KOTA KINABALU - Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan
bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun
saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran
telah bersedia.
"Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran bahasa Inggeris
di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha
untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di seluruh
negara.
"Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan
menetapkan supaya lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara
yang wajib...mesti lulus,' katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru
Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan
Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini hari ini.
Bagi mencapai tujuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata
kementeriannya akan menentukan terlebih dahulu "guru yang opsyennya bahasa
Inggeris dapat mendidik anak-anak ilmu bahasa supaya ia dapat menguasai bahasa
Inggeris seperti apa yang dicapai di negara maju di dunia pada hari ini".
"Begitu juga dengan bidang Sains, Matematik dan Bahasa Melayu. Bahasa
Melayu kita tidak boleh abaikan. Bidang-bidang seperti ini kita harap akan
diberi perhatian," katanya.
Muhyiddin berkata dalam Pelan Pendidikan Negara yang dimulakan sekarang,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan murah hati menyediakan
peruntukan RM500 juta untuk digunakan bagi melatih guru dalam subjek Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
"Yang ini kita akan utamakan sebelum yang lain kita laksanakan dalam
tempoh akan datang. Maka inilah cabaran besar yang saudara Guru Muda 1Malaysia
harus pikul.
"Yang nak tentukan sama ada sistem kita ini berjaya bergantung kepada
guru muda. Saya harap perhimpunan ini tidak terhenti di sini sahaja, kita akan
teruskan, bagaimana nak teruskan kita akan bincangkan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata perhimpunan itu antara lain bertujuan
memberi peluang kepada kepimpinan Kementerian Pelajaran berinteraksi dengan
guru muda yang berkhidmat di
kementerian. Katanya sekitar 49.5 peratus daripada tenaga guru di seluruh
negara adalah mereka yang berusia antara 21 dan 35 tahun, dan ini bermakna
kumpulan itu agak besar dan berperanan penting dalam menentukan kejayaan
sistem pendidikan negara terutama membimbing anak-anak menjadi generasi berilmu
dan berpengetahuan.
"Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab
itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan,
diperkukuhkan, dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan generasi
masyarakat Malaysia yang terdidik akan tercapai.
"Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk ke ambang penting dalam sejarah pembangunan
negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri,"
katanya.
Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi hasrat tersebut
akan lebih mudah untuk dicapai kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang
dipertanggungjawabkan.
"Guru tidak seperti penjawat awam yang lain, guru adalah kumpulan
profesional kerana penjawat awam hanya menggunakan ilmu untuk melaksanakan apa
yang dipertanggungjawabkan, tetapi guru menggunakan ilmu dan menurunkan ilmu
kepada anak bangsa agar berjaya menghadapi masa depan yang lebih baik.
"Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar, penduduknya
tidak berapa ramai tetapi bertaburan di seluruh negeri dan tentunya memerlukan
suatu usaha yang lebih.
"Kalau di Semenanjung kita biasa ke sekolah untuk mendidik anak-anak
dan tidak banyak halangan dan rintangan tetapi di Sabah dan Sarawak, guru-guru
adalah guru-guru yang cekal dan berani, sanggup mengharungi sungai, jalan-jalan
yang jauh berbatu-batu, berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak luar
biasa," katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan
Negara (2013-2025) dalam tiga gelombang dalam usaha meningkatkan daya saing
negara ini dalam arena pendidikan.
"Apa yang kita akan lalui adalah suatu yang agak luar biasa. Banyak
negara mencuba menjadi negara yang berjaya dalam bidang pendidikan tetapi
sebahagian kecil sahaja yang mampu mencapai, sebahagian besarnya gagal.
"Tetapi kita mengambil satu langkah berani kerana bagi kita tiada yang
mustahil. Kalau Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju, cemerlang dan hebat serta mahu bertanding sehingga ke peringkat
antarabangsa setanding dengan negara gergasi dunia, maka sistem kita mestilah sistem yang terbaik," katanya. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan