Rabu, 9 Mei 2012

ISU BAHASA : Kemelut hak cipta

Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my

Pengarang perlu tahu dan sedar kepentingan melindungi karya 

KECUAIAN penulis terutama dalam memahami, meneliti dan menganalisis butiran dalam kontrak perjanjian sama ada bagi kebenaran mengadaptasi, pindah milik dan pelesenan karya dikenal pasti sebagai punca utama hak mereka sewenang-wenangnya dieksploitasi.


Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Rohazar Wati Zuallcobley, menasihatkan penulis yang mahu menuntut hak mereka agar tidak dibayangi kes mengenai pelanggaran hak cipta di Malaysia yang sedikit berbanding negara luar.
“Penulis yang mahu menuntut hak mereka tidak boleh menjadikan perkara ini sebagai penghalang kerana Malaysia mempunyai Akta Hak Cipta 1987 dan jenis karya yang menerima perlindungannya, selain mereka juga boleh merujuk kes sama yang berlaku di luar negara,” katanya pada Seminar Hak Cipta - Adaptasi Daripada Buku kepada Skrin bersempena Pesta Buku Kuala Lumpur Antarabangsa 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Beliau mengambil inisiatif menjelaskan keraguan mengenai perlindungan undang-undang yang termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987 sama ada ia setanding dengan perundangan hak cipta peringkat antarabangsa. 

“Akta Hak Cipta 1987 sememangnya setanding dengan undang-undang antarabangsa, apatah lagi Malaysia turut menjadi ahli kepada Konvensyen Berne yang memperkenalkan Perlindungan Karya Sastera dan Seni 1971.

Rohazar turut berkongsi definisi hak cipta dengan peserta sebagai hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang bagi suatu jangka masa tertentu kepada penulis dan pengubah untuk mencetak, menerbitkan atau menjual salinan karya asal mereka. 

“Antara karya dilindungi termasuk penulisan sastera, seni, muzik, rakaman bunyi, filem, siaran dan karya terbitan termasuk terjemahan, data dan adaptasi. Bagaimanapun, idea dalam menghasilkan sesebuah karya tidak dilindungi di bawah akta ini,” katanya.

Beliau yang juga penulis buku, Hak Cipta dan Hak Berkaitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2010 itu menambah, kebanyakan penulis masih belum sedar hak mereka dan kerugian timbul kerana pengabaian terhadap undang-undang yang sedia melindungi pemegang hak cipta. 

“Di bawah seksyen 8 (2), Akta Hak Cipta 1987 dengan jelas menerangkan, karya yang diadaptasi hendaklah tidak menjejaskan isi kandungan asal milik pengarang. Bagaimanapun, masalah timbul kerana penulis tidak menyedari hak mutlak berpihak kepada mereka. 

“Keadaan ini berterusan sehingga mereka menjadi mangsa keadaan apabila ada penerbit filem yang bertindak lebih bijak dengan memasukkan tambahan klausa dalam perjanjian yang menyatakan hak cipta keseluruhan automatik menjadi milik mereka,” tegasnya. 

Seminar berkenaan turut dihangatkan dengan persoalan penyertaan dalam sayembara, kadangkala mengakibatkan penafian hak terhadap pemilikan hak cipta yang dihadapi penulis asal tanpa mereka sedari.

Prof Madya Rozahar Wati menasihati penulis agar meneliti dan memahami terma dan syarat penganjur termasuk sama ada semua hak cipta dipegang sepenuhnya penganjur sama ada karya menang atau kalah.

“Jika penganjur menyatakan hanya karya yang menang saja dipegang hak ciptanya, secara automatik penulis yang gagal memenangi sebarang tempat dalam peraduan memiliki sepenuhnya hak cipta terhadap karya sendiri.

“Bagaimanapun, jika syarat peraduan tidak menyatakan apa-apa mengenai hak cipta, berasaskan seksyen 10, Akta Hak Cipta 1987 tentunya penulis asal menjadi pemilik hakiki hak cipta bagi karyanya itu,” ujarnya. 

Seminar anjuran Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan DBP bertambah hangat apabila  penggiat filem yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM, Dr Mahadi J Murat merungkai dilema perlindungan hak cipta daripada kaca mata pembuat filem. 

“Memahami sempadan hak dan tanggungjawab di antara penulis asal dan penerbit filem sewajarnya menjadi asas untuk merundingkan suatu kaedah menang-menang dalam kalangan mereka yang terbabit dalam perkara ini. 

“Bagaimana kita mencari titik pertemuan antara penulis asal, penulis skrip dan penerbit filem adalah kunci bagi mengelakkan isu tidak puas hati terhadap hak masing-masing timbul. Apa yang saya lihat, pergelutan terjadi kerana penulis sendiri gagal memahami dan menyedari hak mereka,” katanya yang pernah menghasilkan filem sejak era 1980-an merangkumi Sayang Salmah yang memenangi beberapa anugerah. 

Seminar berkenaan turut dihantui soalan panas daripada peserta yang mempersoalkan hak penulis asal novel, Ombak Rindu, Fauziah Ashari yang mendakwa tidak mendapat hak sewajarnya apabila filem adaptasi novel itu pecah panggung dan meraih keuntungan jutaan ringgit. 

Dr Mahadi menjawab persoalan itu dengan kenyataan sektor perfileman sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa ada perjanjian membabitkan keseluruhan produksi termasuk pelakon, penulis skrip dan pekerja di belakang tabir termasuk sumber karya yang diadaptasi. 

“Dalam kes Ombak Rindu, penulis buku berkenaan ada menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap royalti yang diperuntukkan dan saya nasihatkan penulis menjadikan isu itu sebagai pengajaran sebelum membenarkan karya diadaptasi. 

“Jangan lupa novel Ombak Rindu menerima banyak manfaat selepas diadaptasi. 

Bayangkan naskhah itu laris seperti pisang goreng panas sehingga mencecahkan cetak ulang ke-23. Penulis dan syarikat penerbitan novel itu turut mendapat habuan lumayan gara-gara filem Ombak Rindu meletup. 

“Masyarakat perlu sedar, filem yang baik bukan saja bergantung kepada skrip atau jalan cerita semata-mata, tetapi turut dibantu skor muzik menarik, pelakon popular dan sinematografi indah,” ujarnya. 

Seminarnya ini tentunya tidak sia-sia bagi karyawan sastera memandangkan ia menjelaskan beberapa dimensi berhubung Akta Hak Cipta 1987 yang hakikatnya menjadi kepentingan pengkarya, tetapi mereka perlu ada kesedaran mengenainya  demi menjaga kepentingan diri.

Sumber : http : //w.w.w . bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Peluang pelajar miskin berjaya



Oleh Norrasyidah Arshad

SHAH ALAM: Lebih 7,000 pelajar di bawah program perintis Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dilaksanakan pada 2010, akan menamatkan pengajian pada peringkat diploma tahun depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata pelajar terbabit dipilih daripada keluarga miskin di seluruh negara untuk mengikuti pengajian dengan dibiayai sepenuhnya oleh dana MDAB yang dikendalikan UiTM.

atanya, mereka akan menamatkan pengajian pada peringkat diploma dalam beberapa bidang antaranya Pengajian Perniagaan, Pengajian Perbankan dan Pengajian Pengurusan Pejabat.

“Pelajar terbabit membuktikan mereka mampu menguasai bidang pengajian yang diambil serta menggunakan peluang menyambung pengajian yang ditawarkan melalui program MDAB dengan sebaiknya,” kata beliau kepada pemberita setelah melepaskan peserta Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia (JDAB1M) fasa kedua di sini, semalam.

MDAB adalah satu daripada program di bawah tanggungjawab sosial (CSR) UiTM bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UiTM.

Mengenai siri jelajah itu yang bermula semalam ke 88 lokasi di seluruh negara sehingga 26 Mei ini, ia dijayakan 70 sukarelawan termasuk pelajar UiTM, alumni dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB).

Katanya, mereka akan membuka kaunter di tempat tumpuan ramai termasuk perhentian bas dan pasar bagi menyebar maklumat mengenai MDAB.

“Selain mengenal pasti golongan sasaran, program ini memfokuskan kepada elemen memberi kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan pendidikan lebih tinggi untuk memperbaiki taraf kehidupan.

“Kami menyasarkan kemasukan 5,000 pelajar bagi setiap semester. Mereka yang berminat boleh datang di kaunter dengan membawa salinan kad pengenalan dan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2009 dan ke atas.

“Mereka mesti terdiri daripada golongan keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan,” katanya sambil menambah program itu yang dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan menterjemahkan aspirasi beliau dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Mohammad Khairi A Malik, wakil penaja program JDAB1M iaitu dari Affin Bank, syarikat tekstil Jakel Silk House dan KUB Berhad.

JDAB1M singgah di Negeri Sembilan semalam, diikuti Johor hari ini, Kuala Lumpur (11 Mei), Selangor (12 dan 13 Mei), Perak (13 hingga 16 Mei), Pulau Pinang (17 Mei), Perlis (18 Mei), Kedah (18 dan 19 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (22 Mei), Pahang (23 Mei), Melaka (24 Mei) dan terakhir di Sabah pada 26 Mei.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Jiwa besar dai’ dan murabbi



Oleh Prof Dato' Dr Sidek Baba

Jiwa besar dai’ dan murabbi bermaksud seseorang pendakwah atau pendidik memiliki kualiti sabar, kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi didukung dengan kekuatan ilmu, kebijaksanaan dan kesesuaian cara bagaimana kebenaran dapat dipancarkan dan perubahan kepada mad’u atau sasaran terjadi, dengan izin ALLAH.

Melakukan dakwah dan pendidikan bukan saja asal sampai atau asal cakap. Dakwah yang maksudnya memanggil, mengajak dan menyeru ingin membawa manusia berubah ke arah yang baik dan lebih baik.

Perubahan sewajarnya berlaku ialah pemikiran yang memberi cetusan kepada perubahan hati. Islam adalah agama yang tidak saja menyentuh tentang aqidah dan ibadah, tetapi juga aspek kefahaman. Ia bergantung kepada jenis ilmu yang diberi, huraian terhadapnya dengan contoh-contoh meyakinkan dan memberi kesan kepada binaan hati dan diri.

Melakukan dakwah bukan saja silat lidah (percakapan) sifatnya, tetapi ia menyentuh mengenai silat hati (hubungan dengan hati). Menghubungkan dakwah dengan Islam bukan sekadar pernyataan sesuatu perkara yang sifatnya nampak (tangible) tetapi memberi keyakinan terhadap apa itu Islam menghubungkan pemikiran dan keyakinan manusia mengenai perkara-perkara ghaib.

Ia menuntut jalur dakwah yang mempertautkan faktor fikir dan zikir dalam erti kata luas. Penerimaan terhadap Islam tidak harus berlaku secara membuta-tuli tetapi hasil kefahaman yang baik, menghubungkan faktor nyata dengan ghaib.

Jiwa besar dai’ amat menginsafi manusia tidak lahir dan besar dalam orientasi tarbiah atau didikan yang sama. Ada perbezaan terjadi dari sudut keluarga, pendidikan, orientasi budaya, cara berfikir dan sikap hidup. Ia cenderung kepada kelupaan terhadap ALLAH dan jauh dari amalan yang diredai-Nya. Ia telah menyebabkan ramai manusia kehilangan arah.

Hatta yang Islam sejak lahir, nama dan keturunannya saja Islam tetapi sebahagian besar amal Islamnya bercanggah dengan hakikat keislaman itu sendiri. Kelompok seperti ini memerlukan pendekatan cukup bijaksana, kesabaran tinggi, bahasa mudah difahami dan contoh teladan yang sifatnya mempengaruhi.

Puncak dakwah ialah berlakunya cetusan hati seorang insan yang ingin kembali. Timbul kesedaran kepada dirinya untuk berpegang kepada fitrah. Lahir hasrat taubat, kelihatan perubahan hati dan diri ke arah sesuatu yang baik.

Pada asasnya, potensi seseorang untuk berubah tetap ada. Ia bergantung kepada pendekatan yang diambil oleh dai’ dan terus melakukan usaha pendidikan supaya antara hujah yang diberi dan teladan diri yang ditunjukkan sering membawa perubahan kepada manusia dengan izin ALLAH.

Apabila dilihat sesuatu kesalahan dan kemungkaran yang berlaku kepada seseorang, rasa belas kasihan harus ada terhadap pelaku itu. Mungkin ia tidak tahu atau orientasi didik yang diterima sifatnya sudah menyimpang.

Membenci pelaku itu sama benci dengan perbuatannya menyebabkan putusnya tali temali dakwah antara dai’ dan madu’. Dia akan terus jadi dia dan kita akan tetap seperti kita.

Memang usaha mengajak mereka kembali agak payah. Tetapi itu cabaran pendakwah supaya memiliki jiwa besar tanpa dendam kesumat. Memenangi hati-hati manusia adalah sesuatu yang murni dan dakwah menuntut kesabaran serta tidak ada kamus putus asa dalam diri. Gandingan sikap positif dan tidak berputus asa menyebabkan dai’ dan murabbi memikirkan jalan terbaik, bahasa yang sesuai dan ilmu mudah diterima supaya antara dai’ dan madu’ ada saluran berkomunikasi.

Jiwa besar dai’ dan murabbi terlihat pada wajahnya yang tenang, sabarnya yang tinggi, bijaksananya yang boleh diteladani, hujah-hujah mendekati yang sesuai dengan upaya berfikir dan memahami madu’ dan tidak melakukannya sekali tetapi diulang-ulang supaya perubahan madu’ terjadi.

Dai’ dan murabbi yang telah berjaya memenangi hati-hati manusia lain akan berasa amat bersyukur kepada ALLAH kerana keinginannya membawa kesan perubahan terhadap manusia lain dimakbulkan ALLAH. 

Itulah puncak pencapaian dai’ dan murabbi, bahawa gerak dan usaha yang ikhlas harus bermula daripada kita. Hidayah dan cetusan perubahan adalah milik ALLAH.

Sumber :http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Memupuk pemikiran positif


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SEBAGAI manusia, kita mempunyai kelebihan berbanding makhluk-makhluk yang lain. Ini disebabkan manusia dikurniakan akal fikiran yang membolehkan kita menilai yang baik dan yang buruk, membuat analisis dan bertadabbur memikirkan kebesaran Allah SWT.

Manusia diberikan kebebasan untuk menggunakan akal. Tiada halangan bagi mereka berfikir. Asalkan landasan pemikiran tersebut berpaksikan kepada neraca dan sempadan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Setiap manusia mempunyai ruang dan peluang untuk membentuk pemikiran, sama ada positif atau negatif.

Apabila berhadapan dengan situasi atau keadaan tertentu, sikap yang diambil boleh ditentukan dengan pemikiran.

Bahkan, pemikiran juga dapat memberikan kekuatan kepada kita dalam berhadapan dengan ujian dan cabaran kehidupan untuk mencapai matlamat yang didambakan.

Pemikiran yang positif sebenarnya perlu disemai dalam diri. Pemikiran  positif mengajar kita untuk berfikiran lebih optimis, memberi ruang untuk minda berfikiran lebih terbuka, membantu kita untuk meningkatkan daya dalam diri sendiri, masyarakat dan persekitaran.

Berfikiran positif juga hakikatnya membuatkan kita menjadi lebih tenang dan tenteram. Keadaan ini akan membantu kita dalam membuat keputusan yang rasional serta adil.

Berfikiran positif juga dapat mengelakkan berlakunya persengketaan, permusuhan, dendam dan ketidakpuasan hati sesama manusia.

Orang yang berfikiran positif juga tidak akan mudah berputus asa dan kecewa. Sebagai contoh, seseorang yang gagal dalam perniagaannya biasanya akan melihat kegagalan tersebut adalah penghalang kepada kejayaannya. Maka, dia akan terus berputus asa, kecewa dan mungkin tidak akan meneruskan usahanya lagi.

Akan tetapi, bagi seseorang yang mempunyai pemikiran positif, kegagalan merupakan kejayaan yang ditangguhkan. Kejayaan itu akan muncul pada bila-bila masa sahaja. Kegagalan dilihat sebagai batu loncatan untuk memperoleh kejayaan.

Sebenarnya, pemikiran positif selari dengan kehendak Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Apa yang ditakdirkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman sebenarnya adalah baik, walaupun pada pandangan kita ia adalah buruk.

Dengan maksud lain, Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik. Namun, mungkin kita yang tidak mahu bersyukur. Ketahuilah bahawa dalam kehidupan, kita tidak akan mendapat semua apa yang disukai.

Oleh itu, belajarlah untuk suka apa yang kita dapat. Firman Allah SWT: ...Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat). (al-A'raaf: 168)

Apabila kita berhadapan dengan musibah seperti kemalangan, penyakit dan sebagainya, kita perlu melihatnya secara positif. Jangan kita berburuk sangka dengan Allah. Anggaplah ia sebagai ujian yang Allah kurniakan kepada kita untuk mengangkat darjat atau sebagai penghapus kepada dosa-dosa yang telah kita kerjakan selama ini.

Firman Allah SWT: Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (asy-Syu'ara: 30)

Apabila kita berfikiran positif, maka kita akan menarik elemen-elemen positif bersama dengan kita.

Allah juga akan mengikut sangkaan kita terhadap-Nya. Sewaktu kita berdoa, hendaklah kita yakin dan percaya Allah akan memakbulkan doa yang kita panjatkan.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, Allah berfirman: Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hamba-Ku adalah mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku... (riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Oleh itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif terhadap segala yang kita tempuhi, sama ada baik atau buruk. Rasulullah mengajar kita untuk sentiasa berfikiran positif.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Sungguh ajaib keadaan orang yang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan dengan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya." (riwayat Muslim)

Demikian juga apabila kita berhadapan dengan masyarakat di sekeliling. Mulakan interaksi kita dengan mereka secara positif. Jangan melihat semua orang di sekeliling sebagai pesaing atau musuh.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ tema Hari Guru Kebangsaan Ke-41


‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’  telah  dipilih sebagai  tema  Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 bagi  Tahun 2012.

Pemilihan tema ini telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud ketika menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Hari Guru 2012 pada 30 April 2012 di Dewan Besar Sekolah Sultan Alam Shah, Presint 1, Putrajaya.

Tema Hari Guru ini  amat bersesuaian dengan tahun 2012 yang juga merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi di peringkat nasional.

Peranan guru  amat penting dalam melonjakkan prestasi pencapaian murid. kerana kecemerlangan dan kemenjadian murid adalah puncak manifestasi seseorang  guru hasil daripada kerja-kerja pendidikan yang mampu menghasilkan modal insan yang kompeten dan cerdas dalam aspek ilmu dan kemahiran; inovatif dan kreatif; bersahsiah dan bersifat patriotik serta cinta akan tanah air.

Guru inovatif juga mampu melonjakkan transformasi terhadap murid dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran sains teknologi terkini dan ini membuktikan bahawa modal insan berinovasi menjadi prasyarat utama kepada pertumbuhan produktiviti ke arah penjanaan ekonomi berpendapatan tinggi.

Sehubungan dengan  itu, para pendidik  diseru agar bersama-sama berusaha membuat anjakan daripada daya upaya peralatan kepada daya upaya minda dan daripada pemudah cara kepada pencetus invensi dan inovasi.

Sumber : http://buletinkpm.blogspot.com/

ISU SOSIAL : Beradablah dalam berbeza pandangan



DR ASYRAF WADJI DASUKI

Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai demonstrasi haram Isnin lalu telah mengundang pelbagai bentuk reaksi dan perdebatan di alam siber. Penulis tidaklah bercadang mengulas kenyataan tersebut. Namun terasa amat sedih apabila mereka yang tidak bersetuju, mengambil pendekatan mencela dan membuat pelbagai tohmahan kepada anggota Majlis Fatwa Kebangsaan yang terdiri daripada Mufti-mufti seluruh negeri dan ulama-ulama yang diperakui ketinggian ilmu agama dan akhlak mereka.

Tidak salah untuk berbeza pandangan dengan para ulama kerana kedudukan ulama dalam Islam bukannya sebagaimana paderi dan sami dalam agama lain yang dianggap suci dan maksum sehingga tidak boleh dikritik. Dalam Islam darjat maksum hanya pada Nabi SAW. Selain daripada Baginda, manusia terdedah kepada pelbagai bentuk kelemahan termasuklah para ulama.

Cuma dalam mengkritik biarlah secara beradab dan berakhlak. Janganlah hanya kerana kenyataan yang dikeluarkan tidak selari dengan pendirian, kita terus mencela, memaki-hamun dan memfitnah alim ulama secara melampau seperti ‘ulama jahat’, ‘ulama kaki duitan’, ‘ulama suapan’, ‘ulama pemerintah’ dan sebagainya.

Sedangkan al-Quran sendiri mengajar kita beberapa prinsip penting dalam menjaga adab dan akhlak sebagai seorang Islam terhadap saudara seislamnya yang lain demi sebuah ukhuwah. Antaranya termasuklah menghindari sikap suka menghina, mencerca, menggelar dengan gelaran buruk, berprasangka, mengumpat dan sentiasa mencari-cari kesalahan orang lain.

“Wahai orang-orang beriman, janganlah suatu kaum memperlekeh kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diperlekehkan lebih baik daripada mereka, dan jangan pula wanita-wanita memperlekeh wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita-wanita yang diperlekehkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah memperoleh iman”. (Al-Hujurat ayat 11).

Seterusnya ALLAH menyarankan agar umat membuang prasangka kerana kebanyakan adalah tidak benar, bahkan satu bentuk dosa. Ini ditegaskan dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah prasangka, sesungguhnya sebahagian besar prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain” (Al-Hujurat: 65)

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan penyimpangan yang membawa kepada perilaku biadab pada ulama seperti yang berlaku ketika ini amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain.

Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak berbahaya yang sedang menjalar dalam urat-saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendukung Islam terdahulu. Sedangkan kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran bebas dan merdeka yang dibimbing cahaya wahyu ILAHI.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam, terutama dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berlapang dada  dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pengguna Islam kurang prihatin


Oleh Mohd Shah Che Ahmad


MALAYSIA negara Islam. K.ita ada akta halal dan undang-undang sendiri yang telah diperuntukkan oleh pihak berkuasa, kenapa perlu risau dan kenapa tidak pernah habis membincangkan isu halal dan haram ini."

Begitulah ungkapan yang sering didengari daripada segelintir masyarakat di negara ini apabila mempersoalkan mengenai tahap kesedaran dan hak pengguna dalam pengambilan produk halal.

Ramai yang beranggapan, kewujudan akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal Januari lalu menjadi jaminan kepada pengguna yang beragama Islam untuk mendapatkan makanan atau produk yang diyakini suci dan halal.

Atas alasan Malaysia merupakan negara Islam juga, ramai yang kurang mengambil perhatian terhadap status sesuatu makanan atau produk yang diambil.

Sikap kurang prihatin menjadi punca yang mengakibatkan industri halal di negara ini sukar untuk berkembang dan mencapai kepada tahap yang memuaskan.

Akibatnya, makanan dan produk daripada sumber tidak halal terus terjual meluas di pasaran kerana mendapat sambutan daripada orang ramai yang bergelar pengguna termasuk orang Islam.

Kita kerap melenting apabila mendapat tahu sesuatu produk yang telah sekian lama kita gunakan diwartakan mempunyai kandungan tidak halal oleh pihak berkuasa.

Sedar atau tidak, pengguna sebenarnya mempunyai kuasa yang mampu mengubah dan menganjakkan industri halal di negara ini ke arah yang lebih maju dengan mendahului negara-negara Islam yang lain.

Inilah yang ditekankan oleh Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Terbelakah Hak Pengguna Dalam Isu Pemakanan Halal dan Berkhasiat' dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal, baru-baru ini.

Mohd. Yusof berkata, perkara tersebut diyakini mampu dicapai kerana pengguna Islam merupakan penyumbang terbesar terhadap permintaan produk di negara ini.

"Masyarakat Islam merupakan pengguna terbesar berbanding penganut agama lain. Statistik pada tahun 2010 menunjukkan seramai 61.3 peratus atau 17.3 juta rakyat di negara ini beragama Islam.

"Oleh itu, pengguna Islam mempunyai peranan yang penting dalam menentukan permintaan produk makanan halal di negara ini.

"Jika semua pengguna Islam sedar mengenai kepentingan ini, maka pengusaha produk akan berusaha memastikan produk atau makanan mereka adalah halal.

"Justeru, pengguna umpama kuasa besar yang boleh memandu industri halal di negara ini dengan mewujudkan permintaan besar produk keluaran halal di pasaran," katanya.

Sebagai pengguna Islam, kita tidak boleh hanya bergantung kepada akta dan pihak berkuasa dalam memastikan produk yang dipasarkan berstatus halal. Mereka sendiri harus memahami dan peka terhadap konsep halal dan haram.

Sebagai contoh, pengguna perlu mengetahui sedikit sebanyak mengenai kandungan bahan dalam makanan atau produk yang ingin diambil.

Pengguna perlu tahu mengenal pasti sesuatu produk dihasilkan tersebut sama ada mematuhi tuntutan agama atau tidak.

Di samping itu, pengguna juga perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai hak dalam menentukan dan membuat pemilihan sumber makanan atau produk yang ingin digunakan itu halal.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Yusof, terdapat lapan garis panduan yang telah disepakati oleh pergerakan pengguna seluruh dunia terhadap hak seorang pengguna.

"Hak tersebut adalah, hak untuk mendapatkan keperluan asas, hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk mendapatkan keselamatan, hak membuat pilihan, hak mendapatkan pendidikan berguna, hak mendapatkan ganti rugi, hak untuk bersuara, serta hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat. Pembungkusan makanan perlulah mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar.

"Ternyata hak pengguna tersebut telah disepakati oleh pergerakan pengguna seluruh dunia. Jika pengguna tahu memanfaatkan hak mereka, pasti sesuatu perkara yang disepakati akan tercapai.

"Jika pengguna tegas menitikberatkan bab halal dan haram ini, pastinya ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada peniaga atau pengusaha produk mengenai kepentingan mengenai halal," jelasnya.

Walaupun Islam telah lama bertapak dan diamalkan oleh majoriti masyarakat di negara ini, namun industri halal negara masih berada ditahap yang kurang memuaskan.

Ia berikutan terdapat beberapa faktor yang membantutkan perkembangan industri halal.

Mohd. Yusof berkata, antara faktor tersebut adalah, pengeluaran produk dan makanan dikuasai oleh orang bukan Islam dan kekurangan rantaian bekalan bahan makanan halal.

"Statistik pada tahun 2010 menunjukkan 74.7 peratus pemegang sijil halal Malaysia adalah bukan Bumiputera bagi kategori produk, premis makanan dan rumah sembelihan.

"Kita juga mengalami masalah kekurangan rantaian bekalan bahan makanan halal. Ini menjadi masalah kepada pengusaha untuk mendapatkan persijilan halal disebabkan kekurangan bahan makanan halal seperti bahan mentah, ramuan, bahan tambahan dan sebagainya," ujarnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Memartabatkan Pendidikan Ke Taraf Dunia Jadi Keutamaan Malaysia




ABU DHABI: Meningkatkan kualiti sistem pendidikan dan menjadikannya bertaraf dunia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia dalam mengemudi negara ke arah kejayaan lebih besar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin perkara itu juga menjadi keutamaan negara lain yang sentiasa berusaha untuk mencapai kemajuan dalam persekitaran global yang semakin hebat daya saingnya.

"Sebagai pemimpin hari ini, adalah menjadi tanggungjawab utama kita untuk memastikan generasi masa depan kita bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran semasa mereka," kata beliau dalam ucaptama bertajuk 'Leading Across: How Do Effective Government Leaders Engage Across Sectors' pada Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan (TES) 2012 di sini, Rabu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata walaupun tanggungjawab itu perlu dipikul oleh setiap orang daripada semua sektor, tetapi pemimpin kerajaan yang berkesan perlu bekerjasama dengan semua sektor, mendengar pendapat mereka dan menerima mereka sebagai rakan seiringan dalam perjalanan mentransformasikan bidang pendidikan.

Sidang kemuncak pertama itu dianjurkan Majlis Pendidikan Abu Dhabi (ADEC) di bawah naungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Membuka tirainya pada Isnin, sidang kemuncak tiga hari itu dijadual membincangkan cara untuk menyalurkan pendidikan yang relevan kepada masyarakat global yang pesat berubah.

Bekas perdana menteri Britain Gordon Brown dan bekas presiden Finland Tarja Halonen turut menghadiri sidang kemuncak itu.

Muhyiddin berkata dalam melaksanakan transformasi terhadap bidang pendidikan dalam persekitaran global yang berdaya saing, pemimpin transformasi pendidikan perlu bertanya soalan penting iaitu sama ada pendidikan yang ada sekarang mampu memenuhi tuntutan global.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa kini, ekonomi dunia semakin dipacu oleh ilmu pengetahuan dan inovasi. Jadi, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran global pada masa akan datang bergantung pada kejayaan kita dalam menjadikan usaha mengejar inovasi melalui pendidikan berkualiti sebagai penggerak utama pembangunan ekonomi," katanya.

Muhyiddin berkata keadaan ini meletakkan dunia membangun, khususnya, pada persimpangan jalan yang amat kritikal untuk terus bersaing dengan negara maju.

"Mereka (negara membangun) perlu memastikan sistem pendidikan mereka mampu melahirkan pekerja berpengetahuan, yang akan memenuhi industri yang berintensifkan ilmu dan inovasi," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hakikat itu, mentransformasikan pendidikan bukan lagi merupakan suatu pilihan, tetapi suatu kemestian kerana kejayaan transformasi ekonomi bergantung pada kejayaan transformasi pendidikan.

Oleh itu, sesebuah kerajaan yang berkesan bukan saja perlu memacu transforamsi dan berharap dapat mencapai hasilnya, tetapi juga menjadikan setiap pemegang kepentingan berasa mereka adalah sebahagian daripada proses transformasi itu sendiri, katanya.

Muhyiddin berkata berasaskan semangat itu, Malaysia melancarkan siri Dialog Pendidikan Nasional minggu lepas sebagai sebahagian daripada proses penilaian semulanya terhadap bidang pendidikan untuk mendapatkan pandangan orang ramai dan pemegang kepentingan tentang cara untuk menambah baik kualiti dan standard pendidikan.

Melalui dialog itu, semua lapisan masyarakat dipelawa memberi pandangan tentang sembilan bidang spesifik, termasuk kualiti guru, peningkatan kecekapan kepimpinan sekolah, penambahbaikan kualiti sekolah dan pemupukan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dalam pendidikan, katanya.


Dalam program berasingan, Muhyiddin melawat Sekolah Al-Mushrif (Al-Mushrif School), sebuah sekolah kerajaan yang dibuka pada 2003 bermula dengan peringkat pra-sekolah.

Sekolah itu, yang kini mempunyai 287 murid, menawarkan Bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga, selain Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, berikutan minat Putera Mahkotanya untuk mengenali dengan lebih mendalam budaya masyarakat Cina.

Muhyiddin berkata bagi Malaysia, "kita sudah biasa dengan dwibahasa di sekolah dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa di sekolah."

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas lawatan tersebut.

Sumber : Bernama