Selasa, 10 Julai 2012

ISU SOSIAL : Percampuran nilai bentuk kepelbagaian



Oleh : Imlan Adabi

Ia tidak pernah diisytiharkan sebagai model 1Malaysia. Ia hanya sebuah sekolah di pinggir kota yang mempunyai lebih 5,000 pelajar. Sebagai kawasan urban, proses kepadatan pelajar amat luar biasa.

Ketika dibuka hampir 10 tahun lalu, pelajarnya sekitar 2,500 orang, kini jumlahnya bertambah 100 peratus. Pelbagai kaum dan etnik mewarnai sekolah itu. Melayu, India, Cina, Siam, Portugis, Iban dan Kadazan mewarnai konsep 1Malaysia. Justeru, pelbagai loghat seperti Kelantan, utara Semenanjung, Jawa, Bugis dan Aceh juga kedengaran. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah sering bersikap sinis: ?Sekolah kami dah capai standard tinggi. Sekolah antarabangsa!?

Kata-katanya mudah dimengertikan. Selain anak penduduk tempatan, pelajar yang ibu bapanya berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Iran, Pakistan dan India juga tidak terkecuali mewarnai konsep kesejagatan.

Dalam kalangan anak tempatan pula, perangai dan tingkah laku sesetengah mereka setaraf dengan pelajar ?antarabangsa?. Ada yang menubuhkan kumpulan samseng untuk panjat pagar ke pusat internet. Tidak terkecuali juga yang merokok di kawasan sekolah, atau ketika suhu sedang panas, mereka bergasak menunjukkan kehebatan masing-masing.

Sebagai kawasan yang padat membangun di Lembah Klang, kawasan urban menjadi tumpuan pelbagai struktur sosial. Kehadiran ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah boleh dilihat darjat masing-masing. Ada yang berkereta mewah, tidak terkecuali sekadar Kancil atau motosikal usang. Tentunya pelajar dari rumah agam tidak sama dengan kelompok dari kawasan flet dan rumah setinggan. Cara hidup dan perbezaan darjat menimbulkan kejutan sosial luar biasa. Apatah lagi ibu dan bapa mereka sebahagian daripada masyarakat dunia yang sentiasa tekun dan cekal mencari rezeki di pelbagai sektor pekerjaan.

Ramai juga yang bergelar tan sri, datuk seri, datuk, tengku di samping yang sekadar dipanggil encik atau pak saja. Kepelbagaian ini membentuk kelainan sikap dan sifat pelajar itu sendiri. Kelainan juga yang membezakan latar belakang pendidikan dan sosioekonomi keluarga.

Urbanisasi membawa nilai tersendiri dalam masyarakatnya. Percampuran nilai membentuk kepelbagaian cara hidup dan bertindak. Memang diakui sekolah adalah institusi penting dalam menjayakan misi transformasi negara. Sesebuah kelompok dengan kepelbagaian keturunan, agama dan budaya mencorakkan Malaysia dengan segala kemungkinan.

Risiko pelajar di kawasan urban adalah mudah terdedah kepada gejala di persekitaran. Pelbagai pusat beli-belah, kafe siber, pusat snuker dan rumah urut boleh mengundang dugaan yang luar biasa.

Statistik menunjukkan 1,836 kes jenayah membabitkan pelajar sepanjang 2007 di seluruh negara. Pada 2008, kes meningkat kepada 3,383.

Pada tahun lalu angkanya lebih 4,000 orang dan lebih 60 peratus membabitkan kejadian di kawasan bandar dan urban.

Peningkatan luar biasa ini tentunya memerlukan tindakan holistik. Ketika kita bercakap mengenai Malaysia maju menjelang 2020, wajar juga kita melihat masalah dasar  yang melingkari masyarakat.

Ada ketikanya anak terasa sepi apabila pulang dari sekolah. Hanya rumah kosong dilengkapi perabot tanpa jiwa ibu dan ayah yang sedang sibuk mencari rezeki. Kesepian ini akhirnya memaksa generasi muda mencari teman sesama mereka.

Alam siber dan kemudahan digital membentuk sikap yang tidak pernah kita fikirkan 20 tahun lalu. Akhirnya mereka terjebak dan kita hanya menyedari apabila anak semakin jauh daripada ibu bapa.

Tentunya kejadian di sesebuah sekolah itu tidak berakhir begitu saja. Kesan jangka panjang tentunya menakutkan kita. Proses kemajuan dan urbanisasi terlalu mahal padahnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Profesor Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama strategik


JAKARTA - Majlis Profesor Negara (MPN), sebuah badan yang menghimpunkan para pemikir di kalangan profesor institusi pendidikan tinggi di Malaysia, mengorak langkah memperkasakan bidang pendidikan tinggi Malaysia di nusantara melalui kerjasama strategik bidang akademik dengan Indonesia.
  
Majlis itu memulakan langkah bersejarah dengan menemui sekumpulan profesor institusi pendidikan tinggi Indonesia menerusi program Jaringan Keilmuan MPN Dengan Kumpulan Guru Besar (Profesor) Universiti-universiti Indonesia di Jakarta pada hari ini hingga Khamis ini.
  
Kerjasama keilmuan antara kedua-dua badan profesor itu, yang mendapat sokongan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sekali gus mengukuh dan mempereratkan lagi hubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia, kata Education Malaysia (EM) Indonesia dalam satu kenyataan hari ini.
  
Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid berpendapat kerjasama di pelbagai peringkat wajar diperluaskan terutama di dalam bidang akademik demi menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara.
  
Program Jaringan Keilmuan MPN Dengan Kumpulan Guru Besar Universiti-universiti Indonesia itu mempunyai objektif untuk mewujudkan satu wadah pertukaran dan percambahan input intelektual dalam membincangkan agenda kritikal bagi ahli-ahli akademik dari Malaysia dan Indonesia.

Menurut kenyataan itu, program  berkenaan boleh memberi kesan kepada usaha menjana kecemerlangan kepimpinan akademik, kepimpinan penyelidikan dan inovasi serta kepimpinan pembelajaran dan pengajaran di dalam dan di luar negara.
  
Ia juga dijangka dapat menggerakkan pelan transformasi kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan dengan lebih mantap dan berkesan selaras dengan kehendak masa ini.
  
"Program ini diharapkan dapat membina rangkaian dan hubungan kerjasama MPN dan negara-negara luar di samping mempromosikan model pembangunan kepimpinan akademik Malaysia," menurut kenyataan itu. - Bernama

ISU EKONOMI : Didik anak urus kewangan


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dewasa ini, pengurusan kewangan keluarga adalah perkara yang sangat penting. Konsep pengurusan kewangan bukan sahaja terhad kepada golongan dewasa, malah ia perlu diterapkan kepada akar umbi lagi.

Anda perlulah mendedahkan anak-anak kepada pengurusan kewangan bermula daripada sekarang. Ini dapat membantu dalam mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan anda.

Dengan harga barang runcit yang semakin meningkat, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada kesemua ahli keluarga dan anak-anak.

Mungkin ada di kalangan ibu bapa yang tertanya-tanya “Perlukah kita mendidik anak-anak mengenai wang?” Teruskan membaca untuk mengetahui jawapannya.

1. Terapkan nilai dan asas yang kukuh pada anak

Mahu atau tidak, anda perlu mengakui bahawa pengurusan kewangan ialah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang di mana semuanya memerlukan duit.

Malangnya, ramai dalam kalangan ibu bapa gagal mendidik anak mereka mengenai asas pengurusan kewangan. Ini perlu diubah kerana mendidik anak mengenai wang adalah sama penting dengan mengajar perkara asas lain seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya.

Pengajaran paling penting kepada anak ialah kepentingan menabung dan mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan anak.

2. Duit tidak turun dari langit

Mungkin ada anak zaman sekarang tidak menganggap mendapatkan duit itu satu perkara sukar. Semuanya dianggap mudah oleh mereka.

Cubalah bayangkan senario yang benar-benar berlaku ini – seorang anak kecil meminta ibunya membelikan mainan baru tetapi ibunya tidak mempunyai duit yang cukup untuk membelikannya mainan tersebut, lalu dia berkata “Mak tak cukup duit nak belikan adik mainan ni”.

Si anak pula dengan lurusnya menjawab “ATM kan ada. Mak keluarkan je la duit dari mesin ATM tu”. Inilah fikiran kanak-kanak zaman sekarang! Menakutkan bukan? Bagi mereka, wang yang dikeluarkan mesin ATM itu tidak ada kesudahannya, dan anda boleh ke mesin ATM pada bila-bila masa untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang anda mahu.

Kanak-kanak akan melalui satu peringkat dalam  hidup mereka di mana mereka ingin memiliki pelbagai benda. Mereka mahukan itu, mahukan ini dan macam-macam lagi.

Mereka tidak sedar bahawa untuk mendapatkan wang, anda sebagai ibu bapa perlu bekerja keras. Tidak semua yang dihajatkan boleh menjadi milik mereka. Apabila anak sudah sampai ke peringkat ini, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.

3. Mendisiplinkan anak anda mengenai wang

Antara pengajaran yang paling penting dalam usaha anda mendidik anak mengenai pengurusan kewangan ialah anak perlu mengetahui bahawa mereka harus mempunyai disiplin dalam berbelanja dan menguruskan wang.

Ramai kalangan ibu bapa yang mungkin menggeleng kepala dan mengeluh sambil berkata, “Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu. Bukan senang nak diajar untuk berdisiplin”. Anda boleh berbahas mengenai isu disiplin ini, namun apa yang pasti ialah disiplin itu satu keperluan.

Anak perlu mempunyai disiplin, sama ada dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan mahupun sekadar dalam tabung di rumah.

Ketika anak mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak serta perlunya menabung, disiplin yang diperoleh dalam usaha mereka menabung dan mengawal diri daripada membazir akan menjadi satu pengajaran yang boleh digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan kelak. Mereka akan berusaha dengan lebih gigih untuk berbelanja mengikut kemampuan diri dan meringankan beban anda.

4. Elak jadi Generasi Hutang

Ramai anak kita yang masih menuntut di universiti sudah pun mempunyai hutang yang perlu mula dibayar apabila tamat pengajian. Contohnya pinjaman pelajaran. Apa yang dikhuatiri ialah apabila memasuki alam pekerjaan, bukan saja pinjaman pelajaran yang perlu dibayar  tetapi ditambah dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya.

Jika hutang ini tidak dikawal, mereka mungkin akan dibelenggu hutang untuk tempoh lama dan mungkin juga akan melarat sehingga mereka sudah berkeluarga.

Oleh itu, bagi mengelakkan anakanak daripada ditimpa masalah sebegini, anda perlu membimbing mereka mengenai perancangan kewangan sejak dari awal lagi.

5. Tanamkan sifat pemurah dan dermawan anak

Jika anak anda dapat menguruskan wang dengan lebih baik, mereka akan dapat menabung dan melabur wang yang telah dijimatkan itu.

Di samping itu juga, wang lebihan tersebut boleh digunakan untuk menderma atau menolong kawan atau orang susah. Inilah masanya untuk memberikan anak pendedahan kepada golongan kurang bernasib baik agar mereka tahu menilai kepentingan jati diri yang baik dan sentiasa bersyukur dengan segala kemewahan dan kesenangan yang dimiliki.

Dengan menggalakkan sikap dermawan dalam diri anak pada usia muda, mereka akan membesar sebagai individu yang mempunyai sifat terpuji dan menghargai kesan positif yang dibawa mereka kepada persekitaran dan masyarakat sekeliling.

Terdapat pelbagai lagi sebab mengapa mendidik anak mengenai wang itu penting,  tetapi sebab yang telah dibincangkan sudah memadai untuk menggalakkan anda mengorak langkah pertama dalam mendedahkan anak kepada pengurusan kewangan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Adegan Filem Punca Remaja Merokok



New York : Remaja yang menonton terlalu banyak filem dengan watak perokok boleh terpengaruh dan menjadi perokok dengan sendiri, kata sekumpulan penyelidik dalam satu kajian terbaru mereka.

Ketua penulis laporan berkata, keputusan itu menyokong idea bahawa merokok, kelakuan tidak sopan atau keganasan yang sering dikaitkan dalam sesetengah filem mampu mempengaruhi tabiat remaja.

“Filem dengan watak perokok memberi kesan buruk jika ia sebuah filem yang boleh ditonton remaja berusia 13 tahun dengan pengawasan ibu bapa (PG-13), berbanding filem kategori R (untuk remaja 17 tahun ke atas).

“Lebih banyak remaja melihat cara merokok menjadikan mereka dilihat seperti bintang filem,” kata Dr James Sargent, dari Sekolah Perubatan Giesel, di Dartmouth Lebanon, New Hampshire.

Sargent dan rakannya mengira berapa kali sesebuah watak dilihat merokok dalam setiap lebih 500 filem pecah panggung sejak beberapa tahun lalu.

Mereka kemudian melakukan soal jawab terhadap 6,500 kanak-kanak di Amerika Syarikat berusia 10 hingga 14 tahun yang dipilih secara rawak bagi 50 filem ditonton mereka.

Purata adegan merokok dalam filem adalah 275 adegan dari filem dengan kelas PG-13 dan 93 dari filem R, kata penyelidik berkenaan dalam laporan mereka di Pediatrics.

Temubual dengan kanak-kanak yang menonton filem sarat adegan merokok untuk memilih tabiat mereka sendiri.

Bagi setiap 500 adegan merokok tambahan dilaporkan dalam kajian awal, remaja terbabit berkata, sebanyak 33 hingga 49 peratus cuba meniru sepanjang dua tahun lalu.

Kesan terhadap adegan merokok tidak penting berbeza bagi filem PG-13 dan R. Kumpulan Sargent menganggarkan bahawa jika secara automatik sesebuah filem adalah kelas R, bilangan remaja yang cuba merokok menurun sebanyak 18 peratus. - Agensi

ISU BAHASA : Ke arah bahasa saintifik dan artistik

Bahasa baku boleh menjadi alat hubungan yang padu dan berkesan, saluran lahir emosi serta miliki nilai keindahan amat menyerlah

Oleh : DR HADIJAH RAHMAT

PENGAJARAN sebutan Baku bermula di sekolah Singapura pada tahun 1993 dan penggunaan di media radio dan televisyen mulai 1995.

Institut Pendidikan Nasional (NIE) sebagai satu-satunya institusi nasional yang melatih guru-guru bahasa Melayu di Singapura diperlukan untuk mendukung polisi-polisi pemerintah, termasuk juga dasar sebutan baku.

Sejak sebutan baku diterapkan dalam kurikulum Bahasa Melayu di sekolah lebih kurang 20 tahun lalu, kita sudah pun melihat hasil pendidikan ini di kalangan generasi muda yang positif dan menggalakkan.

Misalnya, kajian tesis sarjana oleh Pairah Satariman pada tahun 2007, ke atas sejumlah 300 pelajar menengah tiga dan 76 guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah menengah, menunjukkan bahawa 88.3 peratus pelajar mendapati bahawa sebutan baku membantu mereka dalam bacaan dan ejaan dan sekali gus membantu mereka mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah.

MUDAH BELAJAR

Peratus pelajar bukan Melayu yang mendapati bahawa sebutan baku membantu mereka dalam pembelajaran adalah lebih tinggi daripada pelajar Melayu.

Sebanyak 82.7 peratus berpendapat bahawa sebutan baku membantu mereka dalam bacaan dan ejaan dan 74.5 peratus bersetuju bahawa sebutan baku membantu mereka mempelajari bahasa dengan lebih mudah, berbanding dengan pelajar Melayu sebanyak 61.3 peratus dan 50.3 peratus bagi perkara yang sama.

Dapatan juga menunjukkan bahawa sebanyak 77.6 peratus guru berpendapat bahawa secara keseluruhan, pelaksanaan dan pendekatan sebutan baku di sekolah-sekolah menepati objektif pelaksanaannya.

Sebanyak 92.1 peratus pula bersetuju bahawa sebutan baku membantu pelajar dalam bacaan dan ejaan.

Kajian itu jelas menunjukkan bahawa sebutan baku ini telah membantu pelajar Melayu dan bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu, khususnya kemahiran mengeja dan membaca.

Pada masa yang sama, para pendengar radio di Singapura dan di luar Singapura yang mengikuti siaran stesen radio Warna dan Ria sudah pun menyaksikan penggunaan bahasa juruhebahnya agak lancar dan mesra di udara.

Kejayaan dua stesen radio ini telah mendorong seorang wartawan Berita Harian Malaysia, Zainuri Misfar, menulis pada Mei 2011, antara lain:

"Memang kali pertama mendengar bahasa Melayu dalam sebutan baku terasa agak lucu, tetapi lama-kelamaan ia menjadi sedap pula untuk didengar.

"Kita juga mendapati juruhebah yang ke udara tidak berasa kekok atau janggal apabila bertutur bahasa Melayu dalam sebutan baku ini.

"Walaupun menerima dan melayan panggilan daripada pendengar yang menggunakan bahasa Melayu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, tetapi penyampai atau juruhebah tetap dengan sebutan bahasa Melayu yang betul. Mereka tidak terikut-ikut atau mempersendakan pendengar."

Jelaslah daripada contoh-contoh daripada bidang pendidikan dan penyiaran telah banyak kemajuan yang diraih dan dapat dibanggakan melalui pelaksanaan sebutan baku di Singapura.

KECOH SEBUTAN

Tahun lalu, semasa timbul kekecohan tentang sebutan baku, saya telah mendapatkan pandangan kakitangan NIE mengenainya dan berikut adalah beberapa keprihatinan yang dikenal pasti:

i. Sebutan Johor-Riau sudah baku. Tidak perlu ditukar dengan sebutan baku yang lain.

ii. Model atau pedoman sebutan baku yang diketengahkan tidak berdasarkan 'penutur jati' (native speakers) Melayu.

iii. Buku panduan yang disiapkan oleh Malaysia terdapat beberapa kekurangan. Jika dituruti agak 'kaku' dan akan menimbulkan cara pertuturan yang tidak 'alamiah'.

iv. Pola pertuturan kita akan 'menyimpang' dan berbeza daripada Malaysia yang tidak meneruskan dasar sebutan ini.

v. Dari segi pengujian/testing dalam pengajaran bahasa, timbul masalah bahan yang tidak otentik.

vi. Sebutan bahasa Inggeris tidak seragam, tetapi penuturnya di serata dunia masih boleh memahami antara satu sama lain walaupun daripada  latar etnik dan negara yang berbeza.

Senarai keprihatinan tersebut wajar ditangani dan dihormati, seperti kita menghormati pandangan ramai lagi para sarjana bahasa dan pendidik bahasa.

Mungkin setelah 20 tahun, kita perlu menilai semula pemahaman, keyakinan dan iltizam kita terhadap bahasa dan bentuk pengucapannya.

Dalam kalangan para sarjana bahasa Melayu di Malaysia, kita tahu ada dua golongan yang berbeza:

i. Golongan yang mengemukakan sebutan baku berdasarkan pedoman DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), seperti Profesor Nik Safiah dan Profesor Awang Sariyan; dan;

ii. Golongan yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan golongan pengemuka seperti Profesor Asmah Haji Umar yang mahu mengekalkan sebutan yang sedia ada.

Perbezaan pandangan akademik para sarjana di Malaysia dirumitkan lagi dengan konflik politik dalam negara tersebut.

Saya percaya pihak Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah pun membuat penelitian, perbandingan dan menimbangkan hal ini dengan teliti sebelum membuat keputusan.

Ternyata, mereka menerima pandangan golongan sarjana pertama yang mengutarakan, malah telah mengambil para pengemuka seperti Profesor Nik Safiah dan Profesor Awang Sariyan sebagai pembimbing dalam kursus-kursus sebutan baku yang dijalankan.

Seperti ramai penutur, saya juga lebih selesa dengan sebutan Johor-Riau.

Tetapi saya juga sedar yang kita tidak harus dimanjakan oleh keselesaan, dan dibataskan oleh kebiasaan.

Kita perlulah keluar daripada ruang keselesaan ini untuk meraih potensi dan kelebihan sebutan baku yang berikut:

Kita ingin melihat ciri yang lebih saintifik dalam bahasa Melayu - keselarasan antara sistem ejaan dengan sebutan yang menjadikan ia lebih alat komunikasi yang padu dan berkesan.

Keselarasan ini akan memudahkan pengajaran dan pembelajaran bukan saja di kalangan orang kita, malah pelajar bukan Melayu di serata dunia. Ini penting untuk memudahkan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa dunia.

Kita mahu bahasa Melayu menjadi saluran pengucapan emosi, jiwa dan pemikiran yang lepas, ekspresif dan lengkap.

Saya rasakan satu ekspresionisme/penglahiran 'a' lebih dinamik/penuh/lepas/tidak terkongkong berbanding 'e'.

Misalnya kata 'Merdeka!'. Ada kesan psikologi yang lebih bebas, positif, dinamik dan humanis.

Ia boleh menukar jiwa Melayu yang masih malu-malu dan kurang yakin diri dan suka cara 'santai' (sikap 'tak apa') yang boleh dikikis melalui ketegasan penglahiran sebutan 'a'.

Kita mahu bahasa Melayu menjadi bahasa yang indah. Nilai estetika/keindahan amat menyerlah melalui sebutan baku.

Ini menyebabkan dendangan lagu dan persembahan puisi telah lebih dulu memilih sebutan baku ini, bukan dalam loghat Johor-Riau.

Bahasa yang saintifik, bahasa pengucapan yang lengkap; dan bahasa yang estetik, penuh keindahan makna, bentuk dan cara pengucapannya.

Itulah ciri dan citra unggul bahasa yang diinginkan. Saya yakin tiga ciri unggul bahasa tersebut juga diidamkan oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu, yang kini sudah lebih 200 juta orang.

TUNTUTAN GLOBAL

Sebutan Johor-Riau telah mengisi keperluan zaman kesultanan Johor-Riau, abad ke-16 hingga 18 Masihi lalu, zaman sebelum empayar Inggeris dan Belanda menguasai Alam Melayu. Zaman kegemilangan yang telah melahirkan teks klasik seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Perkembangan bahasa Melayu kini dalam konteks global, membuka bahasa Melayu kepada sistem bunyi yang lebih rencam, yang mungkin menelan unsur bunyi dan identiti asalnya.

Ini sekali gus menuntut kita menilai semula keampuhan dasar dan pedoman sebutan baku kita, sama ada yang berpaksikan model eka pusat (sebutan loghat Johor-Riau) sahaja dan juga yang dwipusat (sebutan loghat Johor-Riau dan sebutan loghat Utara Semenanjung).

Sebenarnya, kita harus berani memandang lebih jauh ke hadapan, mencuba, meneroka dan membina sebuah pusat bahasa dan budaya yang baru, memanfaatkan pelbagai sumber tradisi dan baru di luar wilayah tradisional dunia Melayu.

Bukan pusat secara fizikal, tetapi pusat nadi yang meneraju gerakan bahasa dan budaya Melayu yang hidup subur.

Kita berada dalam abad ke-21 dan keperluan serta cabaran abad ini amat besar, termasuk menukar paradigma pemikiran dan cara hidup.

Pusat-pusat bahasa, budaya dan tamadun dunia sering berubah, digantikan oleh pusat tamadun baru yang lebih gagah ilmu, teknologi dan budaya masyarakatnya.

Untuk mengisi impian abad ke-21, kita memerlukan perancangan semula bahasa dan budaya yang lebih radikal, proses rekayasa (engineering) bahasa dan kebudayaan Melayu, yang sistematik lagi mencabar untuk mengangkat martabat bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Ini juga bermakna kita juga harus lebih berani dan bersedia untuk membina dan mencipta semula (reinvent) minda, identiti bahasa dan kebudayaan kita.

Gagasan awal ini telah saya kemukakan tujuh tahun lalu dalam seminar Kementerian Pendidikan Singapura pada tahun 2005 dalam kertas kerja bertajuk Membina Semula Rumah Budaya Melayu di Perkampungan Sejagat - Visi Pendidikan Bahasa Melayu Selanjutnya, dan kertas seminar Dunia Melayu Dunia Islam berjudul Membina Minda dan Budaya Melayu Melalui Perekayasaan Pendidikan Bangsa anjuran Jamiyah dan Majlis Pusat, pada 25 Ogos 2007.

Sebagai institusi akademik, NIE berpendapat cara terbaik untuk mengatasi permasalahan ini ialah melalui wacana akademik yang bersifat objektif, terbuka demi kepentingan bersama.

Ia perlu berasaskan ilmu yang kukuh dan sikap yang progresif.

Penilaian yang menyeluruh atau holistik lebih utama berbanding pandangan peribadi yang subjektif dan mungkin berbeza kerana latar, cita rasa dan keperluan masing-masing yang berbeza.

Kita juga perlu sedar bahawa banyak perubahan telah berlaku dalam bidang ilmu dan juga kehidupan masyarakat sejak 20 tahun lalu.

Semua ini perlu diambil kira dalam membuat penilaian dan penghalusan polisi dan proses pelaksanaannya.

BUKU PANDUAN BARU

Dengan harapan dan rasa tanggungjawab inilah maka sebuah kumpulan kajian mengenai sebutan baku telah dibentuk pada tahun 2007 untuk meneliti perkara ini.

Jawatankuasa ini terdiri daripada tiga pakar bahasa yang bertugas di Jabatan - Profesor Madya Paitoon M. Chaiyanara, Profesor Madya Dr Roksana Abdullah dan Dr Sanat Md. Nasir.

Mereka telah memulakan kajian sejak lima tahun lalu.

Kajian ini adalah selaras dan mengisi saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan, yang saya pengerusikan, pada tahun 2005.

Perjuangan mengangkat bahasa perlu kebijaksanaan, keyakinan, ketabahan dan pengorbanan.

Kita perlu bergerak terus kerana banyak cabaran bahasa, seperti cabaran bahasa Inggeris, soal krisis nilai dan adab yang perlu ditangani.

Jangan jadikan isu sebutan sebagai penghalang dan menyempitkan tumpuan kita.

Jika cepat kita sepakat mencari jalan penyelesaiannya, maka akan lebih baiklah imej bahasa dan masyarakat Melayu.

Akan lebih mudah dan pantas kita bergerak ke hadapan untuk menyahut cabaran baru pula.

Nota : Rencana ini adalah sedutan daripada ucapan panjang penulis, timbalan ketua Kumpulan Bahasa dan Kebudayaan NIE.


Sumber : http : //cyberita.asia1.com.sg