Jumaat, 28 Februari 2014

ISU GLOBAL : Kewibawaan Malaysia jadi kuasa tengah di Asia terbukti


Oleh : Mior Kamarul Shahid

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap mengenai peranan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa tengah di Asia. Ia adalah satu kenyataan dasar untuk menjelaskan pendirian Malaysia dalam hal ehwal luar khususnya pada peringkat global.

Malaysia, sejak merdeka, tidak pernah terasing daripada sebarang isu dunia. Dalam apa juga isu khususnya membabitkan keamanan sejagat, ekonomi, penindasan, kemiskinan, persengketaan dan peperangan, negara ini adalah peserta aktif yang sentiasa memberi sumbangan, sama ada pandangan atau bantuan secara fizikal.

Ada kalanya, idea Malaysia yang praktikal mendapat perhatian dunia dan dijadikan contoh menangani masalah baharu. Di negara yang memerlukan bantuan untuk mewujudkan keamanan khususnya bagi menyokong inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia tidak pernah ketinggalan.

Setakat ini tentera Malaysia sudah dihantar berkhidmat di banyak negara termasuk di zon perang demi membuktikan komitmen negara mewujudkan keamanan sejagat. Malaysia tidak nampak alasan dunia dipenuhi segala macam ancaman atas apa alasan sekali pun.

Rakyat dunia tidak seharusnya diheret oleh mana-mana kuasa atas apa saja alasan, sama ada meluaskan kuasa politik, wilayah, jajahan, meningkatkan kuasa ekonomi dan perdagangan, perbezaan agama dan warna kulit.

Paling awal hulur bantuan

Di negara yang memerlukan bantuan termasuk akibat kemiskinan, bencana alam dan penganiayaan kesan daripada pertikaian, Malaysia adalah antara negara paling awal menghulurkan bantuan. Walaupun dasar ini sudah lama diamalkan oleh Malaysia, ia tidak dihebohkan.

Sejak Malaysia diterajui Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib, dasar negara ini untuk mewujudkan keamanan dunia tidak pernah berganjak.

Najib juga memperkenalkan pergerakan kesederhanaan global berikutan kedudukan dunia yang diancam gerakan keganasan dan pelampau. Sebelum ini Malaysia melalui ASEAN memperjuangkan kewujudan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Z0PFAN) dan lantang menyuarakan fikiran dan bantahan jika berlaku tindakan yang cuba ‘menceroboh’ dasar itu.

Malaysia kemudian muncul jurucakap kepada negara dunia ketiga. Ini menyebabkan Malaysia sering menjadi tempat mengadu dan menjadi negara rujukan dalam apa juga isu membabitkan negara dunia ketiga.

Pembabitan cergas Malaysia dalam pelbagai pertubuhan antaranya Pertubuhan Negara-Negara Komanwel (CHOGM), Kumpulan 16 (G16), Kumpulan 8, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan 8 Negara Membangun (D8) dan sebagainya menyebabkan suara negara ini sering didengar.

Jika ada isu yang bertentangan dengan semangat dan cita rasa organisasi atau negara anggota pertubuhan berkenaan, Malaysia akan ke depan menyuarakan pandangan atau bantahan. Peranan yang dimainkan Malaysia itu diiktiraf dan jelas membuktikan dapat menyelesaikan banyak masalah.

Tidak gentar suarakan pandangan

Jika berlaku penindasan daripada kuasa besar terhadap sesebuah negara lain, Malaysia tidak gentar menyuarakan pandangan dan meminta isu itu diselesaikan segera. Jika terpaksa berkeras, menyindir atau mengherdik, Malaysia melakukannya menerusi platform sesuai termasuk di PBB atau melalui meja rundingan.

Jika membabitkan isu negara miskin, Malaysia akan meminta agar usaha berkesan diambil untuk mengatasinya dengan memberi idea menyelesaikannya secara bersama.

Jika bantuan diperlukan, Malaysia akan menghulurkannya terlebih dahulu sebagai rangsangan kepada negara lain untuk turut berbuat demikian. Hari ini, sudah banyak masalah yang menghantui negara tertentu satu ketika dulu sudah dapat diselesaikan.

Hari ini, Malaysia mengalihkan pula peranannya sebagai sebuah negara kuasa tengah berpandukan warisan pelbagai fungsi mewujudkan keamanan sejagat yang diperjuangkan sekian lama. Perjuangan sejagat Malaysia membabitkan soal politik antarabangsa dan kemajuan ekonomi negara dunia selain keadilan sosial masyarakat dunia.

Dengan peranan berkesan dimainkan, sewajarnya kedudukan Malaysia sebagai kuasa tengah lebih mudah diterima oleh negara dunia. Yang pasti, tidak semua negara boleh memainkan peranan kuasa tengah kerana ia memerlukan ciri-ciri tertentu.

Negara yang bersengketa, negara yang kedudukan ekonominya tidak kukuh, tidak mempunyai pemimpin yang boleh diterima umum dan sebagainya tidak boleh menjadi negara kuasa tengah. Kedudukan ekonomi negara kuasa tengah mesti kukuh dan mempunyai ciri-ciri negara maju.

Pemimpin negara kuasa tengah perlu mempunyai daya pemujukan yang tinggi dan berwibawa. Pemimpin negara kuasa tengah sering dipanggil berunding dan diminta memberi nasihat mengenai masalah yang dihadapi mana-mana negara.

Jika mereka sendiri mempunyai masalah dalaman sama ada politik atau ekonomi yang sering menggugat keselamatan negara, sudah tentu tidak layak menjadi negara kuasa tengah.

Model kuasa tengah bukanlah konsep baharu kerana fungsi kuasa tengah ini sudah wujud sejak sekian lama. Konsep negara kuasa tengah ini diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-16 oleh pemikir politik Itali, Giovanni Botero dengan membahagikan dunia kepada tiga kategori, iaitu granddissme atau empayar, mezano (kuasa tengah) dan piccioli (kuasa kecil).

Granddissme adalah negara yang mempunyai kuasa ekonomi, ketenteraan dan menjajah negara lemah, manakala negara mezano lebih kepada menjadi perantara antara negara kuasa besar dengan negara lain, manakala negara piccioli adalah negara miskin dan bergantung kepada negara lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Malaysia sebagai negara kuasa perantara


Oleh : Azmi Hassan

KEMAMPUAN Malaysia untuk menjadi negara kuasa perantara serantau sudah mula menimbulkan kemusykilan dalam kalangan rakyat kerana hakikatnya kita hanyalah sebuah negara kecil dan mempunyai kekuatan tentera atau ekonomi yang sederhana.

Secara mudahnya negara kuasa perantara mampu menjadi pengimbang terhadap negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia dan juga China. Statusnya agak unik kerana negara kuasa perantara berada di tengah-tengah kuasa besar dan negara lemah.

Sebelum ini tidak pernah kedengaran Malaysia mempunyai perancangan untuk menjadi negara kuasa perantara sebab pelaksanaannya agak rumit kerana melibatkan perkongsian strategik dengan negara serantau yang lain.

Mungkin isyarat paling hampir adalah inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2010.

Hasrat menjadi kuasa perantara serantau diumumkan oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Kelapan beberapa hari lepas di hadapan diplomat Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara. Begitu jelas sekali hasrat Perdana Menteri itu merupakan dasar rasmi negara. Lebih mencabar lagi kerana hasrat ini perlu dimuktamadkan sebelum negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Malaysia tidak akan mampu menjadi kuasa perantara jika bertindak bersendirian tanpa ada gabungan sekutu dengan negara lain. Walaupun Perdana Menteri tidak memperincikan hasrat tersebut tetapi beliau ada menyatakan gabungan antara negara maju dan sedang membangun adalah kaedah terbaik dan paling efisien.

Cuma yang menjadi persoalan adalah walaupun secara spesifik negara sekutu tersebut masih belum lagi ditentukan tetapi apa yang penting adalah setiap negara sekutu mesti mempunyai sasaran dan objektif yang serupa.

Gabungan sekutu kuasa perantara ini tidak akan meminggirkan peranan ASEAN malah akan pasti memperkuatkan lagi pengaruh pertubuhan 10 negara itu di rantau Asia.

Hal ini kerana dalam beberapa isu geopolitik Asia seperti masalah tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan, ASEAN didapati sukar bertindak sebagai satu suara kerana ahlinya mempunyai agenda berlainan.

Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam ASEAN sebenarnya boleh menggunakan landasan pertubuhan ini untuk membentuk gabungan sekutu negara kuasa perantara Asia yang baharu.

Adalah tidak adil jika keseimbangan geopolitik rantau Asia hanya ditentukan oleh dua kuasa besar utama iaitu AS dan China sahaja dan contoh paling jelas adalah senario Laut China Selatan.

Sebab itu adalah kritikal saranan Perdana Menteri perlu dilaksanakan secepat mungkin supaya dasar luar Malaysia dapat digubal demi mempertahankan kedaulatan negara, bukan sahaja isu yang membabitkan Laut China Selatan bahkan isu geostrategik yang lain.

Pada ketika ini ketiadaan gabungan kuasa perantara yang melibatkan isu Laut China Selatan umpamanya telah mewujudkan dua kumpulan berbeza. Satu kumpulan diterajui oleh AS terdiri daripada Filipina, Singapura dan Vietnam sementara kumpulan bertentangan pula diketuai oleh China yang mendapat sokongan Kemboja.

Kewujudan kedua-dua kelompok yang berbeza ini langsung tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

Percaturan pengaruh di antara dua kuasa besar AS dan China tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Laut China Timur atau Laut Kuning sekali pun telah menyisihkan negara kecil lain seperti Malaysia dalam membuat keputusan, jika tidak berada dalam salah satu kelompok kumpulan tersebut.

Sebab itu penting bagi Malaysia mewujudkan gabungan sekutu negara kuasa perantara supaya matlamat dan kepentingan negara Asia lain dapat disatukan dalam kumpulan yang sama.

Berbeza dengan kumpulan yang diketuai oleh AS dan China, gabungan sekutu negara kuasa perantara tidak diresapi oleh pengaruh kuasa besar. Senario sebegini memudahkan lagi kerjasama dibuat di atas landasan kepercayaan dan amanah di antara satu sama lain.

Modus operandi gabungan sekutu negara perantara adalah jauh berbeza dengan kumpulan yang diterajui oleh kuasa besar kerana kewujudan kuasa besar di rantau Asia seperti AS dan China diiktiraf kerana gabungan kuasa perantara ini hanya menjadi pengimbang kuasa.

Kerjasama di antara India dan Korea Selatan dalam membentuk gabungan sekutu negara perantara adalah strategi yang begitu jelas untuk mengimbangi pengaruh China. India umpamanya mempunyai masalah sempadan di wilayah Jammu, Kashmir dan juga Ladakh dengan China.

Begitu juga Korea Selatan menerusi masalah sempadan maritim Laut China Timur dengan China. Kerjasama yang diasaskan oleh India dan Korea Selatan ini dianggap kerjasama negara kuasa perantara kerana secara bersendirian kedua-duanya tidak mampu menandingi kekuatan China.

Besar kemungkinan Jepun juga akan menyertai India dan Korea Selatan dan jika ini berlaku, gabungan ini adalah sekutu negara kuasa perantara yang berpengaruh menghadapi kuasa besar seperti AS dan China.

Memang benar Jepun dan AS dan juga Korea Selatan dan AS sudah mempunyai persefahaman dalam menghadapi ancaman China dan Korea Utara. Tetapi persefahaman yang diterajui oleh AS ini tidak membenarkan sama ada Jepun atau Korea Selatan berada pada landasan yang sama dengan Washington. Setiap strategi lazimnya ditentukan oleh AS.

Hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara kuasa perantara bagi rantau Asia perlu disokong oleh semua lapisan rakyat dan strateginya pula perlu diperhalusi terutama sekali oleh Wisma Putra kerana ia banyak berkaitan dengan dasar luar negara. Walau apa sekali pun, sudah begitu nyata status negara kuasa perantara adalah prasyarat penting yang perlu dipenuhi sebelum Malaysia menjadi negara maju tahun 2020.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/