Rabu, 9 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Memartabatkan Pendidikan Ke Taraf Dunia Jadi Keutamaan Malaysia




ABU DHABI: Meningkatkan kualiti sistem pendidikan dan menjadikannya bertaraf dunia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia dalam mengemudi negara ke arah kejayaan lebih besar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin perkara itu juga menjadi keutamaan negara lain yang sentiasa berusaha untuk mencapai kemajuan dalam persekitaran global yang semakin hebat daya saingnya.

"Sebagai pemimpin hari ini, adalah menjadi tanggungjawab utama kita untuk memastikan generasi masa depan kita bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran semasa mereka," kata beliau dalam ucaptama bertajuk 'Leading Across: How Do Effective Government Leaders Engage Across Sectors' pada Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan (TES) 2012 di sini, Rabu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata walaupun tanggungjawab itu perlu dipikul oleh setiap orang daripada semua sektor, tetapi pemimpin kerajaan yang berkesan perlu bekerjasama dengan semua sektor, mendengar pendapat mereka dan menerima mereka sebagai rakan seiringan dalam perjalanan mentransformasikan bidang pendidikan.

Sidang kemuncak pertama itu dianjurkan Majlis Pendidikan Abu Dhabi (ADEC) di bawah naungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Membuka tirainya pada Isnin, sidang kemuncak tiga hari itu dijadual membincangkan cara untuk menyalurkan pendidikan yang relevan kepada masyarakat global yang pesat berubah.

Bekas perdana menteri Britain Gordon Brown dan bekas presiden Finland Tarja Halonen turut menghadiri sidang kemuncak itu.

Muhyiddin berkata dalam melaksanakan transformasi terhadap bidang pendidikan dalam persekitaran global yang berdaya saing, pemimpin transformasi pendidikan perlu bertanya soalan penting iaitu sama ada pendidikan yang ada sekarang mampu memenuhi tuntutan global.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa kini, ekonomi dunia semakin dipacu oleh ilmu pengetahuan dan inovasi. Jadi, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran global pada masa akan datang bergantung pada kejayaan kita dalam menjadikan usaha mengejar inovasi melalui pendidikan berkualiti sebagai penggerak utama pembangunan ekonomi," katanya.

Muhyiddin berkata keadaan ini meletakkan dunia membangun, khususnya, pada persimpangan jalan yang amat kritikal untuk terus bersaing dengan negara maju.

"Mereka (negara membangun) perlu memastikan sistem pendidikan mereka mampu melahirkan pekerja berpengetahuan, yang akan memenuhi industri yang berintensifkan ilmu dan inovasi," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hakikat itu, mentransformasikan pendidikan bukan lagi merupakan suatu pilihan, tetapi suatu kemestian kerana kejayaan transformasi ekonomi bergantung pada kejayaan transformasi pendidikan.

Oleh itu, sesebuah kerajaan yang berkesan bukan saja perlu memacu transforamsi dan berharap dapat mencapai hasilnya, tetapi juga menjadikan setiap pemegang kepentingan berasa mereka adalah sebahagian daripada proses transformasi itu sendiri, katanya.

Muhyiddin berkata berasaskan semangat itu, Malaysia melancarkan siri Dialog Pendidikan Nasional minggu lepas sebagai sebahagian daripada proses penilaian semulanya terhadap bidang pendidikan untuk mendapatkan pandangan orang ramai dan pemegang kepentingan tentang cara untuk menambah baik kualiti dan standard pendidikan.

Melalui dialog itu, semua lapisan masyarakat dipelawa memberi pandangan tentang sembilan bidang spesifik, termasuk kualiti guru, peningkatan kecekapan kepimpinan sekolah, penambahbaikan kualiti sekolah dan pemupukan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dalam pendidikan, katanya.


Dalam program berasingan, Muhyiddin melawat Sekolah Al-Mushrif (Al-Mushrif School), sebuah sekolah kerajaan yang dibuka pada 2003 bermula dengan peringkat pra-sekolah.

Sekolah itu, yang kini mempunyai 287 murid, menawarkan Bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga, selain Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, berikutan minat Putera Mahkotanya untuk mengenali dengan lebih mendalam budaya masyarakat Cina.

Muhyiddin berkata bagi Malaysia, "kita sudah biasa dengan dwibahasa di sekolah dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa di sekolah."

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas lawatan tersebut.

Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan