Oleh : Mohd Ali
Muhamad Don
Jenayah buang bayi yang tiada kesudahan adalah gambaran nilai kasih sayang
seorang ibu terhadap bayi darah dagingnya sendiri sudah lenyap sehingga
tergamak ditinggalkan sendirian sambil mengharap ada yang akan
menyelamatkannya.
Malah hari ini ia bukan lagi suatu isu yang menggemparkan kerana masyarakat
sudah terbiasa dengan paparan media massa berkaitan pembuangan bayi.
Dari sudut lain, terdapat segelintir anak yang sanggup membiarkan ibu atau
bapa kandungnya berkeliaran sebagai gelandangan jalanan tanpa belaian kasih
sayang anak sendiri. Segala pengorbanan masa, tenaga, dan wang ringgit yang
pernah dicurahkan bagi membesarkan anak sedikit pun tidak dihargai.
Akhirnya golongan ini menghabiskan sisa hidup dalam kesedihan tanpa rumah,
pakaian dan makanan yang mencukupi. Lebih daripada itu, keinginan mereka untuk
mengabdikan diri kepada Ilahi dengan memperbanyak ibadat di penghujung usianya
juga tidak kesampaian akibat diabaikan anak yang kemungkinan telah berjaya
dalam kehidupannya.
Anak sepatutnya berbuat baik dan berlaku ihsan kepada ibu bapa terutama
ketika mereka menginjak usia tua. Dalam hal ini anak yang soleh pasti tidak
lupa untuk sentiasa menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada kedua orang tuanya
yang sudah meninggal dunia.
Allah SWT berfirman: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik
kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam
keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan
penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada- Ku dan
seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah
Luqman, ayat 14)
Nilai kasih sayang dalam masyarakat yang bersifat materialistik dewasa ini
juga semakin hari semakin luntur. Suami dan isteri sering bergaduh sesama
sendiri, hingga bercerai-berai dan anak terbiar tanpa kasih sayang.
Antara jiran tetangga juga hilang semangat kejiranan yang bertitik tolak
daripada nilai kasih sayang serta saling menghormati hingga ada yang bermasam
muka dan langsung tidak bertegur sapa.
Dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara pula nilai persefahaman
serta toleransi juga mula pudar. Malah terdapat segelintir yang mengambil ke
sempatan menangguk di air keruh dengan mencampuri urusan agama lain yang
tidak diketahui motif sebenarnya.
Ketiadaan nilai kasih sayang dalam kehidupan kini mencapai kemuncaknya
apabila haiwan juga turut menerima akibatnya. Ini dapat diperhatikan kepada sekumpulan
13 ekor gajah Pigmy di Borneo yang mati bergelimpangan akibat keracunan.
Apa pun alasannya manusia sepatutnya lebih bertolak ansur dengan alam
sekeliling supaya semua makhluk dapat hidup harmoni dan saling melengkapi
antara satu sama lain.
Justeru, nilai kasih sayang perlu dipupuk dan dibaja setiap hari. Melalui
perasaan kasih sayang akan lahir rasa hormat-menghormati serta menghargai
sesama insan dan makhluk Allah yang lainnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/