Oleh Rohaniza Idris dan Bennie Zie Fauzi
Fenomena K-Pop pengaruh peminat serah muka kepada pakar
bedah plastik untuk tampil persis idola
DEMAM K-Pop yang melanda dunia sejak lima tahun lalu bukan
hanya terhad kepada genre muzik pop, tarian, elektropop, hip hop, rock, R&B
dan muzik elektronik berasal di Korea Selatan semata-mata - malah lebih dari
itu. Fenomena itu berkembang menjadi cabang kebudayaan yang popular di kalangan
remaja dan orang muda di seluruh dunia termasuk fesyen, tata rias dan gaya
hidup.
Tidak ketinggalan budaya mencantikkan diri ala K-Pop yang
kini menjadi aliran semasa di kebanyakan negara dalam lingkaran Asia Pasifik
seperti China, Hong Kong, Jepun, Filipina, Taiwan, Vietnam termasuk Malaysia.
Apabila membicarakan mengenai kecantikan, budaya K-Pop tidak
boleh lari daripada pembedahan kosmetik dan estetik yang semakin mendapat
sambutan ramai sama ada di kalangan lelaki atau wanita. Malah, Korea menjadi
negara kelapan daripada 25 negara di dunia dicatatkan pada 2010 menjalankan
prosedur pembedahan kosmetik paling banyak iaitu 361,988 sesi.
Statistik itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 10
tahun lalu yang mana Korea tidak pernah masuk dalam senarai 10 negara yang
paling banyak menjalankan prosedur pembedahan kosmetik.
Persoalannya, apakah wajah dan tubuh ‘sempurna’ yang ada
pada artis Korea? Menurut Pakar Pembedahan Kosmetik, Dr M Nasir Zahari, pada
asasnya majoriti orang Korea mempunyai wajah unik yang biasa di kalangan orang
Asia seperti mempunyai satu lapisan kelopak mata, tulang pipi yang tinggi
kelihatan seperti menonjol dan rahang yang besar manakala hidung mereka pesek.
Dr M Nasir berkata, dengan wajah sebegitu, orang Korea
berpandangan mereka nampak garang atau kelihatan hodoh yang mana boleh
menyebabkan hilang keyakinan diri. Manakala untuk artis di sana, mereka
merasakan wajah sedemikian tidak sesuai untuk dikomersialkan jika mahu terbabit
dalam industri hiburan.
Justeru, beliau berkata, ramai yang mahu menukar rupa wajah
dengan melakukan pembedahan kosmetik atau rawatan estetik dengan melakukan
pembedahan pada kelopak mata supaya ia nampak berganda dan memancungkan hidung
sama ada pembedahan plastik atau menambah likatan atau pengisi (filler) serta
implan silikon.
“Untuk pipi yang kelihatan terlalu menonjol, biasanya orang
Korea melakukan prosedur membentuk semula struktur pipi dengan menipiskan
tulang pipi.
“Manakala rahang yang kuat atau besar itu dibentuk semula
melalui pembedahan plastik atau bagi menampakkan dagu yang lebih runcing mereka
menggunakan filler atau implan silikon.
“Semua pembedahan ini banyak dilakukan artis mereka kerana
percaya wajah komersial mirip artis Hollywood lebih mudah diterima dan dianggap
mempunyai wajah ‘sempurna’ yang boleh memberikan keyakinan serta lebih
popular,” katanya.
Aliran yang dilakukan artis Korea kemudiannya merebak
menjadi satu budaya baru kepada masyarakat umum di negara itu di mana pada usia
semuda 14 tahun, ada yang sudah mendapatkan rawatan estetik atau melakukan
pembedahan kosmetik membentuk wajah.
Malah, dikatakan pembedahan kosmetik sentiasa dinantikan
setiap remaja Korea sebagai hadiah ulang tahun mahupun habuan selepas tamat
sekolah tinggi mahupun universiti.
Pengaruh artis K-Pop di seluruh dunia juga menyebabkan
industri estetik dan pembedahan kosmetik mahu pun plastik di Korea menjadi
lebih rancak begitu juga sektor pelancongan.
Pelancong yang masuk ke negara itu bukan hanya melancong
melawat tempat menarik di sana kerana terpesona dengan keindahannya saja tetapi
melawat negara itu kerana terpikat dengan keindahan tempat yang pernah menjadi
lokasi dalam filem, drama mahu pun klip video.
Pada masa sama, peminat fanatik K-Pop juga melancong ke
Korea kerana mahu menjalani pembedahan kosmetik dan rawatan estetik.
Dilaporkan pelancong dari China paling ramai mendapatkan
rawatan estetik dan pembedahan kosmetik di Korea, yang mana kebanyakannya
menjalankan pembedahan menambah kelopak mata, membetulkan rahang dan tulang
pipi selain pembedahan membuang lemak di perut seperti artis K-Pop pujaan
mereka.
Pertambahan klinik dan pakar pembedahan plastik yang kini
mencecah 1,700 orang juga dikatakan menjadikan industri itu semakin agresif
dalam cubaan menarik pelanggan baru. Pelbagai pakej menarik termasuk penginapan
bertaraf lima bintang serta layanan VIP ditawarkan manakala kemudahan dan perkhidmatan
di klinik juga ditingkatkan.
Malah, dilaporkan ada klinik yang menjemput pesakit dari
lapangan terbang dengan limosin manakala kakitangan klinik dilatih fasih
berbahasa Inggeris, China, Jepun, Vietnam atau Mongolia.
Selain Korea Selatan, beberapa negara Asia turut ghairah
menawarkan rawatan dan pembedahan yang sama kepada pelanggan yang mahu
kelihatan seperti artis pujaan K-Pop mereka. Selain China dan Jepun, Thailand
dan Singapura juga menawarkan perkhidmatan yang sama.
Bagaimana dengan Malaysia? Dr M Nasir yang juga Pengarah
Perunding Perubatan Pembedahan Plastik, Pembentukan Semula dan Pembedahan
Kosmetik Beverly Wilshire berkata, pengaruh K-POP tidak begitu mempengaruhi
orang Malaysia untuk melakukan pembedahan kosmetik supaya kelihatan seperti
artis Korea.
Namun, beliau berkata, pengaruh industri rawatan estetik dan
pembedahan kosmetik di Korea Selatan secara tidak langsung mempengaruhi
masyarakat Malaysia untuk kelihatan lebih cantik dan menitik beratkan soal
penampilan diri.
“Mengapa orang Malaysia tidak ghairah melakukan pembedahan
kosmetik seperti orang Korea? Jawapannya kerana orang Malaysia percaya rupa
mereka tidak ‘sehodoh’ orang Korea.
“Lagipun, dengan latar budaya dan agama masyarakat yang
pelbagai di negara ini berbanding Korea yang ada satu bangsa dan agama itu,
maka permintaan terhadap pembedahan kosmetik di sini sikit berbeza. Jika ada
yang mahu kelihatan seperti artis Korea pun mereka tidak mahu melakukan terlalu
drastik sampai terpaksa membetulkan tulang pipi dan rahang mahu pun hidung
mereka.
“Orang Malaysia lebih suka rawatan estetik seperti
pengambilan botox, filler, implan dan rawatan laser. Jumlah rawatan ini semakin
mendapat sambutan. Lagi pun, kebanyakan orang Malaysia mempunyai hidung yang
agak tinggi dan bentuk muka yang pelbagai, tidak nampak garang seperti orang
Korea.
“Bagi orang Melayu mahupun India, biasanya mempunyai kelopak
mata berlapis, jadi permintaan untuk pembedahan kosmetik di wajah tidak begitu
menggalakkan,” katanya.
Dr M Nasir memberitahu kebanyakan pembedahan payu dara serta
menggandakan kelopak mata dilakukan wanita Cina di negara ini manakala lelaki
Malaysia paling ramai melakukan pembedahan membuang lemak di perut atau
liposuction serta pembedahan payu dara.
“Berdasarkan pemerhatian, sejak 15 tahun lalu, saya dapati
jumlah pelanggan lelaki yang mendapatkan rawatan estetik mahu pun pembedahan
kosmetik semakin bertambah. Jika 10 tahun dulu bagi setiap 10 pesakit saya
untuk dapat seorang pesakit lelaki sangat susah tetapi kini jumlahnya meningkat
kepada dua pesakit bagi setiap 10 pesakit yang ada,” katanya.
STATISTIK dikeluarkan Persatuan Pembedahan Plastik dan
Doktor Estetik Antarabangsa (ISAPS) menunjukkan penduduk Asia paling banyak
melakukan pembedahan plastik pada 2010 dengan 5.8 juta prosedur yang dilakukan
9,512 pakar bedah.
Daripada jumlah itu, China menjadi negara Asia yang paling
banyak menjalankan pembedahan plastik iaitu 588,880 kes diikuti Jepun (588,880
kes), India (553,420 kes) dan Korea Selatan (361,988 kes).
China berada di tangga ketiga selepas Amerika Syarikat (AS)
dan Brazil dalam senarai 25 negara yang dicatatkan dalam laporan ISAPS itu.
Manakala Jepun tempat keempat diikuti India (kelima) dan Korea Selatan
(kelapan) selepas Itali (keenam) dan Mexico (ketujuh), Perancis (ke-9) dan
Columbia (ke-10).
Daripada statistik itu, Malaysia tidak termasuk dalam
senarai 25 negara kerana jumlah pembedahan plastik yang dikendalikan tidak
banyak selain jumlah doktor pakar dalam bidang itu kurang. Namun, di Asia
Tenggara, Malaysia dicatatkan sebagai negara ketiga selepas Thailand dan
Singapura yang paling banyak melakukan prosedur pembedahan plastik.
Menyentuh mengenai Korea Selatan, 10 tahun lalu negara itu
tidak pernah masuk dalam senarai 10 negara paling banyak melakukan pembedahan
plastik. Korea mula masuk dalam senarai 10 negara terbabit sejak tiga tahun
lalu.
Data dikeluarkan di Korea menunjukkan keseluruhan rawatan
perubatan yang dibelanjakan oleh pelancong asing di negara itu bernilai AS$116
juta (RM348 juta) tahun lalu. Sebanyak 14 peratus daripada mereka menjalani
pembedahan kosmetik atau rawatan kulit seperti botox.
Pembedahan yang mendapat sambutan di kalangan pelancong
adalah pembedahan hidung, menegangkan muka, pembedahan rahang atau membuang
lemak di perut.
Sementara itu, data tinjauan sebuah laman web e-Seoul,
mendapati 41.4 peratus remaja di Korea sedia menjalani pembedahan kosmetik
untuk cantik.
Malah, pelajar sekolah menengah yang kebanyakannya pelajar
perempuan, mengakui mereka mahu melakukan pembedahan membetulkan wajah mereka.
"Dulu kebanyakan pelanggan klinik ini adalah pelajar
sekolah tinggi tetapi kini trend berubah kerana lebih ramai pelajar sekolah
menengah yang berumur 15 hingga 16 lebih mendapatkan perkhidmatan kami,"
kata Pengurus Kosmetik sebuah klinik estetik di Apgujeong-dong, selatan Seoul.
Ketua Pakar Bedah Klinik Pembedahan Plastik BK Dongyang di
Nonhyeon-dong, selatan Seoul, Lee Seung-hwan pula berkata, klinik itu menerima
banyak pelanggan remaja sejak kebelakangan ini.
“Berbanding 2007, peratusan pelanggan remaja semakin
meningkat pada 2010. Ini jelas menunjukkan semakin ramai pelajar seawal usia 14
tahun sudah bersedia menjalani pembedahan kosmetiK,” katanya.
Seorang pelajar perempuan di sekolah tinggi di Korea yang
mahu dikenali sebagai Lee, berkata beliau tidak yakin dengan penampilannya
kerana mempunyai mata yang kecil lalu sentiasa merasa rendah diri.
"Ibu saya berjanji akan membenarkan saya melakukan
pembedahan membetulkan kelopak mata jika berjaya dalam peperiksaan pertengahan
tahun,” katanya.
Selepas menerima pembedahan kosmetik bagi menggandakan
kelopak matanya, ketika cuti musim sejuk pada tahun kedua di sekolah tinggi,
Lee berkata dia mendapat lebih keyakinan.
Menjadi aliran baru di Korea, pembedahan kosmetik untuk
mencantikkan wajah bukanlah satu perkara yang memalukan sebaliknya digalakkan.
Malah, pelajar yang mempunyai ciri-ciri menarik hasil pembedahan plastik akan
menjadi lebih popular di sekolah.
Trend pembedahan plastik di Korea banyak dipengaruhi
populariti kumpulan artis remaja tempatan seperti gadis kumpulan LGP yang
mengakui dalam satu wawancara rancangan TV bahawa mereka pernah menjalani lebih
27 pembedahan plastik.
Ibu bapa juga mempunyai pengaruh yang kuat kepada anak-anak
mereka untuk mendapatkan pembedahan plastik.
Seorang pelajar perempuan dikenali sebagai Kim, mendapat
pembedahan menggandakan kelopak mata pada usia 15 tahun atas cadangan ibunya.
"Ibu saya sebenarnya cukup positif mengenai pembedahan
plastik dan memberitahu pembedahan itu akan menjadikan saya lebih yakin
memasuki sekolah menengah,” katanya.
Satu tinjauan dijalankan jenama penjagaan diri DOVE pada 250
reponden di seluruh Korea, mendapati satu daripada empat ibu mencadangkan anak
remaja mereka mendapatkan pembedahan plastik.
"Media massa dan internet mempunyai impak yang besar
kepada pelajar. Golongan ini paling banyak terdedah kepada televisyen dan
konsep ‘diskriminasi atau prasangka berdasarkan penampilan peribadi’ sudah
ditanam dalam diri mereka sejak kecil," kata pakar pembedahan plastik di
Wonjin Plastic Surgery, Dr Park Won-jin.
Dr Park berkata, bilangan puncak pesakit pelajar semasa
musim cuti sekolah pada Disember dan Januari meningkat lima hingga 10 peratus
daripada hari-hari biasa.
Pembedahan menggandakan kelopak mata adalah prosedur yang
paling popular di kalangan pelajar kerana berisiko rendah. Manakala pembedahan
membetulkan hidung mahu pun tulang rahang dan pipi tidak digalakkan kerana ia
mungkin memberi kesan sampingan yang berbahaya.
Park berkata jika pembedahan plastik dilakukan ke atas
tulang muda, ia boleh mencetuskan masalah di masa depan dan mungkin memerlukan
pembedahan lain bagi membetulkannya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan