Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
SEBAGAI manusia, kita mempunyai kelebihan berbanding
makhluk-makhluk yang lain. Ini disebabkan manusia dikurniakan akal fikiran yang
membolehkan kita menilai yang baik dan yang buruk, membuat analisis dan
bertadabbur memikirkan kebesaran Allah SWT.
Manusia diberikan kebebasan untuk menggunakan akal. Tiada
halangan bagi mereka berfikir. Asalkan landasan pemikiran tersebut berpaksikan
kepada neraca dan sempadan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Setiap manusia mempunyai ruang dan peluang untuk membentuk
pemikiran, sama ada positif atau negatif.
Apabila berhadapan dengan situasi atau keadaan tertentu,
sikap yang diambil boleh ditentukan dengan pemikiran.
Bahkan, pemikiran juga dapat memberikan kekuatan kepada kita
dalam berhadapan dengan ujian dan cabaran kehidupan untuk mencapai matlamat
yang didambakan.
Pemikiran yang positif sebenarnya perlu disemai dalam diri. Pemikiran positif mengajar kita untuk berfikiran lebih optimis, memberi ruang untuk minda
berfikiran lebih terbuka, membantu kita untuk meningkatkan daya dalam diri
sendiri, masyarakat dan persekitaran.
Berfikiran positif juga hakikatnya membuatkan kita menjadi
lebih tenang dan tenteram. Keadaan ini akan membantu kita dalam membuat
keputusan yang rasional serta adil.
Berfikiran positif juga dapat mengelakkan berlakunya
persengketaan, permusuhan, dendam dan ketidakpuasan hati sesama manusia.
Orang yang berfikiran positif juga tidak akan mudah berputus
asa dan kecewa. Sebagai contoh, seseorang yang gagal dalam perniagaannya
biasanya akan melihat kegagalan tersebut adalah penghalang kepada kejayaannya.
Maka, dia akan terus berputus asa, kecewa dan mungkin tidak akan meneruskan
usahanya lagi.
Akan tetapi, bagi seseorang yang mempunyai pemikiran
positif, kegagalan merupakan kejayaan yang ditangguhkan. Kejayaan itu akan
muncul pada bila-bila masa sahaja. Kegagalan dilihat sebagai batu loncatan
untuk memperoleh kejayaan.
Sebenarnya, pemikiran positif selari dengan kehendak Allah
SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Apa yang ditakdirkan oleh Allah SWT
kepada hamba-hamba-Nya yang beriman sebenarnya adalah baik, walaupun pada
pandangan kita ia adalah buruk.
Dengan maksud lain, Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik.
Namun, mungkin kita yang tidak mahu bersyukur. Ketahuilah bahawa dalam
kehidupan, kita tidak akan mendapat semua apa yang disukai.
Oleh itu, belajarlah untuk suka apa yang kita dapat. Firman
Allah SWT: ...Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan
bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat). (al-A'raaf: 168)
Apabila kita berhadapan dengan musibah seperti kemalangan,
penyakit dan sebagainya, kita perlu melihatnya secara positif. Jangan kita
berburuk sangka dengan Allah. Anggaplah ia sebagai ujian yang Allah kurniakan
kepada kita untuk mengangkat darjat atau sebagai penghapus kepada dosa-dosa
yang telah kita kerjakan selama ini.
Firman Allah SWT: Dan apa jua yang menimpa kamu daripada
sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu
lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada
itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (asy-Syu'ara: 30)
Apabila kita berfikiran positif, maka kita akan menarik
elemen-elemen positif bersama dengan kita.
Allah juga akan mengikut sangkaan kita terhadap-Nya. Sewaktu
kita berdoa, hendaklah kita yakin dan percaya Allah akan memakbulkan doa yang
kita panjatkan.
Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, Allah
berfirman: Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hamba-Ku adalah
mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia
mengingati-Ku... (riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Oleh itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif terhadap
segala yang kita tempuhi, sama ada baik atau buruk. Rasulullah mengajar kita
untuk sentiasa berfikiran positif.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Sungguh ajaib
keadaan orang yang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam
keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang
beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan dengan sesuatu nikmat, dia akan
bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa
musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya." (riwayat
Muslim)
Demikian juga apabila kita berhadapan dengan masyarakat di
sekeliling. Mulakan interaksi kita dengan mereka secara positif. Jangan melihat
semua orang di sekeliling sebagai pesaing atau musuh.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan