Selasa, 31 Januari 2012
ISU SOSIAL : Memahami nilai kebebasan orang muda
Oleh Mohamad Abdullah
rencana@hmetro.com.my
ANAK muda dikatakan berdarah panas dan sering mempunyai pemikiran tersendiri, memberontak dan enggan menerima nilai dan norma.
Dengan istilah lain, mereka mempunyai hasrat, keinginan dan kepercayaan sendiri terhadap banyak perkara.
Hal ini terus diperdebatkan kerana jurang usia dan generasi sering menjadikan golongan lebih berusia payah untuk memahami corak pemikiran, kehidupan dan keinginan mereka hari ini.
Contoh mudah ialah bagaimana kitaran masa yang berkualiti berubah sepenuhnya
Anak muda hari ini bersengkang mata hingga pagi untuk ‘berborak’ di alam maya atau melakukan aktiviti termasuk rekreasi dan sukan.
Ramai yang bermain pada waktu malam dan siang dihabiskan sebahagiannya untuk tidur atau melakukan kerja rutin.
Ibu bapa atau mereka lebih berusia mula merungut dan membebel dengan alasan ‘mereka terlebih dulu memakan garam’, sekali gus mendorong krisis nilai antara ibu bapa dan anak-anak.
Masalah yang timbul boleh menjurus kepada hal yang boleh memudaratkan sama ada kepada anak-anak yang ingin ‘difahami’ dengan ibu bapa, keluarga dan orang dewasa yang ingin ‘dihormati’.
Contohnya dalam pengurusan anak muda hari ini, khususnya mahasiswa di universiti, mereka memang berbeza berbanding yang memasuki universiti pada era 60-an, 80-an atau 90-an.
Tanyalah mereka yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengenai pengalaman ini. Pengurus mahasiswa yang bersikap ego, serba tahu dan ‘memerintah’ akan berhadapan dengan pelbagai kerenah dan cabaran.
Bagi anak muda ini, jika tidak dilakukan secara berhadapan, mereka bertindak dalam diam yang mendorong lahirnya kumpulan dianggap ‘penentang’ dan dikatakan ‘antiestablishment’ atau label lain yang sebenarnya tidak membantu dalam menangani jiwa muda ini.
Mereka yang menguruskan anak muda ini harus memahami segenap proses perubahan yang berlaku dalam masyarakat, daripada kecanggihan teknologi sehingga peranan media sosial.
Ada meminta dengan keras menyekat media sosial, menyalahkan kebebasan sedia ada dan menuduh anak muda tidak memahami akar umbi sejarah.
Malah, lebih banyak yang menuding jari daripada berusaha memahami dan meletakkan dirinya dalam nilai baru dengan penuh kebijaksanaan, berhemah dan menghormati anak muda ini.
Sebenarnya, anak muda ini bukanlah begitu sukar untuk difahami. Mereka lahir dalam zaman teknologi maklumat, kesenangan hidup yang paling tidak mempunyai kemudahan asas cukup dan kehidupan boleh dianggap senang.
Berbanding generasi sebelumnya yang walaupun ada yang hidup gelandangan, melalui kepayahan dan sebagainya, tetapi sentiasa mempunyai jalan keluar tersendiri bagi memastikan kelangsungan hidupnya.
Pendedahan kepada media dan pengaruhnya tidak harus diketepikan walaupun tidak semestinya benar. Malah, kesibukan ibu bapa, kesenangan rakan sebaya, keinginan untuk berjaya dan berseronok menjadi antara tarikan termasuk dalam kalangan mereka di universiti.
Malah, bukan perkara luar biasa apabila dana pinjaman untuk mengikuti pengajian digunakan bagi memenuhi tuntutan ini berbanding membeli buku atau melabur untuk masa depan.
Mengambil kira semua faktor ini, kebebasan menjadi teras dan asas utama dalam banyak tindakan mereka. Cara berfikir dan bertindak jauh berbeza.
Walaupun sesetengahnya mungkin agak perlahan, sebahagian besarnya menolak segala bentuk birokrasi, peraturan dan perkara yang menyekat apa yang ingin dilakukan.
Mereka kaya dengan idealisme dan sentiasa percaya boleh dilakukan walaupun ada ketikanya tindakan itu boleh dianggap menentang arus.
Adakah kita bersedia menghadapi segala kerenah ini? Bersediakah kita untuk menangani keperluan dan keinginan yang ada ini serta membuat ubah suai terhadap segala peraturan dan nilai yang ada.
Malah, mampukah kita menjadi seorang yang lebih banyak mendengar dan bertindak sebagai fasilitator daripada seorang pentadbir orang muda yang hanya berlandaskan kertas dan peraturan yang ada dalam buku?
Bagaimanakah pentadbir dan pengurus anak muda ini berfikir di luar kotak atau jauh ke hadapan bagi memudahkan golongan ini melaksanakan idealisme mereka?
Bagaimana pemikiran universal dan sejagat yang menolak nilai yang berasaskan kelompok tertentu dapat digunakan untuk memajukan bangsa dan negara dalam konteks lebih luas dan tanpa sempadan tertentu?
Inilah yang harus difahami dan difikirkan semua pihak terutama di institusi ilmu. Bersikap menyalahkan mereka semata-mata tidak akan menyelesaikan apa-apa, tapi berusaha memahami dan bersikap empati akan banyak membantu dalam kerangka kebebasan yang didambakan.
Ini termasuk kebebasan berfikir dan menentukan apa yang harus dicapai dan disumbangkan. Mereka inginkan cabaran dan bersedia berhadapan dengan risiko walaupun ini amat menggusarkan ibu bapa dan mereka yang dewasa.
Anak muda ini ingin melepaskan kemarahan dan tekanan hidup yang dilalui dengan cara sendiri. Mereka ingin menabur bakti dalam konsep yang lebih terbuka dan tanpa ada sempadannya.
Mereka tidak mudah percaya kepada retorik, tapi cepat menerima apa yang tampak nyata, apatah lagi jika ada yang cuba bersikap defensif dan memujuk secara membuta tuli.
Memahami inilah, maka kebebasan harus dilihat dan dinilai dalam konteks jelas dan terbuka. Berikan saja mereka ruang untuk bereksperimen dari seni dan budaya, muzik dan fesyen hinggalah menjalankan perniagaan dengan pemikiran tersendiri.
Membiarkan ruang yang ada kosong tanpa tindakan akan memudaratkan. Apatah lagi adanya pihak yang secara sengaja membakar semangat, mengapi-apikan dengan nilai kebencian dan mempengaruhi dengan tindakan tidak wajar termasuk membenci orang lain, mempersendakan keselamatan awam dan sebagainya kononnya atas prinsip kebebasan.
Oleh itu, sesiapa saja yang terbabit dalam pembangunan anak muda, harus membuka ruang yang seluasnya untuk mereka berkarya.
Biarkan kreativiti mereka berjalan tanpa sekatan tapi dipandu secara logik dan realistik. Cabar mereka dengan aktiviti yang berfaedah dalam bentuk material mahupun kejiwaan secara bijaksana dan kreatif.
Lihat saja pensyarah dan penceramah agama dengan cara bersahaja dan mengikut lenggok anak muda dengan cepat saja menawan hati mereka bukannya berbahasa basi dengan ayat berjela-jela, bercakap dalam nada ‘membaca’ dan memberikan arahan atau teguran secara keras dan ancaman yang akhirnya makin menjadikan mereka menjauhkan diri.
Inilah yang harus difahami, termasuklah apabila dikaitkan dengan politik kampus, mewujudkan budaya ilmu, perdebatan dan wacana yang berteraskan fakta dan ilmu juga usaha lain yang harus selari dengan perubahan sedia ada.
Jika kita serius ingin memahami dan membantu, selain memanfaatkan anak muda untuk pembangunan negara, perkara paling penting ialah berusaha memahaminya dan lebih banyak mendengar, lebih banyak bertindak dengan akal budi tinggi, memudahkan proses kerja dalam membantu menjalankan aktiviti mereka dan jadilah idola yang dihormati dan disayangi, bukan seorang yang ditakuti kerana kuasa dimiliki.
Kebebasan ini harus difahami dan ditangani secara terbuka dan matang tanpa sama sekali memperlekeh atau memandang rendah keupayaan mereka. Lihatlah keupayaan mereka termasuk mahasiswa dalam kaca mata zaman semasa, bukannya dengan nilai tidak difahami sebagai asas untuk membangunkan potensi.
Mereka adalah pemimpin masa depan dengan nilai dan kekayaan ilmu dalam konteks hari esok yang bermula hari ini. Hanya dengan memahami dan bersedia menerima kekurangan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, ia membuka lebih banyak ruang untuk terus diteroka dalam memberi makna kepada kebebasan orang muda menabur baktinya. Hormati dan sayangi mereka.
Penulis Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Sumber : http : //www.hmetro.com/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan