Oleh
NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
MALAYSIA mula
mengorak langkah serius dalam arena aeroangkasa pada tahun 1997 menerusi
pembentukan Pelan Induk Pembangunan Industri Angkasa Malaysia.
Ketika itu, pelan
yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara
tidak rasminya menggariskan harapan sektor tersebut mampu memacu pertumbuhan
bidang sosial dan ekonomi negara ke peringkat lebih baik.
Rentetan
inisiatif berkenaan, sebuah syarikat yang menjurus ke arah teras penyelidikan
dan pembangunan (R&D) bidang sains angkasa, Astronautics Technology Sdn.
Bhd. (ATSB) telah ditubuhkan.
ATSB secara
asasnya berperanan membawa Malaysia menyertai persaingan dalam industri
teknologi angkasa global menerusi pelaksanaan aktiviti seperti mereka bentuk
dan merangka sistem satelit berteknologi tinggi.
Kejayaan
satu-satunya syarikat tempatan yang terlibat secara langsung dalam industri itu
terbukti apabila satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1 dilancarkan pada
tahun 2006.
Tidak menunggu
lama untuk terus mengatur langkah cemerlang memacu industri satelit dan angkasa
negara secara lebih konsisten, ATSB pada tahun 2009 melancarkan pula satelit
remote sensing dikenali RazakSAT.
Selepas 15 tahun,
ATSB hari ini perlu berbangga dengan pencapaian serta kepakaran yang dimiliki
mereka sehingga mampu melaksanakan pembangunan bidang aeroangkasa secara
bersepadu.
Ketua Pegawai
Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, teknologi satelit dan
angkasa di Malaysia telah mencapai peringkat matang.
‘‘Tanpa disedari,
kita sebenarnya telah menerima teknologi ini sebagai sebahagian daripada
kehidupan kita. Ia termasuk aktiviti menonton siaran televisyen secara
langsung, berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan mengaplikasi peranti
navigasi perjalanan, semuanya dibantu oleh teknologi satelit.
‘‘Bagaimanapun,
daripada segi pendedahan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu masih
berada di peringkat permulaaan,’’ katanya ketika di temui di pejabatnya di Shah
Alam baru-baru ini.
Ini kerana
menurutnya, rakyat masih menganggap teknologi angkasa sebagai industri yang
mahal tanpa melihat faedah yang ditawarkan kepada orang ramai.
Faedah yang
dimaksudkan adalah termasuk membantu operasi pemantauan remote sensing untuk
jangkaan cuaca lebih tepat, kejadian hujan, kemarau dan banjir.
Ini kerana,
dengan adanya data-data yang dibekalkan oleh satelit, ia dapat membantu
perjalanan aktiviti seperti pertanian sekali gus memberi manfaat kepada para petani.
Bagi
menyemarakkan aktiviti R&D pula, Ahmad Sabirin berkata, Malaysia belum
meletakkan komitmen yang besar daripada segi dana untuk memperluas teknologi
angkasa.
Tidak seperti
negara-negara yang komited dengan pembangunan industri tersebut seperti Amerika
Syarikat (AS), India, Korea Selatan, China dan Jepun yang sanggup melabur
sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun untuk tujuan R&D.
‘‘Kekangan dana
bagi tujuan R&D seperti inilah yang menyebabkan ATSB sukar untuk
memperluaskan aktiviti penyelidikan. Di samping itu, dalam usaha memastikan
industri ini terus dijana secara proaktif, kita perlu meletakkan hala tuju yang
jelas bermula sekarang demi memastikan Malaysia mempunyai produk teknologi
angkasa yang unggul dalam masa 30 tahun akan datang,’’ katanya.
Dalam
perkembangan sama, ATSB juga ada menjalankan kerjasama pintar dengan
universiti-universiti tempatan dalam bentuk R&D dan keusahawan.
Matlamatnya
adalah untuk memupuk minat pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)
sebagai usahawan teknologi bermula dari peringkat awal pengajian.
Antara universiti
terlibat adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia
(USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia
(UTM).
‘‘Kita ada
mengambil pelajar dan graduan daripada universiti-universiti ini untuk
menjalankan R&D secara maya di mana pihak universiti akan menggaji mereka
untuk melakukan penyelidikan manakala ATSB pula menjalankan urusan
pengkomersialan. Menerusi cara itu, kedua-dua pihak akan dapat memperoleh
keuntungan secara bersama,’’ katanya.
Menurut Ahmad
Sabirin lagi, modul pengajian universiti sekarang perlu diubah dengan
menerapkan nilai serta atmosfera seperti dalam industri sebenar demi
merealisasikan fokus pembangunan bidang tersebut.
Bagi tujuan sama
juga, ATSB turut menyokong program yang dilaksanakan TalentCorp Malaysia untuk
memanggil pakar-pakar tempatan dalam bidang teknologi yang berkhidmat di luar
negara untuk kembali semula ke negara ini dengan syarat mereka perlu disediakan
dengan program pembangunan yang jelas.
Melihat ATSB
untuk jangka masa 10 tahun akan datang, Ahmad Sabirin berkata, organisasi itu
bukan bakal sahaja bersaing di peringkat Asia tetapi juga dunia melalui medium
perkongsian pintar serta perniagaan strategik bersama rangkaian
syarikat-syarikat global.
ATSB turut akan
memberi tumpuan terhadap pembangunan sub sistem dalam teknologi angkasa
merangkumi sistem komunikasi, navigasi, perkakasan dan perisian berbanding
pembinaan satelit yang memakan masa terlalu lama.
‘‘Jika kita ingin
maju pada tahun 2020, kita perlu mengorak langkah menjana teknologi angkasa ini
sebagai sumber kekayaan baru dengan memberi fokus terhadap transformasi
perniagaan serta mengubah pemikiran tradisi kepada yang baru.
‘‘Komitmen
daripada pihak kerajaan daripada segi dana dan kesinambungan aktiviti R&D
juga mampu menyediakan masa depan yang cerah untuk sektor ini sekali gus
memberi pulangan ekonomi cukup lumayan kepada negara,’’ ujarnya.
Dengan segala
kesungguhan yang ditunjukkan, ATSB kini berada pada posisi paling hadapan dalam
persaingan inovasi teknologi satelit dan angkasa diikuti rapat oleh
syarikat-syarikat dari negara Thailand dan Vietnam.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/