Isnin, 28 Mei 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kembalikan era gemilang gerakan mahasiswa


TANGGAL 19 April 2012 merupakan tarikh yang bersejarah buat kalangan aktivis mahasiswa di Malaysia. Hal ini disebabkan pada tarikh berkenaan kerajaan melalui sidang Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang - Undang Universiti dan Kolej Universiti (Auku) (Pindaan) 2012, yang mana membenarkan penuntut universiti terbabit  dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus.

Pindaan ini telah membuktikan bahawa perjuangan mahasiswa selama ini bukanlah perjuangan yang sia-sia, walaupun mengambil jangka masa yang panjang. Hal ini selari dengan perjuangan meningkatkan mutu universiti dengan erti kata sebenarnya meliputi roh universiti, budaya ilmu, kebebasan akademik, melahirkan insan yang baik dan bukannya sekadar pekerja baik, serta idealisme perjuangan dan penghakupayaan mahasiswa (Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi). Walaupun bagaimanapun tuntutan mahasiswa untuk menghapus akta Auku secara total belum lagi berhasil, namun melalui pindaan ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada gerakan mahasiswa berpartisipasi secara serius dalam segenap isu kampus mahupun isu negara.

Namun, persoalannya adakah mahasiswa pada hari ini benar-benar bebas seperti apa yang diperuntukkan di dalam pindaan Auku berkenaan atau sekadar kosmetik semata-mata untuk menarik undi anak muda dalam kalangan mahasiswa? Hal ini terbukti apabila suara mahasiswa masih lagi belum mencapai nikmat kebebasan sebenar, apabila tiga teraju utama gerakan mahasiswa ketika ini iaitu Muhammad Safwan Anang Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohd Syahid Mohd Zaini (Pengerusi Malaysia Bangkit) dan Haziq Abdul Aziz yang digantung pengajian selama satu semester  atas kesalahan memalukan nama universiti. Hal ini ekoran demonstrasi yang diadakan di Dataran Merdeka pada 14 April yang lalu bagi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Melalui tindakan penggantungan ini, penulis boleh katakan bahawa gerakan mahasiswa ketika ini masih lagi belum mencapai kebebasan bersuara secara total, walaupun kerajaan telah meminda Seksyen 15 Auku.

Dilema Gerakan Mahasiswa

Setelah teraju utama gerakan mahasiswa dikenakan tindakan penggantungan selama satu dan tiga semester. Momentum gerakan mahasiswa bagai dilanda ombak tsunami. Hal ini disebabkan tiada mana-mana pihak yang benar-benar memprotes tindakan ini secara realiti, walaupun hukuman yang sama pernah diterima oleh Adam Adli cuma jumlah semester sahaja yang berbeza. Jika Adam Adli yang dikenakan tindakan tatatertib digantung selama tiga semester disebabkan isu menurunkan bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib B Tun Razak, semasa himpunan menuntut Kebebasan Akademik di PWTC menerima protes begitu hebat dari kalangan mahasiswa, mengapa solidariti yang sama tidak diterima oleh ketiga-tiga individu  bernama Muhammad Safwan Anang, Mohd Syahid Mohd Zaini dan Haziq Abdul Aziz. Adakah mahasiswa telah penat mendepani isu-isu sedemikian sepanjang tahun ini atau adakah mereka melihat isu pergantungan ini bukalah isu yang besar berbanding isu-isu yang melanda negara sekarang?

Selain itu, penulis juga berpandangan bahawa momentum gerakan mahasiswa Malaysia boleh dikatakan tidak begitu konsisten. Dalam erti kata mudahnya terdapat graf turun dan naik dalam perjalanan gerakan mahasiswa ketika ini. Dalam pandangan penulis kemungkinan besar gerakan mahasiswa di Malaysia lebih cenderung dipengaruhi dengan isu-isu besar melanda negara atau pun isu-isu kampus seluruh negara. Mungkin pandangan ini kebanyakan pembaca tidak bersetuju. Namun, mutakhir ini dapat kita melihat bahawa fenomena gerakan mahasiswa bagai melalui zon tidak menentu selepas isu PTPTN dan juga isu tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap beberapa komponen utama gerakan mahasiswa ketika ini iaitu Muhamad Safuwan Anang, Mohd Syahid Zaini, Haziq dan juga Adam Adli.

Persoalan pokok yang ingin penulis ajukan kepada kita semua, adakah gerakan mahasiswa ketika ini gagal dalam melahirkan pemimpin pelapis yang berpotensi menjadi nakhoda sementara? Hal ini disebabkan kita  tidak boleh hanya mengharapkan batang tubuh tertentu sahaja dalam menyusuri gerakan mahasiswa. Analoginya imam yang baru perlu menggantikan imam yang lama buat sementara waktu  jika imam tersebut sakit atau sebagainya.

Justeru, dilema ini perlu ditangani dengan segera secara bijaksana supaya gerakan mahasiswa Malaysia terus dipacu walaupun mendapat tekanan dari segenap sudut. Hal ini penting untuk menjadikan gerakan mahasiswa terus menjadi sandaran utama perjuangan mahasiswa Malaysia dalam mendepani apa-apa jua isu dalam konteks kampus atau pun nasional.

Ditambah lagi, perkembangan semasa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang berhasrat untuk meletakan calonnya di dalam Pilihan Raya Umum akan datang merupakan satu perkembangan yang positif dalam gerakan mahasiswa di Malaysia. Hal ini disebabkan dengan adanya perwakilan mahasiswa di Parlimen Malaysia setidak-tidaknya golongan mahasiswa mempunyai proksi yang kukuh bagi menyampai hasrat, idealisme  mahasiswa secara langsung tanpa melalui parti politik atau pun NGO-NGO tertentu. Perkara ini selari dengan pindaan Auku 2012 yang membenarkan penuntut universiti terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus. 

Namun, memetik kenyataan setiausaha SMM yang menyatakan bahawa SMM akan menurunkan wakil mereka dalam PRU13 sama ada sebagai calon Bebas ataupun bertanding atas tiket mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat (PR). Jika kita amati kenyataan di atas, penulis boleh meramalkan bahawa ramai dalam kalangan mahasiswa tidak bersetuju dengan tindakan SMM bertanding menggunakan tiket PR, jika benar perkara ini berlaku. Hal ini disebabkan jika SMM benar-benar berhasrat ingin meletakan calonnya yang  bakal bergelar “Yang Berhormat” berstatus mahasiswa di Parlimen Malaysia, sebagai platform utama mahasiswa menyampaikan idea,  pandangan, masalah mahu pun kritikan, SMM perlulah bertanding dalam ruang lingkup sebebas-bebasnya  dan tidak melibatkan mana-mana parti politik sekali pun, tidak kiralah parti politik bersifat kerajaan mahu pun pembangkang.

Hal ini disebabkan suara mahasiswa merupakan suara keramat sebagai ejen periksa dan imbang kepada iklim politik, sosial, ekonomi, dan kebajikan mahasiswa yang diwakilinya.  Di samping itu, dilema  gerakan mahasiswa hari ini sering dibayangi atau disamaertikan dengan ideologi perjuangan parti pembangkang perlulah dikikis sewajarnya. Hal ini supaya gerakan mahasiswa dilihat benar-benar murni dalam memperjuangkan nasib mahasiswa tanpa mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.

Oleh yang demikian, secara peribadinya penulis dapat menyatakan bahawa gerakan mahasiswa ketika ini perlu banyak melalui proses penambahbaikan dari segi objektif, nilai,  serta visi dan misi yang ingin diperjuangkan. Semoga gerakan mahasiswa Malaysia dapat mengembalikan semua zaman kegemilangan gerakan mahasiswa era 60-an dan 70-an suatu ketika dahulu.

MOHAMAD SHAFIQ ROHAIZAD BUYONG
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : PM umum 21 projek baru NKEA



Oleh Helmy Abd Rahman

HAMPIR 40,000 peluang pekerjaan mampu diwujudkan menerusi 21 projek baru bernilai RM20.46 bilion di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Semua 21 projek terbabit terletak di bawah NKEA pertanian, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, jualan borong dan runcit, elektrik dan elektronik dan Greater KL/Lembah Klang.

Perdana Menteri berkata, semua projek terbabit dijangka akan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM4.6 bilion.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita berkembang pada kadar 4.7 peratus pada suku pertama tahun ini, mengatasi konsensur umum. Rakyat Malaysia perlu ingat bahawa bahawa ETP (Program Transformasi Ekonomi) masih jauh untuk dicapai.

“Keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu dan lebih-lebih lagi sekarang, kita harus terus berada pada landasan kita dan memberikan tumpuan kepada enjin pertumbuhan utama dalam ekonomi dan terus berdaya saing di peringkat global,” katanya pada taklimat pengemaskinian ETP bagi tahun ini di Subang Jaya, semalam.

Dalam pada itu, Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebelum taklimat itu, memberitahu pelaburan yang diperuntukkan bagi NKEA Pertanian berjumlah RM456.69 juta dan akan menyumbang kira-kira RM367.58 juta kepada PNK dan mewujudkan 2,539 pekerjaan menjelang 2020.

NKEA Perkhidmatan Perniagaan mendapat peruntukan pelaburan RM2.40 bilion dan akan menyumbang RM1.41 bilion kepada PNK serta mewujudkan pekerjaan bagi 10,909 orang menjelang 2020.

Menurut Pemandu lagi, NKEA Jualan Borong dan Runcit pula mendapat peruntukan pelaburan berjumlah RM466.8 juta yang dijangka memberi sumbangan sebanyak RM1.1 bilion kepada PNK dan mewujudkan 16,363 pekerjaan.

Bagi NKEA Penjagaan Kesihatan, sebanyak RM107.14 juta pelaburan diperuntukkan yang mampu menyumbang RM238.06 juta kepada PNK dan menyediakan pekerjaan bagi 3,735 orang menjelang 2020.

Pemandu juga berkata, NKEA Pendidikan bakal menyaksikan komitmen pelaburan sebanyak RM535.58 juta dan menyumbang sejumlah RM146.39 juta kepada PNK di samping mewujudkan 660 pekerjaan.

NKEA Elektrik dan Elektronik pula akan mendapat pelaburan berjumlah RM4 bilion dan mewujudkan 1,000 pekerjaan menjelang 2020. Daripada jumlah berkenaan, 400 adalah pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU EKONOMI : Gergasi internet hebat bersaing



PERSAINGAN antara peserta industri perkhidmatan pelayar tercetus sekali lagi dan kali ini  membabitkan perebutan untuk mendominasi segmen internet mudah alih.

Google, Apple, Microsoft dan Yahoo! - semua gergasi internet itu sedang bergelut untuk bersama-sama dengan pelayar baru seperti Opera yang dibangunkan syarikat Norway serta perisian sumber terbuka terkemuka Firefox daripada Mozilla.

Tumpuan di sebalik persaingan itu bukan sekadar untuk meraih hak mereka sebagai pelayar eksklusif, tetapi juga untuk mendominasi web mudah alih yang akan membawa pengguna ke laman web mereka sekali gus mengumpulkan data yang boleh digunakan bagi pengiklanan.

“Pembangun pelayar ini memerlukan kehadiran dalam peranti mudah alih untuk memastikan mereka terus kekal berdaya saing,” kata analisis Opus Research, Greg Sterling.

“Setiap peserta cuba menguruskan strategi masing-masing dalam dunia pelbagai-skrin dan pelbagai-platform,” katanya.

Firma Penyelidikan StatCounter mendapati akses global menerusi peranti mudah alih, tidak termasuk komputer tablet melonjak sepanjang tahun hingga Januari lalu kepada 8.5 peratus berbanding semua penggunaan internet.

Google meningkatkan usahanya awal tahun lalu dengan melancarkan versi penuh pelayar Chrome untuk peranti mudah alih yang akan menggantikan pelayar yang tiada namanya menggunakan platform terbuka Android miliknya.

Pelayar Android-Google meraih 21.5 peratus daripada laman web mudah alih, mengatasi Opera, peneraju awal yang memiliki 21.3 peratus penguasaan pasaran berdasarkan StatCounter.

“Chrome sudah pasti akan menjadi pesaing terbesar kerana adanya Android dan ia mempunyai momentum yang besar kepada pengguna komputer,” kata Sterling.

Di kedudukan ketiga adalah pelayar Safari milik Apple, pelayar yang digunakan pada iPhones, dengan penguasaan pasaran 20 peratus. Nokia, BlackBerry dan beberapa peserta lain hanya memegang peratusan yang kecil.

Namun, apabila mengambil kira komputer tablets pula, Apple menjadi peserta utama bagi pelayar yang paling banyak digunakan dengan 63 peratus berdasarkan data daripada tinjauan Net Applications’ NetMarketShare manakala Android hanya menguasai hampir 19 peratus. AFP

ISU SOSIAL : Tiru wajah artis Korea


Oleh Rohaniza Idris dan Bennie Zie Fauzi

Fenomena K-Pop pengaruh peminat serah muka kepada pakar bedah plastik untuk tampil persis idola

DEMAM K-Pop yang melanda dunia sejak lima tahun lalu bukan hanya terhad kepada genre muzik pop, tarian, elektropop, hip hop, rock, R&B dan muzik elektronik berasal di Korea Selatan semata-mata - malah lebih dari itu. Fenomena itu berkembang menjadi cabang kebudayaan yang popular di kalangan remaja dan orang muda di seluruh dunia termasuk fesyen, tata rias dan gaya hidup.

Tidak ketinggalan budaya mencantikkan diri ala K-Pop yang kini menjadi aliran semasa di kebanyakan negara dalam lingkaran Asia Pasifik seperti China, Hong Kong, Jepun, Filipina, Taiwan, Vietnam termasuk Malaysia.

Apabila membicarakan mengenai kecantikan, budaya K-Pop tidak boleh lari daripada pembedahan kosmetik dan estetik yang semakin mendapat sambutan ramai sama ada di kalangan lelaki atau wanita. Malah, Korea menjadi negara kelapan daripada 25 negara di dunia dicatatkan pada 2010 menjalankan prosedur pembedahan kosmetik paling banyak iaitu 361,988 sesi.

Statistik itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 10 tahun lalu yang mana Korea tidak pernah masuk dalam senarai 10 negara yang paling banyak menjalankan prosedur pembedahan kosmetik.

Persoalannya, apakah wajah dan tubuh ‘sempurna’ yang ada pada artis Korea? Menurut Pakar Pembedahan Kosmetik, Dr M Nasir Zahari, pada asasnya majoriti orang Korea mempunyai wajah unik yang biasa di kalangan orang Asia seperti mempunyai satu lapisan kelopak mata, tulang pipi yang tinggi kelihatan seperti menonjol dan rahang yang besar manakala hidung mereka pesek.

Dr M Nasir berkata, dengan wajah sebegitu, orang Korea berpandangan mereka nampak garang atau kelihatan hodoh yang mana boleh menyebabkan hilang keyakinan diri. Manakala untuk artis di sana, mereka merasakan wajah sedemikian tidak sesuai untuk dikomersialkan jika mahu terbabit dalam industri hiburan.

Justeru, beliau berkata, ramai yang mahu menukar rupa wajah dengan melakukan pembedahan kosmetik atau rawatan estetik dengan melakukan pembedahan pada kelopak mata supaya ia nampak berganda dan memancungkan hidung sama ada pembedahan plastik atau menambah likatan atau pengisi (filler) serta implan silikon.

“Untuk pipi yang kelihatan terlalu menonjol, biasanya orang Korea melakukan prosedur membentuk semula struktur pipi dengan menipiskan tulang pipi.

“Manakala rahang yang kuat atau besar itu dibentuk semula melalui pembedahan plastik atau bagi menampakkan dagu yang lebih runcing mereka menggunakan filler atau implan silikon.

“Semua pembedahan ini banyak dilakukan artis mereka kerana percaya wajah komersial mirip artis Hollywood lebih mudah diterima dan dianggap mempunyai wajah ‘sempurna’ yang boleh memberikan keyakinan serta lebih popular,” katanya.

Aliran yang dilakukan artis Korea kemudiannya merebak menjadi satu budaya baru kepada masyarakat umum di negara itu di mana pada usia semuda 14 tahun, ada yang sudah mendapatkan rawatan estetik atau melakukan pembedahan kosmetik membentuk wajah.

Malah, dikatakan pembedahan kosmetik sentiasa dinantikan setiap remaja Korea sebagai hadiah ulang tahun mahupun habuan selepas tamat sekolah tinggi mahupun universiti.

Pengaruh artis K-Pop di seluruh dunia juga menyebabkan industri estetik dan pembedahan kosmetik mahu pun plastik di Korea menjadi lebih rancak begitu juga sektor pelancongan.

Pelancong yang masuk ke negara itu bukan hanya melancong melawat tempat menarik di sana kerana terpesona dengan keindahannya saja tetapi melawat negara itu kerana terpikat dengan keindahan tempat yang pernah menjadi lokasi dalam filem, drama mahu pun klip video.

Pada masa sama, peminat fanatik K-Pop juga melancong ke Korea kerana mahu menjalani pembedahan kosmetik dan rawatan estetik.

Dilaporkan pelancong dari China paling ramai mendapatkan rawatan estetik dan pembedahan kosmetik di Korea, yang mana kebanyakannya menjalankan pembedahan menambah kelopak mata, membetulkan rahang dan tulang pipi selain pembedahan membuang lemak di perut seperti artis K-Pop pujaan mereka.

Pertambahan klinik dan pakar pembedahan plastik yang kini mencecah 1,700 orang juga dikatakan menjadikan industri itu semakin agresif dalam cubaan menarik pelanggan baru. Pelbagai pakej menarik termasuk penginapan bertaraf lima bintang serta layanan VIP ditawarkan manakala kemudahan dan perkhidmatan di klinik juga ditingkatkan.

Malah, dilaporkan ada klinik yang menjemput pesakit dari lapangan terbang dengan limosin manakala kakitangan klinik dilatih fasih berbahasa Inggeris, China, Jepun, Vietnam atau Mongolia.

Selain Korea Selatan, beberapa negara Asia turut ghairah menawarkan rawatan dan pembedahan yang sama kepada pelanggan yang mahu kelihatan seperti artis pujaan K-Pop mereka. Selain China dan Jepun, Thailand dan Singapura juga menawarkan perkhidmatan yang sama.

Bagaimana dengan Malaysia? Dr M Nasir yang juga Pengarah Perunding Perubatan Pembedahan Plastik, Pembentukan Semula dan Pembedahan Kosmetik Beverly Wilshire berkata, pengaruh K-POP tidak begitu mempengaruhi orang Malaysia untuk melakukan pembedahan kosmetik supaya kelihatan seperti artis Korea.

Namun, beliau berkata, pengaruh industri rawatan estetik dan pembedahan kosmetik di Korea Selatan secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat Malaysia untuk kelihatan lebih cantik dan menitik beratkan soal penampilan diri.

“Mengapa orang Malaysia tidak ghairah melakukan pembedahan kosmetik seperti orang Korea? Jawapannya kerana orang Malaysia percaya rupa mereka tidak ‘sehodoh’ orang Korea.

“Lagipun, dengan latar budaya dan agama masyarakat yang pelbagai di negara ini berbanding Korea yang ada satu bangsa dan agama itu, maka permintaan terhadap pembedahan kosmetik di sini sikit berbeza. Jika ada yang mahu kelihatan seperti artis Korea pun mereka tidak mahu melakukan terlalu drastik sampai terpaksa membetulkan tulang pipi dan rahang mahu pun hidung mereka.

“Orang Malaysia lebih suka rawatan estetik seperti pengambilan botox, filler, implan dan rawatan laser. Jumlah rawatan ini semakin mendapat sambutan. Lagi pun, kebanyakan orang Malaysia mempunyai hidung yang agak tinggi dan bentuk muka yang pelbagai, tidak nampak garang seperti orang Korea.

“Bagi orang Melayu mahupun India, biasanya mempunyai kelopak mata berlapis, jadi permintaan untuk pembedahan kosmetik di wajah tidak begitu menggalakkan,” katanya.

Dr M Nasir memberitahu kebanyakan pembedahan payu dara serta menggandakan kelopak mata dilakukan wanita Cina di negara ini manakala lelaki Malaysia paling ramai melakukan pembedahan membuang lemak di perut atau liposuction serta pembedahan payu dara.

“Berdasarkan pemerhatian, sejak 15 tahun lalu, saya dapati jumlah pelanggan lelaki yang mendapatkan rawatan estetik mahu pun pembedahan kosmetik semakin bertambah. Jika 10 tahun dulu bagi setiap 10 pesakit saya untuk dapat seorang pesakit lelaki sangat susah tetapi kini jumlahnya meningkat kepada dua pesakit bagi setiap 10 pesakit yang ada,” katanya.

 Ibu bapa galak anak remaja ubah wajah

STATISTIK dikeluarkan Persatuan Pembedahan Plastik dan Doktor Estetik Antarabangsa (ISAPS) menunjukkan penduduk Asia paling banyak melakukan pembedahan plastik pada 2010 dengan 5.8 juta prosedur yang dilakukan 9,512 pakar bedah.

Daripada jumlah itu, China menjadi negara Asia yang paling banyak menjalankan pembedahan plastik iaitu 588,880 kes diikuti Jepun (588,880 kes), India (553,420 kes) dan Korea Selatan (361,988 kes).

China berada di tangga ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil dalam senarai 25 negara yang dicatatkan dalam laporan ISAPS itu. Manakala Jepun tempat keempat diikuti India (kelima) dan Korea Selatan (kelapan) selepas Itali (keenam) dan Mexico (ketujuh), Perancis (ke-9) dan Columbia (ke-10).

Daripada statistik itu, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 25 negara kerana jumlah pembedahan plastik yang dikendalikan tidak banyak selain jumlah doktor pakar dalam bidang itu kurang. Namun, di Asia Tenggara, Malaysia dicatatkan sebagai negara ketiga selepas Thailand dan Singapura yang paling banyak melakukan prosedur pembedahan plastik.

Menyentuh mengenai Korea Selatan, 10 tahun lalu negara itu tidak pernah masuk dalam senarai 10 negara paling banyak melakukan pembedahan plastik. Korea mula masuk dalam senarai 10 negara terbabit sejak tiga tahun lalu.

Data dikeluarkan di Korea menunjukkan keseluruhan rawatan perubatan yang dibelanjakan oleh pelancong asing di negara itu bernilai AS$116 juta (RM348 juta) tahun lalu. Sebanyak 14 peratus daripada mereka menjalani pembedahan kosmetik atau rawatan kulit seperti botox.

Pembedahan yang mendapat sambutan di kalangan pelancong adalah pembedahan hidung, menegangkan muka, pembedahan rahang atau membuang lemak di perut.

Sementara itu, data tinjauan sebuah laman web e-Seoul, mendapati 41.4 peratus remaja di Korea sedia menjalani pembedahan kosmetik untuk cantik.

Malah, pelajar sekolah menengah yang kebanyakannya pelajar perempuan, mengakui mereka mahu melakukan pembedahan membetulkan wajah mereka.

"Dulu kebanyakan pelanggan klinik ini adalah pelajar sekolah tinggi tetapi kini trend berubah kerana lebih ramai pelajar sekolah menengah yang berumur 15 hingga 16 lebih mendapatkan perkhidmatan kami," kata Pengurus Kosmetik sebuah klinik estetik di Apgujeong-dong, selatan Seoul.

Ketua Pakar Bedah Klinik Pembedahan Plastik BK Dongyang di Nonhyeon-dong, selatan Seoul, Lee Seung-hwan pula berkata, klinik itu menerima banyak pelanggan remaja sejak kebelakangan ini.

“Berbanding 2007, peratusan pelanggan remaja semakin meningkat pada 2010. Ini jelas menunjukkan semakin ramai pelajar seawal usia 14 tahun sudah bersedia menjalani pembedahan kosmetiK,” katanya.

Seorang pelajar perempuan di sekolah tinggi di Korea yang mahu dikenali sebagai Lee, berkata beliau tidak yakin dengan penampilannya kerana mempunyai mata yang kecil lalu sentiasa merasa rendah diri.

"Ibu saya berjanji akan membenarkan saya melakukan pembedahan membetulkan kelopak mata jika berjaya dalam peperiksaan pertengahan tahun,” katanya.

Selepas menerima pembedahan kosmetik bagi menggandakan kelopak matanya, ketika cuti musim sejuk pada tahun kedua di sekolah tinggi, Lee berkata dia mendapat lebih keyakinan.

Menjadi aliran baru di Korea, pembedahan kosmetik untuk mencantikkan wajah bukanlah satu perkara yang memalukan sebaliknya digalakkan. Malah, pelajar yang mempunyai ciri-ciri menarik hasil pembedahan plastik akan menjadi lebih popular di sekolah.

Trend pembedahan plastik di Korea banyak dipengaruhi populariti kumpulan artis remaja tempatan seperti gadis kumpulan LGP yang mengakui dalam satu wawancara rancangan TV bahawa mereka pernah menjalani lebih 27 pembedahan plastik.

Ibu bapa juga mempunyai pengaruh yang kuat kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan pembedahan plastik.

Seorang pelajar perempuan dikenali sebagai Kim, mendapat pembedahan menggandakan kelopak mata pada usia 15 tahun atas cadangan ibunya.

"Ibu saya sebenarnya cukup positif mengenai pembedahan plastik dan memberitahu pembedahan itu akan menjadikan saya lebih yakin memasuki sekolah menengah,” katanya.

Satu tinjauan dijalankan jenama penjagaan diri DOVE pada 250 reponden di seluruh Korea, mendapati satu daripada empat ibu mencadangkan anak remaja mereka mendapatkan pembedahan plastik.

"Media massa dan internet mempunyai impak yang besar kepada pelajar. Golongan ini paling banyak terdedah kepada televisyen dan konsep ‘diskriminasi atau prasangka berdasarkan penampilan peribadi’ sudah ditanam dalam diri mereka sejak kecil," kata pakar pembedahan plastik di Wonjin Plastic Surgery, Dr Park Won-jin.

Dr Park berkata, bilangan puncak pesakit pelajar semasa musim cuti sekolah pada Disember dan Januari meningkat lima hingga 10 peratus daripada hari-hari biasa.

Pembedahan menggandakan kelopak mata adalah prosedur yang paling popular di kalangan pelajar kerana berisiko rendah. Manakala pembedahan membetulkan hidung mahu pun tulang rahang dan pipi tidak digalakkan kerana ia mungkin memberi kesan sampingan yang berbahaya.

Park berkata jika pembedahan plastik dilakukan ke atas tulang muda, ia boleh mencetuskan masalah di masa depan dan mungkin memerlukan pembedahan lain bagi membetulkannya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Lepasan SPM boleh ke IPT berdasarkan pengalaman kerja


TEMERLOH : Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi berdasarkan pengalaman kerja atau perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peluang berkenaan adalah selaras dengan agenda kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Kerajaan akan mewujudkan satu kaedah kelulusan baharu dengan mengambil kira pengalaman kerjaya serta perniagaan seseorang lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi termasuk di universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang SPM yang mengikuti Program Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, pendekatan baharu itu diharap dapat melahirkan tenaga kerja mahir setanding dengan status negara maju dan seterusnya mampu menjayakan agenda rakyat berpendapatan tinggi.

Katanya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyediakan instrumen mengukur kelayakan atau 'Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Masa Lalu' sebelum memilih calon lepasan SPM mengikuti pengajian tinggi.

"Selain pengalaman kerjaya dan perniagaan, antara kriteria yang turut diambil kira termasuk pengalaman kursus keusahawanan dan kemahiran yang diambil oleh calon dari institusi kemahiran seperti  Giat Mara," katanya.

Saifuddin berkata, konsep itu sama seperti pembelajaran sepanjang hayat itu sebenarnya sudah lama diamalkan di negara maju.

Beliau berkata, lebih 80 peratus tenaga kerja di negara ini hanya memiliki kelulusan SPM dan ia bukan satu pencapaian yang baik dari segi memenuhi kriteria rakyat negara maju. - BERNAMA.

ISU KEPENGGUNAAN : Cabaran pemakanan halal, mendidik pengguna bermaklumat



Oleh : Norkumala binti Awang

DALAM soal halal dan haram seperti mana yang disyariatkan oleh Allah SWT, manusia dapat meneroka sempadan kebaikan dan keburukan sebagai panduan asas untuk kepentingan kehidupan. Pembuktian saintifik melalui kajian dan penyelidikan menunjukkan bahawa setiap perkara halal mendatangkan manfaat manakala yang haram pasti akan wujud mudarat bersamanya.

Namun, bagaimana untuk memastikan sesuatu produk makanan atau barangan kegunaan itu mematuhi apa yang dikehendaki Islam? Sejauhmana keyakinan kita terhadap status halal makanan dan minuman serta barangan harian di negara ini? Sedarkah kita bahawa produk halal belum tentu berkualiti (toyyib)?

Halal bukan hanya terhad kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir. Malah, ia mencakupi konsep yang lebih luas bermula daripada peringkat awal sehinggalah produk itu siap.

Lantaran pelbagai cabaran pemakanan halal yang mendepani masyarakat pada hari ini, memperlihatkan masyarakat semakin prihatin terhadap apa yang dimakan dan digunakan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud, “barang siapa yang berusaha mencari untuk keluarganya perkara yang halal, dia seperti seorang yang berjuang pada jalan Allah.

Dan barang siapa yang mencarinya dengan menjaga maruah dirinya, dia berada pada darjat para syuhada."- Riwayat at-Tabrani.

Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran. Ditambah dengan teknologi moden, maka makanan atau produk semakin kompleks penghasilannya.

Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat, halal dan haram, kebersihan dan penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup.

Terdapat kajian menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan makanan secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan Islam disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan dan persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat.

Kebanyakan pengguna bukan Islam di Malaysia masih melihat produk yang dilabel halal dari perspektif agama. Masyarakat Cina dan India tidak terlalu mengambil berat sama ada produk yang diambil halal atau tidak. Namun, mereka masih menghargai nilai dan kelebihan yang mendasari produk halal termasuk proses kebersihan produk halal sebelum berada di pasaran.

Pengguna bukan Islam di Rusia membeli produk daripada peruncit Islam kerana percaya produknya adalah selamat, segar, bebas jangkitan penyakit dan percaya bahawa setiap Muslim terikat dengan kepercayaan mereka yang tidak menipu. Di Filipina, masyarakat bukan Islam juga cenderung membeli makanan yang mempunyai logo halal atas alasan kesihatan. Mereka mula beralih mencari produk halal kerana percaya ia adalah selamat, sihat dan baik untuk digunakan.

Justeru, makanan dan barangan kegunaan yang halal mendapat tempat di hati pengguna apatah lagi bagi yang beragama Islam. Sudah tentu halal menjadi perkara pokok dalam setiap pemilihan makanan dan produk kegunaan harian. Walau bagaimanapun, pelbagai isu yang timbul pada hari ini menyebabkan masyarakat sering keliru. Namun, isu yang menjadi dilema ini bukanlah penghalang untuk mencari yang halal malah ia menjadi satu loncatan agar masyarakat menjadi lebih berilmu dan bermaklumat.

Cabaran dalam bab halal pada hari ini bukanlah kecil tetapi memerlukan kesabaran. Apatah lagi kita menghadapi lambakan produk makanan dan barangan lain di pasaran menyebabkan kita mempunyai banyak alternatif namun perlu diteliti. Hakikatnya, mungkin berpada-pada atau berkadar dengan apa yang halal adalah lebih baik berbanding berkenyang-kenyangan dengan yang haram.

Penggunaan bahan tambah makanan adalah cabaran kepada umat Islam kerana proses penghasilan dan sumber bahan penambah itu sendiri mungkin menggunakan ramuan haram yang dimasukkan ke dalam produk makanan halal. Walaupun penggunaannya dibenarkan dalam aras yang ditentukan, yang menjadi persoalannya apakah ia bakal mengundang kemudaratan kepada kesihatan, jika terus digunakan dalam makanan setiap hari? Satu perkara lagi yang menimbulkan dilema ialah jika bahan tambah makanan itu berasal daripada haiwan yang diharamkan, sekali gus menjadikannya haram dimakan oleh umat Islam.

Bagaimana pula dalam situasi di mana kadangkala semasa proses pembuatan sesuatu bahan makanan atau minuman mungkin akan terhasil unsur-unsur yang diharamkan? Oleh itu, penglibatan penyelidik dalam mengkaji kesan jangkamasa pendek dan panjang sesuatu bahan tambah menyediakan cabaran besar yang akan memberi impak kepada kesihatan awam apatah lagi yang melibatkan unsur halal dan haram bahan tambah makanan tersebut.

Ketidaktelusan pengeluar dalam pelabelan makanan akan memberi impak buruk kepada pengguna mahupun pengeluar itu sendiri. Isu ini memberi cabaran besar kepada masyarakat pengguna dalam memilih makanan terbaik lebih-lebih lagi jika pelabelan makanan mengelirukan.

Kekeliruan yang timbul bukanlah perkara kecil kerana ia bakal memberi kesan kepada pemilihan makanan. Contohnya dalam isu kod E yang menjadi tanda tanya yang masih terbuku di hati masyarakat awam. Sesetengah pengguna yang prihatin dan teliti dengan sesuatu produk akan melihat kandungan makanan tersebut, namun ada juga yang tidak mengambil endah.

Dalam isu ini, satu langkah yang proaktif perlu dimainkan oleh pihak berwajib agar masyarakat tidak dibelit dengan kekeliruan. Contohnya, sampaikan maklumat dalam bentuk yang mudah dan istilah yang difahami oleh segenap lapisan masyarakat berbanding dengan istilah saintifik. Paling tidak masyarakat mengharapkan senarai atau maklumat dihebahkan secara saksama.

Dalam isu halal, pihak yang berautoriti perlu mempunyai saluran yang berkesan dalam memberikan informasi kepada pengguna contohnya melalui laman web, radio, televisyen dan juga talian bebas tol.

Dengan segala cabaran dalam dunia yang semakin maju, wajarlah setiap individu mencari ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul. Ilmu dan maklumat bakal menjadi solusi terbaik sekiranya kita menghadapi apa jua permasalahan berkaitan dengannya.

Umat Islam perlu berpaksikan kepada fakta dan kebenaran berasaskan syariat Islam dan berwaspada dalam apa jua tindakan yang melibatkan persoalan halal dan haram. Dan cabaran yang perlu dilalui oleh semua individu pada hari ini ialah berhati-hati dalam mencari dan memilih sesuatu makanan dan barang kegunaan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan.

Selari dengan apa yang dirakamkan oleh ulama terkenal iaitu Abdullah Sahl al-Tusturi, “Sesiapa yang memakan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak."

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/