JAKARTA - Majlis Profesor Negara (MPN), sebuah badan yang
menghimpunkan para pemikir di kalangan profesor institusi pendidikan tinggi di
Malaysia, mengorak langkah memperkasakan bidang pendidikan tinggi Malaysia di
nusantara melalui kerjasama strategik bidang akademik dengan Indonesia.
Majlis itu memulakan langkah bersejarah dengan menemui
sekumpulan profesor institusi pendidikan tinggi Indonesia menerusi program
Jaringan Keilmuan MPN Dengan Kumpulan Guru Besar (Profesor)
Universiti-universiti Indonesia di Jakarta pada hari ini hingga Khamis ini.
Kerjasama keilmuan antara kedua-dua badan profesor itu, yang
mendapat sokongan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin, sekali gus mengukuh dan mempereratkan lagi hubungan strategik antara Malaysia
dan Indonesia, kata Education Malaysia (EM) Indonesia dalam satu kenyataan hari
ini.
Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid
berpendapat kerjasama di pelbagai peringkat wajar diperluaskan terutama di
dalam bidang akademik demi menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara.
Program Jaringan Keilmuan MPN Dengan Kumpulan Guru Besar
Universiti-universiti Indonesia itu mempunyai objektif untuk mewujudkan satu
wadah pertukaran dan percambahan input intelektual dalam membincangkan agenda
kritikal bagi ahli-ahli akademik dari Malaysia dan Indonesia.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan boleh memberi kesan kepada usaha
menjana kecemerlangan kepimpinan akademik, kepimpinan penyelidikan dan inovasi
serta kepimpinan pembelajaran dan pengajaran di dalam dan di luar negara.
Ia juga dijangka dapat menggerakkan pelan transformasi
kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan dengan lebih mantap dan berkesan
selaras dengan kehendak masa ini.
"Program ini diharapkan dapat membina rangkaian dan
hubungan kerjasama MPN dan negara-negara luar di samping mempromosikan model
pembangunan kepimpinan akademik Malaysia," menurut kenyataan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan