Rabu, 9 Mei 2012

ISU SOSIAL : Pengguna Islam kurang prihatin


Oleh Mohd Shah Che Ahmad


MALAYSIA negara Islam. K.ita ada akta halal dan undang-undang sendiri yang telah diperuntukkan oleh pihak berkuasa, kenapa perlu risau dan kenapa tidak pernah habis membincangkan isu halal dan haram ini."

Begitulah ungkapan yang sering didengari daripada segelintir masyarakat di negara ini apabila mempersoalkan mengenai tahap kesedaran dan hak pengguna dalam pengambilan produk halal.

Ramai yang beranggapan, kewujudan akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal Januari lalu menjadi jaminan kepada pengguna yang beragama Islam untuk mendapatkan makanan atau produk yang diyakini suci dan halal.

Atas alasan Malaysia merupakan negara Islam juga, ramai yang kurang mengambil perhatian terhadap status sesuatu makanan atau produk yang diambil.

Sikap kurang prihatin menjadi punca yang mengakibatkan industri halal di negara ini sukar untuk berkembang dan mencapai kepada tahap yang memuaskan.

Akibatnya, makanan dan produk daripada sumber tidak halal terus terjual meluas di pasaran kerana mendapat sambutan daripada orang ramai yang bergelar pengguna termasuk orang Islam.

Kita kerap melenting apabila mendapat tahu sesuatu produk yang telah sekian lama kita gunakan diwartakan mempunyai kandungan tidak halal oleh pihak berkuasa.

Sedar atau tidak, pengguna sebenarnya mempunyai kuasa yang mampu mengubah dan menganjakkan industri halal di negara ini ke arah yang lebih maju dengan mendahului negara-negara Islam yang lain.

Inilah yang ditekankan oleh Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Terbelakah Hak Pengguna Dalam Isu Pemakanan Halal dan Berkhasiat' dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal, baru-baru ini.

Mohd. Yusof berkata, perkara tersebut diyakini mampu dicapai kerana pengguna Islam merupakan penyumbang terbesar terhadap permintaan produk di negara ini.

"Masyarakat Islam merupakan pengguna terbesar berbanding penganut agama lain. Statistik pada tahun 2010 menunjukkan seramai 61.3 peratus atau 17.3 juta rakyat di negara ini beragama Islam.

"Oleh itu, pengguna Islam mempunyai peranan yang penting dalam menentukan permintaan produk makanan halal di negara ini.

"Jika semua pengguna Islam sedar mengenai kepentingan ini, maka pengusaha produk akan berusaha memastikan produk atau makanan mereka adalah halal.

"Justeru, pengguna umpama kuasa besar yang boleh memandu industri halal di negara ini dengan mewujudkan permintaan besar produk keluaran halal di pasaran," katanya.

Sebagai pengguna Islam, kita tidak boleh hanya bergantung kepada akta dan pihak berkuasa dalam memastikan produk yang dipasarkan berstatus halal. Mereka sendiri harus memahami dan peka terhadap konsep halal dan haram.

Sebagai contoh, pengguna perlu mengetahui sedikit sebanyak mengenai kandungan bahan dalam makanan atau produk yang ingin diambil.

Pengguna perlu tahu mengenal pasti sesuatu produk dihasilkan tersebut sama ada mematuhi tuntutan agama atau tidak.

Di samping itu, pengguna juga perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai hak dalam menentukan dan membuat pemilihan sumber makanan atau produk yang ingin digunakan itu halal.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Yusof, terdapat lapan garis panduan yang telah disepakati oleh pergerakan pengguna seluruh dunia terhadap hak seorang pengguna.

"Hak tersebut adalah, hak untuk mendapatkan keperluan asas, hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk mendapatkan keselamatan, hak membuat pilihan, hak mendapatkan pendidikan berguna, hak mendapatkan ganti rugi, hak untuk bersuara, serta hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat. Pembungkusan makanan perlulah mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar.

"Ternyata hak pengguna tersebut telah disepakati oleh pergerakan pengguna seluruh dunia. Jika pengguna tahu memanfaatkan hak mereka, pasti sesuatu perkara yang disepakati akan tercapai.

"Jika pengguna tegas menitikberatkan bab halal dan haram ini, pastinya ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada peniaga atau pengusaha produk mengenai kepentingan mengenai halal," jelasnya.

Walaupun Islam telah lama bertapak dan diamalkan oleh majoriti masyarakat di negara ini, namun industri halal negara masih berada ditahap yang kurang memuaskan.

Ia berikutan terdapat beberapa faktor yang membantutkan perkembangan industri halal.

Mohd. Yusof berkata, antara faktor tersebut adalah, pengeluaran produk dan makanan dikuasai oleh orang bukan Islam dan kekurangan rantaian bekalan bahan makanan halal.

"Statistik pada tahun 2010 menunjukkan 74.7 peratus pemegang sijil halal Malaysia adalah bukan Bumiputera bagi kategori produk, premis makanan dan rumah sembelihan.

"Kita juga mengalami masalah kekurangan rantaian bekalan bahan makanan halal. Ini menjadi masalah kepada pengusaha untuk mendapatkan persijilan halal disebabkan kekurangan bahan makanan halal seperti bahan mentah, ramuan, bahan tambahan dan sebagainya," ujarnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan