Selasa, 29 Mei 2012

ISU TENAGA KERJA ASING : MoU pengambilan amah yang hanya indah di atas kertas



Oleh Noraini Razak

SETIAP perjanjian, memorandum persefahaman (MoU) atau apa saja persetujuan tentunya untuk memudahkan sesuatu urusan. Kalau rundingan yang membawa kepada perjanjian dan sebagainya menambah kesulitan, apalah gunanya.

MoU pengambilan pembantu rumah warga Indonesia difahami kononnya untuk memudahkan kemasukan rakyat negara itu yang mahu mencari rezeki di Malaysia. Kedua-dua pihak berunding. Hasilnya, satu garis panduan baru diwujudkan. Hanya agensi berdaftar layak menguruskan kemasukan amah Indonesia dengan bayaran RM4,500. Manakala gaji pula masih diserahkan kepada majikan di Malaysia.

Rata-rata amah sekarang dibayar gaji RM600. Kekecohan kerajaan Indonesia menuntut amah mereka dibayar RM700 bagi satu jenis kerja ternyata memberi kesan kepada amah-amah yang mahu bekerja di sini. Sekadar ditawarkan gaji RM500 atau RM550, pandang sebelah mata pun belum tentu mereka mahu.

Oleh kerana rakyat Malaysia sering menjadi bangsa yang mengalah dan menerima, maka MoU pengambilan pembantu rumah termeterai. Ramai bakal majikan dan majikan sedia ada percaya bahawa mereka hanya perlu membayar RM4,500 untuk seorang pembantu rumah.

Sememangnya bayaran tersebut munasabah berbanding kadar biasa yang dikenakan agensi-agensi pekerja asing sebelum ini yang mencecah RM10,000 dan paling murah mungkin RM7,000. Bakal majikan juga dibenarkan mengurus sendiri pengambil amah Indonesia, bermakna tentu kos lebih jimat.

Namun MoU Malaysia-Indonesia tidak seindah dan tidak semudah yang disangka. Tidak juga menguntungkan rakyat Malaysia tetapi rasanya amat menguntungkan agensi-agensi di negara seberang terutamanya kepada majikan yang mahu menguruskan sendiri kemasukan amah mereka.

Tentunya ada pertanyaan mengapa ada majikan mahu urus sendiri sedangkan laman web Kementerian Sumber Manusia menyenarai panjang agensi-agensi berdaftar. Kenapa perlu susah payah kalau dengan RM4,500 urusan pengambilan amah boleh dilaksanakan.

Cubaan menghubungi beberapa agensi yang tersenarai menjawab kemusykilan. Ada agensi memberitahu, RM4,500 tidak termasuk bayaran levi, fomema dan sebagainya. Maknanya ada kos yang perlu ditambah. Ada pula memaklumkan bayaran tersebut termasuk kos-kos lain. Mengapa berlaku ketidakseragaman di sebalik MoU dan pelbagai persetujuan yang termeterai sebelum ini.

Seorang pengadu memberitahu, dia menghubungi agensi tersenarai untuk memohon bantuan menguruskan amah yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Segala-galanya bermula apabila si pengadu fikir menguruskan sendiri pengambilan amah bermakna permohonan boleh dibuat selepas amah tersebut berada di negara ini. Telahannya ternyata silap. Sebaik hadir ke Jabatan Imigresen dia diberitahu permohonan seumpama itu tidak dibenarkan lagi. Untuk mengambil sendiri amah, perlu menghubungi agensi berdaftar di Indonesia, mendapat segala cap dan tandatangan menggunakan borang baru, selepas selesai baru amah boleh masuk ke Malaysia dan kemudian urusan boleh dilaksanakan. Terduduk juga si pengadu yang telah membayar RM5,000 untuk membolehkan amah tersebut masuk ke negara ini.

Adakah itu memudahkan bakal majikan lantaran agensi di negara jiran mengenakan bayaran tidak kurang RM4,500, itu pun untuk kemasukan amah tanpa sebarang dokumen selain sekeping pasport. Bayangkan kalau mereka perlu menambah urusan agaknya berapa pula bayaran tambahan? Buntu dengan keadaan itu, si pengadu cuba menghubungi agensi berdaftar mencuba nasib jika mereka boleh memudahkan urusan.

Jawapan salah sebuah agensi, mereka boleh membantu ‘menghalalkan’ kemasukan amah si pengadu dengan bayaran RM4,500. Maknanya RM9,500 terpaksa dibayar untuk amah tersebut.

Tentunya tidak masuk akal malah melangkaui kewarasan di sebalik MoU untuk memudahkan urusan kemasukan amah warga Indonesia.

Mahu menggunakan agensi berdaftar di dalam negara pula terpaksa ‘beratur panjang’ dan mendengar pelbagai alasan termasuk amah tidak mahu masuk, agen di Indonesia buat hal dan pelbagai lagi.

Kadang-kadang terfikir apakah wujud konspirasi antara agensi di sini dan agensi di negara seberang supaya MoU tersebut hanya indah di atas kertas. Yang dapat untung adalah mereka, manakala bakal majikan terpaksa gigit jari.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan