Oleh : Imlan Adabi
Ia tidak pernah diisytiharkan sebagai model 1Malaysia. Ia
hanya sebuah sekolah di pinggir kota yang mempunyai lebih 5,000 pelajar.
Sebagai kawasan urban, proses kepadatan pelajar amat luar biasa.
Ketika dibuka hampir 10 tahun lalu, pelajarnya sekitar 2,500
orang, kini jumlahnya bertambah 100 peratus. Pelbagai kaum dan etnik mewarnai
sekolah itu. Melayu, India, Cina, Siam, Portugis, Iban dan Kadazan mewarnai
konsep 1Malaysia. Justeru, pelbagai loghat seperti Kelantan, utara Semenanjung,
Jawa, Bugis dan Aceh juga kedengaran. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) sekolah sering bersikap sinis: ?Sekolah kami dah capai standard tinggi.
Sekolah antarabangsa!?
Kata-katanya mudah dimengertikan. Selain anak penduduk
tempatan, pelajar yang ibu bapanya berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar,
Iran, Pakistan dan India juga tidak terkecuali mewarnai konsep kesejagatan.
Dalam kalangan anak tempatan pula, perangai dan tingkah laku
sesetengah mereka setaraf dengan pelajar ?antarabangsa?. Ada yang menubuhkan
kumpulan samseng untuk panjat pagar ke pusat internet. Tidak terkecuali juga
yang merokok di kawasan sekolah, atau ketika suhu sedang panas, mereka bergasak
menunjukkan kehebatan masing-masing.
Sebagai kawasan yang padat membangun di Lembah Klang,
kawasan urban menjadi tumpuan pelbagai struktur sosial. Kehadiran ibu bapa yang
menghantar anak ke sekolah boleh dilihat darjat masing-masing. Ada yang
berkereta mewah, tidak terkecuali sekadar Kancil atau motosikal usang. Tentunya
pelajar dari rumah agam tidak sama dengan kelompok dari kawasan flet dan rumah
setinggan. Cara hidup dan perbezaan darjat menimbulkan kejutan sosial luar
biasa. Apatah lagi ibu dan bapa mereka sebahagian daripada masyarakat dunia
yang sentiasa tekun dan cekal mencari rezeki di pelbagai sektor pekerjaan.
Ramai juga yang bergelar tan sri, datuk seri, datuk, tengku
di samping yang sekadar dipanggil encik atau pak saja. Kepelbagaian ini
membentuk kelainan sikap dan sifat pelajar itu sendiri. Kelainan juga yang membezakan
latar belakang pendidikan dan sosioekonomi keluarga.
Urbanisasi membawa nilai tersendiri dalam masyarakatnya.
Percampuran nilai membentuk kepelbagaian cara hidup dan bertindak. Memang
diakui sekolah adalah institusi penting dalam menjayakan misi transformasi
negara. Sesebuah kelompok dengan kepelbagaian keturunan, agama dan budaya
mencorakkan Malaysia dengan segala kemungkinan.
Risiko pelajar di kawasan urban adalah mudah terdedah kepada
gejala di persekitaran. Pelbagai pusat beli-belah, kafe siber, pusat snuker dan
rumah urut boleh mengundang dugaan yang luar biasa.
Statistik menunjukkan 1,836 kes jenayah membabitkan pelajar
sepanjang 2007 di seluruh negara. Pada 2008, kes meningkat kepada 3,383.
Pada tahun lalu angkanya lebih 4,000 orang dan lebih 60
peratus membabitkan kejadian di kawasan bandar dan urban.
Peningkatan luar biasa ini tentunya memerlukan tindakan
holistik. Ketika kita bercakap mengenai Malaysia maju menjelang 2020, wajar
juga kita melihat masalah dasar yang melingkari masyarakat.
Ada ketikanya anak terasa sepi apabila pulang dari sekolah.
Hanya rumah kosong dilengkapi perabot tanpa jiwa ibu dan ayah yang sedang sibuk
mencari rezeki. Kesepian ini akhirnya memaksa generasi muda mencari teman
sesama mereka.
Alam siber dan kemudahan digital membentuk sikap yang tidak
pernah kita fikirkan 20 tahun lalu. Akhirnya mereka terjebak dan kita hanya
menyedari apabila anak semakin jauh daripada ibu bapa.
Tentunya kejadian di sesebuah sekolah itu tidak berakhir
begitu saja. Kesan jangka panjang tentunya menakutkan kita. Proses kemajuan dan
urbanisasi terlalu mahal padahnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan