Abdul Ghafar (tiga, kanan) melakukan gimik pelancaran program. |
Oleh : KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
NILAI - Guru-guru seluruh negara
diminta tidak membabitkan diri dalam politik demi menjaga nama baik profesion
berkenaan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Abdul Ghafar Mahmud berkata, warga pendidik tidak seharusnya berkecimpung dalam
arena politik kerana perbuatan sedemikian jelas melanggar etika perguruan.
“Selaku kakitangan awam, mereka
terikat dengan segala peraturan yang digariskan kementerian. Justeru, mereka
perlu akur dengan ketetapan tersebut tanpa sebarang kompromi.
“Nasihat ini penting bagi
mengingatkan mereka supaya menghormati ikrar yang pernah dilafazkan semasa
mula-mula menceburi bidang perguruan,” katanya kepada pemberita ketika
menghadiri Majlis Prapelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di
Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, di sini, semalam.
Ketika diminta mengulas isu murid
sekolah digunakan pihak tertentu bagi tujuan berkempen, Abdul Ghafar berkata,
setakat ini pihaknya belum pernah menerima sebarang aduan berkaitan perkara
terbabit.
Dalam perkembangan lain,
menyentuh tentang Anugerah Ikon Guru yang baru diperkenalkan buat pertama kali
pada tahun ini, beliau berkata, ia diwujudkan untuk menghargai jasa dan
sumbangan guru terhadap masyarakat dalam pelbagai bidang.
“Berbeza dengan Anugerah Tokoh
Guru dikhususkan kepada warga pendidik yang sudah bersara, anugerah ini pula
diberikan kepada mereka yang masih dalam tempoh berkhidmat,” katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/