Selasa, 31 Januari 2012
ISU BAHASA : Kesilapan ejaan Malaysia pada tulisan jawi logo halal Jakim
HAMID DAUD
Kuala Lumpur
BARU-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom telah melancarkan Kempen Kesedaran Halal berkaitan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Berita mengenainya sekali lagi disiarkan oleh sisipan Mega Utusan Malaysia pada Jumaat pada 13 Januari 2012.
Pada majlis tersebut Jamil Khir memperkenalkan logo halal yang baru keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Difahamkan logo tersebut akan dicetak pada semua bungkusan makanan atau barang-barang lain oleh syarikat-syarikat tempatan di mana barang-barang keluaran mereka mendapat kelulusan halal dari Jakim.
Dukacita pada logo tersebut terdapat kesilapan pada ejaan jawi di mana nama negara Malaysia telah dieja kepada Malayzia. Dan difahamkan nama Malayzia tidak ada disebut oleh mana-mana negara di dunia ini. Di negara-negara Arab di Timur Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.
Jakim sewajarnya mencontohi Bank Negara Malaysia (BNM) di mana semua wang kertas keluaran BNM didapati betul dalam ejaan tulisan jawi.
Ejaan betul pada semua wang kertas tersebut dieja 'min lam ya sin ya alif' dan bukannya ejaan salah iaitu 'min alif lam ya zai ya alif' seperti terdapat di logo halal tersebut.
Nama negara Malaysia ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia mestilah dihormati sama ada dalam bentuk ejaan pada semua tulisan atau sebutan. Dengan kesilapan itu seolah-olah Jakim tidak prihatin kepada tulisan jawi dalam ejaan Melayu. Kesilapan itu juga boleh membawa kepada kekeliruan di kalangan murid-murid sekolah.
Saya percaya Jakim telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk memperkenalkan logo baru itu termasuklah mencetak sijil halal, banner, baju pegawai penguatkuasa yang ada logo tersebut dan lain-lain lagi.
Atas kelemahan dan kesilapan itu, syarikat-syarikat juga akan mengalami kerugian kos atau tenaga kerja jika pembetulan grafik di logo itu terpaksa dibuat pada bungkusan-bungkusan keluaran mereka yang sudah siap dicetak dan hanya menunggu untuk diedarkan di pasaran tempatan atau ke luar negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
NOTA HUJUNG:
Berikut komen yang diberikan oleh Mohd Nasir Sulaiman (Penolong Pengarah Cawangan Pengeluaran Sijil dan Logo Halal JAKIM)
1. Ia bukanlah Logo Halal Baru kerana telah diperkenalkan sejak tahun 2003. Dahulunya ia dikenali sebagai Logo Halal JAKIM. Kini ia dikenali Logo Halal Malaysia. Penjenamaan yang melambangkan penyatuan agensi pengurusan hal ehwal Islam. Transformasi untuk memperkasakan pensijilan halal Malaysia.
2. "Difahamkan logo tersebut akan dicetak ... ". ULASAN PENULIS : MEMANGLAH LOGO HALAL AKAN DICETAK PADA PRODUK BAGI TUJUAN PEMASARAN SETELAH IA MENDAPAT PENSIJILAN HALAL MALAYSIA UNTUK MEMBERIKAN KEYAKINAN KEPADA PENGGUNA AKAN STATUS KESUCIANNYA. PERKARA INI MEMANG SUDAH SEDIA MAKLUM.
3. Encik Hamid Daud tidak perlu berdukacita atas kesilapan ejaan jawi pada logo halal tersebut. Di sini, saya paparkan spesifikasi Logo Halal Malaysia untuk tatapan seluruh pembaca. Tak perlulah saya menghurai secara panjang lebar. PERSOALANNYA ADAKAH ENCIK HAMID TAHU MEMBEZAKAN ANTARA TULISAN JAWI & PERKATAAN ARAB?!
4. JAKIM tidak prihatin dengan tulisan jawi dalam ejaan Melayu? ULASAN : SAYA MENYARANKAN ENCIK HAMID BERKUNJUNG KE WEBSITE JAKIM http://www.islam.gov.my/ Cuba lihat pada ejaan jawi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Adakah itu membuktikan JAKIM tidak prihatin ejaan jawi?!
5. Murid-murid sekolah tidak keliru dengan tindakan JAKIM menggunakan perkataan Arab dalam logo tersebut. Sebaliknya, kekeliruan itu berlegar pada golongan yang gemar mengkritik tanpa asas keilmuan yang benar. Tulisan jawi & perkataan Arab pun tidak boleh dibezakan.
6. Memanglah JAKIM mengeluarkan belanja yang besar untuk memperkenalkan logo halal Malaysia tapi malangnya ramai golongan gemar memerah otak berfikir/bertindak secara negatif dari berfikir/bertindak ke arah kemaslahatan ummah.
ISU PERKHIDMATAN AWAM : Semua organisasi tidak perlu gentar dengan juruaudit
Oleh ROHAMI SHAFIE
APABILA disebut sahaja juruaudit, ada yang gusar seolah-olah juruaudit adalah penjenayah yang sedang mengacu pistol di kepala mereka. Kedatangan juruaudit ke sesebuah organisasi bagi melaksanakan kerja-kerja pengauditan seringkali menggerunkan kakitangan organisasi tersebut.
Tidak kira, sama ada organisasi tersebut di sektor swasta mahupun awam, kedatangan juruaudit sememangnya tidak dialu-alukan. Persepsi negatif sebegini tidak langsung membantu untuk memajukan organisasi berkenaan. Malahan persepsi sebeginilah selalunya akan merencatkan segala aktiviti yang sedang dan akan dijalankan oleh organisasi berkenaan.
Dalam konteks yang lebih besar lagi, juruaudit mempunyai peranan amat penting dalam memacu kemajuan ekonomi sesebuah negara. Umpamanya, terdapat banyak kajian empirikal yang menunjukkan betapa besarnya peranan juruaudit luar dalam memastikan kekukuhan bursa saham sesebuah negara dengan membina keyakinan tinggi di kalangan para pelabur.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Jawapannya, juruaudit yang berkualiti tinggi (bebas dan kompeten) akan memberi keyakinan kepada para pelabur terhadap penyata kewangan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.
Maka, penyata kewangan yang diaudit oleh 'pihak ketiga' ini akan meyakinkan para pelabur dalam membuat sebarang keputusan pelaburan. Lebih-lebih lagi, jika laporan audit bersih (benar dan saksama) dikeluarkan oleh juruaudit luar dan kedudukan kewangan sesebuah syarikat amatlah kukuh, sudah tentulah para pelabur berminat untuk melabur di syarikat berkenaan.
Bayangkan pula terdapat banyak syarikat sebegini di sesebuah negara, maka, kesan positif akan kelihatan di bursa saham negara tersebut.
Ini apa yang berlaku di sektor swasta. Bagaimana pula peranan juruaudit di sektor awam di bawah tanggungjawab Jabatan Audit Negara yang diketuai oleh Ketua Audit Negara. Ketua Audit memperoleh mandat di bawah Perlembagaan Persekutuan (Perkara 106 dan 107) dan Akta Audit 1957.
Ketua Audit bebas daripada sebarang gangguan dan tidak bersikap memilih bulu. Ia berperanan mengawas, memantau dan memerhati dalam rangka akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Terdapat empat jenis pengauditan yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara.
Pertama, pengauditan penyata kewangan yang mana Ketua Audit Negara akan mengeluarkan pendapat atau laporan audit yang menggambarkan kedudukan penyata kewangan kerajaan persekutuan adalah benar dan saksama. Kedua, pengauditan pematuhan yang mana Ketua Audit Negara akan menilai sejauh mana Kementerian/Jabatan Persekutuan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan.
Ketiga, pengauditan prestasi yang lebih ke arah menilai sesuatu aktiviti Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Jenis pengauditan keempat ialah pengauditan pengurusan syarikat kerajaan yang lebih menjurus kepada pengurusan syarikat kerajaan agar dijalankan secara teratur.
Tujuan utama melaksanakan keempat-empat jenis pengauditan ini adalah untuk memastikan adanya check and balance agar wang rakyat yang dikutip melalui cukai digunakan sebaik mungkin. Dengan kata mudah, Ketua Audit Negara berperanan besar melindungi setiap sen wang rakyat.
Maka, prinsip akauntabiliti sentiasa diketengahkan dan ditekankan di kalangan penjawat-penjawat awam. Namun demikian, ramai yang beranggapan Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara berperanan untuk mencari kesalahan dan penyelewengan.
Tanggapan salah inilah yang menyebabkan ramai khuatir dengan kedatangan mereka dalam proses menjalankan kerja-kerja pengauditan. Kerja-kerja menyiasat penyelewengan di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdapat juga pihak-pihak berkepentingan melantik akauntan forensik dalam menyiasat sebarang penipuan. Akauntan forensik selalunya dilantik di kalangan juruaudit bebas (firma-firma pengauditan).
Oleh kerana salah tanggapan mengenai peranan juruaudit, juruaudit sering dipersalahkan seolah-olah mereka berperanan besar mencari penipu, perasuah dan penyeleweng.
Penulis mengambil contoh, dalam pengauditan prestasi, ia lebih ke arah menilai dan memeriksa sejauh manakah aktiviti-aktiviti kerajaan persekutuan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berhemah.
Apa yang dinilai ialah impak dan outcome aktiviti-aktiviti berkenaan dalam mencapai objektif yang ditetapkan. Sesuatu aktiviti tidak dikira gagal selagi belum melebihi tempoh sasaran untuk mencapai objektif-objektif berkenaan. Namun demikian, dalam mana-mana aktiviti pastinya ada kelemahan kerana sudah menjadi lumrah alam tiada aktiviti yang bersifat sempurna.
Aktiviti-aktiviti ini kesemuanya dilaksanakan oleh manusia, maka, kesempurnaan itu mustahil dapat dicapai. Justeru, teguran yang dibuat oleh Ketua Audit Negara bertujuan memastikan kelemahan-kelemahan ini ditangani secara berhemah dan tersusun bagi mencapai objektif-objektif aktiviti berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Selain itu, peranan Ketua Audit Negara adalah bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan supaya rakyat mendapat manfaatnya. Sekali lagi, teguran-teguran membina akan dibuat oleh Ketua Audit Negara bagi sebarang kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan.
Maka, usahlah menganggap bahawa teguran ini sesuatu yang negatif sedangkan kesan positifnya jentera kerajaan akan lebih cekap dan sistematik. Teguran-teguran ini termasuklah dalam meningkat tadbir urus kerajaan dan memberi kesedaran betapa pentingnya pengurusan kewangan kerajaan diurus secara berhemah.
Secara kesimpulan, setiap organisasi tidak perlu gentar dengan juruaudit, jauh sekali menganggap mereka musuh yang amat menggerunkan. Memahami peranan juruaudit dan mengambil kira segala teguran mereka secara positif bukan sahaja mempercepatkan kemajuan sesebuah organisasi tetapi juga menjadikan ekonomi sesebuah negara lebih mantap dan mapan.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia
ISU SOSIAL : Memahami nilai kebebasan orang muda
Oleh Mohamad Abdullah
rencana@hmetro.com.my
ANAK muda dikatakan berdarah panas dan sering mempunyai pemikiran tersendiri, memberontak dan enggan menerima nilai dan norma.
Dengan istilah lain, mereka mempunyai hasrat, keinginan dan kepercayaan sendiri terhadap banyak perkara.
Hal ini terus diperdebatkan kerana jurang usia dan generasi sering menjadikan golongan lebih berusia payah untuk memahami corak pemikiran, kehidupan dan keinginan mereka hari ini.
Contoh mudah ialah bagaimana kitaran masa yang berkualiti berubah sepenuhnya
Anak muda hari ini bersengkang mata hingga pagi untuk ‘berborak’ di alam maya atau melakukan aktiviti termasuk rekreasi dan sukan.
Ramai yang bermain pada waktu malam dan siang dihabiskan sebahagiannya untuk tidur atau melakukan kerja rutin.
Ibu bapa atau mereka lebih berusia mula merungut dan membebel dengan alasan ‘mereka terlebih dulu memakan garam’, sekali gus mendorong krisis nilai antara ibu bapa dan anak-anak.
Masalah yang timbul boleh menjurus kepada hal yang boleh memudaratkan sama ada kepada anak-anak yang ingin ‘difahami’ dengan ibu bapa, keluarga dan orang dewasa yang ingin ‘dihormati’.
Contohnya dalam pengurusan anak muda hari ini, khususnya mahasiswa di universiti, mereka memang berbeza berbanding yang memasuki universiti pada era 60-an, 80-an atau 90-an.
Tanyalah mereka yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengenai pengalaman ini. Pengurus mahasiswa yang bersikap ego, serba tahu dan ‘memerintah’ akan berhadapan dengan pelbagai kerenah dan cabaran.
Bagi anak muda ini, jika tidak dilakukan secara berhadapan, mereka bertindak dalam diam yang mendorong lahirnya kumpulan dianggap ‘penentang’ dan dikatakan ‘antiestablishment’ atau label lain yang sebenarnya tidak membantu dalam menangani jiwa muda ini.
Mereka yang menguruskan anak muda ini harus memahami segenap proses perubahan yang berlaku dalam masyarakat, daripada kecanggihan teknologi sehingga peranan media sosial.
Ada meminta dengan keras menyekat media sosial, menyalahkan kebebasan sedia ada dan menuduh anak muda tidak memahami akar umbi sejarah.
Malah, lebih banyak yang menuding jari daripada berusaha memahami dan meletakkan dirinya dalam nilai baru dengan penuh kebijaksanaan, berhemah dan menghormati anak muda ini.
Sebenarnya, anak muda ini bukanlah begitu sukar untuk difahami. Mereka lahir dalam zaman teknologi maklumat, kesenangan hidup yang paling tidak mempunyai kemudahan asas cukup dan kehidupan boleh dianggap senang.
Berbanding generasi sebelumnya yang walaupun ada yang hidup gelandangan, melalui kepayahan dan sebagainya, tetapi sentiasa mempunyai jalan keluar tersendiri bagi memastikan kelangsungan hidupnya.
Pendedahan kepada media dan pengaruhnya tidak harus diketepikan walaupun tidak semestinya benar. Malah, kesibukan ibu bapa, kesenangan rakan sebaya, keinginan untuk berjaya dan berseronok menjadi antara tarikan termasuk dalam kalangan mereka di universiti.
Malah, bukan perkara luar biasa apabila dana pinjaman untuk mengikuti pengajian digunakan bagi memenuhi tuntutan ini berbanding membeli buku atau melabur untuk masa depan.
Mengambil kira semua faktor ini, kebebasan menjadi teras dan asas utama dalam banyak tindakan mereka. Cara berfikir dan bertindak jauh berbeza.
Walaupun sesetengahnya mungkin agak perlahan, sebahagian besarnya menolak segala bentuk birokrasi, peraturan dan perkara yang menyekat apa yang ingin dilakukan.
Mereka kaya dengan idealisme dan sentiasa percaya boleh dilakukan walaupun ada ketikanya tindakan itu boleh dianggap menentang arus.
Adakah kita bersedia menghadapi segala kerenah ini? Bersediakah kita untuk menangani keperluan dan keinginan yang ada ini serta membuat ubah suai terhadap segala peraturan dan nilai yang ada.
Malah, mampukah kita menjadi seorang yang lebih banyak mendengar dan bertindak sebagai fasilitator daripada seorang pentadbir orang muda yang hanya berlandaskan kertas dan peraturan yang ada dalam buku?
Bagaimanakah pentadbir dan pengurus anak muda ini berfikir di luar kotak atau jauh ke hadapan bagi memudahkan golongan ini melaksanakan idealisme mereka?
Bagaimana pemikiran universal dan sejagat yang menolak nilai yang berasaskan kelompok tertentu dapat digunakan untuk memajukan bangsa dan negara dalam konteks lebih luas dan tanpa sempadan tertentu?
Inilah yang harus difahami dan difikirkan semua pihak terutama di institusi ilmu. Bersikap menyalahkan mereka semata-mata tidak akan menyelesaikan apa-apa, tapi berusaha memahami dan bersikap empati akan banyak membantu dalam kerangka kebebasan yang didambakan.
Ini termasuk kebebasan berfikir dan menentukan apa yang harus dicapai dan disumbangkan. Mereka inginkan cabaran dan bersedia berhadapan dengan risiko walaupun ini amat menggusarkan ibu bapa dan mereka yang dewasa.
Anak muda ini ingin melepaskan kemarahan dan tekanan hidup yang dilalui dengan cara sendiri. Mereka ingin menabur bakti dalam konsep yang lebih terbuka dan tanpa ada sempadannya.
Mereka tidak mudah percaya kepada retorik, tapi cepat menerima apa yang tampak nyata, apatah lagi jika ada yang cuba bersikap defensif dan memujuk secara membuta tuli.
Memahami inilah, maka kebebasan harus dilihat dan dinilai dalam konteks jelas dan terbuka. Berikan saja mereka ruang untuk bereksperimen dari seni dan budaya, muzik dan fesyen hinggalah menjalankan perniagaan dengan pemikiran tersendiri.
Membiarkan ruang yang ada kosong tanpa tindakan akan memudaratkan. Apatah lagi adanya pihak yang secara sengaja membakar semangat, mengapi-apikan dengan nilai kebencian dan mempengaruhi dengan tindakan tidak wajar termasuk membenci orang lain, mempersendakan keselamatan awam dan sebagainya kononnya atas prinsip kebebasan.
Oleh itu, sesiapa saja yang terbabit dalam pembangunan anak muda, harus membuka ruang yang seluasnya untuk mereka berkarya.
Biarkan kreativiti mereka berjalan tanpa sekatan tapi dipandu secara logik dan realistik. Cabar mereka dengan aktiviti yang berfaedah dalam bentuk material mahupun kejiwaan secara bijaksana dan kreatif.
Lihat saja pensyarah dan penceramah agama dengan cara bersahaja dan mengikut lenggok anak muda dengan cepat saja menawan hati mereka bukannya berbahasa basi dengan ayat berjela-jela, bercakap dalam nada ‘membaca’ dan memberikan arahan atau teguran secara keras dan ancaman yang akhirnya makin menjadikan mereka menjauhkan diri.
Inilah yang harus difahami, termasuklah apabila dikaitkan dengan politik kampus, mewujudkan budaya ilmu, perdebatan dan wacana yang berteraskan fakta dan ilmu juga usaha lain yang harus selari dengan perubahan sedia ada.
Jika kita serius ingin memahami dan membantu, selain memanfaatkan anak muda untuk pembangunan negara, perkara paling penting ialah berusaha memahaminya dan lebih banyak mendengar, lebih banyak bertindak dengan akal budi tinggi, memudahkan proses kerja dalam membantu menjalankan aktiviti mereka dan jadilah idola yang dihormati dan disayangi, bukan seorang yang ditakuti kerana kuasa dimiliki.
Kebebasan ini harus difahami dan ditangani secara terbuka dan matang tanpa sama sekali memperlekeh atau memandang rendah keupayaan mereka. Lihatlah keupayaan mereka termasuk mahasiswa dalam kaca mata zaman semasa, bukannya dengan nilai tidak difahami sebagai asas untuk membangunkan potensi.
Mereka adalah pemimpin masa depan dengan nilai dan kekayaan ilmu dalam konteks hari esok yang bermula hari ini. Hanya dengan memahami dan bersedia menerima kekurangan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, ia membuka lebih banyak ruang untuk terus diteroka dalam memberi makna kepada kebebasan orang muda menabur baktinya. Hormati dan sayangi mereka.
Penulis Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Sumber : http : //www.hmetro.com/
ISU SOSIAL : Jenayah pemerdagangan turun
Oleh Wan Faizal Ismayatim
KUALA LUMPUR: Usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia oleh Malaysia sejak 2009 mula menunjukkan kesan memberangsangkan apabila jumlah kes jenayah rentas sempadan itu menurun setiap tahun.
Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sepanjang 2011 hanya 116 kes dilaporkan di seluruh negara, iaitu penurunan 16 kes berbanding 132 pada 2010 dengan keseluruhannya 218 mangsa diselamatkan berbanding 471 pada tahun sebelumnya.
Pada masa sama, seramai 159 orang ditangkap sepanjang tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang berbanding 195 pada 2011.
Malaysia meningkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia secara serius selepas Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 17 negara pada Tahap Tiga Laporan Pemerdagangan Manusia, iaitu mempunyai rekod buruk dalam jenayah itu.
Bagaimanapun, berikutan kejayaannya sejak 2009, pada 2010 AS menaik taraf Malaysia ke Tahap Dua.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pencapaian itu bukan saja menunjukkan pembanterasan kegiatan pemerdagangan orang yang lebih berkesan, malah PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi lain turut berjaya melakukan tangkapan berkualiti.
Ia termasuk penahanan dalang utama dalam kegiatan jenayah terancang itu, khususnya membabitkan kes eksploitasi seks, perkhidmatan buruh paksa, penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sindiket penjualan bayi.
“Daripada 159 kes yang ditumpaskan pada 2011, 52 membabitkan eksploitasi seks, 45 perkhidmatan buruh paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sembilan tangkapan penjualan bayi dengan 132 tangkapan membabitkan rakyat Malaysia, 11 Myanmar dan enam warga Indonesia.
“Dalam tempoh sama, 55 mangsa warga Myanmar diselamatkan daripada cengkaman penjenayah pemerdagangan orang, selain 54 Indonesia dan 38 dari Pakistan dengan kebanyakannya wanita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Sementara itu, Mohd Bakri berkata, Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan 11,832 wanita warga asing yang terbabit dalam pelacuran sepanjang tahun lalu, dengan 5,922 adalah warga China, Vietnam (2,169) dan Thailand (1,492), menurun berbanding 11,919 tangkapan pada 2010.
Bagaimanapun, katanya, tangkapan wanita tempatan pula menunjukkan peningkatan ketara apabila 1,801 ditahan pada 2011 berbanding hanya 1,060 tahun sebelumnya.
“Kita dapati, sindiket kini mengubah modus operandi dengan membawa masuk wanita Timur Tengah bagi mengaburi pihak berkuasa selain permintaan pelanggan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, D7 Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara, melakukan 34,865 serbuan ke atas premis judi haram tahun lalu dengan 24,962 tangkapan, masing-masing peningkatan lebih 10,000 dan 4,000 serbuan serta tangkapan berbanding 2010.
“Bagi 2012, kita memutuskan turut membawa kaki judi ke mahkamah untuk didakwa, berbanding hanya pengendali perjudian atau premis sebelum ini,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU BAHASA : Pengabaian bahasa Melayu terus berleluasa di KL
Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my
Bahasa ibunda semakin bersaing untuk dijadikan nama taman perumahan, premis beli-belah
THE Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.
Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah nak sebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu.
Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan dan bangunan awam.
Kalau ada pun nama Melayu mungkin di kawasan separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.
Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020.
Jangan salahkan pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan.
Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.
Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan yang semuanya dikelompokkan sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap ‘pelanggar’ bahasa Melayu. Sesiapa saja boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan nama yang aneh.
Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah penggunaan perkataan ‘presint’ yang diubah daripada ‘precint’ di Putrajaya. Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA, kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan ‘presint’ dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud ‘kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan’.
Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan ‘precint’ bermaksud ‘ruang yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah’.
Pedulikan maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju.’
Barangkali demi memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Terbaru laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?
Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama ‘Jalan Pekeliling’ yang sepatutnya Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya ‘Circular Road!’ Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut Kuala Lumpur Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi.
Tidak jauh dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah Fatt!
Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!
Sumber : http : //www. bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Iktiraf guru dengan memuliakan majlis ilmu
Oleh Asri bin Md Saman @ Osman
Rasulullah model pendidik berpandangan jauh, beri teguran secara berhemah
ALLAH SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW adalah pendidik kepada semua manusia. Antaranya firman Allah yang bermaksud :
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” - Surah al-Jumuah, Ayat 2)
Selain dalil al-Quran, hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Asr juga membuktikan bahawa baginda SAW adalah pendidik :
“Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid. Di dalamnya ada dua kelompok, satu sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah dan satu lagi sedang berada di dalam majlis ilmu. Lalu baginda bersabda: kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah nescaya akan dikabulkan doa mereka atau tidak dikabulkannya, manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar dan sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik. Lantas baginda SAW duduk bersama mereka (Golongan majlis ilmu).”
Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW ialah pendidik terunggul dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Baginda mampu mendidik manusia yang begitu rosak akhlaknya sebelum kedatangan Baginda bertukar secara mendadak menjadi positif dan mampu mengamalkan akhlak yang terpuji. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, relevan dan sesuai untuk dipraktikkan sepanjang zaman.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.
Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.
Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.
Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.
Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.
Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.
Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru serta watak. Justeru, guru perlu bijak dalam menangani masalah yang timbul ketika berhadapan dengan pelajar terutama pada zaman yang penuh dengan dugaan ini.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar. Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.
Bagi seseorang pelajar pula perasaan kasih dan sayang terhadap guru perlu sentiasa tersemai di dalam jiwa masing-masing. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun tindakannya ada kalanya mengecewakan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan dari dunia hingga akhirat. Tambahan pula, Islam mengiktiraf guru sebagai orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita dari yang kurang baik kepada lebih baik, dari kejahilan kepada berpengetahuan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya”.(Al-Mawardi)
Kesimpulannya, guru yang memberi dan menyebarkan ilmu yang berguna adalah insan yang mulia di sisi Allah. Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak salih yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)
- Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman Jitra, Kedah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)