Rabu, 13 Mei 2009

JENAYAH DALAM KALANGAN PELAJAR DAN REMAJA (PUNCA DAN CARA MENGATASI)

Hari ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan pelajar dan remaja. Kejadian jenayah tersebut telah menggambarkan keseriusan kejadian jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja. Semakin hari kes-kes jenayah ini semakin berleluasa.lsu ini sungguh memalukan memandangkan negara kita sekarang merupakan negara yang sedang pesat membangun. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja dan apakah masalah ini dapat diatasi?


Jika dikaji begitu banyak punca berlakunya kes-kes jenayah dalam kalangan remaja. Antaranya ialah didikan yang kurang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan yang paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah dalam kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna. Inilah punca utama yang menyebabkan akhlak pelajar-pelajar dan remaja runtuh. Natijahnya mereka tergamak melakukan jenayah berat seperti merogol, membunuh, menyamun, dan peras ugut.


Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar dan remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah pilih rakan sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja mudah terikut-ikut perangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar sekolah, kes ragut, dan sebagainya.


Selain itu, media massa juga menjadi punca kegiatan jenayah dalam kalangan remaja. Tidak dinafikan kemudahan seperti Internet, e-mel, televisyen, dan radio memudahkan kita untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat, dan berhibur. Akan tetapi banyak juga kesan-kesan negatif daripada kemudahan ini jika tidak dimanfaatkan dengan betul, contohnya, menyalahgunakan internet untuk memalsukan data-data penting, menonton gambar-gambar lucah, dan sebagainya yang akan mendorong mereka untuk melakukan jenayah seperti rogol, bunuh, pengedaran pil-pil khayal, dan dadah.


Namun begitu, segala jenayah di atas dapat dibendung jika perhatian dan pendekatan yang lebih diberikan kepada remaja-remaja tersebut. Contohnya, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula daripada rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk.


Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana sememangnya remaja mudah ter- pengaruh dengan kawan-kawan mereka. Di sini, ibu bapa mesti tahu dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh media massa juga hendaklah dibendung. Pelajar hanya perlu mengetahui maklumat-maklumat yang hanya berkaitan dengan pelajaran sahaja. Cara sebegini dapat menghasilkan pelajar bermaklumat sekali gus dapat membendung jenayah dalam kalangan remaja.


Selain itu, pihak sekolah juga perlu memantapkan lagi disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahau. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, menghisap dadah, atau memukul pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Ibu bapa pelajar juga harus ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal dalam mengatasi masalah yang lebih serius. Kuat kuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori bagi memberikan pengajaran kepada remaja-remaja lain.


Kesimpulannya, pelajar-pelajar haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa, kempen-kempen, khemah kerja, motivasi dan sebagainya bagi menyedarkan mereka bahawa merekalah generasi pemangkin kegemilangan negara. Sekali gus, perkara sedemkian dapat memberi pengajaran kepada mereka. Golongan tersebut juga perlu mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.

Sumber: http: // mazlan66.wordpress.com/