Rabu, 9 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Jiwa besar dai’ dan murabbi



Oleh Prof Dato' Dr Sidek Baba

Jiwa besar dai’ dan murabbi bermaksud seseorang pendakwah atau pendidik memiliki kualiti sabar, kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi didukung dengan kekuatan ilmu, kebijaksanaan dan kesesuaian cara bagaimana kebenaran dapat dipancarkan dan perubahan kepada mad’u atau sasaran terjadi, dengan izin ALLAH.

Melakukan dakwah dan pendidikan bukan saja asal sampai atau asal cakap. Dakwah yang maksudnya memanggil, mengajak dan menyeru ingin membawa manusia berubah ke arah yang baik dan lebih baik.

Perubahan sewajarnya berlaku ialah pemikiran yang memberi cetusan kepada perubahan hati. Islam adalah agama yang tidak saja menyentuh tentang aqidah dan ibadah, tetapi juga aspek kefahaman. Ia bergantung kepada jenis ilmu yang diberi, huraian terhadapnya dengan contoh-contoh meyakinkan dan memberi kesan kepada binaan hati dan diri.

Melakukan dakwah bukan saja silat lidah (percakapan) sifatnya, tetapi ia menyentuh mengenai silat hati (hubungan dengan hati). Menghubungkan dakwah dengan Islam bukan sekadar pernyataan sesuatu perkara yang sifatnya nampak (tangible) tetapi memberi keyakinan terhadap apa itu Islam menghubungkan pemikiran dan keyakinan manusia mengenai perkara-perkara ghaib.

Ia menuntut jalur dakwah yang mempertautkan faktor fikir dan zikir dalam erti kata luas. Penerimaan terhadap Islam tidak harus berlaku secara membuta-tuli tetapi hasil kefahaman yang baik, menghubungkan faktor nyata dengan ghaib.

Jiwa besar dai’ amat menginsafi manusia tidak lahir dan besar dalam orientasi tarbiah atau didikan yang sama. Ada perbezaan terjadi dari sudut keluarga, pendidikan, orientasi budaya, cara berfikir dan sikap hidup. Ia cenderung kepada kelupaan terhadap ALLAH dan jauh dari amalan yang diredai-Nya. Ia telah menyebabkan ramai manusia kehilangan arah.

Hatta yang Islam sejak lahir, nama dan keturunannya saja Islam tetapi sebahagian besar amal Islamnya bercanggah dengan hakikat keislaman itu sendiri. Kelompok seperti ini memerlukan pendekatan cukup bijaksana, kesabaran tinggi, bahasa mudah difahami dan contoh teladan yang sifatnya mempengaruhi.

Puncak dakwah ialah berlakunya cetusan hati seorang insan yang ingin kembali. Timbul kesedaran kepada dirinya untuk berpegang kepada fitrah. Lahir hasrat taubat, kelihatan perubahan hati dan diri ke arah sesuatu yang baik.

Pada asasnya, potensi seseorang untuk berubah tetap ada. Ia bergantung kepada pendekatan yang diambil oleh dai’ dan terus melakukan usaha pendidikan supaya antara hujah yang diberi dan teladan diri yang ditunjukkan sering membawa perubahan kepada manusia dengan izin ALLAH.

Apabila dilihat sesuatu kesalahan dan kemungkaran yang berlaku kepada seseorang, rasa belas kasihan harus ada terhadap pelaku itu. Mungkin ia tidak tahu atau orientasi didik yang diterima sifatnya sudah menyimpang.

Membenci pelaku itu sama benci dengan perbuatannya menyebabkan putusnya tali temali dakwah antara dai’ dan madu’. Dia akan terus jadi dia dan kita akan tetap seperti kita.

Memang usaha mengajak mereka kembali agak payah. Tetapi itu cabaran pendakwah supaya memiliki jiwa besar tanpa dendam kesumat. Memenangi hati-hati manusia adalah sesuatu yang murni dan dakwah menuntut kesabaran serta tidak ada kamus putus asa dalam diri. Gandingan sikap positif dan tidak berputus asa menyebabkan dai’ dan murabbi memikirkan jalan terbaik, bahasa yang sesuai dan ilmu mudah diterima supaya antara dai’ dan madu’ ada saluran berkomunikasi.

Jiwa besar dai’ dan murabbi terlihat pada wajahnya yang tenang, sabarnya yang tinggi, bijaksananya yang boleh diteladani, hujah-hujah mendekati yang sesuai dengan upaya berfikir dan memahami madu’ dan tidak melakukannya sekali tetapi diulang-ulang supaya perubahan madu’ terjadi.

Dai’ dan murabbi yang telah berjaya memenangi hati-hati manusia lain akan berasa amat bersyukur kepada ALLAH kerana keinginannya membawa kesan perubahan terhadap manusia lain dimakbulkan ALLAH. 

Itulah puncak pencapaian dai’ dan murabbi, bahawa gerak dan usaha yang ikhlas harus bermula daripada kita. Hidayah dan cetusan perubahan adalah milik ALLAH.

Sumber :http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan