Isnin, 20 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Transformasi vokasional lahirkan ramai usahawan

TAHUKAH anda bahawa terdapat ramai di kalangan peniaga yang menjalankan perusahaan kecil seperti pembuatan roti, menghasilkan makanan ringan atau menternak ikan dan ratusan jenis perusahaan kecil lain yang boleh mendapat pendapatan bulanan bersih mencecah puluhan ribu ringgit? Atau dengan kata lain mereka boleh mendapat pendapatan bersih lebih daripada 'lima angka' sebulan.

Pengusaha atau peniaga kecil ini bergerak di pasar-pasar malam, bazar-bazar, pasar-pasar basah, bengkel-bengkel atau kedai-kedai biasa di seluruh negara.

Mereka ini sebenarnya bukanlah pengusaha yang besar. Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil dan sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi mereka boleh berbangga kerana mendapat pendapatan yang lumayan, mengagumkan dan boleh digolongkan orang yang berpendapatan tinggi.

Siapakah mereka ini sebenarnya?

Mereka ini dikenali sebagai usahawan atau 'entrepreneur'. Mereka merupakan orang yang menjalankan perniagaan dan perusahaan. Apa yang menarik dalam masa yang sama, mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kumpulan usahawan ini sangat penting kepada pembangunan negara. Ia selari dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi dan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Pendapatan kasar tahunan berjumlah RM23,700 pada masa kini akan ditingkatkan kepada RM48,000 pada 2020. Dalam masa yang sama akan diwujudkan 3.3 juta pekerjaan baru dan akan berusaha untuk menambah bilangan pekerja mahir daripada 23 peratus sekarang kepada 37 peratus.

Siapakah sebenarnya kumpulan usahawan ini?

Usahawan sering dikaitkan dengan mereka yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan walaupun mempunyai modal yang kecil. Mereka juga biasanya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, suka menggunakan idea baru atau sekarang ini biasa dikatakan 'berfikir di luar kotak kebiasaan'. Mereka juga mempunyai sikap berani mencuba dan yang penting ialah sikap tidak takut gagal.

Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan golongan usahawan ini dilahirkan daripada kalangan keluarga usahawan juga. Logiknya ialah sejak kecil mereka sudah terdedah dengan dunia perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa atau kaum keluarga.

Bagaimanapun tidak semestinya kewujudan golongan ini kerana faktor warisan semata-mata. Tetapi sebenarnya untuk menjadi usahawan ia boleh dipelajari. Andainya seseorang itu tidak mempunyai pengalaman dalam dunia keusahawanan, mereka masih boleh menerokai bidang itu dengan cara belajar iaitu berusaha mendapatkan pendidikan serta ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.

Di negara kita pendedahan tentang ilmu keusahawanan boleh didapati melalui institusi pendidikan vokasional. Ketika ini terdapat sebanyak 88 buah sekolah vokasional di seluruh negara dan telah berjaya mengeluarkan puluhan ribu pelajar dan ramai di kalangan mereka yang menjadi usahawan berjaya.

Baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang peluasan bidang vokasional dan kemahiran serta dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA).

Tambah beliau bilangan pelajar aliran vokasional yang berjumlah 87,188 pelajar atau kira-kira 10 peratus pada 2010 akan ditingkatkan kepada 196,000 pelajar atau 20 peratus menjelang 2015.

Menteri Pelajaran memberikan penekanan kepada aliran vokasional kerana ia berkaitan dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir serta berusaha melahirkan ramai golongan usahawan.

Dalam lawatan beliau ke Perancis, Australia dan Indonesia baru-baru ini, didapati bilangan pelajar dalam aliran tersebut di negara-negara berkenaan ada yang melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Mengapakah aliran vokasional menjadi bidang pendidikan yang penting pada masa kini?

Tidak dapat dinafikan bahawa soal mencari pekerjaan sering merupakan isu besar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang baru menamatkan pendidikan menengah.

Setiap tahun kira-kira seramai 500,000 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM. Menurut beberapa kajian hanya kira-kira 30 peratus sahaja daripada kumpulan tersebut yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sudah tentu selebihnya akan berusaha memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam isu mencari pekerjaan ini sudah tentulah tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh perkhidmatan awam atau dengan kata lain makan gaji dengan kerajaan. Di samping itu, pihak swasta juga tidak mampu menyediakan pekerjaan dalam jumlah yang sebesar itu.

Cuba bayangkan dalam tempuh tiga tahun sahaja jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah atau yang menamatkan peperiksaan SPM boleh mencecah satu setengah juta orang.

Mungkin ada yang akan mencadangkan mengapa tidak anak-anak muda itu disarankan melakukan pekerjaan sendiri. Sesungguhnya saranan ini tidak adil kepada mereka kerana bagaiman mereka yang masih mentah dan tidak arif tentang selok-belok perniagaan atau sesuatu pekerjaan disuruh terus terjun ke bidang tersebut.

Mereka seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman awal yang berkaitan dengan perniagaan atau bidang yang akan diceburi.

Dalam hal ini sekolah vokasional adalah jawapannya kerana ia boleh menyediakan bekalan awal dalam bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan memberi sedikit pengalaman melalui latihan praktikal.

Peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja.

Dengan kata lain lebih ramai golongan usahawan dilahirkan, maka peluang pekerjaan akan bertambah.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

tansrialimuddin@yahoo.com

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Penarikan 'Interlok' dibincang bersama Kementerian Pelajaran, DBP: Murugiah

KUALA LUMPUR: Penarikan buku teks sastera Tingkatan Lima bertajuk "Interlok" yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.
"Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, DBP, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.
"Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Disember lalu.

Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman berkenaan sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.

Murugiah berkata isu penarikan buku berkenaan sudah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.

"Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagi tahu dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.

"Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik)," katanya.

Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Disember lalu.

Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India. - BERNAMA