Apakah yang menjadi fokus pertanian menjelang beberapa dekad akan datang? Dengan pertambahan penduduk, makanan akan menjadi isu penting yang perlu ditangani, tidak terkecuali bagi Malaysia yang mana penduduknya akan bertambah.
Penduduk Malaysia kini 26.6 juta dan dijangka meningkat kepada 37 juta menjelang 2020 atau mencecah 70 juta pada 2050.
Ini merupakan satu cabaran untuk menghasilkan makanan dalam keadaan kawasan tanah pertanian yang terhad atau berkurangan dan ia bukan sahaja mengambil kira penduduk Malaysia tetapi juga penduduk dunia yang ketika ini mencecah 6.7 bilion dan dijangka meningkat melebihi sembilan bilion pada tahun 2050.
Justeru pertanian menjadi semakin penting menjelang beberapa dekad akan datang, apatah lagi proses urbanisasi akan berlaku yang mana 80 peratus penduduk dunia akan menetap di kawasan bandar menjelang 2050.
Menurut seorang pakar pertanian tempatan, Prof Datuk Makhdzir Mardan, dunia dan Malaysia akan berhadapan dengan krisis makanan jika isu pertanian tidak diberi perhatian segera. Beliau berkata, terdapat lima cabaran utama yang menjadi hambatan kepada pertumbuhan sektor pertanian masa kini.
Cabaran pertama ialah isu perubahan cuaca (climate change) yang menyebabkan berlakunya anjakan musim, banjir dan kemarau yang menyebabkan kurang penghasilan makanan (kemusnahan tanaman) dan perpindahan manusia dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari perlindungan.
"Hasil tanaman seperti kelapa sawit, padi dan lain-lain juga dijangka berkurangan dalam anggaran 10 peratus daripada hasil dengan berlakunya pemanasan melampau bagi setiap peningkatan satu darjah selsius," katanya.
Isu lain mungkin menyebabkan penundaan musim bunga, lalu menjejaskan pengeluaran buah-buahan kerana berlakunya anjakan 10-15 hari musim monsun dan sebagainya. Pemanasan global juga menyebabkan berlakunya malapetaka seperti kenaikan paras laut dan kecairan bongkah ais yang memungkinkan penghasilan bahan makanan terganggu termasuk kemusnahan sumber seperti ikan dan kemasinan tanah pertanian di pinggiran pantai dan sebagainya.
Kini lebih dari 70 peratus penduduk dunia tinggal kurang dari 100 kilometer (km) dari tepian air laut atau sungai kerana air merupakan unsur utama bagi kehidupan di bumi, terutamanya perusahaan pertanian. Penggunaan air bersih yang terhad pada tempat dan masa mestilah direncanakan penggunaannya dalam perusahaan pertanian dengan imaginasi pengairan dan irigasi yang lebih efisien dan kreatif.
Cabaran kedua yang tidak kurang pentingnya ialah pergantungan kepada sumber petroleum atau bahan hidrokarbon. Masyarakat dunia kini sedang mempelbagaikan sumber tenaga supaya pergantungan terhadap petroleum dikurangkan dan diagihkan kepada sumber-sumber yang diperbaharui (renewable).
Penjanaan tenaga daripada sumber petroleum secara berterusan mengakibatkan kos pengangkutan dan baja serta racun makhluk perosak dan rumpai akan meningkat. Ini akan memberi kepada penggalakkan pertanian organik.
Cabaran ketiga ialah bagaimana tamadun manusia dapat memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi memainkan peranan dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan industri hiliran. Pertanian bioteknologi kini semakin diperkatakan kerana ia bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran hasil tetapi lebih pantas, bersih dan mengurangkan kos.
Selain itu, isu organisme diubahsuai secara genetik (GMO) untuk memperoleh baka yang lebih baik akan menjadi isu tetapi pada akhirnya manusia perlu akur dengan tidak mengabaikan etika dan kemanusiaan, baka yang baik perlu dihasilkan.
Penggunaan ICT, terutamanya dalam teknologi penderiaan jarak jauh (remote-sensing), Identifikasi gelombang radio atau RFID (traceability)pula perlu dalam memasarkan hasil pertanian selain pemodelan teknologi pertanian. Ini menyentuh mengenai cabaran keempat iaitu bagaimana teknologi pertanian tepat memainkan peranan dalam era pertanian baru pada masa akan datang.
Justeru pelbagai gabungan sains dalam teknologi pertanian tepat seperti sensor, sistem maklumat geografi (GIS), satelit, ICT untuk meramal hasil pertanian akan menjadi semakin penting.
Ketidakcukupan kawasan pertanian oleh sebab segenap kawasan perlu dimanfaaatkan untuk bertani dan menternak, menjadikan sains pada masa akan datang sangat penting untuk membantu memodenkan sektor pertanian.
Cabaran kelima pula merujuk kepada masalah penghijrahan penduduk dari luar bandar ke kawasan bandar. Malaysia antara negara yang akan mengalami masalah tersebut yang mana satu ketika dahulu iaitu pada era 70-an, 60 peratus penduduk negara ini menetap di kawasan luar bandar. Bagaimanapun selepas tiga dekad, ia telah berubah kepada sebaliknya.
Menurut Makhdzir, berdasarkan pada satu kenyataan oleh Ambler-Edwards et al (2008) dalam Chatham House Report, beberapa dekad akan datang, sistemmakanan global akan dipengaruhi oleh tujuh faktor asas iaitu pertumbuhan penduduk, transisi pemakanan, tenaga, tanah, air, buruh dan perubahan cuaca.
Oleh itu, dalam berhadapan dengan semua situasi ini, pendekatan pelbagai disiplin atau konsep Mega Sains diperkenalkan bagi menjadikan sumber pengeluaran makanan diperhebatkan dengan mengambil kira kesemua faktoryang berkaitan secara serentak. Salah satu pendekatan yang kini diperkenalkan ialah Agropolis iaitu pengeluaran pertanian yang memanfaatkan semua teknologi berkaitan.
Konsep ini memerlukan teknologi pertanian tepat dan terkawal (controlled) suhu, cahaya, nutrien, air, dan lain-lain di kawasan hijau atau ruangan kosong dan pengeluaran yang banyak, bersih, selamat serta mengurangkan kos dan penggunaan semula (kitar semula) sumber-sumber pertanian yang terhad.
Kekurangan dan kekangan kawasan pertanian, serta penghijrahan penduduk ke bandar dan keprihatinan carbon foot-prints telah mengilhamkan Profesor Despommier untuk membangunkan rumah pertanian berkonsepkan pertanian vertikal membabitkan sebuah bangunan 32 tingkat, tertutup dan bersumberkan tenaga suria, mengitar semula air, baja dan menghindarkan racun perosak dan penyakit dan pelbagai lagi dijangka akan menyedia wadah kawasan ternakan (ikan & ayam) dan tanaman (tomato, salad dan sebagainya) bagi membekalkan makanan kepada 70,000 orang penduduk New York.
Hasil pertaniannya nanti adalah segar, kurang memerlukan tenaga untuk pengangkutan (carbon footprints), mudah dikesan (traceability) dan cepat dibekalkan untuk pengguna di metropolis yang penuh dengan penduduk melebihi lima juta. Idea ini kini sedang dipertimbangkan untuk dibangunkan di negeri China.
Pertanian Agropolis secara mudahnya dimaksudkan sebagai kawasan pertanian di kawasan bandar, mungkin di bumbung bangunan untuk mengeluarkan hasil yang tinggi.
Jika Jepun boleh berbangga dengan pertanian moden di atas bumbung bangunan, maka Agropolis kata Makhdzir adalah pertanian futuristik yang sepatutnya diberi perhatian pada masa ini.
Konsep Agropolis
#Memanfaatkan elemen-elemen penting seperti air, tenaga, tanaman bernilai tinggi dengan pertanian lestari dan presis (tepat).
#Konsep pertanian vertikal, kawasan optimum dan menggunakan air kitar semula
*Pelbagai jenis tanaman dalam satu-satu kawasan penanaman.