Isnin, 28 Mei 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kembalikan era gemilang gerakan mahasiswa


TANGGAL 19 April 2012 merupakan tarikh yang bersejarah buat kalangan aktivis mahasiswa di Malaysia. Hal ini disebabkan pada tarikh berkenaan kerajaan melalui sidang Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang - Undang Universiti dan Kolej Universiti (Auku) (Pindaan) 2012, yang mana membenarkan penuntut universiti terbabit  dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus.

Pindaan ini telah membuktikan bahawa perjuangan mahasiswa selama ini bukanlah perjuangan yang sia-sia, walaupun mengambil jangka masa yang panjang. Hal ini selari dengan perjuangan meningkatkan mutu universiti dengan erti kata sebenarnya meliputi roh universiti, budaya ilmu, kebebasan akademik, melahirkan insan yang baik dan bukannya sekadar pekerja baik, serta idealisme perjuangan dan penghakupayaan mahasiswa (Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi). Walaupun bagaimanapun tuntutan mahasiswa untuk menghapus akta Auku secara total belum lagi berhasil, namun melalui pindaan ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada gerakan mahasiswa berpartisipasi secara serius dalam segenap isu kampus mahupun isu negara.

Namun, persoalannya adakah mahasiswa pada hari ini benar-benar bebas seperti apa yang diperuntukkan di dalam pindaan Auku berkenaan atau sekadar kosmetik semata-mata untuk menarik undi anak muda dalam kalangan mahasiswa? Hal ini terbukti apabila suara mahasiswa masih lagi belum mencapai nikmat kebebasan sebenar, apabila tiga teraju utama gerakan mahasiswa ketika ini iaitu Muhammad Safwan Anang Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohd Syahid Mohd Zaini (Pengerusi Malaysia Bangkit) dan Haziq Abdul Aziz yang digantung pengajian selama satu semester  atas kesalahan memalukan nama universiti. Hal ini ekoran demonstrasi yang diadakan di Dataran Merdeka pada 14 April yang lalu bagi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Melalui tindakan penggantungan ini, penulis boleh katakan bahawa gerakan mahasiswa ketika ini masih lagi belum mencapai kebebasan bersuara secara total, walaupun kerajaan telah meminda Seksyen 15 Auku.

Dilema Gerakan Mahasiswa

Setelah teraju utama gerakan mahasiswa dikenakan tindakan penggantungan selama satu dan tiga semester. Momentum gerakan mahasiswa bagai dilanda ombak tsunami. Hal ini disebabkan tiada mana-mana pihak yang benar-benar memprotes tindakan ini secara realiti, walaupun hukuman yang sama pernah diterima oleh Adam Adli cuma jumlah semester sahaja yang berbeza. Jika Adam Adli yang dikenakan tindakan tatatertib digantung selama tiga semester disebabkan isu menurunkan bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib B Tun Razak, semasa himpunan menuntut Kebebasan Akademik di PWTC menerima protes begitu hebat dari kalangan mahasiswa, mengapa solidariti yang sama tidak diterima oleh ketiga-tiga individu  bernama Muhammad Safwan Anang, Mohd Syahid Mohd Zaini dan Haziq Abdul Aziz. Adakah mahasiswa telah penat mendepani isu-isu sedemikian sepanjang tahun ini atau adakah mereka melihat isu pergantungan ini bukalah isu yang besar berbanding isu-isu yang melanda negara sekarang?

Selain itu, penulis juga berpandangan bahawa momentum gerakan mahasiswa Malaysia boleh dikatakan tidak begitu konsisten. Dalam erti kata mudahnya terdapat graf turun dan naik dalam perjalanan gerakan mahasiswa ketika ini. Dalam pandangan penulis kemungkinan besar gerakan mahasiswa di Malaysia lebih cenderung dipengaruhi dengan isu-isu besar melanda negara atau pun isu-isu kampus seluruh negara. Mungkin pandangan ini kebanyakan pembaca tidak bersetuju. Namun, mutakhir ini dapat kita melihat bahawa fenomena gerakan mahasiswa bagai melalui zon tidak menentu selepas isu PTPTN dan juga isu tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap beberapa komponen utama gerakan mahasiswa ketika ini iaitu Muhamad Safuwan Anang, Mohd Syahid Zaini, Haziq dan juga Adam Adli.

Persoalan pokok yang ingin penulis ajukan kepada kita semua, adakah gerakan mahasiswa ketika ini gagal dalam melahirkan pemimpin pelapis yang berpotensi menjadi nakhoda sementara? Hal ini disebabkan kita  tidak boleh hanya mengharapkan batang tubuh tertentu sahaja dalam menyusuri gerakan mahasiswa. Analoginya imam yang baru perlu menggantikan imam yang lama buat sementara waktu  jika imam tersebut sakit atau sebagainya.

Justeru, dilema ini perlu ditangani dengan segera secara bijaksana supaya gerakan mahasiswa Malaysia terus dipacu walaupun mendapat tekanan dari segenap sudut. Hal ini penting untuk menjadikan gerakan mahasiswa terus menjadi sandaran utama perjuangan mahasiswa Malaysia dalam mendepani apa-apa jua isu dalam konteks kampus atau pun nasional.

Ditambah lagi, perkembangan semasa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang berhasrat untuk meletakan calonnya di dalam Pilihan Raya Umum akan datang merupakan satu perkembangan yang positif dalam gerakan mahasiswa di Malaysia. Hal ini disebabkan dengan adanya perwakilan mahasiswa di Parlimen Malaysia setidak-tidaknya golongan mahasiswa mempunyai proksi yang kukuh bagi menyampai hasrat, idealisme  mahasiswa secara langsung tanpa melalui parti politik atau pun NGO-NGO tertentu. Perkara ini selari dengan pindaan Auku 2012 yang membenarkan penuntut universiti terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus. 

Namun, memetik kenyataan setiausaha SMM yang menyatakan bahawa SMM akan menurunkan wakil mereka dalam PRU13 sama ada sebagai calon Bebas ataupun bertanding atas tiket mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat (PR). Jika kita amati kenyataan di atas, penulis boleh meramalkan bahawa ramai dalam kalangan mahasiswa tidak bersetuju dengan tindakan SMM bertanding menggunakan tiket PR, jika benar perkara ini berlaku. Hal ini disebabkan jika SMM benar-benar berhasrat ingin meletakan calonnya yang  bakal bergelar “Yang Berhormat” berstatus mahasiswa di Parlimen Malaysia, sebagai platform utama mahasiswa menyampaikan idea,  pandangan, masalah mahu pun kritikan, SMM perlulah bertanding dalam ruang lingkup sebebas-bebasnya  dan tidak melibatkan mana-mana parti politik sekali pun, tidak kiralah parti politik bersifat kerajaan mahu pun pembangkang.

Hal ini disebabkan suara mahasiswa merupakan suara keramat sebagai ejen periksa dan imbang kepada iklim politik, sosial, ekonomi, dan kebajikan mahasiswa yang diwakilinya.  Di samping itu, dilema  gerakan mahasiswa hari ini sering dibayangi atau disamaertikan dengan ideologi perjuangan parti pembangkang perlulah dikikis sewajarnya. Hal ini supaya gerakan mahasiswa dilihat benar-benar murni dalam memperjuangkan nasib mahasiswa tanpa mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.

Oleh yang demikian, secara peribadinya penulis dapat menyatakan bahawa gerakan mahasiswa ketika ini perlu banyak melalui proses penambahbaikan dari segi objektif, nilai,  serta visi dan misi yang ingin diperjuangkan. Semoga gerakan mahasiswa Malaysia dapat mengembalikan semua zaman kegemilangan gerakan mahasiswa era 60-an dan 70-an suatu ketika dahulu.

MOHAMAD SHAFIQ ROHAIZAD BUYONG
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan