Ahad, 15 September 2013

ISU KENEGARAAN : Malaysia 2063 dan selanjutnya


Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

HARI ini, kita merayakan sambutan 50 Tahun Malaysia. Ia satu tempoh masa yang amat penting. Banyak kejayaan telah dicapai dalam banyak bidang. Namun, ada juga kejayaan yang sepatutnya diraih lebih tinggi lagi.

Terdapat juga kelemahan di sana-sini. Semuanya perlu dimuhasabah. Pada masa sama, kita perlu fokus masa depan, iaitu Malaysia 50 tahun akan datang (tahun 2063) dan selanjutnya.

Sehubungan dengan ini, saya melakukan proses pencarian roh. Antaranya ialah dengan perbincangan, pembacaan dan trending #Msia50ThnAknDtg di Twitter dan Facebook. Berdasarkan maklum balasnya, maka pada saya, haluan masa depan kita perlu meliputi perkara-perkara berikut:

Pertama : Penegasan semula teras-teras negara. Kita perlu meningkatkan kefahaman semua contohnya, Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial dan perundangan. Sering berlaku apabila tercetus sesuatu polemik, ia dilakukan tanpa kefahaman mendalam terhadap teras-teras ini.

Dari satu segi, kita perlu membawa perbincangan-perbincangan tersebut ke tahap lebih tinggi. Manakala dari segi lain, mungkin juga ia perlu pendefinisian-semula supaya sesuai dengan realiti semasa.

Kedua : Menyelesaikan isu-isu mendesak. Kita perlu menerima hakikat bahawa kini wujud semacam defisit keyakinan terhadap kerajaan. Oleh itu, isu-isu besar yang amat dekat dengan naluri rakyat perlu diatasi segera.

Contohnya, rasuah, kos hidup dan jenayah. Bagi rasuah, contohnya, perlu diwujudkan satu garisan permulaan baru di mana urusan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara teknologi e-perolehan dan e-bidaan yang menyeluruh, manakala undang-undang digubal bagi menangani isu kewangan politik.

Ketiga : Penyatuan Nasional. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyentuh perkara ini pada ucapan kemenangan BN di PRU13 dan diikuti pengumumannya di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Penyatuan Nasional, ramai menunggu dengan antisipasi bercampur-aduk.

Tetapi, umum menyatakan ia perlu dilaksanakan segera, terutamanya dalam konteks pembangunan inklusif dan perpaduan sosial.

Keempat : Mendepani Zaman. Dunia hari ini berubah dalam setiap spektrum pada kepantasan yang luar biasa lajunya. Dalam keadaan begini, kita tidak boleh menunggu untuk perubahan itu berlaku.

Sebaliknya, kita perlu mendepani perubahan itu, iaitu dengan menjangka akan kedatangannya, dan lebih baik lagi, jika kita dapat mempengaruhi corak, cara dan citranya.

Dalam konteks ini, kita perlu menghayati disiplin yang dinamakan “pengajian masa depan” dalam perancangan dasar-dasar dan program-program pembangunan. Supaya kita benar-benar ke sini-kinian dan tidak ketinggalan zaman.

Kelima : Melipat ganda transformasi. Pelan Transformasi Nasional ilham dan pimpinan Perdana Menteri adalah amat baik. Ia komprehensif dari segi bidangan, penggubalan, pelaksanaan dan penilaiannya. Kini, ia perlu diperluaskan dan diperdalamkan.

Contohnya, dari segi politik, supaya mengamalkan politik baharu, iaitu demokrasi yang lebih matang dan progresif, serta menjulang politik ilmu, hikmah dan bakti dan menamatkan politik wang, rasuah dan kotor.

Dari segi governans, agar wujud kerangka governans baru berasaskan integriti dan perundingan semua pihak berkepentingan, termasuk soal hubungan persekutuan-negeri dan desentralisasi. Dari segi pendidikan, supaya dipentingkan soal roh, matlamat, kualiti dan pemikiran baru, bukan sekadar program rutin.

Dari segi sosiobudaya, supaya memartabatkan budaya tinggi dan tidak tenggelam dalam keasyikan budaya rendah. Manakala perkara baharu ialah meningkatkan peranan rakyat dalam proses membuat keputusan tentang dasar luar negara, iaitu selaras dengan makna sebenar diplomasi rakyat-pada-rakyat, dan tidak lagi semuanya diserahkan hanya pada Wisma Putra.

Ini sesuai dengan dasar luar negara yang berada dalam transisi, selari  kedudukannya bakal menjadi negara maju.

Dirgahayu Malaysia tercinta!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/