mengharung
jalan menuju bahasa penuh simpang.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang.

Sumber : Dewan Bahasa, April 2013

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Komitmen polis jamin kesejahteraan negara


Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

POLIS merujuk kepada organisasi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan dan kestabilan masyarakat menurut undang-undang negara. Polis adalah satu pekerjaan yang mulia atau setengahnya memanggil mata-mata. Jika kita melihat kelibatnya sahaja maka terus menjadikan kita rasa selamat dan terjamin, kerana adanya pengawasan mereka.

Tetapi bagi pemandu kenderaan, apabila ternampak polis trafik terus menggelabah, memastikan tidak menggunakan telefon bimbit, memakai tali pinggang dan tidak melanggar undang-undang di jalan raya.

Pada masa kini terdapat banyak isu semasa yang menggugat keselamatan negara. Keselamatan bukan sahaja dari segi fizikal malah melibatkan jenayah sindiket dadah, pemerdagangan bayi, jenayah siber dan macam-macam lagi insiden-insiden yang mengancam keselamatan rakyat.

Wujudnya perlakuan jenayah membuatkan kita amat memerlukan kehadiran polis. Ini adalah kerana kehidupan kita di Malaysia adalah berlandaskan undang-undang maka kita perlukan pihak polis dengan mematuhi undang-undang, prosedur dan peraturan dan tidak boleh bertindak sesuka hati dalam memperjuangkan keadilan.

Dalam pada itu, integriti adalah perkara yang sangat penting bagi anggota polis dan perjuangan mereka tidak ada tandingannya kerana komitmen mereka dalam membantu rakyat sepanjang masa.

Pada 25 Mac lalu, Sambutan Hari Polis ke 206 bertemakan "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" diiringi deraian air mata dan diselubungi suasana pilu kerana isu Lahad Datu. Pada masa yang sama Perdana Menteri mengucapkan takziah dan juga tahniah kepada pasukan polis, dan menyatakan bahawa seluruh rakyat Malaysia mengimpikan sebuah perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik demi menjamin keamanan dan keselamatan negara.

Profesionalisme dan pengorbanan pihak polis ini terbukti oleh peristiwa pencerobohan musuh-musuh negara iaitu pengganas di Lahad Datu. Hari Polis pada tahun ini menyaksikan penampilan khas wira-wira Komando 69 dari medan tempur di Sabah. Anggota Komando 69 yang berada di barisan hadapan dalam pertempuran pada 1 Mac dan insiden serangan hendap di Semporna diterbangkan khas ke majlis berkenaan.

Biarpun masih diselubungi rasa sayu dan kesedihan dalam kalangan warga di perhimpunan itu berikutan kehilangan anggota dalam pertempuran menentang pengganas Kiram dari selatan Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lepas, mereka tetap hadir menyertai sambutan.

Saya tertarik dengan cadangan Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi mencadangkan supaya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan membina tugu peringatan kepada wira negara yang terkorban dalam krisis pencerobohan di Sabah. Ini adalah satu idea yang baik.

Pengorbanan mereka yang bertarung nyawa untuk mempertahankan negara dalam krisis pencerobohan kumpulan pengganas Kiram sejak 2 Februari lepas adalah sesuatu yang wajar dijadikan monumen sejarah.

Penubuhan ESSCO untuk keselamatan Sabah akan lebih terjamin dan dengan adanya anugerah Posthumous diberikan kepada balu-balu pahlawan yang gugur semasa Ops Daulat merupakan usaha murni kerajaan menghargai jasa-jasa perwira negara. Walaupun nyawa tidak dapat dibayar dengan wang, namun anugerah tersebut akan meringankan beban keluarga.

Polis juga mencatat kejayaan besar dengan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang melibatkan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM637,000 baru-baru ini termasuk membongkar modus operandi terbaharu sindiket yang menyorok dadah di dalam pelapik kasut dengan 850 gram dadah jenis syabu pada lelaki warga Pakistan.

Kes dadah di sekitar Kedah terbongkar dengan penahanan suspek warga tempatan berusia 46 tahun. Polis juga berjaya merampas 335 gram dadah jenis syabu bernilai RM70,000 daripada seorang wanita warga Indonesia di balai berlepas Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Sindiket pemerdagangan bayi ditumpaskan oleh pihak polis juga merupakan kejayaan besar pihak polis Pulau Pinang apabila berjaya membongkar sindiket penjualan bayi terbesar di negara ini dengan nilai RM300,000 dalam Ops Pintas Sayang dengan penahanan 33 suspek.

Syukurlah, pasukan itu turut berjaya menemukan sembilan bayi iaitu tiga lelaki dan enam perempuan serta kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga lapan tahun yang telah dijual di sekitar negeri ini, Kedah dan Perak. Kasihan apabila melihat wajah bayi dan kanak-kanak yang tidak berdosa ini dijual dengan berleluasa.

Kenaikan gaji polis yang diumumkan pada 11 Mac 2013 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak memang wajar. Kenaikan dengan menyelaraskan tangga gaji dan peluang kenaikan pangkat yang setimpal dengan tempoh perkhidmatan polis dan elaun sampingan seperti elaun keraian, kenderaan dan logistik mendapat perhatian kerajaan memandangkan tugas yang membahayakan nyawa. Penyelarasan gaji pegawai  kanan PDRM pula dijangka Gred 41 bagi Inspektor, Asisten Superintendan (ASP) 44, Deputi Superintendan (DSP) 46, Superintendan 48 dan Asisten Komisioner (ACP) 52.

Semoga kenaikan gaji ini akan menarik minat ramai anak-anak muda menceburi bidang ini. Berita kenaikan gaji polis PDRM 2013 diharap dapat menjadi perangsang dan motivasi kepada anggota polis Diraja Malaysia PDRM. Terima kasih kepada semua anggota polis yang telah membantu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama, masa dan tenaga demi mempertahankan negara kita yang tercinta ini. Tabik hormat kepada semua anggota polis di Malaysia. Selamat Hari Polis Ke-206. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Melayu wahana perpaduan


OLEH : DR AMINUDIN MANSOR

BAHASA Melayu ialah  bahasa yang menyatukan semua kaum di negara ini. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah. Ini mestilah menjadi agenda semua pihak terutama di sekolah dan di universiti tidak mengira apa juga peringkat daripada  rakyat biasa hinggalah kepada pemimpin atasan.

Bahasa Melayu sewajarnya dijadikan medium utama dalam membentuk perpaduan di negara ini. Usaha ini sepatutnya tidak berhenti setakat di sekolah yang  membabitkan para pelajar dan guru-guru sahaja.

Bahasa Melayu antara enam bahasa di dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun akan datang, malahan mampu hidup selama-lamanya jika bahasa Melayu mempunyai kuasa ekonomi.

Hal ini terbukti melalui kata-kata cendekiawan silam yang berbunyi, "Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina".

Bahasa Melayu digunakan oleh lebih 300 juta orang di seluruh dunia. Bahasa Melayu turut berkembang apabila terdapatnya pelbagai suku kaum Melayu menjalar hingga ke Sri Lanka, Arab Saudi, China dan Afrika Selatan.

Menurut Sarjana Belanda, Francois Valentijn pada abad ke-16, "Bahasa mereka bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur; sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali atau di Levent."

Dari sehari ke sehari, peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dunia Melayu dan di luar dunia Melayu kian ketara sehingga wujud banyak pusat pengajian Melayu di pelbagai universiti  di luar Negara.

Sejarah membuktikan betapa bahasa Melayu telah melalui detik kegemilangan terutama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu, peranan bahasa Melayu menjadi penghubung dalam kalangan pedagang dan sebagai wahana budaya serantau untuk mengungkapkan pelbagai bidang ilmu.

Lantaran itu, tidak hairanlah bahasa Melayu turut termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei sebagai Bahasa Kebangsaan. Di Malaysia, kedudukan bahasa Melayu termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Para pelajar juga harus difahamkan secara mendalam. Selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat seiring dengan kepesatan pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan.

Melalui pendidikan, bahasa Melayu mampu merentasi segala cabaran untuk dinobatkan sebagai bahasa yang dapat diterima dan digunapakai di seluruh dunia. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan termasuklah di institusi pengajian tinggi membuktikan yang bahasa ini juga berupaya menjadi bahasa ilmu selain penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Arab dan lain-lain.

Za'ba menyatakan kepada anak-anak Melayu yang bernasib baik mendapat pelajaran tinggi di universiti, gunakan pengalaman dan pengajian yang diperoleh itu untuk memimpin, mengajar anak bangsa kita untuk mengembang dan mempertingkatkan taraf pelajaran dan pengajian Melayu.

Bahasa Melayu di negara ini juga dapat dipertahankan dan diperkembangkan berdasarkan pelbagai akta. Ringkasnya, pelaksanaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Dasar bahasa Melayu melalui sistem pendidikan jelas terlihat dalam pelaksanaan dasar bahasa di sekolah, maktab dan universiti. Cabaran besar bahasa Melayu pada hari ini ialah kemampuan untuk memupuk perpaduan antara pelajar pelbagai kaum. Bagi mencapai matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum, Penyata Razak telah mengesyorkan beberapa perkara antaranya Bahasa Melayu mestilah diajar di semua sekolah dan dijadikan satu syarat untuk menerima sebarang bantuan yang diberi oleh kerajaan di dalam semua sekolah. Satu lagi, di sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dicadangkan supaya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan

Selepas Penyata Razak, Laporan Rahman Talib 1960 menegaskan semula syor untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan.

Justeru, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah telah dimulakan perancangannya sejak sebelum merdeka lagi. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu telah diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan menerusi Laporan Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan Akta Pendidikan 1996.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/