Oleh : Prof Dr. Teo
Kok Seong
Tujuh puluh lima peratus daripada
sekitar 12,000 orang yang menghadiri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN)
mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem pendidikan kita untuk mencapai tahap
global, selepas melalui kajian semula mulai 2013.
Beberapa perkara, antaranya
kualiti guru, keadaan sekolah, kepemimpinan, kurikulum dan penaksiran serta
kecekapan linguistik, adalah penting untuk mencapai tahap ini. Dari segi
kecekapan linguistik, kita tidak semestinya perlu menggunakan bahasa Inggeris,
walaupun dalam bentuk separa, iaitu melalui pengajaran beberapa mata pelajaran
dalam bahasa itu.
Kita harus yakin pada bahasa
Melayu, iaitu bahasa negara kita, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa
rasmi selaku wahana untuk memajukan bangsa dan negara. Untuk ini, bahasa Melayu
yang dibangunkan daripada vernakular sebelum merdeka, oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), kini adalah bahasa moden atau ilmu.
Sebagai bahasa moden, bahasa
Melayu mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak,
dalam sebarang bidang ilmu. Jauh lebih penting daripada ini ialah penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, sebagai bahasa pengantar utama, akan
memberi wibawa yang lebih kepadanya.
Sesungguhnya bahasa Melayu adalah
penting kepada kita. Ini kerana ia sebahagian daripada kita sebagai bangsa dan
negara Malaysia. Ia adalah bahasa kita sendiri dan bukan bahasa luar yang
dibawa masuk. Sehubungan ini, bahasa Melayu adalah antara aspek penting untuk
nasionaliti Malaysia.
Bahasa Melayu juga bahasa
perhubungan luas di negara ini. Sehubungan ini, ia memang layak diguna dalam
sistem pendidikan negara sebagai wahana pemikiran. Melaluinya, mata pelajaran
sekolah dan kursus institut pengajian tinggi sudah tentu dapat disampaikan dan
difahami dengan baik.
Penguasaan bahasa antarabangsa,
khususnya bahasa Inggeris adalah penting. Hal ini dipantau melalui Dasar
Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walaupun, ia
digubal untuk menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Dasar MBMMBI sebenarnya adalah Dasar Pendidikan
Bahasa di negara ini.
Dasar Pendidikan Bahasa ini ikut
menganjurkan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas
pembentukan negara bangsa dan Malaysia itu sendiri. Dengan ini, bahasa ibunda
dibenarkan dikembangkan dengan pesatnya dalam sistem pendidikan negara, selain
digalakkan kekal sebagai warisan budaya etnik yang utuh.
Walaupun Dasar MBMMBI kelihatan
semata-mata menjurus kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, ia sebenarnya
ikut meliputi perkembangan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular,
dengan secukupnya. Dengan adanya strategi khusus lagi betul melalui Dasar MBMMBI,
pendidikan bahasa Inggeris bukan saja pasti akan bertambah baik. Tetapi lebih
penting lagi ia akan menghasilkan bangsa Malaysia akan mempunyai peningkatan
kecekapan dalam bahasa antarabangsa yang penting ini.
Kita perlu meyakini Dasar MBMMBI
ini, khususnya bahagian berkenaan dengan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita tidak
boleh sekali-kali menyelesaikan masalah golongan muda kita yang kurang cekap
dalam bahasa Inggeris dengan cara yang cepat lagi mudah, seperti yang
dicadangkan oleh pihak tertentu, iaitu dengan mengembalikan persekolahan aliran
bahasa Inggeris.
Mereka ini, khususnya daripada
Orang Melayu, nampaknya tidak memahami, apatah lagi menghayati nilai bahasa
Melayu kepada bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Sesungguhnya
penggunaan bahasa Inggeris akan menyebabkan kita bergantung kepada Barat,
khususnya United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Pergantungan ini yang tidak dapat
dielakkan pada zaman globalisasi perlu dipastikan wujud dalam bentuk bahasa
Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu saja. Dalam konteks ini, bahasa Melayu
perlu menjadi bahasa ilmu kerana dengan peranan ini sahajalah, ia berpeluang
berkembang dengan lebih pesat lagi sebagai bahasa besar, dan tidak hanya wujud
sebagai bahasa kecil di sisi bahasa Inggeris.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/