APABILA Perdana Menteri menganggap rakyat sebagai klien utama, ia adalah petunjuk bahawa beliau serius dengan setiap dasar yang dirangka.
Pengharapan Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan omongan kosong kerana sejak hari pertama beliau menduduki kerusi utama pentadbiran negara, beliau komited untuk mengatasi masalah negara.
Walaupun kita sebagai klien yang mengharapkan kerajaan memberi sesuatu daripada setiap dasar dan peruntukan, kita juga perlu memberi sokongan untuk menjayakan semua dasar berkenaan.
Kadar jenayah, masalah integriti, isu pendidikan, taraf hidup rakyat, prasarana dan pengangkutan awam adalah masalah yang cuba diselesaikan oleh Perdana Menteri dalam fasa demi fasa.
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditekankan oleh beliau menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyaksikan setiap usaha memajukan negara dan rakyat diberi perhatian sewajarnya.
Penekanan ke atas Indeks Prestasi Utama (KPI) bakal memberikan rakyat peluang memberi respons terus ke atas setiap laporan kemajuan dengan melihat sendiri sama ada dalam tempoh tertentu setiap perkara yang ingin diperkasa dan diperbaiki terbukti berkesan atau memerlukan masa dan mekanisme yang baru pula.
Langkah ke arah masa depan yang lebih baik memerlukan setiap pihak bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakannya.
Kemiskinan tegar di kalangan rakyat bukan masalah baru sebenarnya. Kadangkala istilah miskin itu sendiri perlu diperbetulkan.
Ada yang miskin sepanjang hidupnya dan ada yang miskin bermusim. Kemiskinan disebabkan masalah dibuang kerja adalah perkara yang banyak berlaku saat ini.
Apabila dibuang kerja, hutang tidak mampu dibayar. Apabila hutang tidak mampu dibayar, dijatuhi ‘hukuman bankrap’ pula oleh pihak bank.
Yang meminjam dengan ah long pula diancam nyawa maka hidup pula berpindahrandah hingga rumahtangga kucar-kacir. Ramai akhirnya berpaling memohon bantuan daripada kerajaan. Namun sampai bila kita perlu mengharapkan kerajaan? Bagi yang panjang akal, banyak usaha boleh dilakukan untuk meneruskan hidup. Berniaga adalah antara alternatifnya.
Untuk berniaga dan mencari kontrak pula memerlukan kita memasuki tender. Dalam hal tender, Perdana Menteri berusaha menghapuskan rasuah dengan meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam dalam soal agihan kontrak dan projek.
Soal ini memerlukan kerjasama rakyat untuk membendungnya. Kita perlu mengubati penyakit rasuah yang virusnya ada dalam diri setiap orang.
Bagaimanapun, bercakap untuk menghapuskan rasuah amat mudah. Namun usaha membendung gejala rasuah tidak semudah yang diucapkan. Ia bukan tugas kerajaan semata-mata. Rakyat perlu bekerjasama.
Begitu juga dengan kadar jenayah jalanan juga dapat dikurangkan jika institusi keluarga dan masyarakat dapat ditingkatkan dan dimakmurkan. Sesungguhnya jenayah jalanan terutama ragut dan lumba haram dilakukan oleh remaja yang punca ia tercebur kerana tiada aktiviti riadah khusus dan dikawal selia oleh orang dewasa di tempat mereka.
Institusi keluarga dan masyarakat juga tidak menggalakkan untuk mengadakan riadah bersama-sama. Anak-anak dan ibu bapa mencari riadah sendiri.
Dalam hal ini, kariah kampung dan kejiranan perlu kreatif mencari idea untuk aktiviti riadah. Contohnya selepas waktu Isyak setiap malam Ahad kerana inilah masanya pelumba haram memanaskan enjin hingga pendikit di putar tahap maksimum.
Tibalah masanya yang tua memberi kembali kenangan kita semasa muda kepada anak-anak bermain takraw dan badminton selepas Isyak.
Setiap petang minggu bermain bola sepak beramai-ramai hingga remang-remang senja sebelum maghrib. Mungkin ini saja caranya jenayah jalanan oleh kalangan remaja dapat dikurangkan.
NRKA yang digariskan oleh PM melalui KPI bagi perkara lain seperti meningkatkan prasarana, pendidikan dan peningkatan pengangkutan awam adalah suatu proses berterusan. Ia mampu dikendalikan oleh kerajaan tetapi daripada segi jenayah, peningkatan intergriti dan taraf hidup rakyat sebenarnya saling berkait.
Jika projek tidak diagih-agihkan secara penuh intergriti mungkin ada yang jatuh miskin kerana tiada kerja. Masalah sosial akan meningkat dan semakin ramai terjerumus ke kancah yang tidak diingini.
Oleh itu, usaha murni kerajaan yang disuarakan oleh Perdana Menteri minggu lalu memang kena pada masanya.
Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia. Apa yang digariskan menunjukkan rakyat sememangnya menjadi keutamaan kerajaan.
Sekiranya ada kekurangan, kita sebagai rakyat perlu membantu mengatasinya. Paling penting, 1Malaysia tidak mampu dijayakan tanpa komitmen dan kerjasama padu seluruh rakyat. Kita jangan terlalu meminta tetapi tidak pula berbuat apa-apa untuk negara.