Oleh : MOHD. FIRDAUS
ISMAIL
PULAU PINANG 22 Feb. - Kecekapan
polis mengesan sindiket penjualan bayi melalui Ops
Pintas Sayang 2 yang dilancarkan di seluruh
negara semalam, berjaya menyelamatkan 21 bayi dan kanak-kanak daripada menjadi
mangsa aktiviti pemerdagangan manusia.
Dalam operasi dijalankan secara
serentak pada pukul 11 malam tadi di tujuh negeri itu, polis turut memberkas 43
individu disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk
Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan
dalam proses untuk dijual dan sindiket mampu mengaut keuntungan mencecah lebih
RM600,000 hasil urus niaga tersebut.
Beliau berkata, dalam operasi tersebut,
polis berjaya menemukan tujuh bayi di Selangor dan masing-masing tiga bayi di
Kuala Lumpur, Perak dan Johor.
Baki
lima bayi diselamatkan di Pulau Pinang, Pahang dan Negeri Sembilan tetapi polis
mengesan tiga lagi bayi telah dibawa ke Singapura, Indonesia dan Kanada.
Bayi
yang diselamatkan terdiri daripada 10 lelaki dan 11 perempuan dengan 20 orang
berusia bawah setahun dan seorang berusia sembilan tahun," katanya dalam
sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada Januari lalu, polis Pulau
Pinang menumpaskan sindiket penjualan bayi membabitkan nilai RM300,000 setelah
menangkap 33 individu disyaki anggota kumpulan sama yang ditahan malam tadi dan
menyelamatkan sembilan bayi.
Menurut Abdul Rahim, sebanyak 43
individu ditangkap, terdiri daripada 19 lelaki dan selebihnya wanita termasuk
masing-masing seorang rakyat Singapura dan Indonesia yang berusia 27 hingga 57
tahun.
Beliau berkata, siasatan
mendapati bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan kali ini dijual dengan harga
RM18,000 hingga RM38,000 seorang.
Katanya, ibu bayi pula diberikan
bayaran antara RM2,500 dan RM4,000.
Hasil
siasatan dipercayai sindiket tersebut merupakan saki baki kumpulan pertama yang
ditumpaskan dalam Ops Pintas Sayang 1 pada Januari lalu.
Kita
akan teruskan operasi sama dalam masa terdekat ini bagi mengesan saki baki
anggota sindiket yang masih bebas dan menyelamatkan bayi-bayi lain jika
ada," katanya.
Abdul Rahim berkata, bagi
mengesan bayi yang kini berada di Singapura, Kanada dan Indonesia, pihaknya
akan bekerjasama dengan Interpol.
Katanya, kesemua suspek yang
ditangkap kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14, Akta Anti
Pemerdagangan Orang 2007.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/